Mei 1986. Spring terakhir di US. Saat-saat kritis emosi. Tergenangnya airmata. Kesayuan yang semakin memuncak. Sebak yang mencengkam. Langkah kaki yang akan diayun pergi. Mengundur lesu pergi mengundur jalan datang yang langkahnya dulu gagah mengujakan. Selamat tinggal USA. Dalam dingin yang mencucuk kuku dan tulang temulang, beriringan kami meninggalkan rumah. Meninggalkan Bates Street. Meninggalkan Oakland. Selamat tinggal University of Pittsburgh. Tanah yang selama 18 bulan dihuni perlu ditinggalkan. Saya telah menumpang sementara di tanah yang menjanjikan kemewahan. A land of plenty. Saya hirup udaranya. Saya hidup dalam suasananya. Saya pijak tanahnya. Maaf saya tidak junjung langitnya. Kerana USA itu bumi Allah saya syukuri nikmatnya. Di tanah itu ada nikmat ilmu. Ada nikmat kemanusiaan. Ada nikmat sosial. Ada nikmat keindahan alam ciptaan Allah. Itulah nikmat paling besar. Mengerti adanya tanda-tanda kebesaranNya. Mengerti bahawa kesyukuran wajib dipanjatkan kepadaNya. Peluang dan anugerah yang sangat besar. Sangat bermakna. Sangat mengesankan. Perjalanan itu telah memungkinkan mata melihat dengan mata hati. Dengan sedar dan maklum yang tidak terperi.
Ke USA adalah suatu hadiah negara untuk saya dan keluarga. Anugerah Allah. Nikmat itu lama saya nantikan. Harapan tidak tinggi kerana pada tahun-tahun 80an tidak banyak peluang diberikan kepada Pegawai Pendidikan yang tidak bertugas di Kementerian Pelajaran ketika itu. Iri juga bila teringatkan hal itu. Dalam kita memperkasakan pendidikan ada yang terlepas pandang. Nampaknya ketika itu pemerkasaan itu tidak menyeluruh. Hanya mereka yang dekat dengan pembuat dasar berpeluang lebih besar untuk menghambat nilai diri yang lebih tinggi. Berbeza dengan sekarang. Tersangatlah banyaknya peluang untuk membina diri. Membangun diri. Menggapai yang tinggi dalam diri dan profesion. Alhamdulillah. Masa sudah berubah. Peluangnya lebih menyeluruh. Nikmat yang lebih merata. Ambillah mana-mana peluang yang datang melayang pipihnya. Yang bulat bundarnya. Zaman orang mencari yang lebih baik. Yang lebih tinggi. Ada nikmat bagi mereka yang tahu. Ilmu di dada biarlah melimpah.
Kampung yang jauh di pedalaman tidak menjanjikan apa-apa ketika saya kecil dahulu. Untuk ke sekolah menengah sahaja terpaksa berperang dengan kebiasaan. Dengan paradigma pemikiran semasa itu. Bukan kebisaan. Sekolah Inggeris lagi. Begitulah perancangan Allah yang sentiasa lebih baik. Lebih agung untuk hambanya. Kita hanya mampu bercita-cita. Berazam sekuatnya. Bermimpi setiap malam. Berangan-angan setiap luang. Hanya Allah, ya hanya Allah yang memakbulkannya. Menjelmakan yang di hati. Dalam usia saya 38 tahun saya jejakkan kaki di US. Tanah besar yang selalu gah. Yang selalu mengangkasa dirinya. Menghambat kehebatan duniawi. Di celah-celah ruang yang ada saya menjejakkan kaki di negara yang juga dikenali sebagai Uncle Sam. Menapak mengiringi segala rentak warganya. Dari winter ke spring hingga ke summer dan fall. Lalu kitaran itu bermula semula untuk saya menemui lagi winter dan spring. Itulah perjalanan yang besar ertinya dalam membina keintelektuilan. Membesarkan kognitif seorang insan. Memperkukuh kelemahan. Mempelbagai cabang ilmu yang pelbagai disiplinnya.
