Allah berfirman yang mafhumnya:
Adakah sama mereka yang mengetahui dengan mereka yang
tidak mengetahui?
Manusia dibiakkan di muka bumi dengan tugas untuk
memakmurkannya. Menjadi khalifah atau ketua yang adil dan saksama. Masing-masing
akan ditanya nanti di hadapan Allah akan tanggungjawabnya ke atas orang-orang
di bawahnya. Kerana itu menjadi ketua wajib melaksanakan keadilan yang
sewajarnya. Keadilan yang tertanggung di atas bahunya. Seperti kata Tuan Guru
Nik Aziz, laksanakanlah tanggungjawab sekira-kira dapat dijawab bahawa keadilan
itu telah berjaya disempurnakan apabila ditanya Allah di akhirat kelak. Pada akhir
zaman ini ramai pemimpin yang selalu dipertikaikan kepimpinannya. Baik pemimpin
yang paling tinggi hatta pemimpin yang paling rendah. Pemimpin yang tinggi
selalu dilihat orang. Salah dan silapnya mudah dikesan. Yang memantaunya semua rakyat
biasa. Tetapi ramai pemimpin kecil di peringkat bawah yang selalu terlepas
pandang. Tidak ramai yang mengetahui karenahnya. Ironisnya ramai pula yang
menyokong dan bersetuju dengan tindakan-tindakannya yang jelas tidak adil. Membina
kroninya sendiri. Pandai bermuka-muka. Tanpa disedari tindakan-tindakannya
memecah-belahkan orang-orang di bawahnya.
Kepimpinan yang tidak adil juga tidak telus. Orang-orang
di bawahnya dikategorikan kepada beberapa kelompok:
1
Mereka yang menyokong 100% tanpa soal jawab. Semuaya
betul bak burung kakak tua.
2
Mereka yang menentang dengan berani berprinsipkan berani
kerana benar.
3
Kumpulan yang menentang dalam senyap. Tidak berani
bersuara kerana takut disennaraihitamkan.
4
Kumpulan yang tidak peduli. Ikut arus sahaja. Ke mana
hendak dibawa tidak pernah ditanya.
Keempat-empat kumpulan tersebut sentiasa berada dalam
sempadan masing-masing. Dalam kotak masing-masing. Kadang-kadang kita menjadi
hairan kerana pemimpin kecil yang berkenaan terlalu kecil dalam hairaki
kepimpinan institusi apatah lagi dalam kepimpinan negara. Apa yang berlaku selalunya menyulitkan kerana
beliau:
1
Selalu memilih bulu. Dia dikelilingi oleh orang-orang
yang hanya banyak mengangguk, orang-orang yang cantik dan selalu mengikut
arahan.
2
Memberi arahan untuk kepentingannya sendiri dan bukan
untuk kepentingan ramai. Malah bukan untuk kepentingan organisasi.
3
Menggunakan kuasa untuk mengugut, menempelak dan
memalukan orang lain di hadapan khalayak ramai.
Pemimpin jenis ini sukar diajar. Sukar dibimbing. Sukar
dibantu. Ia merasa bahawa dirinya cukup besar dan tinggi kedudukannya. Egonya sangat
tinggi. Ia membina empayarnya sendiri walaupun pada hakikatnya ia bukan siapa-siapa.
Jawatannya terlalu rendah berdasarkan kelayakan akademiknya. Situasi yang meletakkanya
sebagai pemimpin. Tiada hairaki. Tiada ruang untuk naik pangkat kerana
jawatannya pun sementara. Bila-bila boleh diganti oleh orang lain. Kerana mendapat
sokongan maka pemimpin jenis ini tidak ubah seperti antagonis dalam filem Tamil
atau Hindi. Yang teruk dan jahat itupun ramai penyokongnya. Hanya apabila watak
itu ditentang dan dihapuskan baru orang lain sedar bahawa mereka menyokong
pemimpin yang salah.
Pemimpin kecil sewajarnya belajar dari mereka yang:
1
Memiliki kelayakan akademik yang tinggi.
2
Memiliki pengalaman
mengurus pada tahap tinggi.
3
Terlibat dengan projek besar dan bernilai tinggi.
4
Memiliki idea kreatif, banyak dan berimpak tinggi.
5
Sikapnya proaktif dan reaktif. Bukan negatif dan
selektif.
