Thursday, December 1, 2016

Dewasa dan Tua


Dewasa adalah fasa kehidupan yang banyak tanggungjawab. Bebanan? Mungkin jika dilihat secara negatif. Jika kita melihatnya tanpa pandangan terbaik yang kita miliki. Jika kita melihat secara fizikal yang semakin lemah. Jika kita melihat secara material yang kuantitinya rendah semata-mata. Walhal hidup ini penuh dengan banyak yang positif. Yang memberi pengajaran. Yang memberi pengalaman untuk memandu kita ke arah fasa-fasa kehidupan yang berikutnya. Yang jika dikira dengan penuh perhatian terlalu banyak untuk diaudit manfaatnya. Faedahnya tentulah bekalan untuk masa tua. Masa ketika kita kehilangan banyak perkara. Ketika merasa semua perkara menyalahi pandangan mata. Menyalahi pendengaran. Menyalahi perasaan. Ketika kita menjadi sensitif dengan persekitaran yang sudah banyak berubah. Keadaan menyesakkan minda. Ketika kita lemas dalam melayani kehidupan yang semakin singkat. Menuju ke penghujung yang pasti tetapi tiada kepastian waktunya yang tepat. Di mana sebenarnya pengakhiran itu. Mengapa dan kenapa pengakhiran itu berlaku yang sudah tentu tidak akan kita ketahui.

 Menjadi tua bukan sebarang fasa. Banyak yang terserlah dan banyak lagi yang tersirat. Mata kasar tidak dapat melihatnya. Apatah lagi mata orang muda yang belum lagi terfikir akan jauhnya kehidupan. Hanya yang mengetahui sahaja sampai jejak kakinya merasakan apa sahaja yang dinikmati atau dideritai semasa tua.

Situasi 1
Tua yang menikmati bahagianya melayari kehidupan yang bersisa dan berbaki. Lebih-lebih lagi masih sihat walafiat. Apatah lagi yang masih aktif mindanya. Masih berlegar memberi perkhidmatan dan amal  yang jarang dapat dilakukan oleh orang lain. Tua yang banyak jalan jauhnya. Banyak fikir untuk memanfaatkan orang lain. Banyak memberi dari menerima. Banyak menyumbang dari terumbang-ambing. Banyak melangkah dari duduk diam. Banyak lagi belajar dari hanya mengenang masa lalu yang sudah berlalu. Tua yang masanya penuh. Dicari ruang untuk memberi yang lebih banyak. Bukan banyak  bercakap tetapi tiada bikinnya. Bukan hanya mengarah tetapi tiada capaiannya. Bukan memerintah tetapi tiada pengikut setia yang melaksanakannya. Tua yang menikmati masa-masa tuanya. Tawa dan senyum seiring sentiasa. Gerak dan sihat bersama. Tua yang masih berdikari. Masih mandiri. Masih banyak susun rancang dalam mindanya.

Situasi 2
Hidup bersenang-senang. Rehat yang memanjang. Tiada bising di sekeliling. Hanya sunyi sepi yang indah. Lengang yang menyenangkan. Melupakan hiruk-pikuk semasa dewasa hingga ke penghujungnya. Sibuk yang sudah ditinggalkan. Buang mesyuarat yang panjang-panjang. Buang bengkel yang bersambung-sambung. Buang lawatan yang banyak dan mungkin sahaja memenatkan. Buang zaman keluar daerah memanjang siang dan malam. Waktu tua untuk melupakan kesemua kesibukan berkerjaya. Ada antara kita yang berjaya berada di puncak. Ada pula berada setengah puncak. Tidak kurang pula yang berada di bawah. Namun bila tua mendatang kesemua kita berada di bawah. Melata seperti orang lain. Tiada siapa peduli kerana kita sudah buang rasa peduli. Tiada siapa yang kenal lagi kerana kita sudah melupakan siapa yang kita kenal.

Situasi 3
Hidup jauh dari segala kebahagiaan. Mungkin derita. Minta-minta jauhlah kita dari situasi ini. Kesihatan terganggu sejak belum bersara. Apabila semakin tua semakin banyak penyakit yang singgah di tubuh. Dirawat satu, yang lain pula datang. Hilang segala kemanisan bersara. Hilang nikmat tua. Bayangkan ramai antara kita yang tua tetapi malangnya berada di rumah khusus untuk orang tua-tua. Duduk bersama orang-orang tua. Mana yang sibuk dengan amal ibadatnya, alhamdulillah. Mana yang muflis ilmu agamanya semasa muda, meranalah seumur hidup semasa tuanya. Tiada apa yang dapat dilakukan selain dari bermenung, bercakap sendirian dan mungkin menangis mengenang nasib. Anak-anak menjauh. Cucu-cucu sudah tidak dikenal lagi.

Situasi 4
Kesemua situasai di atas mungkin boleh diharmonikan. Tetapi banyak syaratnya. Ramai antara kita mungkin tidak terdaya untuk melakukannya.

