Thursday, December 12, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Mematangkan Yang Masih Diasuh



Berlian yang mahal apabila disarungkan di jari manis bukan dalam bentuknya yang asli. Ianya telah dicanai. Dipotong. Di asah. Diberi bingkai yang sepadan dengan fitrahnya. Diikat dengan emas yang menguning. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa berlian ialah pepejal yang paling keras. Namun ianya masih boleh dipotong. Masih boleh dicanai. Jika ianya paling keras bermakna tidak ada alat yang boleh digunakan untuk membentuknya. Semua alat pasti rosak. Alah dengan kekuatan berlian. Maka kerana itu berlian hanya boleh dicanai dengan berlian juga. Pemotong cermin dibuat dari berlian. Jam tangan yang mahal seperti Rolex bertatahkan berlian. Berlian dengan berlian. Ruas bertemu dengan buku. Allah Maha Besar. Setiap sesuatu alah kepada sesuatu yang lain. Berlian yang sudah tercanai, berkilau dipandang mata. Gemerlap dipanah cahaya. Molekulnya tersusun cantik. Lebih mahal tentunya lebih cantik. Hanya yang kualitinya tinggi nilainya mengatasai yang lain.

Intan berasal dari arang batu. Jutaan tahun di dalam bumi. Pemampatan yang berlaku menjadikannya berlian. Tidak banyak dilombong di dunia. Paling banyak barangkali di Afrika Selatan. Syarikat De Beers antara yang masyhur. Banyak berlian dari syarikat ini diedarkan ke seluruh dunia. Antara berlian yang terkenal ialah Ku-hi-nur. Berasal dari India. Sekarang ditatahkan pada mahkota diraja England. Ironiskan? Begitulah penjajah merampas hak milik anak watan menjadi haknya. Negara yang dijajah hanya menganga melihat warisan yang hilang. Diperlihatkan pula di negara orang. Milik orang lain. Bila bercerita mengenai berlian atau intan kepada orang biasa maka selalu kita dengar perbandingan antara kaca dan intan. Ada keserupaan tetapi hanya jauhari yang mengenal manikam. Yang mengetahui sahaja dapat membezakan antara keduanya.

Sifat luaran intan adalah penuh dengan kotoran. Kusam. Kelam. Tidak cantik walaupun bercahaya apabila terkena sinaran. Perlombongannya jauh ke dalam bumi. Memakan masa yang lama untuk mendapatkan ketulan-ketulan yang bernilai tinggi. Pemeriksaan dan penilaiannya lama. Apabila dicanai barulah terserlah kegemilangannya. Berlian berada di limbangan kekotoran sepanjang berada di dalam bumi. Hanya apabila dikeluarkan dan dicanai baru terlihat keindahannya. Kekasaran perlu juga ditangani dengan keras untuk menjadikannya baik. Maka terserpihlah bahagian-bahagian yang mengganggu kebaikannya. Untuk menghalusi kecantikannya. Mencerahkan kekusamannya. Begitulah seorang insan yang berada pada aras paling dasar. Banyak pada dirinya perlu digilap. Dicanai. Dipotong mana-mana bahagian yang tidak diperlukan. Seperti berlian, bahagian-bahagian yang terpotong itupun masih tinggi nilainya. Rupanya mungkin tidak cantik. Tidak dapat dicantikkan kerana terlalu kecil. Terlalu tidak berbentuk.  Tiada ruang untuk memperbaikinya. Namun masih banyak gunanya. Bukan untuk industri perhiasan wanita tetapi untuk industri lain yang memerlukan ketahanan berlian. Selain daripada jam tangan mungkin komputer berkuasa tinggi. Atau peralatan lain yang penting dalam industri pembuatan.

Insan manusia yang menjadi graduan sebuah IPT umpamanya perlu digilap. Lulus dari pengajiannya masih menampakkan banyak kekusaman. Kekelaman. Kesuraman. Nilai yang sebenar belum diperlihatkan lagi. Kata orang belum teruji. Not tested. Banyak laluan berliku yang belum diterokai. Pengalaman yang banyak perlu ditimba. Segala-galanya yang terbina pada dirinya perlu dilihat satu persatu. Arasnya mestilah tinggi. Setiap seorang diperlukan untuk berada di aras tinggi. Berdaya saing yang melampaui usia, jantina dan faktor demografi yang lain. Bangun tubuhnya dinilai. Kesihatannya diberi markah tertantu. Ideanya disenaraikan. Hujjahnya ditimbang. Perancangannya diletakkan di aras yang melintasi edaran masa. Maka apabila kesemua keperluan menggilap itu mencukupi barulah tertanggung ke atas pundaknya tanggungjawab besar untuk membela agama, bangsa dan tanahair. Seorang pejuang hendaklah memiliki keberanian yang menggetar. Tetapi berhebah mengambil tindakan. Marahnya lembut dalam senyum. Semangatnya bergema di dada dengan langkah derap yang teratur. Fokusnya ke hadapan untuk memperbaiki keadaan. IPT hanyalah tempat singgah sementara untuk membawa bekal akademik yang tidak seberapa. Soft skill berada di luar sana selepas IPT. Pengalaman memungkinkan soft skill itu menyempurnakan keupayaan sebagai penjawat.

