Tuesday, January 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Nilai Seorang Ibu



Ya, berapa nilainya. Siapa yang berani meletakkan harga. Akan ada yang mengatakan sedikit. Yang lain mengatakan tidak cukup. Fikir sejenak. Bolehkah seorang ibu dinilai dengan wang ringgit. Datangkanlah sebuah gunung emas kepadanya. Seorang ibu tetap memilih anak-anak dari emas itu. Hanya ibu yang kewarasannya menghilang sahaja sanggup menukar anak dengan emas. Soalnya, kenapa seorang ibu perlu dinilai. Di mana letaknya ibu di hati kita. Cukupkah dengan wang sejuta atau dua juta ringgit. Banyak? Oop! Nanti kita kira. Itupun jika ada alat pengira yang mampu mengiranya.

Bayaran kerana mengandung. Berapa? Siapa berani meletakkan angka yang sesuai. Baiklah kita bermain dengan angka. Suka-suka. Bukan benar. Jauh dari benar.
1                 3 bulan pertama @ RM5,000  =    RM15,000
2                 3 bulan kedua    @ RM10,000 =   RM30,000
3                 3 bulan ketiga    @ RM50,000 =   RM150,000
                                             =   RM195,000
 Berani tanya kenapa mahal. Cuba tanya semua ibu. Banyakkah jumlah itu. Letih dan lesunya. Mabuk dan peningnya. Sakit dan ngilunya. Yang berikut ini lebih menakutkan. Berapa hendak dibayar upah ibu melahirkan seorang anak. Berulang pula dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas. Berapa soalnya? Katakanlah RM100,000. Cukup? Tidak. Mungkin RM250,000. Ingat! Impaknya setengah mati. Setengah nyawa. Jika hidup ianya jihad untuk meramaikan zuriat. Menggembirakan Rasulullah di akhirat nanti kerana orang mukmin ramai zuriatnya. Jika meninggal dikira syahid. Tidak kiralah kategorinya. Hanya kepada Allah diserahkan segala-galanya. Doktor hanya membantu. Jururawat hanya membantu. Bidan hanya membantu. Ibu itu sendiri yang menanggung segala-gala sakitnya. Dua tanggungjawab di atas sudah RM445,000.

Berapa upah menyusu? Jika sekali teguk RM5, cuba kira berapa teguk selama dua tahun atau lebih. Sekali menyusu 30 minit. Satu saat satu teguk maka 30 X 60 = 1,800 teguk. Darab dengan RM5 = RM9,000 untuk 30 minit.

1 hari 10 kali menyusu = RM90,000
Seminggu  7 X 10 X RM90,000 = RM      630,000
Sebulan    30 X 10 X RM90,000 = RM2,520,000
Setahun    365 hari X RM90,000 = RM32,850,000
Dua tahun 365 X 2 X RM90,000 = RM65,700,000

Mahal? Susu ibu adalah susu yang terbaik untuk manusia. Allah jadikan sebagai makanan lengkap selengkapnya untuk manusia. Khusus untuk bayi. Untuk anak-anaknya menjadi insan seperti manusia. Untuk menjadikan mereka khalifah di muka bumi. Hanya susu ibu sahaja yang paling layak untuk anak-anak. Bukan susu kambing. Apatah lagi susu lembu. Kita ditipu Yahudi hidup-hidup. Bangga pula terkena tipu. Untuk tiga item di atas sahaja jumlahnya RM66,145,000. RM66.145 juta. Bukan ratus atau ribu. Soalan lain. Siapa boleh bayar sebanyak itu kepada ibu masing-masing. Apabila senarai ini dipanjangkan lagi maka banyak lagi  akaun tertunggak yang dinisbahkan kepada seorang ibu. Angkanya tidak akan kurang dari RM100,000,000. Ya, RM100 juta. Itupun jika hendak diberikan angka. Tergamakkah seorang anak membayar kepada ibunya untuk melepaskan tanggungjawabnya kepada ibu dan bapanya sesudah khidmat mereka dikira tidak diperlukan lagi. Orang biasa menyebutnya zalim. Dari aspek agama perbuatan itu dikira derhaka. Janji Allah ialah mereka yang zalim terhadap kedua ibu dan bapanya maka dia tidak akan mencium bau syurga.

