Sunday, May 24, 2015

Nilai Melayu Mana Tingginya



Sejak kita mencapai kemerdekaan kehidupan orang Melayu semakin terhimpit. Tanah orang Melayu semakin banyak yang terlepas dari tangan mereka ke tangan orang lain. Sewaktu orang lain membina empayar besar dalam perniagaan, orang Melayu menjadi kuli dan papa kedana. Malah kerja-kerja yang dahulunya mereka lakukan diambilalih oleh pendatang asing yang hinggap di Malaysia berduyun-duyun ramainya. Di mana silapnya? Orang Melayu suatu ketika dahulu adalah:

1                    Pahlawan-pahlawan terbilang yang setia kepada negara dan rajanya.
2                    Mereka adalah orangkaya. Bukan gelaran tetapi realiti ketika itu. Usaha dan peluang yang diberi pemerintah menjadikan mereka kaya.
3                    Mereka menyeberang lautan dan mendaki bukit-bukau untuk membina kekayaan.
4                    Mereka tidak lupa tentang agama mereka walaupun sibuk dengan dunia.

Tahun 1509 menjadi tarikh yang tragis kerana datangnya Benggali Putih ke Tanah Melaka. Tahun 1511 Benggali Putih yang sama menawan Melaka. Datang pula Belanda dan Inggeris. Perang Dunia ke-II menyaksikan Jepun mengalahkan bangsa Eropah. Membuka mata rakyat tempatan khususnya pribumi menghalau terus orang putih kembali ke Eropah. Terdengarlah laungan. Tanah ini kita yang punya. Kita daulatkan diri kita di sini. Nenek dan moyang kita bersemadi di tanah ini. Kita merdeka dan kita kongsi bersama susah dan senangnya. Sama-sama kita menuju kejayaan.

Titik darah bangsa tidak habis di situ. Banyak pengorbanan untuk membina bangsa. Setelah 59 tahun merdeka kita banyak mengelamun mengenang nasib diri. Banyak tanah kita bukan lagi milik kita. Orang kita banyak yang fikirkan perut. Untuk kenyang bukan untuk kaya. Barangkali orang kita tidak jauh wawasannya. Hanya 59 tahun hampir kesemuanya tergadai. Menjadi milik orang lain. Kita selalu memikirkan yang sementara. Asalkan perut kenyang. Atau bagi setengah yang lain alas perutpun jadilah. Pada satu pihak kerajaan memotivasi supaya orang kita membangun diri. Menerima pambangunan yang dibawa pemerintah. Menyokong segala perancangan. Terdapat satu aspek yang terlepas pandang. Orang kita yang tidak bijak tidak dibantu dari segi berfikir. Tidak diajak untuk memelihara warisan nenek dan moyang mereka. Alangkah baiknya jika 59 tahun dahulu orang kita diajak berfikir pada aras tinggi. Melihat dari kacamata wawasan yang jauh. Membina warisan turun temurun untuk anak dan cucunya.

Apabila pembangunan dilaksanakan terlalu banyak tanah orang kita yang terjual. Yang tergadai. Sifat lemah kita tentang wang ringgit dan kekayaan dieksploitasi oleh mereka yang “celek” merancang masa hadapan untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan nasib bangsanya. Di luar sana ramai jerung-jerung ekonomi yang menawarkan bungkun kertas tunai. Sekali lagi orang kita terperangkap. Mereka tidak arif tentang wang. Bagaimana memeliharanya. Bagaimana menjana kekayaan dengan wang. Mereka menyangka wang adalah segala-galanya. Hanya beberapa ketika yang singkat mereka kehilangan segala-galanya. Dari tuan tanah yang mewah mereka menjadi orang kaya baru. Kemudiannya mereka menjadi mereka yang kehilangan tanah dan kehabisan wang ringgit. Tragedi Melayu yang melayu.

