Wednesday, May 29, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Jarasy, Roman dan Iktibar Tamadun



Kawasan pergunungan  yang dipilih oleh orang Rom sebagai pusat peerintahannya di luar Italy.

Tempat ini yang bernama Jarasy sangat strategik dari segi laluan perdagangan.

Sangat sesuai untuk pembangunan sosio-politik-ekonomi.

Kawasan yang terrainnya tidak menentu ini dibangunkan sebagai negara kota yang selalu kita baca dalam buku sejarah.

Kami datang dengan sebuah bas besar Universiti Zarqa bersama-sama dengan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus pelancongan.

Dari jarak kira-kira 400 meter, pintu gerbang Roman itu nampak tersergam besar.

Isteri saya bersama Suzane. Gadis keturunan Arab Jordan tetapi keluarganya menetap di Denmark.

Pensyarah bahasa Arab yang sudah berusia 69 tahun. Masih kuat dan gagah. Ustaz Dr. Mohamad Said

Seorang lagi pensyarah bahasa Arab. Ustazah Ala. Masih kosong.

Radio lama. Antik dan vintage. Kalau di Malaysia boleh dibeli. Radio menggunakan bateri. Menggunakan bateri seperti bateri kenderaan yang perlu dicas berjam-jam lamanya bila habis kuasanya.

Pintu gerbang bahagian selatan ini telah runtuh pada kurun ke-8 kerana gempa bumi yang sangat kuat. Ianya dibina semula dan sekarang diberi bantuan kewangan oleh UNESCO.

Lambang besarnya kuasa Rom di bumi Syam. Ribuan tahun masih boleh dilihat tinggalan sejarahnya. Iktibar kepada manusia bahawa yang kekal hanyalah Allah.

Bagi kami pakej belajar termasuk melancong ke tempat-tempat bersejarah yang banyak berselerak di seluruh negara Jordan. Sebulan sekali diadakan aktiviti melancong. Selainnya boleh diurus sendiri.

Kami berdua berasal dari sebuah kampung yang pada suatu ketika dahulu sangat terpencil antara Parit Sulong dan Simpang Lima, Batu Pahat. Kami tidak pernah bermimpi berada di sini. Tidak pernah berfikir dan tidak pernah berbincang untuk melancong sejauh ini. Masa dan agenda hidup menyampaikan kami di sini. Izin Allah untuk kami dapat melihat kebesaranNya. Begitulah kata orang tua-tua, banyak berjalan banyaklah pemandangan yang dapat dilihat. Dilihat dengan pandangan yang penuh dengan iman. Menginsafi kekerdilan diri.

Ruang bini dahulunya gereja Roman. Perhatikan lantainya. Corak dan susunannya kekal dari dahulu. Bukan orang sekarang yang membuatnya. Kita banyak meniru teknologi yang sudah ribuan tahun lamanya.

Ruang berhampiran pintu gerbang selatan ini dahulunya sebuah gelanggang yang menentukan hidup mati seorang gladiator.

Ruangnya luas memanjang. Di kanan dan kirinya terdapat teres tempat duduk penonton. Dari gelanggang inilah lahirnya padang bola sepak seperti sekarang. Sekarang orang hanya menentukan kalah menang. Menentukan maruah pasukan dan menentukan maruah negara. Pada zaman Rom maruah hanya ditebus dengan kemenangan atau menggadaikan nyawa. Mereka yang dilagakan adalah tawanan perang, pesalah-pesalah dan orang-orang yang rendah kedudukannya. Pada ketika-ketika yang lain mereka dilagakan dengan singa-sinnga yang sedia membaham mangsanya. Taraf manusia dibezakan antara yang memerintah atau yang diperintah.

Pada zaman kegemilangannya tempat ini tentulah ramai, meriah dan mewah. Kota yang penuh dengan kegemilangannya. Melihat tinggalannya sahaja sudah cukup menakjubkan.

Tiang-tiang Roman ini mendominasi rumah-rumah orang Melayu di Malaysia. Dari bandar hingga ke kampung-kampung. Di Jarasya ini saya menemui tiang Roman yang asli. Tiang-tiang yang mencipta tamadun. Tiang-tiang yang penuh dengan kegemilangannya yang tersendiri. Tiang-tiang seperti ini hanya wujud di Italy dan di bumi Syam.

