Hari ini 16 November 2010. 24 jam yang lalu ramai yang menerima berita dan makluman yang disambut dengan rasa berbelah bagi. Pada satu sudut ianya berita gembira kerana akhirnya penantian itu tiba. Penantian yang mendebarkan. Penantian yang tidak melelapkan mata. Penantian yang menyesakkan. Berkurun rasanya berita itu dinanti. Ramai yang tertunggu posmen. Ramai juga yang bermanja dengannya. Ramai yang senyum dari jauh.
Entahlah dalam kalut sebegitu ada-ada sahaja kreativiti yang dipamerkan. Kadang-kadang tak kena ada juga rasanya. Tapi apa nak buat rasa gejolak dalam hati tidak terkira goncangnya. Terasa langit sangat tinggi. Terasa bukit di belakang rumah sangatlah jauh. Cerita dan dongeng seperti tidak didengar. Hanya satu yang dinanti. Bilalah warkah indah itu akan sampai? Di mana aku akan ditempatkan? Negeri mana ya? Minta di hati jika boleh sekolah di sebelah rumah. Tidak. Tidak mungkin begitu. Nanti pengalaman tidak seberapa. Jadi katak bawah tempurung seumur hidup. Kembara yang tidak pernah menjadi. Mungkin jauh yang merumit hati.
24 jam yang lalu segala penantian itu tiba juga. Antara percaya dengan tidak. Alhamdulillah terpacul dari mulut. Terjelepuk di lantai untuk sujud syukur. (Silalah buat bagi yang belum). Rahmat telah Allah turunkan. Rezeki telah Dia tentukan . Hidup dan matiku untukMu ya Allah. Antara harapan dan hasrat. Berbaur antara suka dan keliru. Antara semangat dan Tanggungjawab. Antara cita-cita dan harga diri.
Bila semuanya sudah sahih. Dibaca berulangkali. Rasa tidak ada keraguan lagi. Barulah realiti menerpa minda. Ya Allah jauhnya. Sudahlah belajar dulu nun jauh di selatan. Sekolah ini pula di negeri lain juga. Kenapa tidak di negeri sendiri? Kenapa tidak di daerah sendiri? Kenapa tidak di mukim sendiri? Kenapa tidak di kampung sendiri? Kenapa dan kenapa. Soalan-soalan yang selamanya tidak akan dapat dijawab. Hanya Allah menentukan.
Setelah 24 jam yang penuh dengan excitement, hari ini semuanya sunyi. Kegemparan semalam mendap dalam perkiraan minda. Hati jadi sepi. Hati jadi gundah. Hati jadi tidak boleh dibujuk untuk tenteram. Di mana damainya? Dulu jika menanti dengan debar. Tekadnya di manapun tidak mengapa. Semuanya di bumi Malaysia. Di bumi Malaysia. Tidak mengapa di mana sekalipun. Hari ini setelah 24 jam ada rasa-rasa yang membungkam di hati. Ada rasa mual memikirkannya. Malam tadi yang sangat panjang. Malam tadi yang sukar untuk memujuk mata. Entah bila lelapnya. Yang pasti pagi ini terasa melayang perasaan. Mencari tapak-tapak berfikir untuk menentukan arah.
Hari ini segalanya memberat. Timpaan kuat realiti. Bahawa aku ini bukan diriku lagi. Hari ini aku bukan milik ibu bapaku lagi. Hari ini aku bukan milik keluargaku lagi. Hari ini aku bukan milik suamiku seorang. Hari ini aku bukan milik isteriku seorang. Bagi yang ada anak hari ini aku bukan milik anak-anakku lagi. Ya hari ini, percayalah, kau semua adalah milik negara. Negara yang darahmu tertumpah di sini. Negara yang melapangkan tanahnya untuk kau bermain. Negara yang mendidikmu. Negara yang membesarkan. Negara yang melapangkan datarannya untuk kau menimba ilmu di danau, sungai, tasik dan lautannya. Dari rimba kegelapan itu kau datang. Kau keluar membawa seribu daya dan cita. Kaulah dambaan negara untuk kelangsungan bangsa di dalamnya. Untuk kelangsungan agama yang kau anuti. Untuk melestarikan segala cita dan harapan negara.