Cuba kira tambahan tugas ibu seperti menidurkan, mengulit, membuai, mendokong, memangku, membelai, memandikan, memakaikan baju, membasuh najis, bangun tengah malam, memukul nyamuk, merawat sakit, bermain bersama, mengajar bertatih, menyuapkan makanan, menemankan apabila takut, memanjakan dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi dan banyak lagi. Tidak tersenarai rasanya. Boleh jika hendak dicuba. Pasti panjang berjela-jela. Tambah lagi mungkin RM50 juta. Kos dari mengandung hingga tamat belajar di IPT. Itu belum lagi belanja kahwin sumbangan ibu dan bapa. Masa, kos dan tenaganya. Fikirannya belum dinilai lagi. Itu baru ibu. Bagaimana pula kos seorang bapa yang berada di samping seorang ibu. Juga berjuta-juta kosnya.

Baiklah. Masih terkejut melihat angka yang begitu banyak? Bertenang. Lihat balik angka itu. RM100 juta. RM200 juta. Ibu kita lebih mahal dari jutaan ringgit itu. Bapa kita lebih mahal dari jutaan ringgit itu. Tanpa mereka kita tidak ada dengan izin Allah. Mana ada gantinya. Ibu kandung hanya itulah sahaja satu-satunya. Tiada dua atau tiga. Bapa yang ada itulah bapa. Seorang itulah yang namanya bapa. Masih ada ibu dan bapa? Jika tinggal bersama segera dapatkan mereka. Peluk dan cium mereka. Minta ampun dan maaf. Mohon keampunan kerana tidak dapat memberi kelebihan kepada mereka. Minta halal segala-galanya. Pandang muka mereka kerana pahala memandang kedua-duanya sama seperti memandang Kaabah. Berapa? Allah Yang Maha Mengetahui. Jika jauh telefon sekarang. Tanya khabarnya. Dengarkan suara diri. Hujung minggu ini kunjungi mereka. Pandang mereka sepuas-puasnya. Jangan lupa selalu berutus suara. Atau berutus mesej.  Sementara mereka masih ada.

Jika ada yang meremehkan ibu dan bapa, lihat angka di atas.
Jika ada yang merendah-rendahkan ibu dan bapa, pandang semula angka di atas.
Jika ada yang mengecil-ngecilkan ibu dan bapa telitilah angka di atas.
Masihkan ingin menjadikan seorang ibu sebagai:

1                   Pembantu rumah.
2                   Pengasuh cucu.
3                   Jururawat.
4                   Bidan.
5                   Tukang masak.
6                   Pengawal keselamatan.
7                   Penjaga dan pembuka pintu.
8                   Pengangkat beg.
9                   Pencuci rumah.
10              Pencuci tandas.
11              Pembeli sayur dan ikan.
12              Merana kerana karenah anak dan cucu.
13              Kos tambahannya semakin tidak terkira.

Jika adik beradik ramai, jangan main sorong-sorong. Mengandaikan jika seorang tidak menjengah ibu dan bapa maka ada anak lain yang berbuat begitu. Jangan, jangan dan jangan. Jadikan ianya agenda diri. Bukan agenda orang lain. Hatta adik beradik sendiri. Ini tanggungjawab diri sendiri. Jihad diri sendiri. Tidak perlu cemburu. Tidak perlu iri. Janga marah apabila ibu dan bapa memilih kasih. Mereka dekat kepada sesiapa sahaja yang mendekati mereka. Mereka rapat kepada yang biasanya bersama mereka. Kita, kita sebagai anak-anaknya yang wajib merepatkan diri. Memenuhi keperluannya.  Bukan orang lain. Rugi dan kehilangan pahala jika kita mengabaikan tanggungjawab itu.  Rugi seruginya. Nilai ibu dan bapa tidak dapat dikira dengan angka. Bukan dikira dengan alat pengira, buka dengan komputer canggih. Daif pemikiran kita jika kita berbuat demikian. Malah jika kedua ibu dan bapa menjadi hamba sekalipun, wang tebusan membeli mereka belum mencukupi untuk membayar kembali peranan mereka memanusiakan seorang anak. Ambillah iktibar darinya. Rindui selalu ibu dan bapa. Mereka selalu rindu kepada anak-anaknya. Tanpa mengira berapa usia anak-anak mereka, mereka berdua tetap merinduai anak-anak itu. Bukan cucu dan bukan cicit. Apabila sudah tua mereka tidak rindukan cucu dan cicit. Yang dirindui tetap naka-anak. Anak-anak mereka yang dahulu pernah bersama mereka. Semasa kecil. Oleh itu:

1         Diri sendiri, jadikan pedoman untuk menjadi insan yang lebih baik.
2       Guru, motivasikan anak didik yang selalu mengingkari harapan ibu dan bapa mereka.
3       Pemimpin, jadilah pembela ibu dan bapa.

4       Hamba, jadilah hamba Allah yang bermanfaat.