Agama Islam adalah agama yang keindahannya
tersendiri. Disampaikan dengan pedagodinya yang tersendiri. Banyak akademiknya.
Berbeza dengan disiplin ilmu lain. Dengan disiplin agama lain. Dibimbing terus
oleh Allah dan RasulNya. Di luar sana ramai audien yang perlukan andragodi yang
sistematik dan sistemik. Kali ini penulis ingin membicarakan pendidikan agama
yang masih terlalu tradisional. Benar cara lama itu tetap berkesan. Walau
bagaimanapun teknologi yang sudah dibangunkan ketika ini boleh dimanfaatkan
untuk menjadikan pendidikan agama sangat mengesankan. Memberi impak yang kuat
kepada mereka yang mempelajarinya. Yang mendengarnya. Yang mengikutinya. Slot TV
Ustaz Don umpamanya sangat mengesankan kepada audien tanpa mengira usia dan
tempat. Terutamanya kepada remaja yang selalu tergelincir dari jalan yang
diredhai. Mereka belajar agama tetapi tidak dapat menghubungkait antara yang realiti
secara fizikal dan maujud dengan alam ghaib yang wajib diimani. Ilmu agama
perlukan nafas baru untuk disampaikan dengan lebih segar. Jawapannya ialah
teknologi yang bersesuaian. Dibenarkan syariah. Ada garispanduannya. Ada
sempadan yang perlu dijaga. Tertakluk kepada tapisan aqidah yang wajar supaya
kesemuanya mematuhi syariah. Mereka yang bijak teknologi perlu ke hadapan
berganding dengan mereka yang alim dari segi selok belok agama. Ulamak
teknologi dan ulamak agama berganding untuk membantu melonjakkan tugas agama ke
aras baru. Lebih tinggi. Lebih bermanfaat. Lebih bermartabat.
Kemahiran ibadah adalah asas beragama.
Rukun iman yang enam direalisasikan bersama dengan rukun Islam yang lima. Yang
sebelas ini dijadikan tunjang iman dan Islam. Rukum Islam lebih mudah difahami.
Dihayati. Disempurnakan dengan kefahaman. Tentulah tahap kesempurnaannya
berbagai bergantung kepada ilmu yang dipelajari. Yang dikaji. Yang dirujuk dari
sumber-sumber yang mu’tabar. Jika sedikit dan berhenti mencari maka ilmu
beribadat sangat terbatas. Jika berterusan mencari pasti ditemui banyak nilai tambah yang
berganda-ganda banyaknya. Ibarat memasak, lauk pauknya semakin lazat. Semakin
menarik. Semakin mencantikkan. Ilmu yang ditambah mengindahkan ibadat. Tidak
puas dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi. Dari satu ruang ke satu ruang
lain yang semakin panjang, lebar dan meluas. Ilmu tiada ufuknya. Bukan apabila
langit dan daratan atau air bertemu dilihat dari jauh. Pertemuan itu hanya pada
mata yang melihat. Bukan hakiki. Apabila dihampiri ufuknya beralih menjauh
pula. Begitulah ilmu. Dikejar menjauh. Kita berhenti kita yang rugi dan menjadi
mati.
Fardhu ain adalah lebih kepada kewajipan
yang tidak ada tukar ganti. Solat adalah diri sendiri. Tidak boleh diupahkan. Ianya
tanggungan sendirian berhad. Syahadah tidak mungkin diwakilkan kepada orang
lain. Lidah, bibir dan mulut yang ampunya diri sendiri yang mengungkapkannya
secara lisan dengan kuat. Fardhu ain hendaklah diselesaikan sesegera mungkin
supaya semua umat Islam mengetahui tanggungjawab asas mengenai dirinya dan
orang-orang di sekelilingnya. Namun begitu penyampaian pendidikannya perlu
banyak dinamika baru. Dianjakkan paradigmanya. Bukan sekadar berbicara. Bukan
sekadar membaca buku. Bukan sekadar mendengar. Kita perlu berinteraksi dengan
teknologi. Pelajaran mengenai tauhid atau akidah boleh dilaksanakan dengan
penggunaan teknologi. Selalunya asas untuk menyampaikan sifat Allah ialah
adanya alam ini. Ramai antara kita yang tidak memahami apa sebenarnya alam ini.
Berapa luasnya. Apa yang ada di angkasa. Saiz bintang dan planet. Berapa banyak
cakerawala. Apa itu supernova. Bagaimana gerhana. Sekadar membaca kitab yang
terhad kita tidak dapat melihat secara jauh tentang penciptaan Allah. Besar,
banyak dan luasnya ciptaan Allah. Bahawa manusia adalah antara makhluk yang
kecil, kerdil dan tidak signifikan kecuali yang bertaqwa. Yang dekat hatinya
kepada Allah.
