Friday, August 21, 2015

Al-Quran dan Tuntutan Akhlak

Setiap profesion ada tuntutannya yang tersendiri. Ada etikanya yang tersendiri. Ada peraturannya yang tersendiri. Ada prosedurnya. Ada undang-undangnya. Maka jika kita terlibat dengan hal-hal yang berkaitan dengan bidang agama maka lebih keras lagi tuntutannya. Kita dikehendaki menjaga akhlak yang lebih mulia. Lebih jujur dan tulus. Lebih menjaga harga diri. Menjaga maruah. Menjaga aib diri.Menjaga aib sahabat-sahabat kita. Diri kita adalah cerminan kepada mata orang di sekeliling kita. Jika baik maka baiklah persepsinya. Jika tidak elok maka rosaklah imej diri kita. Dalam diri kita ada berbagai aspek yang mejadi tontotan orang. Orang di sekeliling kita tidak melihat kita secara sambil lalu. Mereka melihat kita secara terperinci. Mereka melihat kita dari segala aspek diri kita. Dari yang besar hingga yang sekecil-kecilnya. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Kerana itu guru al-Quran umpamanya sangat-sangat dilihat orang. Yang dilihat ialah aspek fizikal dan rohani. Cuba perhatikan pakaian kita. Muka kita. Mulut dan gigi kita. Kekemasan diri kita. Suara kita. Perkataan dan ayat yang kita ungkapkan. Fikiran dan idea yang kita lontarkan.Tindakan kita. Orang lain ingin juga tahu kelayakan akademik kita. Kemahiran bidang kita. Hati dan perasaan kita. Semangat dan sikap kita. Kemahiran sosial kita. Banyak lagi aspek diri kita yang menjadi perhatian orang-orang di sekeliling kita. Pakaian atau baju yang kita pakai bukan yang paling layak untuk dinilai. Diri kita dan dalaman kita ingin diselami orang lain untuk mengetahui siapa kita yang sebenarnya.


Ini bermakna apabila kita hendak berjalan ada adab dan sopannya. Apabila duduk dengan gaya dan sopannya. Apabila hendak bercakap ada cara dan gayanya. Menjaga etika dan adab sangat diperlukan ketika kita bersama orang lain. Dengan orang awam lain caranya. Dengan rakan sejawat lain caranya. Dengan orang tua lain. Dengan orang muda juga lain. Dengan mereka yang lebih berpengalaman juga banyak lainnya. Dengan orang berpangkat lain. Dengan mereka yang lebih tinggi kedudukannya juga lain. Suara kita perlu sangat dikawal. Intonasinya bersesuaian dengan suasana dan tempat serta aktiviti yang sedang berlangsung. Kita hendaklah selalu beringat bahawa orang lain menilai kita dan diri apabila kita bercakap. Apabila kita melakukan sesuatu. Menjaga adab diri ini sangat penting supaya orang suka mendekati kita. Supaya orang senang dengan kita. Supaya orang lain hormatkan kita. Supaya kita dipandang dengan adil dan saksama. Maksudnya jangan biarkan orang lain membuat salah tafsir tentang diri kita. Elakkan orang lain melihat kita dengan anggapan yang salah. Apatah lagi anggapan yang negatif. Jauh sekali dari dilihat orang secara meluat, benci, atau jijik. Reaksi orang lain harus diperhatikan. Jika mereka geleng kepala maka kita perlu sedar bahawa apa yang kita ucapkan mungkin tidak sesuai. Mungkin tingkah laku kita keterlaluan. Muka mereka bertukar masam mungkin kerana kita menyentuh perasaan orang mereka. Apabila ada muka yang merah padam maka mereka marahkan kita. Apabila ada orang yang mengelak dari bercakap dengan kita bermakna kita tidak disenangi orang lain. Apabila ada yang mengelak dari bersua muka bermakna orang tidak sukankan kita. Apabila orang di sekeliling ramai yang diam maka sedarlah bahawa kita terlalu banyak bercakap sehingga orang lain tiada peluang untuk memberi pendapat.


