Setelah enam bulan
di Jordan teringin pula berhijrah ke negara lain yang banyak keserupaannya.
Sewaktu menikahkan anak pada akhir bulan Mac 2013 yang lalu banyak info yang
menjadi input untuk berfikir semula. Pada asalnya saya dan isteri ingin berada
di Jordan selama kira-kira dua tahun.
Jika tidak mumtaz dalam bahasa Arab, boleh membaca dan bercakap sudah
cukup bagus untuk diri sendiri. Untuk menambahnilai kekurangan diri yang belum
ada. Pengalaman pertama di Kaherah membuka suatu lembaran untuk muasabah diri.
Menilai semula kedudukan. Membandingkan antara lebih dan kurangnya. Antara baik
dan lemahnya. Antara dua ekonomi yang berbeza. Antara dua suasana persekitaran
yang berbeza. Tergerak hati untuk berhijrah. Dalam banyak pertimbangan
selalunya kita memikirkan tentang kos. Keduanya tentang nilai tambah yang akan
diperolehi. Seterusnya impaknya dalam jangka panjang. Insan seperti kita selalu
berusaha mencari yang terbaik untuk dirinya. Apabila ada hal-hal yang kurang
selesa kita cari puncanya. Kita atasi segera. Buat keputusan yang bersesuaian.
Yang penting natijahnnya membahagiakan. Berhijrah mencari kebaikan tambahan. Di
manapun ada lebih dan ada kurangnya.
Jordan adalah
sebuah negara yang agak damai. Pemerintahan beraja yang sedia ada dapat
mengawal keadaan. Namun begitu kursus
yang saya ikuti agak tinggi kosnya. Pakej kedua USD500 sebulan. Atau RM1,500
seorang. Dua orang bermakna RM3,000. Pakej itu meliputi sewa rumah,
pengangkutan, yuran pengajian, insuran, internet dan kad sim telefon serta tiga
lawatan ke tempat bersejarah. Tempat tinggal di kawasan bandar. Tetapi jauhnya
dari universiti kira-kira 45 minit. Banyak masa terbuang dalam perjalanan.
Semua kos itu tidak termasuk makan dan minum dan lain-lain keperluan diri.
Tambang pergi dan balik dari Malaysia juga di luar pakej tersebut. Semua kos
bernisbahkan satu kepala. Bolehlah hidup tetapi terasa juga peritnya berhemah
dalam berbelanja. Alhamdulillah ada bantuan dari anak-anak. Memberi keringanan
dan berfikir dalam merencana kehidupan di rantau orang. Wang pencen sahaja
sekadar antara cukup dengan tidak. Walau bagaimanapun enam bulan berjaya
dilalui dalam debaran-debaran jangkaan.
Sekarang kami di
Kaherah, Mesir. Bumi anbia yang lahir di sini nabi Musa. Seorang nabi ulul
azmi. Antara nabi yang banyak cubaannya. Pengikutnya orang Israel yang banyak
kerenahnya. Banyak mintanya. Banyak tuntutannya. Banyak tidak syukurnya. Banyak
kufurnya. Di bumi ini nabi Musa menentang Firaun. Banyak mukjizat kepada nabi
Musa. Tongkatnya yang menjadi ular besar menelan semua ular ahli sihir Firaun. Kerananya
ahli-ahli sihir tersebut sujud mengakui wujudnya Allah seperti yang selalu
didakwahkan nabi Musa. Mukjizat besar yang lain ialah laut yang terbelah 12
untuk dilalui oleh 12 kabilah Israel. Masing-msing dengan lorong masing-masing.
Filem The Ten Commandments lakonan
Charleston Heston cuba menggambarkan dinding air yang terbentuk sewaktu laut
terbelah. Tahun-tahun 60an dahulu. Sewaktu lawatan saya ke Universal Studios
pada tahun 1990 dahulu bas yang saya naiki melalui lorong buatan yang membelah
laut. Untuk set filem mereka membina dinding kaca. Terasa juga bas itu antara
air dengan air. Antara dinding dan dinding yang lain. Realiti ketika nabi Musa
membawa kaumnya keluar dari Mesir tentulah lebih gawat. Lebih cemas. Tentulah
iman mereka ketika itu kuat. Mengimani bahawa air itu sebenarnya memang
terpisah. Memang Allah menjanjikan keselamatan dan keamanan kepada bani Israel
itu.
