Dalam kehidupan seharian kita biasa makan di kedai. Mungkin di gerai. Sesekali di hotel atau restoran besar. Suatu pagi saya sarapan di sebuah gerai. Sementara menunggu hidangan disajikan biasalah mata selalu meneroka banyak segenap ruang gerai dan gerai-gerai yang lain. Kepada kebanyakan orang normanya begitu. Asalkan nampak bersih cukup. Tidak pernah terfikir nilai bersih yang paling murni yang seharusnya. Yang semestinya. Yang sewajarnya. Islam mengajar kebersihan. Tinggi nilai kebersihan. Iman taruhannya. Jangan lupa pula kesihatan dan kesejahteraan. Keceriaan hati. Suasana yang damai. Iklim yang indah. Ekosistem yang terpelihara. Susah benar orang kita memahami isu kebersihan. Ramai yang tidak dapat mengurus kebersihan. Pendidikan kebersihan belum mencapai tahap tertinggi. Kualiti kebersihan belum sampai ke kemuncaknya. Budaya kebersihan belum sampai dalam kategori terbaik. Belum cemerlang.
Gerai-gerai orang kita sangatlah banyaknya. Tidak ramai orang kita yang membuka kedai. Yang menyewa bangunan kedai. Yang terjaga persekitarannya. Yang terjaga kebersihannya. Bayangkan situasi ini. Kita minta roti canai. Penebarnya sedang menghisap rokok. Dia meletakkan rokoknya lalu menebar roti canai itu. Laju dan cepat. Masuk kuali. Dai kembali menghisap rokoknya lagi. Apa masalahnya? Apa isunya? Apa kurangnya? Apa buruknya? Roti canai yang kita makan telah bercampur dengan air liurnya melalui puntung rokok yang dihisapnya. Ramai yang kurang maklum bahawa puntung rokok mengandungi ribuan racun yang mengancam orang yang merokok. Yang terhidu asap rokoknya. Orang yang terdekat yang menghidu bau badannya terutama isteri atau suami dan anak-anaknya. Malang sungguh bagi orang yang terdekat dengan orang yang merokok. Kembali kita kepada roti canani tadi. Malanglah bagi mereka yang makan roti canai yang bersalut dengan air liur penebarnya. Ramai juga penebar roti canai yang bercakap kuat semasa menebar roti. Bersemburan lagi air liurnya. Jika memakai penutup mulut mungkin keadaan itu dapat dihindarkan.
Boleh perhatikan mereka yang terlibat dengan penyediaan dan penyajian makanan yang keluar dan masuk tandas. Pernahkah kita lihat mereka benar-benar membersihkan tangan mereka. Mensucikan tangan mereka. Memberi perhatian kepada kebersihan diri. Allahuakbar. Banyak yang terlepas pandang bila cerita tentang kebersihan. Sebab itu makan di rumah adalah lebih baik. Lebih selamat. Lebih suci. Lebih bersih. Lebih halalan toyyibah. Di negara Arab wanitanya lebih konservatif. Mereka tidak makan di kedai. Aib dari segi amalan. Terdedah kepada pandangan umum. Menyalahi agama. Hukum yang menjauhi zina. Konsep kebersihan ini belum benar-benar terakam dalam budaya beragama kita. Kita selalu terlepas pandang. Standardnya tidak pernah dicartakan. Piagamnya tiada lagi. Pihak yang berwajib yang perlu memperkasa dan menguatkuasakannya.
Pakaian selalu menjadi masalah. Di mana-mana negara sama ada Islam atau bukan pengendali makanan diwajibkan memakai penutup kepala. Bentuknya berubah. Ada topi. Ada kep. Ada tudunng. Mungkin songkok atau kopiah. Jika diberi pilihan makanlah di kedai yang pengendalinya memakai penutup kepala berbanding dengan yang tidak. Kulit kepala sentiasa kering. Sel-selnya sentiasa berguguran. Rambut gugur silih berganti. Kelemumur juga berguguran. Kesemuanya masuk ke dalam periuk, pinggan, mangkuk, gelas dan cawan. Itu belum yang berterbangan. Berlegar di udara. Menanti penggan yang menghidu dan menghirupnya. Dilihat seperti sangat tidak signifikan tetapi besar impaknya.
Mengapa ramai pengendali makanan tidak memakai kasut. Mereka gemar memakai selipar. Apa msalahnya. Apabila ke bilik air, air di lantai dilibas ke bahagian belakang seluar, kain atau baju. Itu yang kelihatan. Pernah kita fikir air yang naik ke meja. Ke kerusi. Ke dalam makanan yang sedang dinikmati. Alangkah eloknya jika mereka memakai kasut. Tumit yang pecah dan comot terlindung. Kuku dan jari yang tidak cantik dilitupi hingga tidak kelihatan cacat celanya. Jalan menjadi lebih selesa. Ada keyakinan diri yang lebih tinggi. Terhindar kemungkinan-kemungkinan mencemarkan keadaan. Keadaan menjadi lebih suci. Alangkah! Alangkah! Jika kita mengetahui. Setiap sesuatu pasti ada kebaikannya.