Apabila kita melancong kita mencipta sejarah kita sendiri. Buat apa? Jawabnya entahlah. Mungkin kenangan yang memanjang. Mungkin iktibar dari kebesaran Allah jika kita ingin berfikir. Yang pentingnya kita berada di situ, di tempat itu. menjejak zaman lampau yang sudah berlalu.

Saya berada di tengah mudarraj. Tempat-tempat duduk di teres nampak jauh dan tinggi. Di mudarraj inilah orang-orang Rom mempersembahkankan kesenian mereka. Teater atau nyanyian atau tarian.

Di sebelah kiri adalah pentas VIP. Melihat kepada ruangnya kelompok ini tentu ramai. Berlegar di atas pentas itu pelayang-pelayang yang menghidangkan arak, anggur dan makanan lain.


Berlatarbelakangkan senibina Rom gambar ini merakamkan juga dua orang peniup nafiri. Bunyinya gempita. Meriah. Kembali ke zamannya yang tersendiri.

Di tengah Mudarraj. Amphitheatre besar yang berteknologi tinggi. Tidak ada mikrofon atau pembesar suara. Mudarraj sebesar hampir sebuah padang bolasepak ini mampu dinikmati oleh setiap yang hadir. Walaupun mereka duduk di tempat yang paling tinggi dan paling jauh, mereka masih boleh mendengar dengan jelas apa-apa yang diungkapkan dari tengah mudarraj ini. Tidak perlu menjerit atau bercakap dengan nada kuat. Percakapan biasa sudah memadai. Tingginya tamadun mencipt ateknologi alami.


