Kasih sayang yang tiada tolok bandingnya. Tidak ramai pasangan yang bersama sehingga ke hujung zaman. Kasihnya berpanjangan. Masing-masing mengerti perlunya antara satu sama lain. Dekat masih disayang. Jauh masih dirindu. Sepertinya berpisah tiada. Mengharap batas yang tiada datangnya. Ingin bersama ke hujung dunia. Semoga di akhirat bersama jua. InsyaAllah.
Masih lagi mengenai masa. Haji Abas adalah antara
mereka yang sangat mematuhi waktu. Time managementnya sangat ditepati. Punctual
kata orang putih. Untuk berjanji dengannya tidak boleh terlalu longgar. Tidak
boleh dikatakan kepadanya bahawa esok kita bertolak pagi. Kepadanya pagi adalah
antara selepas solat Subuh dengan waktu sarapan pagi iaitu pukul 8.00 pagi.
Jika dijemput pada pukul 10.00 pagi omelnya sangat panjang. Yang menjemputnya
tidak menjaga waktu. Antara pukul 8.00 pagi hingga pukul 10.00 pagi dia sudah
membuka semula bajunya. Sudah tidur hampir 2.00 jam. Begitu juga tidak boleh
dikatakan selepas Zohor atau selepas Asar atau
selepas Maghrib atau selepas Isya’. Kepadanya perlu disebut pukul dan
minitnya. Mungkin pukul 9.15 pagi atau 2.10 petang dan begitulah seterusnya.
Ada tanda yang boleh dipegang dengan angka yang nyata.
Keriangan sentiasa membaluti dirinya. Masa lalu yang telah pergi membawa semua yang menyukarkan dahulu.
Kepada Haji Abas kepatuhannya kepada waktu sangat
menakjubkan apabila kita berususan dengannya. Jika waktu yang dijanjikan ialah
pukul 9.00 pagi dia sudah bersedia seawal pukul 8.00 pagi. Beg pakaiannya
umpamanya sudah tersedia di hadapan pintu. Kasutnya sudah diletak untuk
disarungkan kaki sahaja. Begitu juga cermin mata, songkok, jam tangan, cincin
dan pen Parkernya. Sudah disebut sebelum ini bahawa penampilannya sangat dijaga
rapi. Tidak ada yang boleh terkurang. Segalanya fit untuk dirinya. Dia
sangat berminat dengan pen Parker. Sinonim kepada orang-orang yang sezaman
dengannya. Terselit di bajunya. Sesekali digunakan untuk menulis nombor telefon
umpamanya. Penampilan dan gaya yang diadun rapi. Pen Parker sangat popular pada zaman British dahulu. Pelajar
sekolah menengah bergaya apabila menggunakan pen Parker yang diisi dengan menggunakan dakwat
basah ketika itu. Pegawai-pegawai pula menggunakannya untuk mencatat sesuatu
atau untuk menandatangani dokumen.
Ada
beberapa prinsip menjaga waktu yang diamalkan oleh Haji Abas.
1
Menepati janji. Ingatannya kuat apabila berkaitan dengan waktu. Jam
di dinding dan jam di tangan sentiasa diperhati. Dalam sejarah hidupnya Haji
Abas belum pernah tersilap waktu. Mungkin tersilap hari tetapi tidak tersilap
waktu. Sangat-sangat perihatin apabila berjanji.
2
Bersiap awal. Sudah menjadi prinsipnya supaya sentiasa bersiap
awal. Untuk pergi pada hari esoknya dia sudah menyiapkan segala yang perlu
sehari sebelumnya. Malam itu dia tidur lena. Pagi esoknya dia sudah bersedia
seawal yang mungkin. Tidak tergesa-gesa tetapi tidak pula berlengah-lengah.
3
Mengungguli waktu banyak kebaikannya. Mereka yang menjemputnya tidak
perlu menunggu. Segala yang perlu dibawa siap sedia untuk dimasukkan ke dalam
kereta. Lazimnya keperluan asas yang perlu dibawa tidak pernah tertinggal. Kecuali
memang tiada hasrat untuk membawanya. Jika ada keperluan khusus dia perlu
diperingatkan. Umpamanya perlu membawa baju Melayu, samping dan songkok baru
kerana menghadiri majlis.
4
Tidak membuang waktu. Bersiap awal memang suatu kebiasaan kepada
Haji Abas. Beg pakaiannya sentiasa tersedia. Perlu diubah atau ditukar mana
yang perlu. Kepadanya ketepatan janji yang sangat perlu. Mudah mengatur kerja
sebelum dan sesudahnya. Waktu sebelumnya boleh dimanfaatkan. Setelah selesai
masanya boleh dimanfaatkan juga. Masa yang tidak dihormati bukan sahaja merugikan
masa itu sendiri bahkan rantaian kerugiannya menjadi tersangat panjangnya. Terbuang,
sia-sia, rugi, tidak berbuat hal-hal lain yang perlu dilaksanakan di samping mungkin
sedikit mengganggu rutin hidup orang lain yang tidak kita ketahui kerana kita belum
biasa dengan cara hidupnya.
Pengajaran
besar mengenai waktu:
1
Demi masa manusia dalam kerugian. Sekiranya kita mematuhi masa
banyak kebaikan yang akan diterima. Masa yang sedikit umpamanya dapat
dimanfaatkan untuk melaksanakan berbagai aktiviti. Kita ada peribahasa yang
berbunyi, berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak. Tidak wajar
masa dibazirkan kerana masa itu emas. Mahal dan tinggi nilainya.