Tudung selalu menjadi masalah. Saya ke Jepun, wanitanya memakai skaf. Saya temui di US wanita-wanita pengendali makanan yang memakai skaf juga. Di KFC atau McDonald mereka memakai kep atau topi. Di Malaysia terlalu ramai mereka yang tidak memakai tudung. Agama tidak dihayati. Pentadbiran tidak memberi peraturan dan perundangannya. Sosial tidak melabelnya. Industri tidak memberi garis panduan. Akhirnya semua orang berada dalam dilema. Dari segi apapun banyak ketidakbetulnya. Sepatutnya Pendaftar Perniagaan boleh mengambil inisiatif. Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaran, Majlis Daerah dan majlis tempatan yang lain menggerakkan ke arah industri makanan yang sihat, bersih, suci dan halalan toyyibah. Jika tidak dimulakan sekarang, nanti kita selalu ketinggalan di belakang. Tamadun kita di belakang. Budaya kita di belakang. Lonjakkan ke hadapan itu terlalu perlahan dan banyak sekatan pemikiran yang tidak ke hadapan. Statik di takuk lama.
Debu adalah elemen kotor yang selalu wujud. Terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Tetapi dapat dikesan dengan jari. Dapat dirasa dengan deria rasa. Kedai makan orang kita terletak di tepi jalan. Di tempat yang sibuk dengan kenderaan dan pejalan kaki. Memang debu berterbangan. Jika kedai itu menerima arah angin maka debu yag masuk tidak terkira banyaknya. Singgah dan hinggap di mana-mana. Di atas meja. Kerusi. Pinggan. Sudu dan garpu. Makanan terutamanya. Pengusaha dan peniaga seharusnya mengusahakan supaya dapat berniaga dalam premis yang tertutup. Jadikan budaya untuk menghindar dari segala keburukan kotoran halus yang menimbun banyak dalam bentuk debu dan habuk. Untuk mengelakkan penyakit. Sekurang-kurangnya laplah meja dan kerusi secara berkala supaya debu yang hinggap dapat dinyahkan sebelum ada pelanggan yang duduk.
Kotoran di lantai selalu juga dilihat menjijikkan. Sebelum memulakan perniagaan mungkin tidak disapu. Tidak dimop. Tidak dibasuh. Jika dilakukan mungkin tidak bersabun. Tidak menggunakan pencuci lantai. Sisa makanan, minyak dan kotoran lain menjadikan lantai itu comot, hitam, kuning, perang, berlumut, dan tidak selesa dipandang. Mengapa agaknya pembantu kedai membuang sisa makanan ke lantai. Dipijak. Diinjak. Dilenyek. Memang makanan itu sisa tetapi tidak wajar menganiaya makanan itu. Ada makhluk lain yang boleh menikmatinya. Mungkin kucing, ikan, ayam atau ternakan lain. Termasuk juga semut, lipas, tikus dan sebagainya. Jangan lupa jin yang makan tulang. Sisa pada meja hendaklah ditadah dengan bekas tertentu dan dibuang sewajarnya. Jangan disapu jatuh ke lantai. Ada dosa dan pahala di situ. Pada perbuatan itu ada nilai-nilai berimpak tinggi. Tidak berpelajaran tinggi seharusnya tidak dijadikan alasan untuk tidak peduli. Sifat empati mesti ada dalam hati.
Sukar melihat kedai makanan yang menyediakan tuala pengelap yang bersih. Yang biasa ialah yang sudah bertukar warna. Yang kumal. Yang memualkan. Yang kelihatan buruk, comot, berminyak dan koyak rabak. Apabila dilap meja, bukan membersih tetapi mengakibatkan meja basah berminyak. Tidak selesa dipegang atau meletakkan tangan di meja. Tuala pengelap sewajarnya yang bersih. Selepas digunakan terus dibasuh dengan sabun pembersih. Bukan setakat dibasahkan sahaja. Maksudnya tuala pengelap mestilah banyak. Gunakan yang pasti bersih sahaja. Jangan pandang ringan tentang perkara ini. Jadikan ia sebagai tarikan. Promosi. Mudah-mudahan pelanggan menjadi lebih tertarik. Lebih teruja. Jika itu sudah terjadi maka menarik pelanggan menajdi lebih mudah.