Hari ini 16 November 2010 adalah suatu realiti. Hari yang penuh dengan hati yang libang libu. Ke mana hati ini. Ke mana diri ini. Ke mana arah ini. Ke mana nanti harapan yang menggunung dahulu. Ke mana nanti cita-cita yang menggunung dahulu. Ke mana nanti hidup ini akan dibawa. Namun ingatlah sumpahmu dahulu. Nanti suatu waktu aku akan kembalikan semua yang terbaik untuk agamaku. Untuk negaraku. Untuk ibu bapaku. Untuk keluargaku. Untuk semua orang-orang yang sayang pada diriku. Hanya diakhir cerita itu kau akan fikirkan dirimu. Kenapa? Ketika ini dirimu tidak penting lagi. Yang lebih besar, yang lebih agung ialah nantian jasamu. Baktimu. Sumbanganmu. Kehebatanmu. Kegemilanganmu. Kecemerlanganmu. Seperti kata Kennedy: Jangan tanya apa yang negaramu boleh beri kepadamu tetapi tanyalah diri apa yang boleh kau sumbangkan untuk negaramu.
Jalan ini baru di pangkalnya. Jalan baru yang siapnya entah bila. Kamu baru tiba di garisan permulaan. Di hadapan sana bukan jalan lurus. Aspalnya bukan sentiasa rata. Likunya banyak. Simpangnya banyak. Lopaknya banyak. Banyak pula nanti yang bersaing. Yang bersesak dan berjejal-jejal ingin mendahului. Yang melangkau. Yang memijak. Memintas. Dan macam-macam lagi lagak manusia. Ingatlah akan ada yang seperti enau melepaskan pucuk masing-masing. Tetapi ingatlah juga bahawa hidup ini tidak selamanya mudah. Pasti penuh dengan cabaran. Penuh dengan ujian. Penuh dengan kekangan. Namun ianya penuh juga dengan harapan. Penuh dengan mercu-mercunya yang boleh digapai dan dicapai.
22 November 2010 tentu akan menjadi sejarah indah. Namun ia penuh dengan 1001 macam lumrahnya. Hidup yang dulunya berkampung akan berpisah juga. Berpisah untuk kelangsungan hidup bagi yang hidup. Sejarah yang akan mewarnai hidupmu. Cumanya hari ini semuanya yang ada kaitan dengan dirimu mula merasa akan kehilanganmu. Akan ada lompang-lompang ruang yang nantinya kosong. Terlopong begitu. Kekasih yang nanti akan ditinggalkan. Takut nanti diperantauan akan disambar garuda gagah dari kayangan. Takut nanti datang sang helang menyambar dari angkasa. Takut nanti ada putra raja datang berkuda. Di perantauan semuanya boleh terjadi. Apatah lagi jika ikatan masih goyah. Berdoalah semuanya akan sejahtera. Iringilah aku supaya nanti setiaku teruji. Tunggulah aku di pintu mahligai hatimu sayang.
Pastinya ibu yang paling pilu. Air matanya dari semalam belum mahu kering. Sentiasa tergenang di matanya. Menitis setitik dua bila sendunya datang. Longlai tubuhnya boleh dibaca. Mungkin malam semalam dia lebih jaga dari lelap. Apatah lagi kau anak bongsunya. Tempat curahan kasihnya. Tempat segala usianya akan dihabiskan. Tempatnya nanti untuk bergantung hidup. Tempatnya nanti untuk melihat segala kesenangan dan keindahan. Tempat nanti dia menumpang kebahagiaan. Air matanya terus mengalir. Sesekali terseka dengan baju. Atau mungkin dibiarkan merembas semaunya. Suratan yang pasti diterima hakikat. Bahawa anaknya bukan miliknya seorang. Anaknya milik negara. Milik bangsa. Anak-anak bangsanya menanti penuh debar. Bahawa guru baru akan masuk ke kelasnya nanti pada pagi Isnin 2 Januari 2011. Mereka juga tertanya-tanya lelaki atau perempuan? Cantik atau menawan? Manis atau baik? Garang atau bengis? Lembut atau membantu? Nantilah anak-anak didikku. Kita akan bertemu jua. Tunggulah pagi 2 Januari 2011.