Kita ingin melahirkan anak-anak muda yang panjang langkahnya. Panjang akalnya. Panjang jangkauan fikirnya. Mengufuk wawasannya. Melangit harapnya. Ke hadapan langkahnya deras.  Garapan tangannya menggapai awan. Kita tidak mahu hanya lahir yes-man. Yang menurut perintah. Didokumenkan supaya sentiasa patuh. Istilah insubordination terlalu suibjektif. Banyak yang tidak jelas. Mengikut pengamatan penulis orang Melayu memiliki dua sifat yang saling melengkapi. Kedua-duanya tidak positif. Tidak semestinya benar. Persepsi penulis ini hanya secara peribadi. Dalam berketua dan berpengikut terdapat dua perkara ini:

1                  Pendendam
2                  Takut didendami

Kedua-dua sifat ini merosakkan minda orang kita. Implikasinya:

1                  Takut bersuara. Ditakuti menentang arus.
2                  Berdiam diri. Hanya menerima qada’ dan qadar yang ditimpakan ke atas bahu masing-masing.
3                  Kebaikan tidak dapat diperbaiki. Tidak dapat dipertingkatkan.
4                  Yang salah berkekalan. Mengundurkan segala-galanya ke belakang. Walaupun secara hakikinya tidak mengundur tetapi apabila orang lain bergerak ke hadapan maka kita dilihat mengundur secara relative.
5                  Ketua selalunya dianggap pandai. Maaf, beraksi pandai. Menyembunyikan ketidakpandaiannya.
6                  Sifat professionalism selalunya tidak diamalkan. Perasaan melebihi kebijaksanaan. Nafsu mengatasi akal.

Maka banyak yang hanya patuh. Akhirnya jiwa terseksa. Menurut perintah tanpa beranai membuat cadangan yang bernas. Tidak mengapa cadangan ditolak. Pada waktu lain cadangkan semula. Biarlah orang ketawa asalkan cadangan itu sudah diresearch. Sudah buat kerja rumah. Data-datanya sudah terkumpul. Bentang kemudian ditolak adalah perkara biasa. Ketua selalu drop-error. Dia lebih suka go-error kerana tiada akauntabiliti dari dirinya yang dipersoalkan orang lain. Dendam mendendam ini spektrumnya dari bawah ke atas. Dari yang statusnya rendah hingga yang paling. Dalam semua bidang. Dalam semua urusan. Yang patuh menerima habuan. Yang membantah terabai. Alangkah baikinya jika kedua sifat ini terurai. Terungkai. Tercampak jauh dari hati dan sanubari kita. Barangkali jika dendam-mendendam ini terhindar:

1                  Anak-anak muda banyak cadangnya. Ideanya mungkin tidak seberapa tetapi apabila dihimpunkan banyak juga manfaatnya. Bak berlian yang digilap. Tidak takut dicanai. Yang mencanai juga berhemah.
2                  Anak-anak muda perlukan latihan. Perlukan gilapan. Perlukan bimbingan. Mereka bakal pengganti. Tidak mungkin yang baru setahun jagung merampas kedudukan ketua yang sudah bertapak lama. Ketua pasti akan pergi. Pasti. Yang ditinggalkan perlu dididik utuk mengendung warisan yang sudah terbina.
3                  Anak-anak muda adalah berlian di perlimbangan. Perlu dikutip. Dibersihkan. Dicabai. Dipotong bahagian diri yang tidak bermanfaat. Dilahirkan sebagai penjawat yang gagah. Yang berpandangan jauh. Yang besar jiwanya. Yang tinggi harapannya.
4                  Anak-anak muda perlu dibantu. Ditunjukajar. Bukan dijerkah atau ditolak semua cakapnya. Bukan tidak diberi peluang untuk hanya bersuara yang tidak mendatangkan musibah apa-apa.

Alangkah indahnya bangsa tanpa dendam. Bangsa tanpa mendendami. Bangsa yang tidak takut didendami. Apa-apa masalah disesesaikan there and then. Apabila berjabat tangan segala-galanya selesai. Hormati perbezaan pendapat. Kata orang putih, let us agree that we disagree. We are friend forever. Let us have a drink together.  Bincang tajuk lain. Tiada perasaan dizahirkan secara negatif. Yang lepas jangan dikenang. Memang luka di dalam. Belajar untuk menerima keadaan. Bila agaknya situasi ini boleh berlaku dalam masyarakat kita? mungkin esok atau lusa jika ada kelapangan dada untuk menerima perubahan. A great paradigm shift. Ayuh kita bergerak bersama-sama.