Fikir dan lihat kembali. Mana tanah yang asalnya bukan milik Melayu. Dari sultan hingga rakyat marhaen. Kesemuanya memiliki tanah. Satu demi satu terlepas kepada orang lain. Pemimpin pula melihat ini sebagai peluang memajukan negara at the expense of  orang Melayu. Mungkin jika kita berfikir secara waras sejenak kita dapat menilai semula apa yang perlu kita lakukan. Kenapa mesti dijual tanah yang sangat tinggi harganya. Orang Melayu mungkin tidak mampu membina bangunan bertingkat-tingat tingginya. Tidak memiliki wang berjuta atau berbiliun. Tink-tank Melayu boleh membantu dengan membuat garispanduan ekonomi kepada mereka yang memerlukannya. Kita perlu ada penilai berwibawa untuk membantu bangsanya sendiri. Tanah orang Melayu tidak perlu dijual. Usahakan supaya dihalang dari dijual. Mereka yang bertanggungjawab di Pejabat Tanah umpamanya perlu peka dengan perkara ini. Tanah orang Melayu hanya boleh disewa. Ya, perlu disewa. Bukan untuk dijual.

Tidak kira bangunan yang hendak dibangunkan di atas tanah itu. Asalkan patuh syarie. Maksudnya untuk kegunaan yang halal. Bukan premis judi umpamanya. Maknanya tanah orang Melayu di mana sekalipun lokasinya perlu disewa dan bukan dijual. Pemiliknya boleh pindah ke tempat lain asalkan segala perjanjian dan kontrak sewanya dipantau oleh tink-tank Melayu yang sayangkan bangsanya. Aspek yang berikut perlu diambil perhatian:

1                    Nilai sewa yang menasabah mengikut lokasi.
2                    Kenaikan nilainya dari masa ke semasa.
3                    Kadar semasa yang adil kepada pemilik dna penyewa.
4                    Semakan kenaikan sewa setiap lima tahun umpamanya dengan kadar kenaikan semasa.
5                    Ada peruntukan undang-undang yang membenarkan kontrak dan sewaan itu boleh ditamatkan.


Tanah yang  disewa mendatangkan pulangan tetap yang meningkat dari masa ke semasa. Pemilik tanah tidak kehilangan hakmilik ke atas tanahnya. Tidak ada tanah yang terlepas kepada orang lain. Kita masih belum terlambat sebelum segala-galanya menjadi bubur. Sebelum orang Melayu benar-benar mengemis di negaranya sendiri. Fikirkanlah dengan seadil-adilnya. Sewaras fikiran yang ada.

Saturday, May 9, 2015

Sensitiviti Hati Seorang Tua



Berapa ramai antara kita yang merancang untuk hari-hari tuanya. Apa yang dijangka apabila usia melampaui 70 tahun umpamanya. Kita selalu terlena dan barangkali terfana kerana selalu beranggapan bahawa kita akan selamanya hidup dalam keindahan. Apabila kita tersedar dari lamunan, zaman kanak-kanak kita telah lama berlalu. Zaman remaja kita telah lama pergi. Zaman mula berumahtanga dan memulakan keluarga juga tinggal samar-samar dalam kenangan. Yang tinggal hanya tubuh yang lemah seluruhnya. Sendi-sendi yang seperti hampir bercerai. Kulit penuh dengan kedut, menggerutu dan mengeras. Daging hilang kegebuannya. Tulang dan kulit itu yang menunjukkan kita terus lanjut usia. Apa lagi yang tinggal. Ingatan dan kenangan. Harapan sudah semakin pudar. Apabila tua menjelma yang datang juga berkait dengan siapa kita semasa muda.

Benarkah orang tua banyak ragam? Itulah yang selalu dilegarkan di minda kita. Sukar menjaga orang tua. Apabila kita teliti kesemua ini adalah persepsi. Hanya orang tua yang memahami orang tua. Orang muda sukar memahaminya kerana mereka belum mencapai usia itu. Terdapat tiga perkara yang melingkari hidup tua.

1                    Fizikalnya yang semakin lemah.
2                    Ibadahnya yang perlu dijaga.
3                    Sensitivitinya yang selalu menjauh.