Bapa mungkin tidak seberapa. Kuat menahan perasaan. Sendunya di dalam. Bukan tidak menangis tetapi tangisnya bukan untuk ditatap dan dilihat. Ia pasti bermunajat untuk kesejahteraan anaknya. Kasihnya ibu membawa ke syurga. Kasihnya ayah berkorban nyawa. Lagu Saloma. Jika ibumu mengandungkanmu. Menyusukanmu. Menidur dan mendodoikanmu. Memandi dan memakaimu. Mengasuhmu sepenuh rasa sayang dan kasih. Ketahuilah bahawa bapamu sanggup berkorban nyawa. Dulu sewaktu tidurmu. Sewaktu ibumu keletihan mengasuhmu. Bapamulah yang berjaga di tengah malam menyuluhmu. Memerhatikanmu. Membunuh nyamuk yang hinggap di pipi montokmu. Dia juga yang memandang sayang ibumu. Wanita yang menjadi ibu kepada anaknya. Itulah kau yang tidak mengerti apa-apa. Bila besarmu bapa tidak memanjaimu. Tetapi jauh di sudut hatinya kaulah jantung hatinya. Kaulah intan payungnya. Ungkapan-ungkapan memang berat keluar dari mulutnya. Hatinya sahaja selalu berbunga melihat dan menatapmu. Kau adalah buah hatinya.
Siangnya dia tiada di rumah kerana mencari rezeki untuk ibumu dan dirimu. Keringatnya dan penat lelahnya terhambur demi untuk anak dan isterinya. Ibumu. Keluarnya untuk kembali ke pangkuan isteri dan anaknya. Untuk melihat kau membesar. Untuk menatap tahap-tahap perkembanganmu. Untuk mengusik lawakmu. Untuk membahagiakanmu. Hakikat demi hakikat. Ibu bapa hanya membesarkan. Besarnya kau hanya untuk menjadi milik orang. Akhirnya untuk menjadi milik negara. Dia hanya menjalankan amanah. Tertunai amanah itu.
Dulu kau pernah belajar dan berlatih. Belajar membesar minda dan cita-cita. Menangkap segala butir yang nanti mungkin berguna. Menimba pengalaman dari pendidik-pendidikmu di semua peringkat pembelajaranmu. Ingatlah pesan mereka. Jadilah pendidik berwibawa. Potensimu ada dalam dirimu. Nanti baktimu diminta. Dinantikan penuh harap. Harapan didikanmu kepada dada-dada anak didikmu yang dahaga dan laparkan ilmu dan kemahiran. Kau ada semuanya. Kembalikan hak negara itu kepada negara. Kepada anak didikmu nanti.
Hari Isnin 22 November 2010 nanti kau akan sampai di sekolah barumu. Yang tadi bermacam-macam gambarannya. Walaupun sekolah itu semuanya sama, akan ada kelainan-kelainannya. Dulu kau pernah ke sekolah sebagai pelatih. Praktikummu. Waktu itu, hampir setahun yang lalu kau datang untuk belajar. Untuk berkongsi pengalaman orang terdahulu. Untuk menemui pakar-pakarnya yang sudah sekian lama di situ. Untuk dibimbing dan diselia. Kau telah lalui semuanya dengan ragam dan kerenahnya. Ketika itu kau hanya boleh memandang. Tidak banyak yang dapat disumbang bicara atau idea. Al-maklumlah pelatih. Terimalah hakikat masih baru belajar.
22 November nanti kau akan datang ke sekolah dengan gagah. Saya guru sandaran siswazah terlatih. Saya guru secara hakiki. Seorang profesional yang terlatih. Serah apa sahaja tugas insyaAllah akan terlaksana semuanya. Nanti dulu. Masuklah ke dalam kawasan sekolah dengan adabnya. Dengan sopannya. Perlahankan kenderaan. Deraplah langkah dengan teratur. Sapalah siapa sahaja yang berpapasan dengan memberi salam. Senyumlah seberapa banyak. Semua mata memandang ke arahmu.
