Friday, November 13, 2015

Suara dan Kata Yang Membuka Rahsia Diri



Tak kenal maka tak cinta. Benarkah begitu? Seperti cerita mengenai yang mana dahulu antara telur dan ayam. Tetapi bagaimana kita mengenali seseorang yang sebelumnya tidak kita kenali. Rasanya kita semua maklum bahawa di dalam dunia ini insan yang paling istimewa ialah diri kita sendiri. Sebab itu kadang-kadang kita sukar untuk bersama orang lain. Kita rasa canggung. Tidak serasi. Kata orang putih clash of personality. Banyak yang tidak selari. Jauh berbeza. Nama seseorang tidak menggambarkan apa-apa. Tubuh badan secara fizikal juga hanya sebahagian dari trait yang cuma dapat dilihat. Tetapi pandang pertama jika tidak diteliti dengan betul hanya ilusi sahaja. Ada dua perkara yang selalu terjadi:
1                    Kita mengenali seseorang apabila ia mula membuka mulutnya untuk berkata-kata.
2                    Suaranya menjadi indikator mengenai dirinya.
3                    Intonisasi suaranya memberi impak positif atau negatif.
4                    Bahasa dan gayanya yang menunjukkan tahap pendidikan, latar belakang hidupnya dan pengalamannya berinteraksi dengan orang lain.

Dalam banyak hal suara dinisbahkan kepada bangun fizikal seseorang. Ada masanya kita terfana dengan suara seseorang yang bertenaga, cukup kuatnya dan memiliki daya tarik yang kuat. Berkarisma mungkin. Pada skala yang lain suara seseorang mengakibatkan kita merasa kurang enak. Contohnya:
1                    Terlalu kuat.
2                    Terlalu laju.
3                    Sebutan kurang jelas.
4                    Mendatar atau tiada intonasi.
5                    Terlalu besar sedangkan tubuhnya terlalu kecil.
6                    Terlalu halus sedangkan tubuhnya besar dan agam.
7                    Terlalu serius atau terlalu nostalgik dalam situasi yang santai.
8                    Terlalu syahdu dalam suasana yang meriah dan ceria.

Kitta kadang-kadang bersua dengan mereka yang istimewa suaranya:
1                    Lemah lembut berbahasa,
2                    Bertenaga (powerful) pada ketika-ketikanya.
3                    Intonasi usranya memiliki rima yang menarik.
4                    Susunan bahasanya yang harmoni dengan majlis yang diadakan.
5                    Perbualannya tidak berlebihan sehingga terlalu peribadi dan tidak pula di luar konteks. Tidak di luar kotak.
6                    Tidak bertingkah atau meningkah suara orang lain.
7                    Mengambil peluang berbicara dan pada masa yang sama memberi peluang orang lain berbicara sama.
8                    Melibatkan orang lain dengan cara bertanya pendapat.
9                    Tidak menilai pendapat orang lain dengan memberikan fakta kontradik umpamanya. Boleh mencemarkan imej seseorang. Boleh dilakukan secara peribadi.

Bukankah bahasa menunjukkan bangsa? Bukan bangsa yang bermaksud nationality. Bangsa bermaksud keluarga, asuhan mereka dan amalan berbahasa dalam keluarga. Keluarga baik-baik lazimnya:
1                    Melahirkan anak-anak yang baik budi bahasanya.
2                    Lembut bila berbicara.
3                    Suaranya cukup kuat untuk didengar audien di hadapannya. Jika ramai kuat sedikit. Jika beberapa orang sahaja maka diperlahankan suaranya.
4                    Menggunakan perkataan, istilah, ungkapan dan ayat yang manis didengar. Mengesankan kepada yang mendengarnya.

Kejayaan dalam perbicaraan merupakan kejayaan dalam berkomunikasi. Berinteraksi antara insan bukan hanya berbalas kata-kata sahaja. Banyak yang perlu dilihat terutamanya suara. Berbisik-bisik pula menimbulkan prasangka atau sangkaan-sangkaan lain. Mungkin boleh menimbulkan fitnah. Kerana itu setiap kali kita membuka mulut harus beringat.
1                    Kata-kata yang tajam maksudnya mungkin menghiris dalam hati pendengar yang selalu rapuh.
2                    Apa salahnya marah dalam senyuman atau dalam tawa yang ringan.
3                    Rajuknya bersahaja.
4                    Sukanya tidak terduga.
5                    Tatap mata sewaktu berkomunikasi dengan orang lain.
6                    Berbicara dalam jarak yang tidak terlalu jauh tetapi tidak pula terlalu dekat.
7                    Selalu menjaga jarak. Terlalu dekat seolah-olah mengganggu privacy orang lain. Atau mungkin menjadi terlalu peribadi.
8                    Terlalu jauh pula seperti tidak mesra.

