Saturday, November 5, 2011

Nasi Lemak Buah Bidara – Pantun Yang Hilang Manfaatnya

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih saya turutkan.


Saya petik saripati ceramah seorang ustaz. Pantuan ini sudah luput waktu. Lapuk kerana di luar konteks. Dulu mungkin dikatakan benar. Sekarang ini kita buat penilaian semula. Ia pantun derhaka anak kepada kedua ibu bapa. Dari segi agama ianya di luar had dibenarkan. Untuk masa kini dan selamanya tidak perlu pantun ini disebut. Tidak perlu diingat. Manfaatnya sudah tiada. Keluarga tiada putusnya. Ibu bapa tiada gantinya. Suami tidak boleh mengganti ibu bapa. Kekasih lagilah jauh di bawah tarafnya. Buang emak derhaka. Buang bapa derhaka. Kita harus ingat bahawa redha ibu bapa adalah redha Allah. Menafikan keutamaan ibu bapa bermakna menempa bala Allah. Alangkah ruginya menurut rasa kasih yang tidak bertanggungjawab. Mereka yang terlibat ramai yang boleh bercerita. Cerita duka yang banyak kurang bahagianya. Hanya kesilapan menilai fakta. Yang dilihat hanya yang menyedapkan mata. Yang tersirat tidak pandai hendak dibaca. Rujuklah orang tua yang selalu boleh membaca cerita orang lama-lama.

Terlalu banyak ceritanya. Riwayatnya tidak selalu berakhir dengan tragic comedy. Ada yang bahagia selama-lamanya. Namun tidak kurang juga yang berangkai-rangkai. Kusust masai.  Malangnya yang menjdi mangsa ialah wanita. Lazimnya wanita muda. Wanita yang kurang maklumat? Kurang tahu hal-hal wanita? Wallahu ‘alam. Saya mungkin daif dan naif mengenai hal ini. Di mana silapnya. Segala sistemnya sudah ada. Peraturannya ada. Kenapa masih menyeberang ke sempadan mencari yang ada di sini sebenar-benarnya. Yang di sini realiti. Bukan ilusi. Perlukah menjauh untuk mendapat apa yang fitrah. Ada halangan? Entahlah. Ada hal-hal yang dasar perlu difahami. Anak-anak perlu tahu setakat mana had yang perlu dilangkahi. Tidak melampaui batas yang ada. Terlajak perbuatan hanya musibah sahaja yang menempa. Cerita derita. Cerita seksa. Cerita tida ada rupa.

Adakah wanita Malasyia banyak tidak mengertinya? Laporan-laporan dari semasa ke semasa seolah-olah mengesahkan bahawa wanita, khususnya yang muda, tidak memiliki pertahanan diri. Bukan silat. Buklan tae-kwan-do, bukan karate, bukan judo, bukan dan bukan. Maksud saya ilmu. Yang penting ialah ilmu megenal diri. Mengenal hak-hak diri. Ilmu untuk hidup. Survival kendiri.  Yang ingin menjadi madu tidak tahu harga dirinya yang sebenar. Menikah di luar negara gara-gara tentangan isteri pertama atau kedua atau ketiga. Tentangan ibu bapa sendiri. Bila menikah di luar negara isteri baru ini tidak tahu akan  hak-haknya dari segi agama dan perundangan negara. Hak agama dan hak sivil. Akibatnya wanita juga yang menanggung konsekuen yang melambak-lambak. Anak-anak menjadi mangsa kerana pernikahan yang tidak didaftarkan. Atau dirahsiakan. Harta suami mungkin telah diwasiatkan kepada isteri pertama. Maka berangkailah masalah hidup lara seorang yang lara. Untuk melaporkan kelahiran anakpun menjadi masalah. Untuk sekolah lagilah lebih rumit. Itu belum jika berlaku perceraian. Atau berlaku kematian suami. Si isteri hilang banyak haknya. Harta pusaka mungkin sukar dituntut.

