Gelas minuman berbagai bentuknya. Namun gelas tetap gelas. Saiznya sahaja berbez-beza tetapi pada amnya semua gelas hampir bentuknya. Rekabentuknya berbeza. Sentuhan seninya berbeza. Bahan untuk membuat gelas itu juga berbagai. Saya cuma hendak mengatakan sesuatu yang bak gelas. Apatah lagi jika gelas itu berisi air. Fokus saya ialah gelas yang dibuat dari kaca atau kristal. Dari jauh atau dekat keduanya tetap memancar. Biasan cahaya selalu menjadikannya bergemerlapan. Tentulah kristal lebih mahal. Cantiknya juga berganda. Secara psikologinya ia memikat. Memukau barangkali. Ia memiliki pesona yang sukar direnggut. Menyejukkan hati. Mendamaikan perasaan. Apapun yang ada di dalamnya kilauan cahaya tetap memancar. Jika diisi air jernih alangkah indahnya. Begitulah analogi seorang wanita. Bak kristal yang memancar. Menyilaukan mata yang memandang. Berisi penuh kejernihan yang berkilau. Cantik di luar dan cantik di dalam.
Wanita adalah teman lelaki. Hawa adalah teman Adam dari syurga ke dunia dan kembali ke syurga akhirnya. Keabadian yang abadi. Wanita tiada bezanya dengan lelaki. Berbeza dari segi gender dan peranan yang telah difitrahkan Allah ke atas mereka. Selainnya mereka dinilai dari segi iman dan taqwa mereka. Malang sekali dalam dunia yang penuh pancaroba ini wanita selalu sangat menjadi mangsa kelemahan lelaki. Malah ada masanya menjadi mangsa sesama wanita. Kebaikan bukan isu dalam perbincangan ini. Yang menjadi masalah ialah malang-malang yang ditimpakan kepada wanita. Kebanyakan kemalangan itu disengajakan. Ramai wanita yang menyedarinya. Yang megetahuinya. Yang mengerti mengenainya. Hanya sedikit yang terjadi secara kebetulan. Tidak disengajakan.
Pandanglah keliling. Semoga Allah melindungi anak cucu kita dari fitnah dunia. Dari bencana manusia. Dari godaan jin dan syaitan. Yang kita ingin lihat ialah wanita yang bersih akhlaknya. Terpancar adab dan tingkahlaku. Manis tutur kata. Indah berbahasa. Kurik kundinya. Sopan santun memang biasa. Lemah lembut bak tarian gemalai. Intonasi suaranya merdu memikat. Buluh perindu yang merindu. Penampilannya adalah wanita solehah. Wanita yang memenuhi kriteria Muslimah. Auratnya tidak pernah tiris dilihat lelaki ajnabi. Malah tidak dilihat wanita yang bukan Islam. Memandang wajahnya adalah sesejuk salju di kutub. Mendamaikan keindahan mata. Penyedap mata. Sesiapapun yangg hadir bersamanya tenang. Santai sepanjang masa.
Kita mencari wanita bak gelas kristal. Memancar di dluar memancar di dalam. Yang diharapkan ialah gelas yang penuh berisi air. Tidak tepu tetapi dilihat penuh. Dipegang penuh. Disentuh penuh. Tidak tumpah walaupun kedudukannya senget. Tidak tumpah sebarangan. Tidak menitik sesuka hati. Jentiklah waktu kosongnya. Berbunyi denting nyaring. Denting yang menyentuh hati. Menususk qalbu. Bila penuh jentiklah sekuat hati. Bunyinya padat. Berisi dengan penuh kebaikan. Sarat dengan keindahan. Boleh dibelai dan diusap sayang. Duduknya rendah. Berdirinya tinggi. Ke tepi dan ke tengah bukan masalah. Memimpin dan dipimpin semuanya mudah. Bak kristal yang selalu digilap. Sentiasa jernih. Telus dari sebelah menyebelah.