2
Menghargai masa orang lain. Dalam banyak hal janji mengenai masa
melibatkan orang lain. Apabila kita berjanji bermakna kita menuntut orang lain
menunaikan janjinya. Kita juga dituntut menunaikan janji itu pada waktu yang
dijanjikan. Ya, pada waktu yang dijanjikan. Bayangkan seseorang yang meminta
waktu pertemuan diadakan pada pukul 2.00 petang. Maksudnya itulah waktu
senggang yang dia ada. Banyak hal lain
yang perlu diuruskannya. Banyak kerja lain yang perlu disiapkan sebelum dan
selepasnya. Lebih-lebih lagi apabila janji itu adalah untuk datang ke rumah. Air minuman dan juadah pasti disediakan. Banyak urusannya. Itulah adat Islam dan adat Melayu. Menjamu tetamu.
3
Tidak mementingkan diri sendiri. Dalam membuat janji kita tidak
boleh memikirkan tentang pentingnya diri kita. Orang lain mungkin lebih
penting. Apatah lagi jika kita berjanji dengan ketua, dengan orang besar,
dengan orang yang lebih tua atau dengan orang yang kita tahu bukan jenis yang
tidak ada kerja atau yang tidak pandai menyibukkan
diri. Perlu selalu diingat bahawa orang lain adalah sibuk sesibuknya. Urusan hidup
manusia tidak sama.
4
Memanfaatkan masa. Dalam pertemuan yang juga dalam bentuk ziarah,
bertandang atau beraya atau hadir dalam majlis kenduri-kendara, datanglah
sesuai dengan masa yang setepatnya. Jaga masa. Selepas makan, berehat sebentar kemudian
minta izin untuk meninggalkan majlis. Tuan rumah perlu berkemas, berehat dan
membuat kerja-kerja lain selepas sesuatu majlis. Yang penting tuan rumah
perlukan tempoh bertenang setelah sibuk dengan urusan majlis. Berehat untuk meregangkan
otot dan menenangkan fikiran.
5
Masa orang bukan masa kita. Sentiasa hormati masa orang lain. Kita tidak
sibuk tetapi orang lain ada kesibukannya yang tersendiri. Sebab itu Islam banyak
memberi panduan tentang masa yang sesuai untuk bertandang ke rumah orang. Jangan
menyusahkan mereka. Tidak datang pada waktu makan umpamanya. Bukan bermakna tiada upaya
untuk memberi makan tetapi mungkin ketika itu lauk-pauknya tidak sesuai untuk
dihidangkan kepada tetamu. Mereka sedang menikmati menu yang bukan biasa. Kita menjangka
mereka makan berlaukkan ayam, daging, udang, ikan, dan sotong sedangkan mereka
makan berlaukkan ikan masin dan sayur rebus sahaja. Mungkin makluman awal boleh
menyelamatkan keadaan. Tuan rumah tidak segan dan yang bertandang berpuas hati.
Tidak pula datang pada waktu solat. Tidak pada waktu Maghrib kerana orang sedang hendak
solat, hendak menyediakan makanan keluarga, hendak makan, hendak menguruskan anak.
6
Mempercepat ziarah. Selesaikan tujuan kedatangan dengan segera. Jika
disediakan makanan dan minuman, segeralah makan dan minum. Tidak bersembang
terlalu lama kerana ianya mengakibatkan tuan rumah berada dalam kegelisahan. Fikiran
dan perasaannya tidak berada di situ. Kita perlu mengerti isyarat-isyarat mata,
tubuh, kelancarannya bertutur kata. Jika perbualannya semakin lambat dan banyak
berhenti, itu isyarat untuk kita meminta diri. Apabila suami memandang isteri berulang-kali
atau sebaliknya bermakna mereka sudah berasa letih. Mungkin sudah cukup lama.
Selalunya
masa adalah sumber yang sangat terhad. Kerana itu ianya perlukan perancangan
rapi.
1
Penjadualan jangkapanjang. Fikirkan jangkamasa sesuatu hendak
dicapai. Rangkakan aktiviti yang perlu dibuat.
2
Penjadualan jangkapendek. Peringkatkan perancangan jangkapanjang
menjadi penggal-penggal yag sesuai. Ada secara tahunan, bulanan, mingguan dan
harian.
3
Unjuran menegak. Fikirkan puncak segala harapan. Yang paling tinggi
hendak dicapai. Yang paling banyak hendak dihimpun. Yang paling jauh hendak
pergi.
4
Unjuran mendatar. Fikirkan banyak mana yang hendak dicapai. Ke mana
hendak dicari. Bagaimana mendapatkannya. Kos yang terlibat.
5
Menjangkakan masalah dan penyelesaiannya. Setiap sesuatu ada
lingkaran persekitarannya. Susah atau senang. Lama atau sekejap. Jauh atau
dekat. Mahal atau murah. Jangkaan-jangkaan itu membuatkan kita mengerti masalah
yang dijangka dan memberi ruang untuk kita mengelak dari menghadapi masalah
yang besar.
6
Membuat keputusan menang-menang. Dalam menggunakan waktu semua yang
terlibat mendapat keuntungan. Pertemuan itu menyenangkan. Ringkas dan bermanfaat. Keberkatan pertemuan. Pahala. Mungkin rezeki darinya.
Nota:
Perbincangan di atas adalah untuk pertemuan, ziarah, atau
bertandang secara rasmi (bukan saudara terdekat atau sahabat karib). Ada keterbatasan waktu. Berbeza keadaanya
apabila pertemuan berlaku antara saudara mara terdekat, adik beradik, anak-buah,
jiran tetangga, ibu bapa dan anak, sahabat-sahabat karib. Pertemuan antara
mereka tidak rasmi dan lebih kepada aktiviti soaial dan aktiviti keluarga. Santai
dan dialu-alukan.
.