Pekan Parit Sulung sinonim kepada penduduk dari Ayer Hitam, Muar hingga ke Yong Peng. Dari Seri Medan hingga ke Semerah. Seluruh kawasan Simpang Kiri hingga ke Paguh. Begitu ramai pada hari Sabtu. Pasar Mingguan yang meriah.
Pekan ini antara Muar dan Yong Peng. Melalui jalan
lama yang di atas peta Semenanjung Tanah Melayu bertanda dengan nombor 1. Pada tahun-tahun
1940an dan 1950an ianya sebuah pekan kecil. Kelebihan pekan ini ialah jalan perhubungannya.
Semasa Perang Dunia II dahulu British dan Jepun berada di sini. Bekas berek
tentera British masih boleh dilihat hingga sekarang. Sayangnya jambatan Parit
Sulung yang dibina pada zaman Sultan Ibrahim telah dirobohkan sedangkan nilai
sejarahnya sangat tinggi. British cuba meletupkannya. Jepun pula yang
menyelamatkannya. Setelah Malaysia merdeka berpuluh tahun, rakyat Malaysia sendiri
yang telah memerdekakan diri yang merobohkannya. Persatuan Sejarah Johor dan
Batu Pahat gagal mempertahankannya. Masih ada ruang alternatif yang boleh dilakukan tetapi demi pembangunan,
sejarah hanya tinggal tulisan.
Kawsan sekelilingnya berbukit bukau. Jika berkesampatan singgah sebentar di persimpangan jalan Yong Peng-Parit Sulung-Bandar Penggaram terdapat vista point untuk melihat panorama sekelilingnya. Cantik memukau.
Di Pekan inilah Haji Abas bermastautin sekarang. Sebuah
pekan lama tetapi lambat membangun. Sangat malar. Potensinya tidak digarap walaupun
wakil rakyatnya bersilih ganti. Ada antara mereka hebat-hebat belaka. Pada zaman
darurat dahulu khusuanya pada tahun-tahun 1950 pekan Parit Sulung adalah sebuah
perkampungan dalam pagar. Penduduk di sekitarnya khususnya dari kawasan bukit,
dihimpun dan ditempatkan di situ. Tujuannya supaya British mudah mengawal
mereka dari bergabung atau membantu Komunis. Lama-kelamaan pekan ini berkembang
sendiri dalam fasa yang sangat perlahan. Ekonomi penduduk di persekitarannya
adalah pertanian. Kelapa sawit paling menonjol diikuti dengan getah.
Jambatan baru ini tidak secantik jambatan lama yang telah diganti. Hanya warga tua sahaja yang pasti nostalgik. Sejarah yang dimamah pembangunan.
Pekan ini terletak di sebuah perlembangan sungai. Suatu
ketika dahulu banjir adalah sejarah tahunan. Apabila banjir di hulu sungai maka
banjirlah Parit Sulung. Kerana sungai sudah diurus maka kejadian banjir sudah
semakin menjadi sejarah. Mungkin sekali sekala terjadi juga. Namun begitu
tidaklah sebagaimana berlaku dalam tahun-tahun 1950 hingga 1960an dahulu. Walau
bagaimanapun pekan ini sangat istimewa bagi mereka yang tinggal di sekitarnya. Pertamanya
pasar mingguan pada hari Sabtu dan pasar malam pada hati Rabu malam Khamis. Keduanya
ialah pasar Ramadhan yang lazimnya selama sebulan. Bermula dari awal Ramadhan
dan tamat sebelum Subuh hari raya pertama.
Inilah wajah pekan yang sukar bernafas baru. Tiada janaan pembangunan komersil hatta ekonomi. 57 tahun yang agak sepi di sini.