Apapun yang kita bincang dan fikirkan hakikatnya begitu. Semakin tua maka semakin lemah segalanya. Kekuatan fizikal yang dahulu agam dan sasa, terhakis sedikit demi sedikit. Tiba-tiba segalanya sudah di luar kudrat yang biasa. Jalannya semakin perlahan. Tangannya tidak sekuat dahulu. Staminanya luput. Semangatnya pudar. Tanpa sakit berat sekalipun, kekuatan fizikal terhakis kerana faktor usia. Malah kadang-kadang untuk bercerita sekalipun sudah banyak malasnya. Tidak ada topik yang menarik minat lagi. Namun begitu kita mengetahui bahawa bermals-malas juga mengundang musibah. Fizikal kita tidak boleh dimanjakan. Perlukan rutin untuk mengekalkan sebahagian penting dari tenaga yang ada. Untuk mengekalkan tahap kesihatan yang perlu. Untuk hidup yang namanya hidup. Maka makanan menjadi penentu. Jadual makannya dijaga. Pemakanannya disesuaikan dengan keadaan fizikal dan penyakit yang ada. Tidur dan jaganya juga penting diambilkira.

Kekemasan dan kerapian menjaga orang tua tidak ada komprominya. Mandi dan bersihnya diberi perhatian istimewa. Ia refleksi kepada yang menjaganya. Khususnya anak-anak yang terlibat. Pakaianya apatah lagi. Selalu diganti. Dibasuh mengikut keperluannya. Tempat tidurnya dirapi dan disusun. Diwangi dan diharumkan. Ianya tidak boleh diambil mudah. Mereka di sekeliling orang tua perlu mengawasi keadaan. Kekotoran atau ketidakrapian boleh memurungkan keadaan. Maksudnya suasana hendaklah menceriakan. Hiasan sedikit sebanyak boleh mengubah keadaan. Orang tua bukan bermakna harus dilayan seperti tidak berguna. Mereka perlu berada dalam keadaan istimewa. Kesukaannya diberi keutamaan. Ketidaksukaannnya dihindarkan. Ragamnya diredam di hati. Marahnya didengar. Sayunya dihibur. Ceritanya diambil iktibar.

Semakin tua semakin lemah ingatan. Jadual rutin selalu menjadi kacau. Solat lima waktu kadang-kadang tersalah kira. Malam dan siang kadang-kadang seolah-olah sama. Menjadi tanggungjawab yang merawat dan menjaga untuk mempastikan ibadah orang tua terjaga. Sebab itu perlu dipastikan bahawa mereka berada dalam keadaan bersih dan suci. Terhindar dari hadath besar dan kecil. Apabila sampai waktu solat pastikan mereka berwuduk dan siap untuk solat. Yang boleh membaca al-Quran atau kitab atau buku, sediakan bahan-bahannya untuk mereka baca dan rujuk. Tua mereka  biarlah dengan ibadah. Dengan al-Quran. Dengan kitab. Mudah-mudahan sakit mereka tidak melupakan ketiga-tiga aktiviti tersebut. Kegagalan mereka beribadat tertanggung ke atas mereka yang menjaga dan merawatnya.


Orang dahulu dan sekarang banyak bezanya. Orang dahulu anak-anak mereka di sekeliling rumah. Ada yang di sisi dan ada yang di bahagian belakang. Apabila ibu dan bapa tua dan uzur anak-anak tinggal berhampiran. Setiap masa boleh dijenguk dan membantu mereka. Sekarang ini ekonomi menjadikan anak-anak berjauhan dari ibu dan bapa. Mungkin ada anak-anak yang tinggal berhampiran tetapi tidak di premis yang sama. Tidak di kawasan perumahan yang sama. Tidak dalam kampung yang sama. Ada jarak dan masa untuk sampai di rumah orang tua. Bagi semua orang tua, mereka yang paling dekat di hati ialah anak-anak. Bukan cucu dan bukan orang lain. Apabila usia tua menjelma anak-anak yang kerap bertentang mata yang selalu diingat. Andai ada anak yang datangnya perlu dijemput maka lama-lama kelamaan orang tua letih menunggu. Datanglah rajuk panjang yang mengerikan. Gurisan hati pada orang tua sebenarnya menjadi azab yang mungkin di dunia dan mungkin di akhirat. Sepasang ibu dan bapa berkeupayaan membesarkan seberapa ramai anak-anak. Walaupun mungkin tidak sempurna namun anak-anak mendapat pembelaan ibu dan bapa. Malangnya kitaran itu tidak selalunya kembali kepada mereka. Ramai anak-anak melupakan tanggungjawab. Berkira dengan jadual dan giliran. Banyak berkira siapa hantar dan siapa yang ambil. Sewajarnya masing-masing berebut-rebut untuk memberikan khidmat yang terbaik di akhir usia mereka. Khidmat yang terbanyak. Yang teristimewa. Yang menggembirakan. Ingatlah bahawa orang tua kita perlukan yang terbaik mengikut kemampuan kita masing-masing. Berilah yang terbaik selagi peluang masih ada. Jangan sia-siakan peluang yang ada. Sesalnya seumur hidup. Impaknya sampai akhirat.