Alat penting di kedai makan tentulah perkakas makannya. Pinggan, sudu dan garpu, gelas dan cawan, dulang, mangkuk dan sudu. Malah dapurnya juga mestilah dalam keadaaan yang menasabah bersihnya. Bersih jangan ikut adat. Ia mesti bersih ikut kualiti. Ikut kesihatan. Ikut standard yang terbukti sihat dan selamat digunakan dari segi jangkitan penyakit. Atau yang boleh mengakibatkan berbagai panyakit. Siapa yang tahu orang yang makan dan minum di kedai tidak mengidap penyakit kronik. Tidak ada pelanggan yang menhisytiharkan dirinya berpenyakit. Kadang-kadang ia sendiri tidak tahu ia pembawa penyakit. Apa kita perlu buat dengan sentuhan mereka yang positif HIV. Yang memanag mengidap AIDS. Yang mengidap batuk kering. Yang berpenyakit kulit. Yang membawa penyakit menular. Penyakit-penyakit tersebut fatal sama ada dalam jangka masa pendek atau dalam jangka panjang. Siapa peduli sebenarnya. Kita tidak pernah bincangkan hal seperti itu. Maka demi untuk keselamatan dan kesihatan basuhlah alat makan menggunakan air panas. Saya rasa kita biasa makan dengan pinggan yang bertukar warna. Cawan yang cokelat dengan klorin. Begitu juga sudu dan garpu. Gunakanlah pembersih yang boleh menggilapnya. Jadikannya presentable. Mudah-mudahan makanan menjadi palatable.
Ramai antara kita makan menggunakan tangan. Lebih dekat dengan syariat. Malangnya untuk membasuh tangan selalu bermasalah. Masakan biasanya berminyak. Kerana minyak atau santan. Mungkin susu atau majerin atau mentega. Banyak juga makanan yang memang berminyak. Apabila hendak membasuh tangan selalu kita lihat sinki yang sangat kotor, comot dan tidak sesuai kotornya. Tidak dibasuh tangan terasa pula minyaknya. Mungkin masih banyak pedasnya kerana makan sambal. Untuk membasuh geli memandang sinki. Kepala paip sudah tiada. Tiada siapa yang bertanggungjawab penuh tentang siapa yang perlu mengurus sinki. Proses terakhir di meja makan. Mana sabunnya. Mana tisunya. Sinki, sabun dan membasuh tangan yang menyulitkan mengikutt adat.
Servis adalah nadi kebaikan sesebuah kedai. Kedai layan diri tiada masalah. Jika layan penuh maka pembantu perlu selalu peka dengan pelanggan yang datang dan pergi. Yang duduk dan berdiri. Yang lama dan yang baru. Selalu terjadi pembantu lambat memberi layanan. Lambat mengambil pesanan. Menggilirkan pelanggan yang dahulu dan yang kemudian. Makanan disiapkan juga mengikut giliran. Pelayan di kedai tidak diberi pendidikan untuk mengambil tindakan bijaksana. Ada makanan yang tidak perlu disediakan lama. Boleh didahulukan mana-mana yang perlu. Tidak sesmestinya menunggu hidangan utama. Jenuh menunggu. Dalam banyak hal banyak kedai makan yang tidak berjaya kerana servis yang tidak mencapai standard.
Pakaian kerapkali menjadi bahan penilaian. Pelanggan ingin melihat pakaian yang cantik, bersih dan menarik. Saiznya cukup. Panjangnya sesuai. Penampilannya wajar. Pakaian memberikan aura yang sesuai kepada pembantu. Sejuk mata memandang. Apron perlu dipakai untuk melindungi kotoran. Untuk melindungi sebarang cacat cela pada pakaian. Namun begitu jangan mengelap tangan yang kotor dan basah ke apron. Nantinya yang bersih akan kelihatan kotor. Comot. Dilihat menjadi tidak menyelerakan. Pakaian bermaksud selengkapnya. Termasuklah tudung, kasut, setokin. Termasuk juga kacamata dan jam tangan. Termasuk juga barang kemas.
Banyak kedai dalam situasi yang tidak kondusif. Sewaktu makan terhidu angin yang kurang enak. Longkang di tepi kedai yang tidak terurus. Segala sisa makanan dibuang dan dialirkan ke longkang. Air basuhan ke longkang. Lebihan makanan juga ke longkang. Sampah mungkin berhampiran tongnya. Pihak berwajib lambat mengutipnya. Sampah dan kotoran itu terlindung dalam gemerlapan cahaya pada waktu malam. Pada waktu siang terserlah wajah kotor yang tidak selesa yang sebenarnya. Bayangkan baunya. Kotornya. Lalat dan langaunya. Lipas dan tikusnya. Segala yang merayap ada di sekeliling kedai itu kerana banyak makanan untuk banyak makhkluk halus.