Kristal yang indah memancar. Digilap dengan jari jemari yang halus. Diusap seni keindahan. Kehidupan yang dipaparkan untuk masa hadapan yang senang. Itulah wanita idaman yang segalanya memikat. Memancar bak kristal. Lelaki mencari kristal. Nisbahnya penuh berisi air jernih. Padat berisi dengan segala kebaikan. Lelaki mencari wanita idaman. Mencari wanita yang menusuk dalamannya. Yang bertahta di hati. Yang duduk abadi dalam jiwanya. Maaflah bak kata P Ramlee dalam Bujang berjanggut, lelaki mencari isteri. Bukan perempuan. Perempuan memang ramai. Ada di mana-mana. Lelaki tidak mahukan perempuan. Mereka mahukan wanita yang bernama isteri. Yang dilihat bukan tubuh badan. Bukan kelayakan akademik. Bukan kekayaan. Bukan wajah cantik bak bidadari. Sukar mengungkapkannya. Lelaki mencari isteri yang memikat psikologinya. Deria dalamannya.
Wanita teman sejati lelaki. Pelengkap kepada segala yang kurang. Memenuhi segala yang terluang. Lelaki tidak melihat susuk tubuh kerana itu hanya sementara. Cukup masa kendur segala kulit menjadi bergerutu. Seri wajah yang luntur melurut masa. Kelayakan akademik juga ada had masanya. Cukup masa ia tidak berguna lagi. Persaraan menamatkan segala keindahan berkelayakan tinggi. Kemahiran juga tidak lagi memberi produktiviti. Masa melunturkan kecekapan. Kualiti yang semakin menurun. Dalam tubuh manusia ada jasad. Ada roh. Ada akal. Ketiga-tiganya boleh membina sinergi. Kekuatan yang tergabung untuk melahirkan suatu kekuatan. Namun sampai masanya tiada lagi kukunya. Tubuh badan tidak kekal lama. Nanti sampai masanya datang penyakit. Datang lenguh. Datang kelesuan yang berlarut-larut.
Barangkali roh dan akal boleh bertahan. Itupun jika selalu diasah. Dibelai. Dipupuk. Dibaja dengan selalu berfikir. Menari idea. Menaakul untuk menjana sesuatu yang inovatif. Yang kreatif. Akal yang selalu dinilai tambah. Begitu juga roh. Perlukan pengisian yang lestari dan berkesinambungan. Santapan rohani yang boleh mengekal panjang. Boleh menjaga iman dan akidah. Menjaga ikatan kuat yang menghubungkan diri mereka dengan Allah. Sentiasa kasih dan sayang kepadaNya. Bila menjadi isteri segalanya indah untuk suaminya. Untuk keluarganya. Untk masyarakatnya. Untuk agamanya. Ia mendukung keindahan berkeluarga. Aman dan damai kehidupan. Kebahagiaan yang dicari memang datang. Keindahan yang didambakan memang melayang. Maujudlah pelangi warna warni. Barisan warna kehidupan yang menyerlah. Ceria dengan segalanya nan indah.
Wanita bak gelas kristal. Bak balang kaca. Tanpa cacat cela dengan segala yang menggoda. Menjaga diri dari segala yang berbentuk maksiat. Tehindar dari kefasikan dunia yang selalu menghambat. Tersisih dari segla yang merosakkan. Dari fitnah mata. Dari fitnah telinga. Dari fitnah mulut. Dari segala fitnah yang menghina. Gelas kristal yang mahal nilainya. Harus diletak di tempat tinggi yang eksklusif. Martabatnya menghambat mata. Menyejuk mata. Mengharmonikan telinga. Soalnya berapa ramai wanita yang sama dengan gelas kristal. Saya takut untuk membilangnya. Selalu orang berkata mana ada wanita Melayu terakhir. Wanita Muslimah. Wanita yang penuh dengan keindahan. Wanita solehah. Wanita yang mendamaikan lelaki. Mudah-mudahaan akan semakin ramai bilangannya. Memenuhi kerinduan menatap mereka. Meredakan segala kerisauan yang mencabar minda. InsyaAllah.