Haji Abas di bazaar Ramadhan 1435/2014 anak saudaranya di Parit Sulung. Pada bulan Ramadhan lazimnya Haji Abas memeli sahaja lauk-pauk dan juadah berbuka puasa. Hajjah Aminah akan hanya memasak apa-apa makanan yang perlu dimasak sendiri mengikut selera mereka berdua.
Haji Abas memiliki keistimewaan yang sukar ditandingi
oleh orang lain. Kemahiran perhubungan awamnya sangat tinggi. Dia boleh
berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Berinteraksi dengan sesiapa sahaja. Boleh
berkawan dengan sesiapa sahaja. Yang cantiknya dia hanya menggunakan Bahasa Melayu sahaja. Mungkin sedikit bahasa pasar. Atau lebih dikenali bahasa komunikasi harian. Sifat mudah mesranya merentas budaya. Merentas
agama. Merentas etnik keturunan. Merentas usia. Tidak hairan jika ramai antara
rakannya adalah orang Cina dan India. Orang Melayu tidak terbilang ramainya.
Dari muda hingga ke usianya sekarang ramai orang di Parit Sulung, tempat
tinggalnya sekarang yang mengenalinya. Dari pemilik kedai makan ke klinik
swsta, tukang emas dan kedai-kedai lainnya.
Di Parit Sulung terdapat sebuah keluarga India Muslim.
Nama ketua keluarganya Ismail. Sudah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.
Haji Abas mengenali kesemua anak allahyarham Ismail. Di Parit Sulung ada
beberapa kedai makan milik anak-anak allahyarham Ismail. Antaranya Latif dan
Putih. Hampir setiap hari Haji Abas ke kedai Latif. Ia akan makan sekeping roti
canai dan segelas teh susu. Roti canai dimakan dengan kuah kari daging.
Biasanya Latif memasukkan seketul dua daging. Teh susunya mesti istimewa. Manis
dengan susu sahaja tanpa sedikitpun gula. Jika kurang manis ia akan menagih
supaya ditambah susu. Seorang yang berusia 100 tahun, Haji Abas kuat makan dan
minum makanan yang manis-manis. Alhamdulillah dia tidak mengidap sebarang
kompliksi penyakit. Tidak juga kencing manis. Latif antara mereka yang sangat
rapat dengan Haji Abas. Pada hari-hari Haji Abas tidak berkesempatan untuk makan
di kedai, Latif menghantar beberapa keping roti canai ke rumah Haji Abas. Malah
kadang-kadang pada tengahari Latif juga menghantar lauk-pauk untuk mereka
berdua suami isteri.
Jika Haji Abas hendak memakan buah maka banyak kedai
atau gerai buah yang boleh dikunjunginya di Pekan Parit Sulung. Dia pasti
membayar dengan harga yang lebih murah. Haji Abas dianggap palanggan istimewa. Kebetulan
Haji Abas gemar memakan buah. Hampir kesemua jenis buah digemarinya. Paling istimewa
tentulah buah durian. Makannya tidak banyak. Mungkin seulas atau dua. Pada musim
buah-buahan dia gemar memakannya setiap hari. Di dalam peti aisnya pasti ada
sahaja buah-buahan sama ada buah tempatan atau buah import. Selain dari membeli
sendiri kerana minatnya memakan buah Haji Abas banyak menerima buah tangan dari
mereka yang berkunjung ke rumahnya. Sayur dan buah menjadi dua bahan makanan
yang pastinya ada setiap masa. Sementelahan pula di Pekan Parit Sulung diadakan
pasar mingguan pada hari Sabtu. Banyak sayur segar dari kampung di sekitarnya.
Haji Abas puas membeli pada setiap hari Sabtu. Ramai antara peniaga di pasar
itu yang mengenali Haji Abas.
Orang Melayu memang gemarkan barangan kemas
terutamanya yang diperbuat daripada emas. Di Pekan Parit Sulung terdapat
beberapa kedai emas atau kadang-kadang disebut tukang emas. Seorang daripadanya
Kedai Emas Sri Sulung. Haji Abas sangat mengenalinya. Dikenalinya sejak dari muda lagi. Malah sekarang ini anak tukang emas tersebut yang mengendalikan perniagaan keluarganya. Layanannya masih tetap sama. Hampir kesemua anak-anak perempuan
dan menantu Haji Abas membeli emas dari kedai emas ini. Lazimnya dikenakan
harga istimewa. Upah dikecualikan terlebih dahulu. Tukang emas ini mengenali
kesemua anak-anak Haji Abas. Sekiranya ingin mencuci emas biasanya percuma sahaja. Mungkin hal ini satu keistimewaan untuk keluarga Haji Abas sahaja. Apabila menjelang hari raya Hai Abas
menghantar juadah hari raya kepada tukang tersebut. Sekiranya anak-anak Haji
Abas mengadakan kenduri menikahkan anak, pastinya tukang itu mendapat juadah
dari kenduri tersebut. Pada hari raya eid al-fitr atau pada perayaan Tahun Baru
Cina Haji Abas mendapat berbagai hadiah makanan halal dari tukang emas
tersebut. Budi antara mereka berbalas membalas.