Mereka milihat fizikalmu. Baju yang kau pakai. Dari atas kepala hingga ke kakimu. Bila mendekat mereka menghidu baumu. Bila membuka mulut mereka mendengar suaramu. Bila berbicara mereka menelah kebijaksanaanmu. Kematanganmu. Penilaian panjang bolehkah dibuat kawan dan rakan. Dibuat isteri atau suami. Bolehkah diminta nasihat atau kaunseling. Bolehkah membantu harap. Oleh itu siapkanlah dirimu. Hadirkan hatimu. Tumpukan perasaanmu.
Dampingi mereka yang lebih berwibawa. Belajar lagi dari pengalaman mereka. Ijazahmu sudah tidak dipandang orang pada 22 November nanti. The paper chase is over. Realitinya ialah mereka memandang dirimu secara fizikal. What can you deliver. Di sinilah kau dinanti memberi bukti bahawa ijazahmu benar. Bahawa UTHMmu benar. Bahawa pensyarahmu benar. Bahawa yang kau pelajari benar. Semuanya menyatu dalam dirimu. Semuanya mahu dikeluarkan untuk mendidik anak bangsamu.
Hari ini 16 November pasti kekalutanmu berganda. Bagasi perlu disiapkan. Segala keperluan akan digalas. Kembali ingatan semasa meninggalkan rumah untuk ke asrama. Untuk ke politeknik. Untuk ke UTHM dahulu. Rupanya hidup ini sentiasa mengikut kitarannya. Cuma kitaran itu semakin rumit dan semakin besar. Semakin pula sukar diuruskan. Sebenarnya bukan kitaran itu yang merimaskan. Tetapi realitinya ialah hati yang minta diurus. Belajarlah membujuknya. Belajarlah membelainya. Belajarlah meruntunnya. Kau akan pergi jauh jua. Selagi bukan di depan mata jauhlah namanya. Memanglah sms boleh selalu. Memanglah telefon boleh didail bila-bila. Memanglah e-mail tunggu diketip. Memanglah mesej boleh dialirkan sepanjang masa. Tetapi jika tidak di depan mata masakan sama. Jauh tetap jauh. Hilang tetap dari mata.
Bersedialah dengan kata-kata itu. Takut nanti tidak terungkap. Takut nanti berlalu hanya dengan air mata yang berjurai-jurai panjangnya. Hanya beberapa hari lagi kau akan berangkat. Hari Sabtu nanti pastinya perjalanan dan langkah pertamamu sebagai seorang profesional akan bermula. Kau akan diiringi keluar dari rumah dengan linangan air mata. Beruntunglah bagi yang dihantar ibu dan bapa. Walaupun nanti pulangnya mereka tentu dengan hati yang lebih berat. Meninggalkan anak di rantau orang. Di tempat orang. Di negeri orang. Entah bagaimana makan minumnya. Entah bagaimana sandang pakainya. Entah bagaimana sihat dan sakitnya.
Bagi yang pergi sendiri air mata sahaja yang akan merembas. Pandanglah ke hadapan dengan penuh yakin. Nun di hadapan sana ada bahagia menunggu. Bahagia di hati kerana kini kau bergelar guru. Idaman lama yang telah tertancap kukuh di dada. Ingin sangat masuk ke kelas. Ingin mengajar. Ingin memegang tukul dan skru. Ingin menggergaji dan memaku. Lamanya tidak ke bengkel dan makmal. Kelas dengan LCDnya. Papan putih yang membuka bidangnya untuk kau tulis. Untuk dipandang. Untuk dibaca dan difaham. Untuk nanti menjadikan anak didikmu menjadi manusia terbilang di zaman mereka.