Siapa yang membersihkan kedai. Penyapu pastinya digunakan. Aduhai. Menyapu dengan penyapu hanya menaikkan debu berterbangan. Yang menyapu sekolahnya tidak tinggi. Kefahaman tentang kebersihan tidak mencapai kualiti. Pemikiran bersih belum sampai ke dasar pemikiran. Yang dilhat sahaja dikira mencukupi. Mata kasar yang selalu nilainya berbeza. Tidak mampu melihat kualiti pada kewajarannya. Saya pernah melihat penyapu lantai yang juga menyapu meja. Dari bawah, dari lantai penyapu yang sama menyapu meja pula. Saya tidak fikir orang normal boleh menerima keadaan sebegitu. Tidak layak penyapu itu untuk naik taraf. Lantai yang dipijak menaikkan debu ke atas meja makan. Begitu juga dengan pengunaan mop yang kadang-kadang sebarangan sahaja. Tidak membersih. Sekadar mengalihkan kotoran dari satu sudut ke satu sudut yang lain. Jangan terkejut ada yang menggunakan mop lantai untuk mengemop meja.
Budaya kita sangat cantik. Kita meminati kecantikan. Kita inginkan kebersihan. Kita suka yang teratur dan tersusun. Suasana yang kita idamkan ialah kedamaian minda. Sesejuk mata. Melapangkan psikologi. Sikap kita barangkali yang sukar didamaikan. Sukar diharmonikan. Kita membuka mata. Deria kita meluas. Tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memperbaiki diri. Pendidikan pastinya remedi yang terbaik untuk menjana perubahan. Teori kebersihan tidak mencukupi. Tunjuk ajar perlu. Bimbingan mandatori. Peraturan perlu dilaksanakan. Mungkin undang-undang perlu dikuatkuasakan. Tanpa usaha berbagai ini konsep kebersihan menjadi misteri budaya. Masa sudah semakin suntuk. Wawasan 2020 hanya lapan tahun lagi. Tanpa memahami kebersihan, tanpa mengetahui kaitan kebersihan dengan kemajuan maka sukar kita hendak mencapai antara ciri negara maju. Semua negara maju begitu. Kebersihan, keindahan, keteraturan, susunan, lanskap dan kecerian menjadi agenda kehidupan. Membina psikologi damai. Itulah yang saya lihat di US. Begitu juga di Jepun. Barangkal dua negara besar yang selalu dirujuk. Kebersihan menjadi lambang kemajuan. Persekitarannya bersih. Warganya bersih. Sampah diurus sehingga bersih. Sebersih-bersihnya.
Ada usaha untuk melabel kedai. Malangnya rakyat tidak dimaklumkan signifikannya label itu. Apa kaitannya dengan kesihatan. Dengan standard kebersihan. Dengan nilai hidup yang tinggi. Bagaimana dengan falsafah kebersihan. Di US dan Canada label sangat penting. Kedai yang berlabel A sangat tinggi standardnya. Kadang-kadang melebihi keperluan dan syarat. Mereka yang mengunjungi membayar dengan harga yang lebih tinggi tetapi ada jaminan bahawa dirinya selamat dari berbagai ancaman. Label B ada kecacatan sedikit. Jika C tahapnya agak rendah. Label D diberikan juga tetapi dikatakan sebagai at your own risk. Di Malaysia bagaimana. Usaha melabel itu ada. Rakyat tidak peduli mengenainya. Masyarakat Malaysia mencari yang sedap dan yang murah. Yang lain-lain tidak dipertimbangkan.
Setiap kali hendak makan di kedai atau di gerai, lazimnya saya menghantar isteri saya untuk membuat tinjauan terlebih dahulu. Dia mempunyai standard kebersihan yang tinggi. Jika ibu jarinya ke atas saya akan matikan engin kereta. Jika tidak dia akan segera kembali ke kereta untuk mencari kedai yang lebih baik. Yang dilihatnya ialah persekitarannya dahulu. Kebersihan keutamaan. Susunan juga diberi perhatian. Menu dan sajian serta pilihannya diambilkira. Pada kebanyakan masa kami tidak mendapat pakej yang terbaik. Ada sahaja cacat celanya. Makan hanya sekadar mengisi perut. Di dalam perut tidak mendapat nikmat makan yang sebenarnya. Psikologi tidak teruja. Minda tidak menerima sepenuhnya. Rasanya jika isteri saya menjadi merinyu kesihatan, tentu banyak kedai makan yang diwajibkan tutup atau digantung perkhidmatanya untuk jangkamasa yang tiada penyudahnya. Drastik? Mungkin tetapi itulah penagajaran keras yang perlu. Yang sangat diperlukan.