Saturday, April 6, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Pernikahan Yang Mengujakan


Saat-saat yang berbaki sebelum menjadi suami. Menamatkan zaman bebas seorang lelaki. Apabila hatinya sudah bulat pipihnya dilayangkan

Siapalah ibu jika tidak mengasihi anaknya. Tentu sahaja ada pesan-pesan terakhir
 sebelum anak bujangnya menjadi suami orang. Bukan senang melepaskan kekasih hati untuk dimiliki oleh orang lain yang menjadi menantunya.

Tentu besar impaknya. Nikah pertama dalam Bahasa Arab. Dibimbing oleh sheikhnya sendiri. Nikah kedua diterjemahkan dalam Bahasa Melayu oleh wali pengantin perempuan sendiri. Saudara mara yang hadir tidak ramai. Sahabat handai dan jemaah masjid sangatlah ramai. Seperti kenduri besar juga jadinya.

Saat bermulanya memikul tanggungjawab di bahu sendiri. Persediaan jasmani, rohani dan psikologi yang cukup memantapkan langkah panjang yang jauh ke hadapan. Jalannya jauh, likunya banyak, destinasinya tidak ada kepastian. Mudah-mudahan sampainya ke syurga.

Berguru hendaklah mengasihi guru. Kasih itu dikembali dan dikongsi bersama. Restu guru sangat besar impaknya kepada barakah ilmu yang diperolehi.

Sejarah diri berubah hanya dengan "Aku terima nikahnya...". Dari seorang menjadi berdua. Di sebelah kiri sudah ada orang bergantung kasih. Dekatnya damai. Jauhnya dirindui. Berkasih sayanglah hingga ke Syurga. InsyaAllah.

Mendirikan masjid di dalam masjid. Pernikahan adalah suatu peristiwa besar bagi pasangan pengantin. Semaunya menjadi mudah apabila mendapat sokongan ibu bapa dan sahabat handai.



Pasangan baru seperti berada di hadapan pintu yang terrutup. Di balik pintu itu banyak yang perlu diteroka. Jika persediaan rapi apa sahaja dapat dijangka dan dihadapi


