Tuesday, July 16, 2013

Bingkisan Dari Kaherah: Katering, Katerer Yang Banyak Ceritera


Menjelang hari raya pastinya sudah ramai yang berkira-kira untuk mengadakan rumah terbuka. Sempena hari raya ramai juga yang mengadakan kenduri kahwin anak-anak mereka. Dalam kebiasaan sekarang sudah ramai yang tidak memasak sendiri untuk menjamu tetamu. Kemudahan sudah banyak. Katerer boleh dibariskan mengikut kategori. Kenduri kendara mengikut perancangan yang dihajati. Menu hendak yang terbaik. Hidangan hendak yang terenak jika tidak yang terlazat. Tawar menawar dengan katerer melalui sebut harga, perundingan dan tolak ansur yang berpadanan. Lama juga masanya yang diperlukan untuk mencapai persetujuan. Mungkin berbulan-bulan. Risik merisik juga dijalankan untuk mengenalpasti katerer yang terbaik. Yang sepadan dengan bayaran yang dituntut. Para tetamu diberi yang terbaik ikut ukuran tuan rumah. Dalam hal ini kita tidak tahu sebenarnya ukuran seseorang katerer yang terbaik. Adakah yang kita rancang enak dapat disajikan dengan sempurna enaknya.  Tepat masa dihidangkan. Cukup banyaknya seperti ditempah. Sempurna urusan layanannya. Tetamu dalam keadaan sentiasa terlayan.

Itulah yang selalu menghantui mereka yang menempah makanan dari katerer. Cuba fikirkan hal-hal berikut:

1        Darjah kefahaman antara tuan rumah dan katerer
2        Kemahiran masakan yang boleh diharap
3        Katerer yang peka dengan kehendak tuan rumah yang sebenar-benarnya
4        Cukupkah kuantiti yang disediakan mengikut perjanjian
5        Adakah katerer jenis orang yang syarie. Maksudnya tahu halal dan haram. Boleh dan tidak boleh.
6        Adakah katerer orang yang bertanggungjawab akan kelemahan-kelemahan yang ada pada urusan kateringnya
7        Banyak lagi yang perlu dipertimbangkan sebelum, semasa  dan selepas menggunakan seseorang katerer.

Tempahan makanan : katerer, penempah

Tuan rumah ada perancangannya sendiri. Ada dua jenis keterer. Yang pertama akur dengan kehendak tuan rumah. Yang kedua mempertahankan pengalamannya sendiri. Katerer pertama barangkali lebih baik. Boleh diajak berbincang tentang penyajian yang terbaik. Jika katerer ada pengalaman, tuan rumah juga ada pengalaman. Pengalaman menyajikan hidangan di rumah tertentu (walaupun orang besar) belum tentu memuaskan hati orang lain yang tidak besar dan tidak ternama. Maksudanya katerer tidak boleh pindahkan pengalamannya kepada orang lain. Maka ada baiknya katerer berusaha memenuhi permintaan tuan rumah walaupun banyak kelainannya daripada biasa. Mungkin lebih usaha dan susahnya. Boleh kenakan bayaran yang berpadanan. Katerer jenis kedua lebih sesuai kepada tuan rumah yang tidak berkira. Dia hanya menempah makanan ikut menu yang disediakan katerer. Apapun yang penting tuan rumah berpuas hati. Katerer juga berpuas hati. Namun pada perkiraan saya, itu belum cukup. Seorang katerer wajar berusaha menyedia dan menyajikan yang terbaik kerana setiap sajian adalah promosi bagi dirinya. Iklan untuk bisnesnya. Marketing. Dia harus berfikir jauh ke hadapan. Harus menjangkau untuk menarik lebih ramai pelanggan dari orang biasa hingga orang yang luar biasa. Itulah matlamat katering yang besar dan tinggi.

Banyak atau sedikit

Selalu terjadi dilema kepada tuan rumah. Berapa banyak tempahan yang dikira cukup. Tetamu yang diundang 2,000 orang. Adakah datang semua? Atau tidak datang semua tetapi ramai pula tetamu yang tidak dibajetkan. Trend yang ada sekarang juga mencemaskan. Tetamu kadang-kadang membawa teman dan rakan taulan. Tuan rumah tidak dapat menghalang. Tetapi harus dimaklumi bahawa tetamu yang tidak diundang tidak ada bajet makan. Makanan yang banyak adalah untuk tetamu yang tersenarai sebagai tetamu undangan. Bagaimana yang membawa anak-anak? Jika di rumah saudara mara terdekat biasanya ada bajet untuk anak buah, anak waris. Begitu juga untuk anak-anak rakan terdekat. Tetapi itupun tidak sampai berlebih-lebih. Andainya ada tetamu yang membawa sehingga 4 atau 5 orang anak tentulah parah tuan rumah. Anak yang setahun dua usianya masih boleh dipertimbangkan. Jika anak-anak itu sudah bersekolah menengah mereka sudah menyamai tetamu dewasa. Ini yang dikatakan orang lari bajet. Kepada orang Melayu ini masalah besar. Sediakan banyak mengakibatkan pembaziran. Sediakan sedikit lari bajet. Boleh sama-sama kita fikirkan untuk menyelamatkan keadaan. Biar timbul budaya yang sihat antara kita. Tuan rumah dicadangkan membuat bajet yang lebih longgar untuk menghadapi suasana yang luar biasa. Tetamu pula bertimbangrasa. Jika diundang sekeluarga atau seisi rumah tidak mengapa membawa sahaja siapa yag ad di rumah. Jika suami isteri, fikir dua kali. Kasihan tuan rumah. Menelan air liur yang tidak ada.