Kembali dari perjalanan jauh tentu banyak yang ditanya orang. Pulang dari lama diperantauan tentu banyak yang dibawa pulang. Bukan material yang sangat terhad banyaknya tetapi kualiti dan kuantiti ilmu di dada yang dibawa kembali. Tentu orang bertanya tentang yang dilihat mata. Yang dilihat mata hati. Yang dirasa dengan lidah. Yang ditanggap dari apa yang tersurat. Iktibar dan pengajaran manusiawinya. Duniawinya. Jalan hidup dan jalan fikir warganya. Alam sekitar penghidupan mereka. Teknologi dan seni mereka. Makanan dan santapan. Gaya hidup dan norma kehidupan sehari-hari. Pendidikan dan pengajaran tidak formal yang selalu menghambat ria. Keterbukaan yang bukan disalah tanggap hingga lupa diri. Masih banyak batas-batas kemanusiaan yang dijaga mereka. Yang dianggap luhur dan bukan semuanhya bejat belaka. Maksiat bagi yang mahukannya tetapi ada semacam larangan walaupun agama kepada mereka bukan wajib lagi. Memang material lambang hidup mereka tetapi bukan material sahaja yang menghidupkan mereka.
Setiap orang masih mencari yang lebih baik. Bukan lagi di bawah seperti kata Abraham H. Maslow. Bukan lagi hanya tentang makan, keselamatan dan kasih sayang. Makan bagi mereka tiada masalah langsung. Gandum, jagung, oat, malt, rye dan beras melambak-lambak. Silo (kepuk di Malaysia) banyak di mana-mana. Bayangkan bahawa Lembangan Mississippi adalah jelapang padi Amerika yang jauh lebih besar dari jelapang padi Malaysia. Padinya long grain. Vitamine C-added bila dipasarkan. Glazed seperti beras kita yang putih melepak. Selaput sekam tiada melekat lagi. Putih dan bersih. Keselamatan bukan menakutkan mereka. Amerika Utara seperti kubu tersendiri. Di utaranya Canada yang sebahagian besarnya Greenland dan Kutub Utara. Di Timurnya Lautan Atlantik. Di Baratnya Lautan Pasifik. Di Selatannya Mexico negara sekutu. Itupun mereka membina sistem pertahanan yang kukuh untuk melindungi semua yang mereka ada. Mereka tidak menagih kasih sayang. Mereka yang sayang datang kepada mereka. Negara yang sayang berbaris dan berderet datang mengikat janji. Merapak sembah mengakui kehebatan mereka. Ada ketua negara yang sanggup membayar jutaan wang mereka untuk membayar lobbyist yang dapat menemukan mereka dengan Presiden Amerika. Dapat bertemu sekejap. Dapat bergambar seketika. Modal politik yang besar impaknya.
Sangat ironis banyak negara yang pemimpinnya bencikan Amerika tetap mengikat perjanjian dengan Amerika. Tidak kira perjanjian damai. Perjanjian dagang. Perjanjian nuklear. Pendidikan dan apa sahaja. Malah stesen angkasa ISS malah dikongsi pengendalian dan pengurusannya dengan musuh nombor satu mereka iaitu Russia. Presiden Amerika tiada yang lupa melawat Peking walaupun itu musuh mereka. Syarikat-syarikat gergasi Amerika bertapak walaupun di Cina atau Russia. Kita yang kecil ini sahaja yang takutkan semua perkara. Rasa tidak selamat. Maka kerana itulah Malaysia cuba berkecuali. Mengambil manfaat dari keadaan yang ada. Baik dengan Amerika dan pada masa yang sama baik dengan Russia. Lihat sahaja kelengkapan tentera kita. Ada jet pejuang Amerika. Ada Russia. Kapal selam dari Perancis pula. Banyak lagi dari negara lain. Amerika stabil dari segi keperluan fisiologi mereka. Keselamatan dan kasih sayang (atau menanangi musush-musuh) mereka. Lihatlah! Hampir tiada pemimpin dunia Arab yang tidak berkejaran ke Amerika jika mereka menghadapi masalah dengan jiran sesama Islam mereka. Walaupuin OIC (Organisation of Islamic Countries) ada tetapi mereka lebih selesa dengan big brother mereka. Setengah negara Arab menganggap Amerika adalah saviour mereka. Tanpa Amerika survival mereka tamat.
