Anak-anak adalah permata hati. Intan payung. Cahaya mata. Penyejuk mata dan hati. Kelahirannya selalu dinanti. Didambakan sebagai pengikat kasih. Tanda cinta abadi suami isteri. Hamilnya diintai-intai. Sentuhan rasa naluri kasih yang memanjang. Nilai-nilai sarwajagat yang penghujungnya rindukan warisan. Anak-anak yang menjadi kesinambungan keluarga. Susur galur keturunan yang menjanjikan keindahan berkeluarga. Begitulah janji Allah bahawa bersuami isteri itu sebagai mawaddah. Tempat mencurah kasih sayang. Janji kemanusiaan yang memang begitu fitrahnya.
Orang-orang lama tidak pernah ada kursus praperkahwinan. Tidak juga ada kursus keibubapaan. Namun anak-anak adalah generasai yang patuh dan selalu dimudahkan mengurusnya. Karenahnya tidak banyak. Keletahnya tidak nampak. Nakalnya jauh sekali. Ada, bukan tidak ada. Tetapi biasanya kes terpencil. Bukan kebiasaan. Bukan ulaman hidup. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Ibu bapa tidak lelap mata. Mulut kadang-kadang terkunci kerena terlalu terpana dengan karenah anak-anak. Tiada langsung yang lekang dari marah. Dari risau. Dari bimbang. Dari ketegangan perasaan. Stress yang merimaskan. Yang melemaskan. Menyesakkan dada. Payah bernafas.
Merancang anak perlukan jangka panjang. Pemikiran yang lama-lama. Menyelam perasaan dalam-dalam. Memanglah kehadirannya menyenangkan kerana tahunya hanya menangis. Tangan mengapai-gapai. Kakinya menendang sahaja. Paling banyak menghisap jarinya sendiri. Rengek dan tangisnya menjadi halwa telinga. Benarkah begitu? Hanya mereka yang penuh kasih sayang merasakannya begitu. Tetapi, tetapi bagi yang berminat dengan anak setengah masak tentu tangis anak menjadi kegusaran. Ada rasa bosan menyelinap di dalam. Benci yang datang mencengkam. Nanti dulu mak. Nanti dulu pak. Itu anakmu. Itu darahmu. Itu dagingmu. Itu susur galurmu.
Baiklah. Bertenang dulu. Ambil perhatian ini. Apabila anak-anak dilahirkan yang pertama dilihat ialah ibunya. Keduanya bapanya. Dua orang inilah yang memberi impak besar dalam hidupnya. Impak positif. Impak negatif. Impak kedua-duanya. Begitulah juga abang dan kakaknya yang lebih dahulu terbentuk tingkahlakunya. Maka anak kecil itu belajar dan diajar oleh orang-orang yang paling dekat dengannya. Paling mengasihinya. Paling hampir dengannya. Pancaindranya terarah kepada orang-orang yang terdekat dengannya. Matanya memandang. Telingannya mendengar. Persekitarannya yang paling hampir adalah sekolahnya yang terawal. Dari persekitaran keluarga itulah dia membina peribadi awal dirinya. Sangat malangnya kerana itulah yang paling kuat bertahta di dalam dirinya. Yang kekal lama. Sukar dibuang. Semakin lama semakin menjadi-jadi. Kenakalannya melemaskan ibu apa.
Maaflah. Bagi anak-anak jenis ini kesilapan telah berlaku di rumah. Ibu bapa telah mengajarnya tanpa sengaja. Tanpa niat. Kata-kata ibu adalah doa. Kata-kata ayah adalah doa. Kata-kata abang dan kakak adalah didikan. Si kecil anak itu tidak tahu menyisihkan yang mana hak dan yang mana batil. Tiada siapa pula yang memberinya tunjuk ajar yang paling diperlukannya. Ia telah menerima didikan yang tidak dirancang. Ingattak sewaktu dia menari gelek? Semua orang ketawa. Itulah tarinya yang semakin sumbang bila dia membesar. Ingattak waktu dia menyanyi tanpa nada? Semua orang ketawa tetapi hingga sekarang suaranya menjadi kasar. Ada nada tinggi. Nampak rengus dan dengusnya. Benarlah kata orang didikan itu sejak dari kecil. Caranya kenaq betul. Sistemnya kena betul. Sebab itu adab itu diajar dalam Islam. Adab adalah asas akhlak.