Memilih pasangan bagi wanita muda Malaysia seolah-olah tidak perlu difikirkan. Ambil mudah sahaja. Suami bukan calang-calang orang. Ia mestilah lelaki pilihan dalam banyak aspek. Dalam entri yang terdahulu saya telah gariskan kaedah hendak mencari jodoh terbaik. Landasannya Islam. Kali ini saya ingin sentuh aspek lain. Aspek menggunakan akal fikiran. Diri kita bukan hanya sekujur tubuh. Pada tubuh ini ada konsep fizikal. Penuh dengan anggota yang melengkapkan badan. Dalamannya ada roh. Anugerah paling besar dari Allah ialah akal. Ramai orang yang tiada masalah dengan fizikalnya. Cukup makan, besarlah. Cukup usia, dewasalah. Cukup masa, tualah. Hanya yang tidak menjaga kesihatan akan kerap sakit. Yang keturunannya ada sesuatu penyakit turunan akan sakit mungkinnya. Masalah besar kita ialah roh dan akal.

Setakat mana kita memenuhi keperluan roh. Yang paling utama ialah ilmu. Keutamaannya ialah ilmu agama. Ilmu sosial. Kita bukan sahaja fokus kepada IQ (kemahiran intelek). Kita mesti juga ada SQ (kemahiran sosial), SpQ (kemahiran rohani), AQ (kemahiran menghadapi cabaran) dan banyak lagi Q yang lain. Ada yang menjadi pelengkap. Q adalah juga kualiti. Akhirnya kita melihat akal kita. Di mana kita dari segi kebijaksanaan. Dari segi berakal. Panjang akal. Tajam akal. Berfikiran jauh. Berwawasan. Melihat yang tersirat. Makna-makna yang hanya dilambang-lambangkan sahaja. Memahami yang tersurat tidaklah sesukar mana. Banyak perkara difahami secara literal. Baca yang tertulis. InsyaAllah boleh faham. Yang lebih sukar ialah memahami hal-hal yang tersirat. Yang tersembunyi. Yang perlu ditafsir. Diterjemah. Untuk akhirnya direalisasikan. Dimenifestasikan. Digarap untuk menjadi yang terbaik. Untuk kebahagiaan diri yang hanya kita yang boleh merencanakannya dengan izin Allah.

Bila berkahwin dengan suami orang banyak risikonya. Sebagai orang baru, isteri tidak tahu perangai sebenar suaminya. Isteri yang lain sudah memahami. Maka apabila sudah ternikah susah hendak mengundur. Jika diundur banyak padahnya. Apalagi jika sudah beranak pinak. Suami itu bukan miliknya seorang. Maaflah, ada lelaki yang hanya mencari manis. Bila sudah dikecap madunya tinggal sepahnya. Maka isteri itu akan ditinggal-tinggal selalu. Dia lebih damai di rumah isteri tua barangkali. Wanita yang baru dikahwini hanya pemuas egonya sahaja. Sudah dapat bererti suatu kemenangan kepadanya. Menjadi bangga diri. Wanita menjadi piala untuk ditatap bukan untuk menjadi teman hidup yang sebenarnya. Ia lebih kembali kepada isteri tua yang lebih lama dikenali. Lebih masak dengan dirinya. Keadaan semakin buruk jika wanita muda yang dikahwininya tidak memiliki ciri-ciri keindahan isteri yang tua. Lazimnya dia mencari yang serupa atau yang lebih baik. Paras rupa bukan penentu terakhir. Wajah cantik hanya banyak untuk menyedapkan mata. Yang dicari akhirnya ialah yang menyedap hati. Mendamaikan akal. Menyenangkan perasaan.

Makan minum dan sara hidup yang lain mungkin menjadi tidak menentu. Isteri muda tanggung sendiri. Itu belum yang terpikat dengan warga asing.  Buang emak buang saudara adalah ideologi yang merosak akal. Hilang kewarasan akal. Begitulah selalunya. Hilang sudah kesiumanan yang ada pada wanita Melayu. Hilang akal budi. Pupus cara berfikir yang rasional. Pincang dalam memikir masa depan. Ramai warga asing yang berumur sebenarnya sudah beristeri di negara mereka. Di sini dia mencari wanita untuk menemaninya. Nanti bila tua dia akan kembali ke negara asalnya. Tinggallah yang memang tinggal di sini. Jika banyak harta ditinggalkan, alhamdulillah. Jika tidak kekallah kais pagi  makan pagi, kais petang makan petang. Tiada apa yang mengubah keberuntungan diri. Malangnya ramai pula yang mengikut suami kembali ke negara asal. Pernah terfikir tentang terlalu banyak perbezaan budaya dan amalan hidup? Bahasanya lain. Maksudnya lain. Gaya hidupnya lain.  Adat resamnya lain. Makan minumnya lain. Layanan orang-orangnya lain. Kesemuanya menjadi suatu himpitan yang menyakitkan. Itu belum lagi kemiskinan yang ada di mana-mana. Di Malaysia semua orang hidup tenang. Makan minum jarang tidak ada. Kebanyakan masa makanan terbuang-buang. Pembaziran yang seperti dirancang. Menjadi lupa kerana terlalu mewah.