Orang Melayu berbeza dengan orang Arab. Kita banyak bermain dengan kata-kata. Kerana itu orang Melayu mudah tersentuh hati dan perasaannya. Itu sifat kita yang bernama Melayu. Darah kita begitu. Tanpa pengalaman lain kita akan kekal begitu tanpa berusaha untuk mengubahnya. Berbeza dengan orang Arab. Mereka lebih berterus terang. Jika suka akan dinyatakan sukanya. Jika tidak suka terus terang pendapatnya. Secara berhadapan atau bersemuka. Kepada sesama Arab tiada masalah. Kerana kita orang Melayu maka kita perlu menjaga kebiasaan kita. Perasaan sesama kita. Kehendak kita tidak sama. Cara kita berkomunikasi dan berinteraksi juga berlainan dengan orang Arab. Dalam hal ini guru al-Quran umpamanya perlulah lebih berhati-hati. Segala-galanya perlu banyak berhemah. Berbicara dengan lemah lembut. Melakukan sesuatu dengan hati-hati. Kerana kita berinteraksi dengan orang lain yang berbagai maka kita perlu memiliki tata kelakuan yang berbeza mengikut kesesuaiannya. Walau bagaimanapun sekiranya kita boleh sentiasa santun terhadap orang lain maka itulah yang sebaik-baiknya. Semua orang ingin dilayan dengan sebaik-baiknya. Tidak kurang walau sedikitpun. Berhadapanlah dengan semua orang dengan rasa hormat yang tinggi terhadap mereka. Tidak ada ruginya menghormati orang lain. Mereka yang hormatkan orang lain akan menjadikan dirinya lebih dihormati oleh orang lain.


Kita tidak suka orang lain yang berkasar kepada kita. Orang yang hanya ada pendapat sendiri sahaja sukar berurusan dengan orang lain. Orang yang sangat kurang sabarnya sukar mendapatkan kerjasama orang lain. Apa yang kita tidak suka orang lakukan kepada kita maka orang lain juga tidak suka kita melakukannya ke atas diri mereka. Untuk memudahkan kerja, kita boleh sahaja berkeras. Meninggi suara umpamanya. Berbahasa kesat bukan cara yang baik. Menyindir bukan cara untuk meramaikan rakan taulan. Bercakap dengan kuat hilang seri diri kita. Bercakap dengan bersahaja lebih disenangi oleh orang lain. Elakkan menempelak orang lain kerana ianya menyakitkan hati. Menggeramkan perasaan yang mendengar dan menerimanya. Hubungan sesama rakan akan terjejas. Orang di sekeliling kita akan melarikan diri. Kemesraan akan terhakis.  Orang lain menjadi malas untuk berurusan dengan kita. Dalam hal ini banyak menjejaskan. Alangkah bahagianya jika kita sentiasa bermanis muka. Beradad sesama rakan. Sopan santun bila berkata-kata. Selalu pula menghormati orang lain. Jangan sekali-kali menyombong. Jangan meninggi diri. Bukankah tunduk padi banyak isinya. Semakin banyak isinya semakin rendah tunduknya. Resam kita sewajarnya melabihi padi. Semakin banyak ilmunya semakin menunduk malu kepada Allah.


Semangat bekerjasama perlu sangat diutamakan. Membantu mereka yang lemah. Yang dalam pemerhatian kita bahawa mereka masih berkurangan. yang perlu ditolong. Dibantu secukupnya. Diberi perhatian untuk memperbaiki mereka. Elakkan dari menyusahkan orang lain. Membuat sesuatu yang menjadikan orang lain rasa tertekan. Kita menghilangkan keghairahan mereka untuk berkerja dan bertugas. Untuk lebih banyak menyumbang dan beramal kepada orang lain. Bertindaklah secara positif. Berfikir secara positif. Pandanglah orang lain dengan perasaan kasih sayang. Untuk membantu dan mengurangkan ketegangan. In sya Allah yang baik akan diberkati Allah.