Pengetahuan tentang adanya alam ini
cantik jika disampaikan dalam bentuk animasi. Dalam bentuk multimedia. Dalam bentu
3-D. Maaflah, banyak yang perlu dinaiktaraf tentang pengajaran dan pembelajaran
agama secara rasmi. Di sekolah dan madrasah. Hatta di institusi pengajian walau
apa sekalipun bentuknya. Kita sudah ada internet. Sumber ilmu berbagai. Jika dipilih
yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan agama tentulah akan memberi impak
yang memberangsangkan. Anak-anak kita mengetahui selepas malam tentulah siang. Siang
pula diganti dengan malam. Mereka tidak mengetahui prosesnya. Bagaimana bumi
berputar. Bagaimana bumi beredar. Pada ketika bumi berputar ia juga beredar
mengelilingi matahari. Bagaimana bumi berada dalam sistem suria. Bagaimana untuk
mengetahui jarak yang diukur dengan tahun cahaya. Bagaimana memahami betapa
luasnya alam semesta ini. Bagaimana hendak memahami bahawa Allah adalah Rob
al-Alamin. Tuhan semesta alam. Apabila konsep keluasan alam dapat digambarkan
dengan teknologi, penulis yakin anak-anak yang belajar agama mendapat input
yang kemas kini. Sains membantu dalam pendidikan agama.
Kita perlu mengangkat fikir agama. Keperluannya
menegak dan mendatar. Pengertian agama itu terlalu tinggi. Terlalu luas. Terlalu
dalam. Teknologi membantu menambah kefahaman ke arah itu. Penulis kadang-kadang
tercari-cari juga formula terbaik untuk menyampaikan ilmu agama. Bayangkan seorang
ustaz menerangkan senerio datangnya hari qiamat. Cerita dari mulut itu hanya didengar
tanpa pengertian yang mendalam. Jika alam difahami luasnya. Diketahui besarnya.
Katakan kepada anak-anak bahawa kesemuanya pasti akan hancur. Bukan bumi
sahaja. Bahkan kesemuanya yang sangat banyak tidak terkira itu akan hancur. Allah
berkuasa mencipta alam dan berkuasa memusnahkannya. Bagaimana jika teori The Big Bang
dan The Big
Crunch disampaikan dalam kelas agama. Suatu ledakan ilmu dari
al-Quran yang kita baca setiap hari. Kita tidak memperluaskan penterjemahannya
dalam bentuk yang memberi kefahaman yang menginsafkan. Kita diciptakan Allah
dan akan kembali kepadaNya apabila sampai masanya.
Pelajaran pengurusan jenazah umpamanya
tidak cukup hanya dengan membaca. Diterangkan satu persatu. Malangnya guru
tidak membawa pelajarnya menyaksikan pengurusan jenazah secara live.
Bila ada kematian bawa sebahagian pelajar untuk menyaksikan proses meletak
jenazah, memandikan, mengkapankan, melakukan solat jenazah dan akhirnya
menguburkan jenazah. Pertamanya untuk memahami proses. Keduanya untuk
menginsafkan diri supaya mereka taatkan Allah dan RasulNya. Mudah-mudahan
menghindarkan mereka dari berbuat maksiat. Menjadikan mereka anak-anak yang
soleh. Begitu juga matapelajaran menunaikan haji dan umrah. Dipaparkan kepada
mereka perlakuan yang rukun dan wajib. Yang sunat dan harus. Menghindar dari
yang haram dan makruh. Istilah tawaf tidak mungkin difahami susah dan payahnya
tanpa melihat gambarannya melalui video umpamanya. Begitu juga sai. Berada di
Arafah. Di Muzdalifah. Di Muasim. Termasuk peristiwa harian yang dilalui semasa
menunaikan haji dan umrah.
Kitab adalah rujukan bertulis yang perlu
dibaca. Diulang baca. Diingat. Dihafal. Visual melalui CD, VCD, video dan filem
membantu ke arah kefahaman yang lebih meluas. Internet dan sumber dari media
elektronik memperlengkap pendidikan agam ke arah yang lebih mantap. Kita perlu
sama-sama fikirkan kerana pendidikan beragama memandu manusia untuk mencari
jalan ke syurga. Kita yang dewasa bantu mereka ke arah itu. InsyaAllah sedikit
usaha ke arah itu besar manfaatnya kepada ummah.