Wednesday, July 25, 2012

Ramadhan Yang Payah Mengekang Nafsu

Bila datang Ramadhan kita berpuasa. Sangat luas pengertiannya. Puasa bukan hanya sekadar menahan lapar dan haus. Ianya bulan mendidik nafsu. Nafsu mazmumah. Nafsu amarah yang perlu dijinakkan. Ada kegilaan yang tentunya komersil. Ramadhan yang dikomersilkan. Pada bulan-bulan yang bukan Ramadhan kita selalu siauman. Waras. Rasional. Berprinsip dan logik. Praktikal. Makan yang biasa. Minum yang biasa. Makan di rumah dari di kedai. Bukan di restoran. Bukan di hotel.  Bukan di eating house. Setiap hari rutin. Tiada yang Luar biasa. Semua biasa-biasa sahaja. Kita menjadi orang yang normal. Manusia biasa yang sifatnya hanya sekadar mahu makan. Bukan ada niat lain. Isi perut. Kenyang. Simpan tenaga. Kekalkan tenaga kerana hidup yang panjang lagi. Untuk mengekalkan stamina beragama. Kerana Allah. Mencari keredhaanNya.

Bila Ramadhan datang kita diperintahkan untuk mengekang nafsu. Berjimat tetapi banyak bersedekah. Kedekut dengan diri tetapi pemurah kepada orang lain. Tidak melayan sangat kehendak diri. Bulan untuk tidak memanjakan selera  sendiri. Sebaliknya membantu orang lain yang memerlukan. Kita sudah biasa dengan bermewah-mewah sepanjang 11 bulan. Sudah biasa kenyang yang terlampau-lampau. Ramadhan ini kita dituntut supaya melekangkan diri dari kebiasaan itu. Yang selalu perlu diingat ialah watch what you eat. Where you eat. How much you eat. How you eat. Rupanya yang kita lihat Ramadhan adalah pesta makan. Bukan makan-makan tetapi gilakan makan. Berlaku pembaziran kuantiti. Pembaziran masa. Pembaziran kos. Pembaziran pahala. Pembaziran barakah. Pembaziran manfaat.  Kemungkinan  riak. Jimat yang tidak dapat dilaksana. Orang biasa sibuk di bazar Ramadhan. Orang berada sibuk di hotel dan restoran. Pesta makan yang berbeza pelakunya. Ramadhan yang puasanya tidak menentukan kekuatan diri dan iman. Pengajaran yang menipis kerana jauhnya dari barakah.

Orang lain mengimarahkan masjid dan surau. Mereka lambakkan makanan dan segala macam juadah. Jamuan untuk orang berpuasa. Pahala. Pahala. Di Makkah dan Madinah orang berebut-rebut memempa ruang untuk memberi sedekah kepada orang berpuasa. Mungkin hanya sebiji kurma dan segelas air sejuk. Di sana tentunya air zam-zam. Tiada lain yang lebih baik. Bayangkan nikmatnya berbuka di hadapan suasana syahdu sebuah masjid. Masjid besar. Masjid mulia. Masjid yang menebarkan gandaan pahala.  Manusia berpusu-pusu mencari pahala. Mencari keredhaan Allah. Mencari ganjaran akhirat. Mana ada bazar Ramadhan di sana. Carilah. Memang tidak ada. Orang leka beribadat. Mengambil kesempatan yang sepenuh-penuhnya untuk mendapat bonus pahala yang tidak ada di bulan lain. Bulan istimewa yang tiada tolok bandingnya.

Berapa billion yang di belanjakan untuk menikmati buffet Ramadhan di negara kita. Suatu jumlah yang besar. Andainya setiap hari yang dibelanjakan itu di hulur ke masjid dan surau rasanya semua orang kekenyangan. Setiap hari yang mengenyangkan. Lagipun kadar kenyang sebenarnya menurun dari hari ke hari. Perut semakin  kecut. Pengisiannya semakin berkurangan. Setiap hari. Bagaimana jika wang yang untuk makan itu didanakan. Biayai anak-anak yang belajar di tahfiz. Yang belajar agama. Yang menjadi pejuang-pejuang agama. Yang berjihad menuntut ilmu. Yang kekurangan modal untuk berniaga. Maksudnya belanjuakan wang itu untuk akhirnya menjadi produktif. Impak positif untuk umat Islam. Wang itu dikembalikan kitarannya kepada umat Islam. Tidak lagi ke poket orang lain.