Hari Jumaat 29 Mac 2013. Ilhamnya tidak datang dengan tiba-tiba. Sebagai orang tua kadang-kadang kita tidak biasa dengan hal yang besar dan gah. Allah menentukan bahawa segala-galanya adalah di dalam kekuasaanNya. Walau apapun perancangan kita sebagai manusia, perancangan Allah mengatasi segala-galanya yang terdaya kita lakukan. Semuanya dengan izinNya. Begitulah pernikahan anak saya yang mencipta sejarah keluarga. Jauh di negara orang. Jauh dari sanak saudara. Jauh dari keluarga. Jauh dari sahabat handai. Apabila kita fikirkan adat saya seperti menyingkirkan diri dari semua yang patut diraikan. Apabila kita fikirkan agama maka yang baik kita lakukan sebaiknya. Moga-moga yang baik itu melimpah ruah natijahnya. Suasana yang pada mulanya biasa-biasa sahaja akhirnya meninggalkan impak yang besar dalam sanubari. Sebagai ibu dan bapa tentulah hanya yang terbaik untuk anak-anak. Kesejahteraan dan kebajikan yang tiada berbelah bagi. Apabila sesuatu latarbelakang berubah maka perlakuan-perlakuan yang mengiringinya turut berubah. Perubahan luar jangkaan selalunya sangat mengujakan.
Anak saya yang seorang ini agak kental hatinya. Dari kecil ada sifat-sifat yang tersendiri. Sewaktu lahirnya saya ingatkan perempuan sebab mukanya comel. Saya tidak yakin sewaktu diberitahu oleh isteri saya bahawa bayi yang kelapan ini adalah lelaki. Untuk mendapatkan kepastian saya selak lampinnya. Benar. Lelaki. Sahih.  Sekarang saya ada dua orang anak lelaki. Begitulah ketentuan Allah terhadap perkongsian hidup saya dengan isteri saya. Sebelum kelahirannya kami bincang dan cari nama yang kami rasa boleh membantu dalam proses tumbesarannya. Kami ingin dia menjadi pemimpin. Sekurang-kurangnya memimpin keluarganya dengan sebaiknya. Benarlah bahawa nama yang baik adalah doa dari kedua ibu dan bapa. Dia menyerlah menjadi pelajar yang cergas. Menjadi ketua di sekolah. Dalam perkumpulan. Dalam prosesnya mengejar dewasa. Sewaktu menyertai PLKN dia mendapat anugerah dan dinobatkan sebagai imam besar kumpulannya. Di sekolah rendah dahulu dia mengikuti pasukan tae-kwan-do. Di sekolah menengah minatnya kepada nasyid. Di samping itu dia mula memimpin. Minatnya dalam bidang agama berkembang. Apabila balik bercuti ada sahaja buku agama yang dibawa balik ke asrama. Untuk rujukannya memberi motivasi kepada rakan-rakannya yang lain.
Sebagai bapa saya melihat perkembangan itu. Darah saya dan darah ibunya meresap ke dalam sanubarinya.  Kelembutan dan ketegasan bergabung membentuk peribadinya. Mewarisi sifat saya semasa muda. Ramai sepupunya yang tidak berani merapatinya. Orang lain jauh sekali. Mungkin adik-adik di asrama dahulu begitu juga. Gerun melihatnya. Apabila ditawarkan untuk ke Azhar dia menolak kerana prinsip. Dia ingin menghabiskan peperiksaan STAMnya di KISAS. Puas saya dan ibunya membujuk. Kami berikan pilihan yang terbaik. Dia gagal temuduga Amanah Raya Berhad kerana tidak berminat. Rezeki Allah tidak ke mana tumpahnya. Rezekinya. Yayasan Rahsia, milik allahyarham Tun Abdul Hamid Omar menawarkan kepada mereka yang gagal untuk turut serta rakan yang lain ke Mesir. Anak saya ini masih menolak. Berulang alik saya dan ibunya ke KISAS untuk menyakinkan bahawa ini adalah peluangnya yang terbaik.  Allah makbulkan doa ibunya yang setiap hari mengalirkan airmata. Yang mendoakannya supaya Allah membukakan hatinya. Solat hajat yang tiada putus-putusnya. Terbang juga dia ke Mesir. Ke Universiti al-Azhar. Seruan Sallehuddin al-Ayyubi kuat memanggilnya ke al-Azhar. Alhamdulillah.
Hubungan kami dari masa ke semasa menyakinkan kami bahawa dia berada dalam keadaan  selesa di Mesir. Bersama rakan-rakan yang memang biasa dengannya di KISAS. Dia mendewasa di tempat orang. Sebagai bapa saya mengenalinya. Ada  bunga-bunga hatinya terpaut kepada gadis idamannya. Dibuka mulut dan hatinya kepada ibunya. Tentu sekali ibunya tersentap. Dalam usia semuda itu dia ingin mendewasakan diri lebih cepat dari usianya. Dia ingin mendahului kakaknya yang ke-enam dan abangnya yang ke-tujuh. Kakak dan abangnya tidak kisah sangat dilangkau adiknya. Kami yang tua sahaja terasa belas jika kakaknya terlangkau. Abangnya mungkin tidak begitu terasa. Banyak kali saya berikan senario yang boleh memberikannya peluang menimbang untuk menangguhkan hasratnya berkahwin awal. Sebagai guru, psikologi dan kaunseling yang saya arif saya gunakan untuk menenangkan gelora hatinya. Hatinya seperti bulat untuk cepat menamatkan zaman bujangnya. Dia tidak ingin selesa dahulu. Dia tidak bersedia terlalu memendam rasa. Selain kaunseling di dalam kenderaan, tulisan saya dalam blog saya  banyak memberikan ruang kapadanya untuk berfikir.  Saya tidak mahu berkeras menghalang. Sekadar memberikan tempoh berfikir. Ibunya memberi tempoh seperti infiniti. Sekiranya kakaknya bernikah maka dia berpeluang untuk segera menikah. Alhamdulillah kakak dan abangnya menikah terlebih dahulu.
