Siapa yang namanya imam? Semua orang akan jawab bahawa imam ialah orang yang berada di hadapan sekali apabila solat berjemaah. Suami jadi imam kepada isteri. Ayah jadi imam kepada anak dan isteri. Mungkin seorang teman menjadi imam kepada rakan-rakan yang lain. Atau memang orang itu jawatannya imam di sebuah surau atau masjid. Habis cerita. Selepas solat habislah tugas imam. Dia akan membuat kerja lain yang tiada kaitan dengan masjid atau surau atau solat. Tugasnya menjadi khusus untuk solat sahaja. Ia mungkin balik selepas solat. Ada orang lain yang membuat kerja-kerja di masjid. Tugas imam menjadi terlalu kecil. Terlalu terhad. Pengertian itu kita yang menciptanya. Tugas imam itu kita yang menghadkannya. Tugas itu dikecilkan kerana kita memahami dengan begitu. Tugas imam memimpin solat berjemaah. Benarkah begitu? Isu ini besar dalam kaitannya dengan pembangunan ummah. Pembangunan agama. Pembangunan jalan lurus ke syurga. Jika pengertian imam yang sebenarnya tidak diserlahkan maka selamanya kita menganggap bahawa imam buakn orang penting dalam agama. Dia dianggap hanya dan hanya untuk menjadi imam solat berjemaah.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. imamnya adalah Rasulullah sendiri. Abu Bakar menjadi imam. Umar menjadi imam. Uthman menjadi imam. Ali menjadi imam. Bukan orang lain. Rasulullah dan khalifahnya yang empat itu menjadi imam. Orang yang tertinggi jawatannya pada masa itu. Imam ini pula menjalankan berbagai tugas negara dan tugas agama. Hakim, pemimpin perang, perancang keselamatan, perancang pendidikan, perancang ekonomi, sosial dan banyak lagi yang berkaitan dengan maslahah umat. Maksudnya imam adalah orang yang memimpin apa sahaja yang boleh dipimpinnya. Memiliki ilmu yang tinggi. Akal budi yang luhur yang selari dengan agama. Menjalankan keadilan dengan saksama. Menyelesaikan segala masalah negara dan agama. Tempat rujukan umat apabila ada sebarang isu yang relatif. Yang tidak dapat dihuraikan oleh orang lain. Jika kita turunkan dalam konteks kita sekarang imam sewajarnya berperanan menjalankan tugas-tugas agama dan sosial. Malangnya dalam keadaan sekarang imam hanya memimpin solat berjemaah sahaja. Lihatlah di mana-mana masjid dan surau, imam bukan orang yang memimpin Jawatankuasa masjid atau surau itu.
Kita berbicara tentang cara memakmurkan masjid dan surau. Saya ingin fokus kepada masjid. Konsep surau kepada kita sangat terpencil. Di Jordan umamanya saya belum berjumpa surau. Yang ada ialah masjid. Kadang-kadang agak berdekatan. Laungan azan didengar antara sebuah masjid dengan sebuah masjid yang lain. Maaflah. Surau di Malaysia kadang-kadang seperti lebih diutamakan dari masjid. Masjid hanya untuk solat Jumaat sahaja. Pada waktu yang lain masjid tidak begitu ramai. Orang kita selalu fokus kepada surau sedangkan yang perlu diutamakan ialah masjid. Yang perlu dimakmurkan ialah masjid. Pahalanya lebih besar. Darjatnya lebih tinggi. Apabila dibina surau maka masjid menjadi nombor dua. Sebabnya jauh dari rumah. Andaian kita masjid atau surau sama sahaja. Asalkan berjemaah. Barangkali kita kena mengaji semula. Yang mana lebih aula. Lebih afdhal. Jika Rasulullah masih hidup tentu baginda menggesa kita ke masjid. Bukan surau.
Jawatan imam di masjid dan surau tidak lagi mengambilkira kelayakan akademik atau kelayakan agama. Asalkan boleh jadi imam cukuplah. Boleh berwirid sudah memadai. Boleh bertahlil sudah dikira cantik. Lihat semula tugas dan peranan imam. Sewajarnya imamlah yang menyusun dan mengurus pembelajaran al-Quran, fardhu ‘ain, aktiviti masjid. Aktiviti masyarakat, permasalahan setempat seperti pendidikan agama, ekonomi dan berbagai lagi. Banyak kampung yang tidak ada mereka yang pandai ilmu agama. Imamlah yang seharusnya mengambil tugas mengepalai hal-hal yang berkaitan dengan agama. Maaf. Saya cuba hindarkan hal-hal yang berkaitan dengan adat. Jangan bebankan imam dengan hal adat istiadat. Cukup dia menjalankan hal-hal yang berkaitan dengan agama dan masyarakat. Termasuklah sosio-budaya-ekonomi. Berapa banyak hal jenayah yang berlalu di kampung. Tentu ada penyelesaian agama. Jika semua orang lelaki ke masjid jenayah dapat dibateras. Mungkin mereka yang tidak ke masjid itulah penjenayahnya. Begitu juga dengan masasah munakahat (rumahtangga). Imam yang boleh menyelesaikannya.