Pernah kita fikirkan tentang kebersihan yang syar’i. Kesucian yang syar’i. Halal yang syar’i. Bahannya. Proses memasaknya. Perkakas yang dipakai. Cara menghidang. Tukang masaknya. Kita belum bercakap tentang pramusajinya yang tidak menutup aurat. Suasana yang tidak Islamik. Percampuran yang tunggang langgang. Yang berbuka tidak berpakaian Islamik. Suasana berbuka itu tidak seperti di rumah. Tidak seperti di masjid. Tidak seperti di surau. Suasana asing yang menciplak. Yang dikomersilkan kerana keuntungan sementara. Lepas berbuka di mana solatnya. Tarawihnya. Doanya. Zikirnya. Tadarus Al-Qurannya. Tazkirahnya. Jika pulang selepas solat Maghrib di ruang yang disediakan tentunya setiap orang kekenyangan. Keletihan makan yang melebihi keperluan. Barangkali sempat solat Isya’ sahaja. Tidur yang nyenyak menanti.

Maka tidak terbina ukhwah yang dituntut supaya dipereratkan. Mereka yang ke eating house membentuk komunitinya sendiri. Yang ke bazar Ramadhan ada komuniti sendiri. Pertemuan di majsid dan surau tidak terjadi. Masing-masing membina dunia mereka sendiri. Cuba fikir siapa yang membina suasana itu. Mereka yang mencari keuntungan tentunya. Mereka yang berada di dunia komersil. Mereka yang kadang-kadang (maaf) bukan Islam. Halus dan halus. Sangat seni. Jarum yang mencucuk akidah. Mencarik ibadat. Mengguris akhlak Islamiah. Ramadhan yang dikomersilkan. Kita tidak lagi berniaga dengan Allah tetapi leka berniaga dengan manusia. Berniaga dengan Allah tidak pernah rugi. Sentiasa untung. Berniaga dengan manusia dengan berbuka puasa belum tentu untung. Makanan mungkin tidak seenak mana. Makan tidak sebanyak mana. Hanya komersil sahaja. Berbuka puasa jadi agenda sosial. Bukan lagi agenda agama.

Orang Islam sendiri yang perlu ada kesedaran. Keinsafan kerana jalan lurus yang dibengkokkan. Laluan yang semakin disukarkan. Jika tidak difikirkan kita menjadi mainan ahli korporat. Menjadi sumber mereka meraih keuntungan. Mereka kaya. Mereka untung. Mereka mewah. Kita hanya menjadi bidak-bidak yang ditolak ke hadapan. Bidak-bidak yang menjadi makanan usahawan. Kita bersungut barang-barang semuanya mahal. Namun di bazar Ramadhan yang dibeli tidak berkira. Kuantitinya ikut selera. Wang dibelanjakan tidak dikira. Yang dikira selera sebelum berbuka. Waktu berbuka kenyang dengan meminum segelas air. Semua yang letih dibeli petang tadi hanya untuk dilihat. Tidak mungkin dilahap lagi kerana  kekenyangan sewaktu meronda bazar Ramadhan masih belum reda.

Kita ada acuan watak Ramadhan yang ditentukan Allah. Yang diproses oleh Rasulullah. Yang diperwatakkan oleh para sahabat. Yang diwarnai oleh ilmuan-ilmuan Islam zaman tabi’n, tabi’ tabi’n dan zaman-zaman selepasnya. Jarak waktu menjauhkan yang biasa. Menghilangkan yang ada. Meranapkan yang dibina berkurun-kurun lamanya. Malang sungguh kita berpesta di bulan Ramadhan. Allah pula mempastikan syurga dihias secantik-cantiknya kerana meraikan Ramadhan. Kita tidak meraikan Ramadhan. Yang kita raikan Syawwalnya. Persepei yang selalu salah. Bahawa berpuasa sebulan maka hari rayanya juga sebulan. Malah di setengah tempat hari raya hingga tiga bulan. Islam hanya memberikan hari raya sehari sahaja. Satu Syawwal sahaja. Pada hari kedua kita dituntut berpuasa lagi. Maknanya yang dituntut ialah ibadahnya. Bukan makannya yang tidak pernah kenyang-kenyang. Benarlah agaknya bangsa yang terlalu makan kenyang menjadi bangsa yang kurang menjadi. Bangsa yang terlalu lapar juga tidak menjadi. Bangsa yang menghargai makan lebih menjadi.

Arah kita perlu diperbetulkan. Kita makan yang halal. Yang bersih. Yang suci. Yang toyyibah. Kita makan kerana perlu makan. Makan kerana hendak hidup dan menghidupkan. Fizikal dan rohani. Bukan hidup kerana hendak makan. Marilah kita buat penilaian semula tentang Ramadhan al-Mubarak ini. Saban tahun kita buat perubahan yang lebih baik. Lebih positif. Meriahkan Ramadhan dengan ibadat. Apa sahaja ibadat yang syar’i. Yang dituntut. Yang sudah digariskan sejak dari dahulu lagi. InsyaAllah puasa kita diberkati Allah.