Barangkali itu sebabnya negara-negara Islam dibiarkan miskin supaya pemikiran mereka sentiasa dijajah. Mudah diyakinkan bahawa Amerika boleh menyelesaikan masalah mereka. Tidak perlu membangun kerana mereka hanya perlukan makanan. Amerika boleh memberi mereka makan asalkan mereka tunduk patuh dan membantu mereka. Barangkali di Afghaanistan dan Iraq serta Iran ada suara marah bencikan Amerika. American tidak perlu dan tidak pedulikan public opinion dari manusia seleuruh dunia. Mereka selesa menguassai semua pemimpin dunia ketiga yang di luar ikatan G-7, G-9 atau G-20. Semua yang lain adalah pemain kecil yang boleh dikuis dengan sebelah tangan. Mungkin dengan jari kelingking mereka sahaja. Veto mereka sahaja yang dikira penting di PBB. Menjaga kepentingan mereka. Menjaga sahabat mereka. Negara kuat yang selalu pilih kasih.
Kepada mereka yang penting ialah ego dan self-actualisation. Mereka perlu menjadi ketua bukan pengikut. Di hadapan dan bukan di belakang. Di atas dan bukan di bawah. Menonjol dan bukan terlindung. Kadang-kadang tindakan mereka di luar batas yang boleh diterima oleh orang awam. Demi kelangsungan politik mereka semuanya boleh. Banyak matlamat menghalalkan cara. Paling tinggi ialah positioning mereka sebagai yang terbaik di dunia. The best there was. The best there is. The best there will be. Lihatlah betapa banyaknya title world champion yang mereka wujudkan. Self-actualisation inilah yang akhirnya menjerat minda anak muda supaya fokus kepada mereka. Di sana ramai champion. Yang perlu dicontohi sebagai role-model yang terbaik. Tiada yang lain melainkan di Amerika. Terlalu ramai mereka yang bukan warga mereka hidup di negara itu apabila mereka menjadi juara dunia. Orang hanya tahu mereka di US tetapi tidak tahu status kewarganegaraan mereka. Impak minda itu menjadi penting. Seolah-olahnya Amerika adalah harapan terbesar kepada siapa sahaja di dunia ini.
18 bulan yang mengujakan. Saya bawa kembali kenangan besar dari negara yang gagah besar. Tidak semuanya baik tetapi banyak sangat yang terlalu baik. Dari politik hinggalah kepada sikap mereka tentang sampah dan kotoran. Lambang besar itu ada di sana sini. Kegagahan yang bukan pada cakap tetapi dikotakan hingga mencecah awan. Bukan satu dan bukan dua. Banyak melata di mana-mana. Bangunan-bangunan mereka besar, tinggi dan gagah bentuknya. Designnya. Senibinanya. Jalanrayanya begitu. Rumah-rumah mereka juga. Lihatlah kereta Amerika yang dipandu di sana. Besar-besar belaka. Minyak bukan masalah. Orangnya besar-besar juga kerana makanan menimbun. Terlalu banyak. Murah dan mudah diperolehi. Tidak pernah terputus bekalan kerana sistem ekonomi dan sains pengurusan yang sudah dimantapkan. Stockpilingnya hebat. Safety stocknya boleh diharap.
Selamat tinggal USA. Saya fahami hidup mereka. Mengerti sebahagian budaya mereka. Hanya yang pernah di sana mengerti apa yang ada di sana. Menonton filem atau video bukan jalan pintas untuk mengerti. Jejakkan kaki labuhkan diri. Alami sendiri untuk meresapkan keindahan ciptaan Allah. Jauh perjalanan banyak pemandangan. Pengalaman yang bukan untuk dibeli. Garapan minda yang mendamaikan. Rerzeki dari Allah.