Wednesday, May 6, 2015

Tanah Ini Siapa Yang Punya?



Suatu pagi penulis ke Pekan Rengit, di selatan Batu Pahat. Singgah di sebuah minimarket milik etnik Cina. Kesemua pekerjanya dari Indonesia. Pada hari yang lain penulis ke sebuah pasraya di Bandar Penggaram, Batu Pahat. Hampir kesemua pekerjanya dari Nepal. Di pasaraya yang lain, pekerjanya dari Bangladesh. Kerana demam, penulis ke sebuah klinik swasta. Antara pelanggannya adalah mereka yang datang dari Vietnam, Nepal, Indonesia dan Bangladesh. Penulis berkesempatan menziarahi seorang sahabat berhampiran Kuala Lumpur. Taman perumahannya dikawal oleh warga Nepal. Diizinkan pula memegang kad pengenalan atau lesen memandau warga tempatan. Bagaimana hal ini boleh terjadi bahawa warga tempatan dikawal oleh warga asing. Apa perundangan dan statutnya yang berkaitan. Tanah ini namanya Tanah Melayu. Sebahagian dari Malaysia. Apakah seperti dalam Bahasa Cina, Malaysia bermakna Melayu mati. Benar Tanah Melayu masih ada. Bangsa Melayu masih ada. Bahasa Melayu masih ada. Baju Melayu masih ada. Kuih Melayu masih ada. Budaya Melayu masih ada. Keretapi Tanah Melayu masih ada. Cuba lihat kembali. Yang namanya Melayu sudah tidak segar seperti zaman gemilangnya. Melayu hilang seri. Melayu hilang integritinya sendiri. Setelah menjadi tuan, sekarang hanya layak menjadi ilusi dan fatamorgana zaman. Melayu kehilangan substance kemelayuannya. Hilang kerana mereka yang berperanan menjadi tuan melupakan Melayu yang rendah di bawah kedudukannya. Tidak diangkat wajar menjadi tuan yang hakiki. Sama-sama naik dan sama-sama mengecap nikmat kemerdekaan.

Belum enam dekad kita menikmati kemerdekaan tetapi sudah banyak yang tergadai. Khususnya pekerjaan. Malah pekerjaan yang paling rendah tarafnya sekalipun sudah bukan milik orang Melayu. Suatu ketika dahulu orang Melayu layak menjadi jaga. Layak menjaga tandas awam. Layak menyapu sampah. Layak membersihkan kawasan. Namun masa merubah kesemua senerio itu. Jaga bukan lagi Melayu. Tandas tidak dijaga oleh pekerja Melayu. Sampah tidak disapu makcik Melayu. Melayu tinggal menggerutu mengenangkan nasib yang tidak menentu. Yang saban waktu hanya menunggu janji tanpa usaha jitu mengejar waktu. Tiada jadual waktu yang perlu untuk memperbaiki diri. Melayu terus tertunggu turunya rezeki terpijak tanpa usaha produktif. Ikan yang didatangkan tanpa joran. Beras tanpa sawah padi. Keenakan yang hanya menipu sementara. Hilang kenyang hilanglah harapan. Menunggu lagi episod ikan dan beras mendatang. Janji dari siapa. Janji dari siapa yang perlu ditunggu. Masih wajarkah menunggu tanpa usaha. Membina kehidupan bererncana di tanah sendiri. Hanya menadah tangan menerima turunnya kepingan-kepingan wang kertas dari mereka yang ada upaya.