Timbul persoalan. Adakah ketiga-tiganya perlu disaingkan. Banyak kali kami berfikir dan berbincang. Rupanya jodohnya belum boleh disegerakan. Selepas kakak dan abangnya sudah dipastikan tarikh perkahwinannya, kami  aturkan pertunangannya. Tempoh waktu tidak ditentukan.  InsyaAllah apabila sampai masanya kami satukan. Bulan Januari 2013 saya ke Jordan kerana mengejar hasrat mempelajari Bahasa Arab di negara Arab. Dari Jordan kami rancangkan supaya anak saya menikah di Mesir. Sementelahan pula pengajiannya hampir tamat. Anak-anak yang lain diberi makluman. Keluarga sebelah perempuan diajak berunding. Persetujuan nampaknya sebulat suara. Rupa-rupanya rakan-rakannya di asrama ARB juga dimaklumkan. Perkara yang mudah menjadi global. Sebagai ibu dan bapa saya hanya ingin menikahkannya dengan pasangannya seringkas yang mungkin. Tidak boleh. Apahal dengan rakan-rakannya di asrama ARB. Apa hal pula rakan-rakan sekelasnya. Difikirkan juga untuk meraikan mereka.
Pernikahan pula diatur supaya dilangsungkan di masjid al-Azhar. Ada urusan rasmi dengan JPM (Jabatan Penuntut Malaysia). Selalunya pernikahan tanpa kahadiran wali disempurnakan oleh pagawai agama JPM. Dirancng supaya dinikahkan oleh pegawai JPM terlebih dahulu dan kemudiannya dengan Sheikh Azharnya. Saya berikan pandangan wasatiah. Rundingkan dengan pegawai JPM supaya pernikahan itu dihadirinya. Terlalu jauh dari pemikiran saya dan ibunya. Barangkali izin Allah begitu untuknya. Ahlamdulillah wali pengantin dapat hadir sama dari Klang. Sekali lagi Allah mempermudahkan urusan pernikahan itu. Di hadapan Sheikhnya. Di hadapan kedua-dua ibu bapa pengantin. Di hadapan pengawai Jabatan Penuntut Malaysia. Di hadapan rakan dan taulanya di Azhar. Malah turut mengujakan orang Arab yang kebetulan ramai di masjid ketika pernikahan itu.  Pernikahan dijalankan dalam bahasa Arab dan kemudiannya dalam bahasa Melayu. Hasrat anak yang seorang ini dimakbulkan Allah. Pernikahan di masjid yang darinya dilahirkan Universiti al-Azhar.
Orang perempuan biasanya menangis apabila dinikahkan. Dirinya bukan lagi milik kedua ibu dan bapanya. Orang lelaki juga biasa menangis. Selepas majlis nikah anak saya solat sunat dan sujud syukur. Airmatanya bercucuran. Tergenang di kelopak mata. Dikesat masih nampak. Sebagai bapa saya maklum. Air mata itu adalah tanda besar sesuatu yang sukar digambarkan. Ada kesyukuran kerana mendapat isteri. Ada keindahan menjadi suami. Dia bukan lagi anak tetapi seorang suami. Bukan lagi bebas sebebasnya tetapi terikat dengan janji dirinya sendiri. Lafaz, aku terima nikah....... menamatkan segala-galanya yang bernama muda. Usia muda yang didewasakan. Di sebalik airmata itu ada tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan. Dia bukan lagi seorang tetapi berdua. Dia bukan lagi bujang tetapi seorang suami. Dia akan kembali kepada saya dan ibunya berdua. Bukan seorang lagi seperti selalunya. Zaman bujangnya ditinggalkan. Semua kebiasaannya sebagai orang bujang perlu dioverhaul. Sistem hidup yang perlu diubahsuai. Sesungguhnya pernikahan adalah pintu-pintu yang membuka lembaran baru dalam hidup mereka yang terlibat. Di sebalik pintu-pintu itu ada harapan dan cabaran. Bergantung kepada pasangan untuk merealisasikan impian bersama yang selalu diungkapkan. Yang selalu didambakan. Yang selalu terlukis di hati. Yang selalu membayang imejnya.
Anak-anak yang berumahtangga bukan terputus hubungannya dengan keluarga. Kedua ibu bapa sentiasa memantau keadaan. Melihat riak dan alun. Memerhati kocak dan desir. Berumahtangga bukan bererti cukup dewasa dan sempurna. Banyak yang perlu dipelajari. Yang perlu dialami. Tidak ada buku yang memberi semua azimat untuk mencipta kebahagiaan. Tiada kuliah yang memberi semua teori yang diperlukan. Tiada rumus yang pasti. Tiada agenda yang tersenarai indah. Tiada prosedur yang terbukti pasti berjaya. Tiada eksperimen yang teruji buktinya.  Pengalaman yang diambil secara perlahan tetapi pasti memberikan gambaran-gambaran meyakinkan bahawa semuanya boleh diharungi. Boleh dilayari. Boleh mengapungkan impian yang lebih indah. Seorang anak muda yang menukar dirinya menjadi suami hanya dalam beberapa saat sahaja. Kedudukannya bermartabat yang ada tahapnya yang tersendiri. Ganjaran solatnya berganda-ganda. InsyaAllah rezekinya Allah cukupkan.
Anak-anakku, berikanlah yang terbaik untuk pasanganmu. Bentuklah keluarga yang soleh dan solehah. Anugerahkan abah dan ibumu cucu dan keturunan yang memberi harapan cerah pada masa hadapan. Menjaga agama dan akidah. Hidup dan matinya dalam Islam. Doa dan harapan semoga Allah memakbulkan. InsyaAllah.


Sampai di sini. Jadilah lelaki yang bertaggungjawab sesempurnanya.  Banyak harapan yang berjuraian di sepanjang jalan hidupmu.