6
Fikirannya terbuka untuk menerima pandangan, cadangan
dan input-input baru.
7
Membina sistem kerja yang telus dan berkembang maju.
8
Memberi keadilan kepada orang di bawahnya.
9
Memajukan diri sendiri dan memajukan orang-orang di
bawahnya ke tahap yang tertinggi.
Pemimpin kecil jarang muasabah diri. Pada dirinya banyak
kekurangan yang perlu ditampung. Dirinya perlu menghimpun ilmu, maklumat dan kesediaan
untuk membangun diri. Terlalu ramai pemimpin kecil yang perasan seolah-olahnya
dirinya adalah pemimpin besar. Seolah-olah pemimpin penting. Seolah-olah
pemimpin hebat. Pengamatan kita selalunya mendapati bahawa pemimpin jenis ini:
1
Berfikiran jumud. Tidak mahu berkembang.
2
Tidak melakukan anjakan paradigma untuk menjadi lebih
baik. Lebih positif.
3
Tidak ada idea bernas untuk diketengahkan. Malah suka
memplagiat idea orang lain. Memperaku bahawa idea orang lain itu sebagai
ideanya.
Malang bagi sesebuah organisasi apabila
dianggotai oleh pemimpin kecil yang banyak menjadi kekangan kepada kemajuan
organisasi. Sewajarnya pemimpin jenis ini diberikan:
1
KPI. Key Performanca Index yang sesuai. Sesuai dengan
bidangnya.
2 Ada SKT
tahunannya. Sasaran kerja tahunan ini menjadi pengukur akan kecekapannya.
3 Ada matlamat
jangka panjang di samping matlamat jangka pendek.
4 Diberi kursus supaya bijak mengurus. Supaya
berfikiran terbuka. Supaya selalu memikirkan yang terbaik untuk
orang-orang di bawahnya. Bukan dirinya yang penting.
Pemimpin-pemimpin kecil ini selalu lupa bahawa apabila
tamat tempohnya mereka akan kembali kepada masyarakat. Selalu terjadi pemimpin
jenis ini tidak dipedulikan orang apabila kedudukan yang ada pada dirinya sudah
diambil Allah dan diberikan kepada orang lain. Orang lain bukan membalas dendam
tetapi letih kerana semasa memiliki sedikit kuasa ia selalu lupakan siapa
dirinya yang asal. Yang asli. Yang hakiki. Kita seharusnya selalu beringat
bahawa kedudukan kita hanya sementara. Jangan lupakan diri dan jangan lupakan
Allah. Bila-bila masa sahaja Allah mencabut kedudukan yang ada pada dirinya. Kembalilah
dia kepada kedudukannya yang asal. Bukan siapa-siapa. Hanya orang biasa seperti
orang lain juga. Andainya ia adil dan saksama hidupnya disukai orang. Dihormati
dan disegani. Matinyapun tetap diingat orang. Kebaikannya berpanjangan.
Apabila kita bertemu dengan pemimpin seperti ini
banyak yang boleh kita lakukan. Antaranya:
1
Tegur secara berhemah. Minta maaf banyak-banyak. Tunjukkan
yang betul dan bimbing dia ke jalan yang lebih baik.
2
Bercakap selalu kepadanya asalkan yang hak. Dia perlu
tahu antara yang hak dan yang batil (salah).
3
Betulkan kesalahannya seberapa banyak yang boleh.
4
Beri kefahaman kepada orang lain supaya yang benar
disokong dan yang salah dibantah.
Dunia sudah sampai ke akhir zaman. Ramai mereka yang tidak layak dijadikan
pemimpin. Maka banyak kecelaruan dalam kepimpinan hingga menjadikan semua orang
dalam keadaaan serba salah. Cakap salah, tak cakap salah. Kebaikan yang
didambakan selalu tidak kesampaian. Lebih malang apabila yang benar tidak
popular. Ditentang setengah mati. Yang salah pula mendapat sokongan. Hanya kerana
hendak menyokong. Hanya kerana takutkan yang sedikit. Sepatutnya yang benar
adalah benar dan yang salah adalah salah. Kita pasti kembali kepada Allah. Kita
yang akan menjawabnya. Betulkan diri untuk kembali kepada Allah. Kepada ajaran
agama. Kepada yang hak.