Mari kita fikirkan semula orang yang namanya imam. Yang jawatannya imam. Yang tugasnya imam. Dia hendaklah memiliki kelayakan akademik yang menasabah. Ilmu agama yang menasabah. Menguasai pembacaan al-Quran. Fasih sebutannya, betul tajwidnya, bertenaga (power) suaranya, memiliki kewibawaan sebagai pemimpin dan berminat memimpin. Di samping itu dia perlu tahu hadith, sirah Rasulullah dan perjalanan Islam dari zaman awalnya hingga sekarang. Orangnya sensitif tantang agama. Berpandangan jauh. Sekiranya boleh diusahakan, imam hendaklah seorang yang hafiz. Hafal al-Quran. Elaun bulanan yang diterimanya seharusnya menjamin dia tidak ada masalah kewangan. Elaun imam + elaun seorang hafiz + mengajar al-Quran + elaun mengajar fardhu ‘ain. Saya kira elaunnya kira-kira RM800 (elaun imam dibayar oleh JAKIM) + RM1,000 (elaun hafiz dibayar oleh kerajaan negeri) + RM500 (atau lebih elaun mengajar al-Quran) + RM800 (elaun mengajar fardhu ‘ain) = RM3,100. Banyak? Sekadar cukup. Imam tidak perlu kerja lain. Dia duduk di masjid sahaja. Makan dan minumnyn sudah disediakan. Tidak lagi perlu ke ladang sawit atau memandu lori atau menjaga kedai atau berniaga kecil-kecilan. Kita yang perlu memberi nilai jawatan imam itu. Selain daripada itu imam mengurus masjid. Mengurus aktiviti masjid. Menjadi hakim di kampung atau qariahnya.
Situasi sekarang bukan begitu kedudukannya. Ada ketidaselarian dalam menjalankan tugas yang berbagai. Di setiap masjid dan surau ditubuhkan jawatankuasanya masing-masing. Dalam keadaan tertentu aktiviti adat dan sosial lebih ditonjolkan berbanding aktivit agama. Aktiviti yang bebentuk adat melimpah ruah hadirin dan hadiratnya. Kuliah agama pula hanya dihadiri oleh beberapa kerat jemaah sahaja. Input perut pula lazimnya lebih banyak dari input minda. Input agama. Majlis berhimpun sebelum solat Maghrib. Selepas solat majlis makan. Selepas makan ramai yang pulang ke rumah dan tidak datang lagi hatta untuk solat Isya’. Jika ada ceramah audiennya sedikit. Jika ada halaqah audiennya menyusut. Jadikanlah diri kita aktivis agama. Atau aktivitis masyarakat. Bagaimana keadaan ini perlu diperbetulkan. Kita perlukan imam yang berwibawa bukan jawatankuasa yang lebih kepada pentadbiran. Imam dan mudir sepatutnya adalah orang yang sama. Imam di atas. Orang lain membantunya. Jika ada orang berminat menjadi mudir masjid, tugas imam hendaklah diserahkan kepadanya.
Di Jordan sebagai contoh, imam berkhutbah Jumaat tanpa teks. Syarat dan rukun khutbah dipenuhi. Tetap ada dua bahagia khutbah. Yang menariknya ialah ayat-ayat al-Quran bermain di bibirnya. Hadith menunggu untuk diungkapkan. Kisah-kisah sahabat, tabi’ien, tabi’ tabi’ien dan ulama’ terdahulu sangat mudah keluar dari bibirnya. Cerita tentang Rasulullah bukan perkara sukar diingatnya. Sudah menjadi kebiasaannya untuk membaca dan mengingat hal-hal itu. Bila berkhutbah semuanya lancar meluncur keluar dari bibir imam yang juga pembaca khutbah. Sebab itu di Malaysia pembaca khutbah dipanggil khatib kerana pada suatu waktu dahulu imam itulah yang menulis teks khutbah. Penulis dalam bahasa Arab ialah khatib. Jika di Malaysia imam berkhutbah tanpa teks tetapi penuh dengan nas, hadith dan riwayat sahih alangkah baiknya. Rindu situasai begitu. Imam memang seharusnya berwibawa. Agen yang memberi kesegaran agama. Mengurus perubahan minda untuk beragama. Menjalankan aktiviti yang menarik minat semua golongan. Dari orang tua hingga kepada kanak-kanak. Barangkali itu antara cara mengembalikan peranan masjid seperti zaman Rasulullah dahulu. Seluruh aktiviti masyarakat dan agama berpusat di masjid. Disegerakkan dan berintegrasi bentuknya.