Tinggalan sejarah silam terlalu banyak di Jordan. Antaranya yang terbesar ialah di Jarasy. Yang ada di sini ialah tinggalan tamadun Rom yang terbesar di luar Italy. Sesungguhnya bumi Syam sangat mengujakan dari segi sejarah. Bukan sahaja para anbia ramai hidup di sini bahkan tamadunnya sangat gemilang pada suatu masa dahulu. Sayangnya kegemilangan itu tidak berkekalan. Yang tinggal hanya bekas-bekasnya. Gempabumi kuat pada kurun ke-8 meranapkan kota-kota Roman, Yunani dan yang lain-lain. Tinggalan sejarah itu mengingatkan kita bahawa janji Allah adalah benar. Apabila sesuatu bangsa itu gagal mempertahankan akidahnya maka Allah gantikan dengan bangsa lain yang lebih baik. Begitulah kitaran fitrah manusia. Mereka yang beriman dekat dengan Allah. Mereka yang tidak tentulah ada balasan dahsyat menanti mereka. Di dunia lagi balasan itu sudah ditimpakan. Mereka tidak aman. Mereka gelisah. Mereka takut, bimbang, ragu, sangsi dan berbagai lagi perasaan. Ibarat makan tidak kenyang dan tidur tidak lena. Siang bermimpi dalam jaga. Malam takut bermimpi bila tidur. Akibatnya mereka merana perasaan kerana igauan sentiasa datang. Mereka yang tenang pula selamba makan dan mengantuk. Makan sedikit cukup kenyangnya. Tidur malam lenanya tersangat lama.
Sebelum Islam bertapak di bumi Syam berbagai tamadun telah berada di situ. Jika disebut namanya rasanya ramai antara kita yang tidak pernah mendengarnya. Pernah belajar tetap tidak ingat. Mendengar tetapi tidak memberika apa-apa erti. Malaysia jauh dari pusat sejarah dunia. Kita hanya mempelajarinya kerana hendak lulus periksa. Sejarah itu menjadi suatu dongeng kerana kita tidak berada bersama sejarah itu sendiri. Apabila saya berada di bumi anbia ini saya menjadi sangat teruja. Barulah saya akur dengan nama-nama bangsa terdahulu seperti Yunan (Greece), Rom (Italy), Anbat (Jordan), Babylon (Iraq), Hellenic (Greece), Firaun (Mesir). Itu belum Arab dan Yahudi. Saya telah ke Laut Mati, Petra, Jarasy, Arjeloun, Umu Qais dan Karak. Di bandaraya Amman ini sendiri banyak tinggalan sejarah. Anaranya Masjid Husain yang dibina pada zaman Sayyidina Umar. Bukit Husain. Dan Kota Rom di pusat bandar. Di luar kota terlalu banyak yang dinamakan sejarah seperti permakaman syuhada, makam nabi-nabi dan banyak lagi. Kali ini saya ingin memperkatakan tentang Kota Rom di Jarasy. Dikatakan kota Rom yang terbesar selepas kota-kota Roman di bandaraya Rome sendiri.
Kemanusiaan panjang sejarahnya. Sejak zaman Nabi Adam AS entah sudah berapa lama manusia memakmurkan bumi. Al-Quran mengandungi catatan sejarah yang Allah rakamkan. Tempat yang paling banyak disebut ialah Bumi Syam. Atau Syam sahaja. Tidak ada nabi atau Rasul yang Allah utuskan selain dari jazirah Arab.  Paling ramai di bumi Syam. Dulu Damsyik yang banyak disebut. Amman atau Jordan tidak disebut atau tercatat di mana-mana. Benarlah bahawa Rasul dan Nabi sebelum Rasulullah SAW diutuskan untuk kaumnya sendiri. Bila dikaji semula sejarah ada tinggalannya yang Allah sisakan supaya kita umat yang terkemudian dapat mengesan sejarah itu.  Membuat perbandingan. Mengambil iktibar dan pengajaran. Bangsa yang ingkar Allah gantikan dengan bangsa yang lebih baik. Satu persatu tamadun Rom di Jordan Allah musnahkan.     
Tinggalan sejarah yang bertaburan di seluruh Jordan adalah iktibar sejarah kemanusiaan. Kajian Arkeologi menunjukkan tamadun kemanusiaan di bumi Jordan sudah wujud sejak 18,000  tahun dahulu. Itu yang dapat dikaji secara saintifik. Jika dikaji tentang manusia itu sendiri, sudah tentu tiada angka sejarah yang dapat dirakamkan. Al-Quran merakamkan sejarah dalam konteks iktibar, bukan masa. Masa diandaikan berterusan, berulang dan timpa-menimpa. Kegemilangan zaman hanya suatu rakaman. Kita beruntung kerana Allah perlihatkan akan tanda-tanda kebesarannya. Tinggalan sejarah itu masih ada dengan izin Allah. Kehebatan orang zaman dahulu membina tamadun kekal hingga sekarang. Bukan setahun dua. Tetapi ribuan tahun. Ianya Allah kekalkan supaya ianya dapat dilihat untuk diambil iktibar. Bahawa yang kekal abadi hanya Allah. Yang lain-lain tanpa kecuali pasti musnah. Tiada siapapun makhluk yang dapat mempertahankannya. Di sisi Allah kesemua makhluk difitrahkan untuk mati. Untuk binasa. Menanti untuk dibangkitkan semula pada hari qiamat. Hari kebangkitan.
Malangnaya sebuah bangsa. Orang Jordan memiliki sejarah yang panjang. Sejarah yang agung. Berbagai kerajaan purba wujud di sini. Sebut apa sahaja. Ada sejarahnya di sini. Rom. Yunan. Hellenic. Mesir Purba. Anbat. Byzantine. Dan mungkin banyak lagi.  Bumi Syam ini bumi Rasul dan anbia. Di sini juga terakam sejarah kemanusiaan. Islam juga menguasai jazirah ini sejak dari zaman para sahabat. Begitu juga apabila Sallehuddin al-Ayyubi mengembalikan kegemilangan Islam setelah mengalahkan tentera salib pada kurun ke-13. Tanda-tanda kegemilangan Islam juga banyak. Kota binaan Sallehuddin di Ajloun, Karak dan di Mesir adalah manifestasi bahawa Islam telah menggantikan kehebatan Rom, Yunan, Anbat dan mungkin tentera Hulagu Khan, Jenghis Khan dan kaum Tartar yang meranapkan Bahgdad. Sayangnya sejarah Islam terhenti. Barat dan Yahudi merencanakan supaya sejarah Islam tiada geraknya. Tiada anjakan paradigma. Mereka menunjangi kehebatan sains dan teknologi yang telah dipelopori oleh ilmuan Islam. Hingga sekarang Jordan tidak dapat mendepankan kehebatan seperti zaman kegemilangan Islam di bumi Syam seperti dalam zaman Ma’awiyyah. Tidak juga seperti kegemilangan kerajaan Abasiyyah. Kadang-kadang apabila memandang tinggalan sejarah yang ada, hanya kesayuan yang tinggal. Sinarnya sudah tiada. Kecuali orang Islam kembali kepada tugasnya yang asasi iaiatu memakmurkan dunia. Menjadi khalifah seperti yang ditentukan Allah sewaktu Adam dicipta.