1                     Memandaikan diri sejak kecil hingga dewasa. In sya Allah tuanya akan lebih selesa.
2                     Mempelajari apa sahaja kemahiran yang berkekalan hingga ke tua. Bertukang, menjahit, memasak, mengajar mengaji, bertani, memelihara haiwan ternakan, mengukir, hiasan dalaman. Atau apa sahaja kemahiran yang halal dari segi syara’.
3                     Mengumpul bekalan harta untuk hari tua. Memiliki rumah tanpa mengira saiznya. Kenderaan bersesuaian. Simpanan untuk kontingensi di hari tua.  
4                     Mengekalkan kesihatan. Merasa sihat dan dilihat sihat. Masih cergas dan lincah sesuai dengan usia tua.
5                     Berfikiran lapang. Luasa pandangan. Mencurahkan pengalaman.
6                     Menerima perubahan dan pandai mengurus perubahan.
7                     Telah menyempurnakan tanggungjawab memanusiakan anak-anak. Apabila mereka dewasa kita hanya perlu memantau tetapi bukan mencampuri urusan mereka. Nasihat sekalipun biarlah dengan memberi peluang untuk mereka berfikir dan mempertimbangkan altenatif terbaik. Memakasakan sesuatu walaupun kepada anak-anak sendiri adalah di luar kewajaran.

Masa tua akan banyak merasakan sakitnya:
Penglihatan
Hati
Perasaan
Pendengaran
Fikiran

Kesmuanya itu tidak perlu mendatangi kita. Memang kita tidak akan terlepas dari memandang, dari mendengar, dari terasa dan dari berfikir. Perubahan banyak berlaku dan tetap berlaku. Biarlah kita berlaku adil terhadap diri kita sendiri. Kemungkinan anak-anak menjadi the boomerang kid tetap ada. Kita telah berusaha keras melepaskan mereka ke dunia yang luas terbentang. Mungkin ada yang terbang luas dan jauh. Namun jangan terkejut ada antaranya yang patah sayap. Tidak boleh terbang jauh. Qada’ dan qadar tetap diredhai kerana peracangan Allah tetap yang terbaik.

Perubahan bukan untuk ditangisi. Bukan untuk dibentak. Bukan untuk ditentang. Ia untuk kita belajar menyesuaikan diri. Mengubah pendekatan. Paling penting ialah kita menyedari bahawa perubahan itu menunjukkan bahawa kita sudah tua. Persekitaran bukan zaman dan bukan milik kita lagi. Tiada gunanya meratapi zaman yang berlalu. Tiada manfaatnya lagi kembali ke zaman yang sudah lama ditinggalkan. Kita perlu terus ke hadapan. The way forward. Tinggalkan sejarah dalam lipatan ingatan. Untuk meninjau kembali tetapi bukan untuk kembali ke zamannya. Bina objektif untuk destinasi yang pasti dengan menentukan di mana kita berada sekarang. Memetik kata-kata Yang Berbahagia Datuk Dr. Siddiq Fadhil, “Kita tidak tahu ke mana kita hendak pergi jika kita tidak tahu di mana kita berada.”[1]

Mengapa kehidupan tidak diteruskan untuk kekal menjadi muda. Sekurang-kurangnya cuba menyaingi yang muda. Yang masih segar tenaganya. Yang masih banyak karenah manfaatnya. Kita memang tua tetapi masih boleh berfikiran muda. Banyak berubah menyaingi keadaan. Boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran. Hubaya-hubaya, janganlah masa tua dihabiskan untuk:
1                     Mengutuk diri. Menyesali apa yang tidak kesampaian. Masanya telah berlaku pergi. Jalani dan hadapi apa yang ada dan yang akan mendatang.
2                     Terlalu banyak berkata yang bukan-bukan. Mereka di sekeliling tidak mendengar. Banyak berkata hanya menyakitkan diri sendiri.
3                     Tidak menjaga kesihatan. Biarlah sihat seadanya. Tidak menyusahkan diri sendiri. Tidak menyusahkan mereka yang ada di sekeliling kita.
4                     Sentiasa menjaga penampilan. Orang tua selalunya selekeh. Tidak. Jangan stereotaip. Jangan ikut trend itu. Begitu juga orang tua selalunya busuk. Tidak. Jangan jadi busuk. Orang tua banyak ragam. Tidak. Jangan buat prangai itu. Orang tua degil, tidak ikut cakap. Tidak. Kita bukan seperti itu. Degil ada prinsipnya. Tidak ikut cakap yang melanggar hukum.

Berbahagialah di hari tuamua
Nikmatilah sisa usia yang masih ada
Berbuatlah segala kebaikan yang terdaya dilaksana
Hidup bukan untuk sesuatu yang sia-sia
Masa banyak terluang
Peluang banyak mendatang  
Jangan gagal untuk merebut apa yang memberi kita lonjakan semangat juang  



[1][1] Siddiq Fadhil. Ucap utama dalam Muzakarah Fiqh, Masjid Sultanah Jemaah,  Bukit Jelutung, Shah Alam, 23 November 2016.