Brace yourself for the ultimate moment. Saat itu akan datang. Saat itu akan menerpa. Ya Allah lambatkanlah waktu. Perpisahan ini sangat menakutkan aku. Namun segalanya pasti tiba. Pasti datang untuk merungkaimu dari dakapan ibu dan ayah. Dari orang-orang yang tersayang. Semalam telah kau ungkapkan selamat tinggal sayang. Air matamu telah banyak terbuang. Pagi ini nanti Sabtu 20 Novermber atau Adad 21 November air matamu dituntut keluar lagi. Antara gembira dan sayu air mata itu pasti gugur untuk ke sekian kalinya. Selepas ini mungkin akan gugur lagi bila kau dibawa suamimu keluar dari rumah itu. Kali ketiga dan keempat bila nanti ibu dan bapamu di usung keluar dari rumah itu juga.
Tiggallah ibu. Tinggallah ayah. Tinggallah bilik. Tinggallah bantal dan tilam. Tinggalkan dapur dan luar. Tinggallah kucing dan ayam. Tinggallah rumah. Tinggallah sayang. Aku pergi dulu. Aku pergi dulu. Aku pergi dulu. Nanti aku balik. Nanti aku kembali. Tetapi hanya berkampung sebentar. Tempatku bukan di sini lagi. Kita berpisah akan lama. Cutiku nanti akan ku jengah semua yang di sini. Namun kenangan jua yang akan ku bawa bersama. Nantilah ada masa ku tatap album. Ada masa ku kirim salam. Ada masa ku jengah lagi. Dan lagi.
Langkahmu pasti longlai. Antara realiti dan khayalan. Bergeraklah kau menjauh dan menjauh. Kau toleh ke belakang. Kau lambaikan tangan yang tidak bermaya. Kau pergi jua. Perpishan yang selalunya sukar direlakan. Pemergian yang selalunya bukan dirancang. Rumah dan mereka yang kau tinggal akan terlindung di balik pohon rendang. Di balik dedaun hijau yang menghalang. Di balik rumah dan bangunan di belakangmu. Sendirian kau berlalu pergi. Membawa suatu harapan untuk diri, ibu, bapa, keluarga, agama dan negaramu.
Perjalanan yang jauh itu panjang jalannya. Deruan kenderaan tidak dapat meredakan hati yang berbaur. Yang masih ada debarnya. Ingatan melayang kepada mereka yang ditinggalkan. Pergilah bayangan. Pergilah ingatan. Aku akan kembali nanti. Iringlah aku ke destinasiku. Ada tugas menantiku. Mata, sudahlah. Airmu cukuplah. Simpanlah untuk waktu-waktu yang lain nanti. Aku ingin membina tekad. Aku ingi mencari dan membina tapak. Hidupku cerah nanti. Harapanku di persada kerjaya.
Sampaikah aku. Entah berapa lama aku terlelap. Melupakan ingatan yang datang dan pergi. Realiti baru yang perlu dihadapi. Selangorkah ini? Negeri Sembilan? Melaka? Johor? Pulau Pinang? Pahang? Di Selangor ini kau banyak bercampur orang Jawa. Di Johor apa kurangnya. Jawa juga. Di Negeri Sembilan nanti ekau akan makan gulai lomak cili api. Rondang kobau atau ayam. Belajarlah memerhati. Buat pengamatan yang biasa-biasa. Nanti hidupmu akan diperkaya dengan pengalaman baru yang mewarnai dirimu yang sebenar. Tunggulah tahun-tahun yang mendatang itu akan lebih membahagiakan. Halangan pertama ini mesti dipecahkan ruyungnya. Untuk mendapat sagunya.
Esok hari raya eidul adha. Rebutlah untuk memberikan yang terbaik untuk ibu dan bapa. Untuk kakak dan abang. Untuk adik. Untuk semua yang dekat dan jauh. Bergembiralah sementara masih ada masa. Sementara masih bersama. Makanlah daging korban itu semaunya. Tahun hadapan eidul adhamu mungkin di perantauan. Apatah lagi jika sehari di tengah minggu. Hanya sempat berkirim salam. Hakikat sudah berpisah dengan mereka yang dulunya dekat di hati dan dekat di mata. Itulah hakikat hidup. Dilalui dan dihidupi selamanya. Begitulah.