Kehidupan di tanahair tercinta ini sudah semakin payah. Berada di luar negara seperti lebih mudah. Mengurus ekonomi seperti sangat membebankan. Terlalu banyak barangan yang meingkat tinggi. Ironisnya kita memiliki kekayaan yang bukan kepalang. Minyak kita untuk kenderaan dikira mahal walaupun dibeli dengan menggunakan dengan minyak Petronas yang mahal juga di pasaran dunia. Gas kita mahal walaupun kita mengeksportnya.  Seperti cerita malang sepanjang zaman. Kita tidak menikmati kemewahan di tanahair yang mewah. Minggu ini harga barangan mendadak naik lagi. GST menjadi kambing hitamnya. Akhirnya tiada siapa yang tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Adakah pihak yang berwajib lebih banyak berpolitik dari memastikan good governance dalam semua hal terutamanya aspek ekonomi yang berkait lansung dengan rakyat. Dengan kebajikan rakyat. Dengan kesejahtaraan rakyat. Bagaimana dalam negara yang fundamentalnya mewah menjadi sukar untuk hidup di dalamnya. Suhu dan cuacanya semakin panas kerana hati di dalam sudah semakin tidak tenteram. Walaupun kesejahteranan rohani adalah relatif penting tetapi ekonomi dan kesejahteran perut menjadi besar keutamaannya sejak akhir-akhir ini. Apabila harga barangan meningkat maka nilai wang merosot. Barangan yang dibawa pulang semakin sedikit walaupun amaun wang untuk membayarnya tidak berkurangan. Mereka yang berpendapatan tinggi tiada masalah. Rakyat biasa yang terhimpit sakit untuk hidup seharian.

Seperti andaian awal GST melonjakkan harga barangan. Mungkin bukan GST yang sebenarnya salah. Ada kesilapan pada peringkat awalnya. Persediaan yang begitu lama seperti tidak dilandaskan mengikut teori dan empiriknya. Memang benar GST dilaksanakan di kebanyakan negara. Namun begitu GST di negara lain seperti di US tidak mengakibatkan harga barangan meningkat. Harga masih dapat dikawal mengikut teori pasaran dan amalannya. Penulis ingin memberikan pengiraan seperti penulis fahami.

Andaian harga barang RM10. SST yang lama ialah 10% bernilai RM1. GST pula 6%.

Sewajarnya sebelum GST dilaksanakan, SST ditolak dahulu. Maksudnya
Harga RM10 ditolak RM1 = RM9.
GST 6% ke atas RM9 ialah RM0.54.
Peaksanaan GST menurunkan harga dari RM10 menjadi RM9.54.
GST 6% bukan atas harga RM10 tetapi atas harga RM9. Jika GST atas RM10 bermakna SST tidak dihapuskan. Bukan itu sahaja ditambah lagi dengan GST. GST yang sepatutnya hanya 6% bertambah menjadi 16%. Harga baru yang dibayar Pengguna menjadi RM10.60.  Perbezaan RM10.60 ditolak RM9.54 ialah sebanyak   RM1.06. Pengguna juga yang kerugian sebanyak RM1.06.


Dasar baru ini menjadikan rakyat berhati-hati apabila berbelanja. Kecenderungan ini melemahkan kerancakan ekonomi. Banyak industri yang terjejas. Pekerja ramai dilayoff. Berlakulah spiral effect yang menakutkan. Inflasi meningkat dan pada masa yang sama pengangguran juga meningkat. Pengangguran menjadi beban kepada kerajaan dan kepada keluarga-keluarga yang terlibat. Hidup semakin mahal di negara yang asalnya mewah. Perlu difikirkan kepincangan salahurus, kecenderungan tidak berfikir pada aras tinggi dan tidak mewawaskan masa hadapan. Di mana sebenarnya Melayu berada pada ketika ini?