Di bumi anbia ini Allah
tenggelamkan Firaun di tengah lautan. Ketika bani Israel sudah selamat di
seberang laut. Ketika debar mereka sudah reda. Tenggelamlah Firaun dengan
kekufurannya. Ribuan tahun kemudian kuburnya ditemui di piramid. Memanglah
Firaun terlalu zalim kepada dirinya dan kepada rakyatnya. Terutamanya kepada
bani Israel. Allah rakamkan kisahnya untuk ditonton oleh manusia kemudian. Bukti
bahawa al-Quran jauh mendahului catatan sejarah manusia. Menginsafkan supaya
mengakui bahawa kita semua diciptakan Allah. Tiada kuasa menciptakan walau apa
sekalipun kecuali dengan izin Allah. Mumminya tidak menggambarkan manusia yang
gagah perkasa. Hanya kerangka yang lemah walaupun diawet. Tiada lagi kuasa
menghidup atau mematikan. Dirinya sendiri tenggelam hingga Allah mematikannya tanpa
dia sendiri ada apa-apa kuasa untuk menahan kuasa Allah. Sekarang ini mummi itu
hanya suatu tontonan di muzium. Rakaman Allah di dalam al-Quran ribuan tahun
dahulu semuanya membenarkan kenyataan. Secara mutlak orang sekarang mendapat
input yang bukan kepalang.
Di bumi ini juga
lahirnya nabi Harun. Adik nabi Musa. Dua beradik ini sama-sama berbantu-bantu
untuk menentang Firaun. Sama-masa menyelamatkan bani Israel dari ancaman
Firaun. Sama-sama menyeberang laut untuk menyelamatkan dari ancaman bahaya
Firaun. Sewaktu nabi Musa menerima wahyu di Bukit Tursina, nabi Harun yang
membantu mengawal karenah orang Israel. Di Petra, Jordan terdapat sebuah makam
yang dikatakan makam nabi Harun. Tinggi di puncak sebuah gunung di Petra
tinggalan orang Anbat. Makam nabi Musa pula berada di tempat lain. Kita tidak
juga lupa akan kisah nabi Yusof yang menyelamatkan Mesir dari bahaya kemarau
selama tujuh tahun. Dari Syam nabi Yusof diselamatkan ke Mesir dari ancaman
saudara-saudaranya sendiri. Di bumi ini baginda menjadi menteri yang
dipercayai. Tujuh tahun yang mewah dirancang supaya menyimpanan bekalan makanan
untuk tujuh tahun yang menyukarkan kerana kemarau panjang. Air yang tiada alirnya tidak memungkinkan
tanam-tanaman dapat hidup yang memberikan hasilnya. Maka persediaan yang rapi
dirancang supaya negara Mesir terhindar dari bencana kebuluran.
Kita tidak juga lupa
kepada Qarun. Orang terkaya pada zamannya. Dia memohon untuk menjadi kaya tanpa
menyedari bahawa kekayaan yang tidak diurus secara syarie menjadikannya terlalu
terikat dengan keduniaan hingga melupakan Allah dan hari akhirat. Kaya tiada
halangan dalam Islam. Syaratnya semua tuntutan Allah hendaklah disempurnakan.
Zakat, derma, dan segala jenis infaq hendaklah ditunaikan. Barulah harta
kekayaan memberi erti kepada memiliknya dan kepada mereka yang berhak
menerimanya. Dalam Islam tiada kaya
untuk diri sendiri. Kekayaan adalah milik Allah. Maka segala tuntutannya
hendaklah ditunaikan. Pemilikan itu bukan mutlak. Semuanya milik Allah. Jika
tidak Allah mengambilnya semula. Tiada halangan kerana kesemuanya milik Allah. Kisah
Qarun dicatatkan sebagai sangat kaya.
Kunci gedungnya sahaja memerlukan beberpa ekor unta. Allah azabkannya.
Ditenggelamkan kesemuanya kecuali sedikit sahaja yang tertinggal. Untuk
tontonan orang kemudian. Bahawa sesiapa sahaja munusia yang ingkar kepada perintah
Allah dibalas dengan azab yang pedih. Ada yang dari dunia hingga akhirat.
Mesir bumi bertuah.
Kisahnya panjang dan berpanjangan. Nantilah perlahan-lahan akan saya bingkiskan
dari Kaherah. Untuk satu kesempatan seperti ini hanya cebisan kisah yang dapat
dititipkan. Jika ada kesempatan akan saya buka lembaran yang lebih besar. Nanti
sama-sama kita kongsi untuk melihat diri kita sendiri sebenarnya. Kita datang
dari orang terdahulu. Sebagai orang terkemudian kita mewarisi mereka yang
terdahulu. Akal dan ilmu membantu kita keluar dari kekufuran orang terdahulu.
Semoga kita mendapat jalan yang diredhai Allah. Sesungguhnya bumi Mesir yang
penuh sejarahnya ini akan menjadi rumah saya sekarang. InsyaAllah akan saya garap sejarahnya. Akan saya
garap keindahannya. Akan saya garap denyut nadi kehidupannya. Walaupun sekarang
gamat di Mesir masih belum reda, saya bukan berada di kawasan panas. InsyaAllah
Allah menghindarkan saya dan isteri dari mara bahaya.