Rasanya menjadi tugas ibu dan bapa untuk menyediakan minda anak-anak, khususnya yang perempuan, untuk bersedia menghadapi cabaran-cabaran hidup masa kini dan masa akan datang. Janganlah cinta dijadikan sebagai alasan tidak beralas. Cinta mesti dilindungi dengan akal yang waras. Dengan panjang fikir. Bercinta semuanya indah belaka. Hatta kata orang kentutnya dihidu wangi. Kehilafannya sentiasa dimaafkan. Tetapi kehidupan berumahtangga bukan bak belayar di laut tenang. Banyak yang perlu dijangka. Yang perlu dihadapi. Yang perlu dirancang. Yang perlu diambilkira. Sementelahan pula masa hadapan adalah sesuatu yang abstrak. Hanya kelihatan sayu diufuk yang jauh. Mungkin dilingkari pelangi indah tetapi hanya mampu dilihat. Dirakam dalam minda. Dalam imej-imej abadi. Perkahwinan adalah sesuatu yang dirancang untuk diharungi dengan apa bentuknya sekalipun. Namun bukan maksud mencari bala. Mencarai batu untuk digalas. Mencari dan mendukung biawak hidup. Berkahwin untuk mencari kebahagiaan. Bukan untuk mendapat musibah yang bertali arus. Yang bertimpa-timpa. Yang bagai sudah jatuh ditimpa tangga.

Wanita muda Malaysia perlu dianjakkan paradigmanya. Menjadi orang-orang yang dinamik. Berfikiran jauh. Boleh menggambarkan masa hadapan yang dirancang dengan izin Allah. Masa banyak mengajar untuk menjadi yang lebih baik. Perkasakan diri untuk mencapai yang tertinggi dalam hidup. Harus punya kewarasan fikiran. Kewarasan tindakan. Kewarasan mencari yang terbaik. Tambahkan ilmu sama ada secara ilmiah atau melalui pengalaman. Banyakkan pengamatan. Serap pengalaman pancaindera sebagai anak muda. Belajar dari orang tua. Belajar tidak mengulangi kesilapan orang terdahulu. Pengalaman adalah guru yang praktikal. Ramai yang telah melaluinya. Lebih banyak benar dari salahnya. Lebih banyak baik dari tidaknya. Wanita muda bukan untuk diremehkan. Mereka sepatutnya menjadi binaan untuk memperkukuh entiti dan identiti bangsa. Semua dilakukan mestilah dengan penuh tanggungjawab. Bercintalah dengan tanggungjawab. Berkasihlah dengan tanggungjawab. Ambillah tindakan dengan tanggungjawab. Kesilapan yang dibuat hanya sekali mungkin memberi padah seumur hidup. Lagipun dalam mencorakkan kehidupan kadang-kadang kita tidak diberi peluang untuk membuat kesilapan.

Semuanya mestilah dengan restu ibu. Restu bapa. Restu ibu paling mujarab. Terdetik cacat hati ibu maka akan ada ketidakmanisnya pada masa hadapan. Firasat ibu yang sangat halus. Jangan remehkan pandangan ibu. Jangan perlekehkan pendapat ibu. Jangan abaikan kata ibu. Jangan nyahkan kebimbangan ibu. Restunya doa. Restunya ada nada bahagia. Restunya mungkin jaminan syurga dengan izin Allah. Pandanglah ibu lama-lama. Pada rona wajahnya ada harapan yang teragung untukmu. Harapan seorang ibu.

No comments:

Post a Comment