Kau datang ke dunia baru. Esok dan lusa tiada kau ketahui. Pesan saya, jangan tinggal solatmu. Jangan lupa zikirmu. Jangan lupa doamu. Jangan lupa angkat telefonmu untuk ibu dan bapamu. InsyaAllah masa hadapanmu akan cerah dan bahagia. Doa saya selalu.
Monday, November 15, 2010
Madinah al-Munawarah - Pengisian Dengan Ilmu
Benarlah, sesungguhnya untuk melakukan sesuatu mestilah dengan ilmu. Haji dan umrah tidak boleh ikut-ikut. Tidak boleh mengikut arus. Tidak boleh tumpang-tumpang. Seharusnya ilmu haji dan umrah itu dipelajari sejak dari kecil lagi. Diberi penekanan. Diberi penjelasan. Memang masa dan ketikanya untuk menjadi tetamu Allah itu tidak dapat dipastikan. Entah pergi entah tidak. Namun persediaan fizikal, mental dan spiritual itu ditanam dahulu dalam jiwa. Bahawa bila tiba masanya, kita sudah siap siaga. Semuanya sudah diketahui. Sudah mahir tertibnya. Sudah tahu prosedurnya. Sudah dimaklumi susah dan senangnya. Hakikat cabaran dan kekangannya sudah diketahui.
Pergi haji dan umrah adalah mudah bagi yang memiliki syarat-syaratnya. Yang paling sukar pada kebanyakan orang ialah ongkosnya. Tetapi jangan lupa bahawa ongkos itu hanya luaran. Dalaman kita itu lebih penting lagi. Seperti kereta, diisi minyak hingga melimpah sekalipun jika ada hal-hal asas pada enginnya yang tidak beres kereta itu tidak akan hidup. Tidak mungkin berjalan, memecut dan sampai ke destanisinya. Begitulah, ongkos menunaikan haji dan umrah tidak memberi makna jika rukun-rukunnya tidak difahami. Jika hal-hal wajibnya tidak difahami. Jika sunat dan harusnya tidak diketahui. Takut nanti bercampur aduk yang mana rukun, yang mana wajib dan yang mana sunat. Takut pula melebihkan yang sunat sedangkan yang rukun dan yang wajib terabai.
Orang Malaysia bermazhab Sfafie’i. Pada dasarnya begitulah. Kita diajar begitu. Kursus haji juga begitu. Semuanya dikatakan Shafie’i. Maaflah saya tidak pasti sama ada ramai atau tidak orang yang memahami mazhabnya. Tuntutan-tuntutan mazhabnya. Keperluan mazhabnya. Rasional mazhabnya. Hujjah-hujjah mazhabnya. Jika perkara asas ini tidak diketahui, maka akan berlaku bermacam-macam karenah jemaah haji Malaysia bila sampai di Madinah dan Makkah. Di sana mereka diperlihatkan berbagai-bagai hal yang tidak pernah mereka alami sewaktu di tanah air. Mereka belum pernah bersama jemaah yang bermazhab Hanafi atau Maliki atau Hanbali. Bila ilmu tidak seberapa, mereka mula keliru, mula was-was adakah cara mereka yang betul atau cara Malaysia yang betul. Bagi mereka yang pernah ke luar negara dan mereka yang mendalami tentang agamanya, hal-hal yang berbeza itu tidak mendatangkan kegusaran.
Perhatikan sahaja apabila imam tidak didengar membaca basmalah. Orang Malaysia jadi bingung. Jangan terkejut ada yang akan mengatakan imam itu salah. Solat jemaah itu batal. Mereka ini solat semula kerana tidak berpuas hati berimamkan imam lantikan kerajaan Arab Saudi itu. Alangkah indahnya jika semua orang memahami tuntutan mazhab masing-masing. Memahami hujjah-hujjah mazhab. Alasan mazhab. Pandangan mazhab. Sandaran nas dan hadith yang dipegang oleh mazhab. Pengalaman pendokong-pendokong mazhab.