Kesilapan telah berlaku. Do not despair. Masih ada jalan membetulkan keadaan. Yang diperlukan ialah pemikiran. Mencari cara dan kaedah. Belajar dari yang arif. Lihat dulu beberapa aspek yang perlu kita bicarakan. Mula-mula kata-kata lisannya. Kebiasaannya. Sikapnya. Imej dirinya. Disiplin diri. Dan yang paling besar signifikannya ialah agamanya. Anak-anak ini tidak boleh dikasari. Bila dia bercakap kasar, renung matanya dalam-dalam. Tenung setenungnya tanpa bersuara. Tarik nafas panjang-panjang. Dalam-dalam. Ingat, tanpa bersuara. Tahan gelora di dalam. Ajar dia begitu. Bila dia kasar. Diamkan. Renung dan tenung. Jika sedang membuat sesuatu kerja, berhenti berbuat apa-apa aktiviti. Tumpukan untuk memberi perhatian kepadanya. Setelah beberapa ketika, tenungan dan renungan itu diredupkan. Dilemahkan. Pancarkan rasa kasih. Ucapkan terima kasih kerana memberi perhatian. Mudah-mudahan dia mengerti. Dia telah mendapat perhatian yang diperlukannya. Banyakkan menyentuh dirinya.
Ajar dia untuk mengurus diri. Mengemas katil. Mengemas baju. Mengemas bilik. Mengemas bilik air. Mengemas meja makan. Mengems pinggan mangkuk. Mengemas pakaiannya. Mengemas buku dan bahan bacaannya. Tetapi jangan hanya perintah. Ibu dan ayah kenalah memberi teladan. Buat kerja-kerja itu sambil meminta pertolongannya. Biasakan hingga dia boleh dipercayai boleh melakukannya sendiri. Memberi perintah tidak menyelesaikan masalah. Memberi arahan tidak menyelesaikan masaalah. Ikut Rasulullah. Baginda sama-sama menggali parit dalam Perang Khandak. Baru anak-anak akan turut membuatnya. Mereka merasa bahawa tugas itu bukan dia yang tanggung berseorangan. Ia adalah tanggungjawab bersama.
Dalam banyak hal latihan dan amalan agama membentuk banyak hal lain. Solat berjemaah sangat perlu di rumah. Itulah disiplin. Ada kaitan dengan pakaian bersih dan kemas. Tempat solat yang bersih dan suci. Menepati waktu. Berperaturan menjadi makmum. Menghormati orang lain. Dengan patuh kepada amalan harian dia akan menjadi lebih terurus dari segi masa, diri, perasaan dan psikologinya. Beri pujian mana yang boleh. Jangan marah atau jerkah jika dia membuat salah. Ia perlukan bimbingan bukan sergahan. Perlukan tunjuk ajar bukan menyatakan salahnya sahaja yang disebut.
Banyak sebut namanya secara lembut. Membujuk hati dan perasaannya. Berkata yang hak sahaja. Jauhkan membebel dan memgomel. Sewaktu solat banyakkan doa. Mengadulah kepada Allah. Minta petunjukNya. Minta panduanNya. Minta Allah memberi petunjuk. Memberi kemudahan. Ini yang paling penting perlu dilakukan mungkin hampir setiap malam. Sewaktu anak itu tidur. Usap kepalanya perlahan-lahan. Bisikkan ke telinganya harapan dan doa ibu dan ayah. Katakan kepadanya keluhan yang ibu dan ayah rasa. Minta dia mengubah tingkah lakunya. Minta dia menjadi anak yang baik. Minta dia menjadi anak yang lemah lembut. Sopan dan santun. Minta dia meninggikan hati budinya. Minta dia berubah untuk kebaikan dirinya.
Jangan lupa. Beri dia makanan yang halalan toyyibah. Yang suci. Yang halal. Yan berkhasiat. Dimasak dengan ikhlas. Dihidang dengan ikhlas. Di dalamnya ada doa ibu yang memasak. Ada rindu yang mendesak semasa memasaknya. Tertumpah sayang sewaktu menghidangkannya. Lihat suapan tangannya. Doakan setiap suap yang masuk ke mulutnya. InsyaAllah anak itu akan menjadi “orang” seperti yang tuan dan puan mahu. Cubalah. Usahakan seberapa mungkin. Serahkan kepada Allah. Tawakal untuk mendapat jaya.