Rasanya paling istimewa ialah pasar mingguan pada hari
Sabtu. Bertemulah antara penjual dan pembeli. Penjual pula datang dari segenap
tempat yang jauh selain dari peniaga tempatan. Dari kain baju hingga ikan dari
laut. Dari makanan hinggalah ubat-ubatan. Dari kuih hinggalah ikan
darat/sungai. Bertembunglah antara buah-buahan tempatan dengan buah-buahan
import. Buah anggur bukan lagi buah yang sukar diidam. Ramai warga kampung yang
biasa membelinya. Hasil kelapa sawit yang mungkin lebih lumayan dari getah yang
merudum harganya. Mereka yang datang adalah dari kampung-kampung sekitarnya. Dari
pagi hingga tengahari berduyun-duyun mereka datang silih berganti. Ada sahaja
yang hendak dibeli. Pada hari cuti keadaan menjadi lebih haru. Banyak kenderaan
mencari tempat parkir. Malah hingga sampai di hadapan rumah Haji Abas yang jaraknya
dari pasar minguan itu kira-kira 400 meter sahaja. Jika anak-cucu Haji Abas datang
berkunjung memang sukar hendak parkir.
Pasar mingguan sahaja yang memeriahkan pekan Parit Sulung. Setiap minggu dirindui penggemarnya.
Rasanya dua tahun dahulu harga daging sekitar RM18 sekilogram. Sekarang sudah melambung sebanyak RM4. kenaikan sebanyak 22%. Pendapatan tidak meningkat sebanyak itu. Inflasi yang spiral.
Orang kampung tidak banyak belinya. Tidak banyak
carinya. Mungkin pakaian baru. Mungkin membeli ikan barang sekilogram. Mungkin membeli
keperluan makan kering untuk kadar seminggu. Sebahagiannya datang untuk
makan-makan. Yang pagi makan sarapan. Yang tengahari makan tengahari. Parit Sulung
sebuah pekan kecil namun juadah makanan yang dihidangkan mengecurkan air liur. Masakannya
tulen bukan seperti di bazaar Ramadhan yang banyak cacat celanya. Makanan tradisi
masih banyak. Kuih muih tradisi yang sukar diperolehi di bandar besar boleh
dibeli di Parit Sulung. Hari Sabtu seperti hari raya bagi orang tempatan. Di situlah
sate dibakar. Lontong dimakan. Soto dicicip. Apam, keria, epok-epok, nagasari,
lepat, kuih lapis, belebat, dadar gulung, abuk-abuk dan berbagai lagi yang
boleh dibeli. Harganya masih relatif murah. Istimewa bagi orang Banjar ialah pebudak. Campuran tepung beras, pandan, gula, garam dan santan yang dibalut
dalam daun pisang. Digulung memanjang sebesar jari telunjuk orang kurus. Kecil memanjang
dan cantik. Enak. Manis, lemak bergaram. Yang lain adalah makanan orang Jawa.
Roti canai di Parit Sulung masih besar dan gebu. Buat pilihan sma ada yang bulat atau yang bersegi empat.
Hampir semua kedai menjadi sesak pada hari Sabtu. Stok
mesti banyak pada ketika itu. Gerai-gerai jualan penuh sesak dengan pembeli. Kedai
makan kadang-kadang perlu menunggu giliran. Haji Abas antara mereka yang
menikmati pasar mingguan hari Sabtu itu. Tempat pertemuan teman lama. Bertemu saudara
jauh. Sebahagiannya menjadikan Parit Sulung sebagai tempat yang nostalgik untuk
dikenang sejak dari kecil atau sewaktu masih muda dahulu. Mereka yang bekerjaya
di tempat lain rindu pasar hari Sabtu di Parit Sulung. Banyak yang original
terutama dari segi makanannya. Haji Abas tenang dalam pekan kecil ini kerana
segala keperluannya ada di sini.
Anak muda ini ingin menambah pendapatan. Mungkin belajar untuk nenerajui konglomerat besar suatu hari nanti. Perlu usaha dan pengalaman dari bawah.
Apa lagi jika tidak enak dimakan.
Yang ini memang mengancam. Rupa dan rasanya sepadan. Nikmatnya melambung di awan.