Nanti akan ada jamaah Malaysia yang ditegur kerana berwuduk dengan menggunakan air yang sedikit kuantitinya sedangkan mazhab lain bewuduk dengan bermewah-mewah air. Wuduk itu sendiri menjadi teguran. Kenapa kita mengusap rambut sedikit sahaja sedangkan ada jemaah yang membasahkan rambutnya dari depan ke belakang dan dari belakang ke depan. Ada jemaah yang tidak membaca apa-apa ketika solat sedangkan kita membaca surah al-Fatihah selepas mengaminkan imam. Imam tidak qunut subuh sedangkan kita berqunut. Dan macam-macam lagi perbezaan yang kita lihat, dengar dan perasan. Tanpa ilmu kita keliru sekelirunya.
Bagaimana dengan pengisian sewaktu di sana? Minta maaf sekali lagi. Suami tidak boleh bergantung dengan ilmu isterinya. Isteri tidak boleh bergantung dengan ilmu suaminya. Bila praktikal haji atau umrah itu dilaksanakan masing-masing melakukan mengikut apa yang telah dipelajari. Yang telah dimahiri. Jika tidak mahir, ketika praktikal itu tidak ada siapa yang akan membantu. Semasa tawaf umpamanya suami dan isteri biasa terpisah kerana asakan dan tolakan manusia. Ibu dan anak terpisah. Bapa dan anak terpisah. Rakan terpisah. Di sinilah ilmu memainkan peranan. Warna, nombor dan tulisan adalah anugerah Allah. Untuk kegunaan manusia. Dengannya manusia yang pandai dan yang tidak pandai boleh mencari panduan.
Yang boleh membaca, bacalah apa-apa tulisan yang ada. Mungkin nama. Mungkin arahan. Yang tidak tahu membaca mungkin kenal nombor. Ingat pintu nombor berapa kita masuk dan keluarlah ikut pintu nombor itu. Atau jika keluar pada pintu lain cari nombor pintu kita masuk tadi. Dari situ kita mencari jalan pulang ke maktab. Ke apartment. Ke hotel. Ke asrama. Jika nomborpun tidak kenal, silalah gunakan warna. Di Masjid al-Haram ketiga-tiganya ada. Ada tulisan. Ada nombor. Ada warna. Jadikan kesemuanya sebagai panduan.
Semasa musim haji keadaan memang penuh sesak. Paling sesak ialah selepas solat. Semua orang seperti meluru keluar. Jika Zohor, mereka mengejar makan tengahari. Jika Isya’ mengejar makan malam. Lazimnya saya keluar paling awal setengah jam selepas solat tamat. Di sana tidak ada wirid. Jika adapun solat jenazah. Maka pandai-pandailah kita berzikir sendiri. Solat sunat sendiri. Habiskan waktu sesak itu dengan menambah ibadat. Nanti selepas setengah jam kita dapati perkarangan masjid sudah lengang walaupun di jalanraya suasananya masih sesak dan padat. Sekurang-kurangnya kita tidak berasak-asak untuk keluar masjid. Tidaklah tertanggal selipar. Tidak terjepit di pintu.
Datang ke masjid tidak boleh bersantai-santai seperti di Malaysia. Kita biasa dengan melewat-lewatkan masa. Di sana pergi ke masjid itu hendaklah awal. Jauh lebih awal. Jika waktu Zoror itu 12.30 tengahari datanglah ke masjid pada pukul 10.30 atau lebih awal. Kita hendak mengejar saf di hadapan. Jika boleh di Raudah. Atau yang berhampiran dengannya. Kita merancang supaya tamat sahaja solat fardhu kita masuk ke Raudah untuk solat sunat. Pengisian begitu perlukan pengamatan, pengalaman dan dengan sedikit ilmu. Sementara sebelum keluar dari masjid banyakkanlah membaca al-Quran atau berwirid. Atau solat-solat yang dibenarkan. Selain daripada itu banyakkan berdoa. Mintalah apa sahaja yang baik dari Allah. Di tanah haram itu banyak kelebihannya untuk berdoa.

Subscribe to:
Posts (Atom)