Cukup atau tidak

Satu lagi dilema ialah adakah katerer menyediakan secukupnya. Jika tetamu seramai 2,000 orang dihidangkan dengan sebesen besar acar rasanya tidak cukup. Katerer sewajarnya menyediakan 2,200 ketul daging (lembu atau kambing). 2,200 ketul ayam. 2,200 senduk acar. 2,200 senduk dal. 2,200 senduk sayur. 2,200 sukatan ulam-ulaman. 5,000 gelas minuman. 2,200 sukatan kuih-muih. Dan begitulah seterusnya. Kenapa begitu. Ini cerita halal dan haram. Tuan rumah menempah sebanyak 2,000 kepala. Tuan rumah membayar untuk 2,000 kepala. Jika katerer mengurangkan dari jumlah itu maka ada unsur haram di situ. Kenapa? Sebabnya katerer menuntut bayaran untuk 2,000 kepala. Saya cadangkan ada ustaz dan ustazah yang berceramah tentang hal ini. Halal dan haram yang mesti diketahui oleh seseorang katerer. Rezekinya mestilah halal untuk memberi makan keluarganya. Untuk membesarkan anak-anaknya. Ada situasi katerter mengambil sedikit makanan untuk keluarga, teman-teman dan pekerjanya. Jika katerer membeli lebih daripada bajet, tidak mengapa. Jika tidak ada unsur haram di situ. Jangan kira kebiasaan yang salah dan berdosa. Tanpa izin orang yang menempah makanan. Sediakan lebih sebagai ikram dari katerer.
Situasi kedua pula apabila berada di tempat jamuan. Katerer mengarahkan semua kendaratnya membuat bungkusan makanan untuk dibawa balik ke rumah masing-masing. Lagi tidak boleh. Makanan itu tuan rumah yang punya. Bukan katerer yang punya. Banyak lebihnya? Itu soal lain. Jika diarahkan oleh tuan rumah, alhamdulillah. Selalu fikirkan rezeki yahg halal. Yang diizinkan. Yang diredhakan. Jangan pandai-pandai membuat tindakan. Jangan terkejut ada katerer yang mengangkut pulang sebahagian dari makanan yang disediakan. Mungkin untuk diagih-agihkan kepada saudara mara atau jiran tetangga. Aduhai! Haram tu bang. Orang punya. Bukan abang yang punya. Sudah dibayar atau akan dibayar sepenuhnya. Jika dikurangkan bayarannya, tidak mengapa. Sepatutnya apabila sampai di  tempat jamuan serahkan segala-galanya kepada tuan rumah. Jangan biarkan pekerja sendiri menyalahgunakan kesempatan yang ada. Yang cemar ialah nama katerer. Cerita buruk itu akan tersebar. Minta maaflah. Pelanggan akan datang yang sepatutnya bertambah akan berkurangan. Ingat juga balasan Allah. Tidak dijangka-jangka nanti datangnya.

Keterer alang kepalang

Katerer hendaklah benar-benar cuba supaya profesional. Perkakas makan dan minum disediakan secukupnya tanpa perlu dibasuh di tempat jamuan diadakan. Basuh membasuh dilakukan di rumah katerer. Ini untuk mengelakkan becak. Berair. Kotor. Dan berbagai-bagai lagi masalah sampingan yang tidak wajar dilakukan. Maksudnya jika tetamu adalah 2,000 orang maka sediakan sekurang-kurang 2,500 pinggan, 2,500 gelas. Begitu sudu dan garfu. Atau perkakas lain yang diperlukan. Jadilah katerer yang wajar bukan yang serba kekurangan. Bina rangkaian supaya pada waktu-waktu tertentu boleh berkongsi perkakas dengan keterer lain. Ada rangkaian. Ada kerjasama. Ada bantu membantu. Kata orang, tidak makan sendiri. Ada masa minta bantuan katerer lain. Ada masa bantu katerer lain. Itu yang saya perhatikan pada peniaga Cina. Selalu ada rangkaian yang membantu bila diperlukan. Ada rezeki yang diagih-agihkan. Tidak kekeringan pada kebanyakan masa. Ada masa banyak. Ada masa sedikit. Dari masa ke semasa bina kekuatan. Bina supaya menjadi lebih besar.  

Memenuhi hasrat besar

Apabila persetujuan telah dicapai antara tuan rumah dan katerer, tuan rumah cuba pastikan hal-hal berikut:

1                    Ziarah ke tempat makanan disediakan untuk menilai kuantiti yang disediakan katerer. Untuk mempastikan kualiti makanan yang disediakan.
2                    Buat catatan mana-mana makanan yang dikira tidak cukup. Tuntut seperti dipersetujui. Jika tidak buat potongan bayaran.
3                    Perhatikan jika katerer mengambil apa-apa makanan. Potong bayaran.
4                    Apabila sampai di tempat jamuan pastikan kuantiti yang dimasak sama dengan kuantiti yang dihantar.
5                    Jangan benarkan pekerja katerer membuat apa-apa bungkusan atau menyorokkan makanan.
6                    Pastikan layanan adalah yang terbaik. Semua pekerja memang bekerja. Bukan banyak bersembang dan hanya memandang kekecohan yang berlaku.
7                    Sediakan seorang pemantau di kalangan adik beradik atau anak-anak.
8                    Semasa membuat bayaran, buat potongan bayaran yang sesuai dengan kekurangan yang sama-sama mengetahuinya. Maklumkan semua kekurangan yang berlaku.


InsyaAllah selepas in semua yang dikatererkan adalah yang halal. Halal kepda tuan rumah dan halal juga kepada katerer.