Ada lagi yang lebih istimewa. Di Pekan Parit Sulung
terdapat sebuah klinik swasta yang namanya Klinik Jaya. Dimiliki oleh seorang doktor
berketurunan India dari Muar. Tiada siapa yang mengetahui bila mulanya doktor
klinik tersebut menjadi doktor peribadi Haji Abas dan Hajjah Aminah. Malah anak-anak dan cucu-cucu Haji Abas tiada yang mengetahui akan bagaimana mulanya Dr. Jaya menjadi doktor peribadi mereka berdua. Sedangkan tiada seorangpun dari anak-anak Haji Abas yang memiliki doktor peribadi. Lazimnya pemimpin
atau orang kaya atau ekspatriat membayar dengan harga yang mahal kepada doktor
peribadi mereka. Rawatan untuk mereka diutamakan. Waktu bukan penghalang. Siang
atau alam sama sahaja keperluannya. Namun bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah
doktor peribadinya memberikan perkhidmatan percuma. Ya, percuma. Pemeriksaan percuma. Ubat-ubatannya
juga percuma. Jika dipanggil ke rumah sekalipun Dr. Jaya enggan menerima
bayaran. Doktor tersebut menganggap Haji Abas dan Hajjah Aminah seperti ibu dan
bapanya sendiri. Mungkin itu adalah khidmat sosialnya. Tanpa bayaran. Ia marah
jika Haji Abas berbuat begitu. Seperti tukang emas, pada hari raya Dr. Jaya
pasti menerima juadah hari raya Haji Abas. Dihantar sendiri secara peribadi. With
love. Anak-anaknya hanya menghantar
sehingga di luar klinik sahaja.
Benarlah prinsip hidup Haji Abas. Mulut mahu manis,
hati mahu baik. Kebaikan yang selalu dilaburnya dibalas dengan kebaikan juga. Seperti
sukar untuk percaya bahawa seorang doktor swasta menjadi doktor peribadinya. Dengan
percuma pula. Sudah bertahun-tahun Haji Abas menerima khidmat Dr. Jaya. Kadang-kadang
Haji Abas terasa segan kerana menerima perkhidmatan percuma. Haji Abas mengerti
bahawa doktor itu berniaga. Perkhidmatan yang diberikannya perlu dibayar kerana
itu pendapatannya. Ubatnya juga perlu dibayar. Percuma untuk kedua-duanya adalah
keberuntungan yang tidak disangka-sangka oleh Haji Abas. Keikhlasannya melayani
orang lain berbalas dengan kebaikan yang bukan kepalang banyaknya. Suatu ketika
dahulu semasa Haji Abas masih terdaya memetik buah manggisnya. Buah itu dijual
atau dihadiahkan kepada doktor peribadinya dan tukang emas sahabatnya. Buah manggis
yang dipetik sendiri dengan alat yang apabila dipetik buah manggis itu tidak
jatuh ke tanah. Dipilih yang paling baik sahaja. Masaknya cantik dan tidak ada yang beku getahnya. Jika dijual
sekalipun tidak ada yang menolaknya apabila ditawarkan kerana jaminan
kualitinya.
Begitulah budi pasti berbalas. Pada ketika-ketikanya Haji Abas membelikan durian yang paling baik untuk doktor peribadinya. Pada ketika yang lain dibelikan pula nasi beryani berlaukkan ayam. Berbuat kebaikan bukan untuk minta dibalas, kata Haji
Abas. Penerima budi terasa nikmat yang harus dibalas. Benarlah Islam itu
cantik. Berbuat baik pasti dibalas dengan kebaikan dengan syarat kebaikan yang
diberi adalah dalam keadaan ikhlas. Tidak perlu ditagih balasannya daripada orang yang menerima budi kita. Masalah besar apabila budi diungkit-ungkit minta dibalas. Allah akan buka hati-hati
mereka untuk memberikan kebaikan di samping menerimanya. Maknanya budia itu ketentuan dari Allah balasannya. Ada masanya kita menerima balasan budi kita dari orang lain yang Allah gerakan hatinya. Begitulah kehidupan. Kita perlu belajar selalu mengenai hal tersebut. Haji Abas dan Hajjah
Aminah berada dalam kedua-dua kebaikan itu. Alhamdulillah.