Selalu beringat tentang apa yang hendak kita ungkapkan. Apa yang hendak kita suarakan. Kata-kata yang bersahaja di kalangan kelompok kita mungkin tidak sesuai dengan kelompok yang lain. Kita mungkin bercakap bersahaja tetapi didengar kasar. Atau meninggi. Jangan sekali-kali apabila kita bercakap dianggap kurang adab pada persepsi orang di sekeliling. Alangkah manisnya:
1                    Walaupun mengetahui sesuatu maklumat, berlakon seolah-olah belum pernah mendengar maklumat itu.
2                    Sentiasa bersedia mendengar apa sahaja yang ingin dibicarakan oleh orang lain. Kepada orang lain kemungkinannya itulah peluang mereka untuk menyampaikannya .  
3                    Jangan suka menyampuk atau membuat kenyataan yang menilai perkataan atau bualan seseorang. Raikan perbezaan walaupun pendapat mereka tidak wajar. Kita ingin berinteraksi dan bermasyarakat. Penilaian peribadi selalunya mengganggu hubungan mesra yang baru hendak dibina.

Kita perlukan latihan yang banyak dan bertubi-tubi. Berkomunikasi perlukan kemahiran tertentu. Banyak buat persediaan peribadi.
1                    Banyak membaca.
2                    Liputi judul yang berbagai.
3                    Beranikan diri dengan yakin.
4                    Hadapi audien seolah-oleh mereka orang yang statusnya setaraf dengan kita.
5                    Berlatih menghilang rasa gugup diri.
6                    Berlatih mengembangkan sesuatu tajuk yang kecil dan tidak signifikan menjadi sesuatu yang besar dan signifikan. Expounding an idea.

Berinteraksi dan berkomunikasi perlukan sikap terbuka yang luas. Kita tidak tahu siapa audien kita.
1                    Tahap pendidikan akademiknya.
2                    Kerjayanya.
3                    Pangkatnya.
4                    Pengalamannya.
5                    Status sosialnya.
6                    Peribadinya.

Masuk mencelah dalam sesuatu sesi perbualan dengan memohon izin terlebih dahulu. Meninggalkan mereka juga dengan izin. Jangan salah topik dalam perbualan. Ada antara mereka yang sensitif mengenai keluarga, kerjaya, gaji, kesihatan dan banyak perkara lainnya. Sewaku kita bertanya hal keluarga mungkin dia belum berumahtangga. Atau baru kehilangan pasangan masing-masing. Atau belum memiliki anak walapun sudah lama berumahtangga. Hal-hal yang sensitif tersangat banyak.  Yang mana topik yang dianggap selamat? Mungkin
1                      Cuaca.
2                      Pertanian.
3                      Dan sebagainya.

Paling baik tentu sahaja bergantung kepada siapa orang itu. Melalui lontaran bahasanya kita mengetahui latar belakang kehidupannya. Tahap pendidikannya. Status sosialnya. Dari situ kita perlu bijak untuk mengetahui hal-hal yang menjadi minatnya. Kadang-kadang kita perlu bijak menjadi exetrovert yang tidak terlalu banyak bercakap. Rasanya tidak ramai orang yang suka mendengar orang yang:
1                    Banyak cakap.
2                    Memonolopi suasana.
3                    Suara terlalu kuat atau terlalu perlahan.
4                    Tidak sesuai dengan tema majlis atau tujuannya.
5                    Apabila bercakap seolah-olah tahu semua perkara atau tergambar ego dirinya. Ada rasa bangga atau sombongan yang dilihat oleh orang lain.
6                    Tidak menatap wajah audien.
7                    Mencipta suasana tegang. Tidak dirasa mesra.
8                    Menunjuk kebijaksanaan yang tidak kena pada tempatnya.

Apaila ada orang lain bertanya, jawablah dengan sopan. Apabila ada yang tidak tahu, berilah pencerahan. Jangan sekali-kali berkata-kata yang kedengaran negatif.
1                    Awak tak tahu! Tugas kita memberitahu. Memaklumkan kedudukan perkara.
2                    Awak tak faham! Berilah orang lain memahaminya sama. Tugas kita memberikan kefahaman yang sewajarnya.
3                    Awak ni susahlah! Senangkan orang itu. Kita bukan hidup sendirian. Orang di sekeliling kita itulah sumber kehidupan kita dan sumber kita bermasyarakat.
4                    Awak ni lainlah! Raikan perbezaan. Manusia memang banyak kelainannya.


Pada kesempatan lain apabila kita berinteraksi dengan orang lain banyaklah fikir dan pertimbangkan dalam hati tentang impak apa yang akan kita ungkapkan. Pertimbangkan positif danb negatifnya. Baik dan buruknya. Membina persahabatan kadang-kadang sangat sukar tetapi meruntuh dan memusnahkan sesebuah persahabatan hanya dengan sepatah perkataan sahaja. Malah kadang-kadang kerana bahasa tubuh yang salah persahabatan hilang serinya. Sama-sama kita jadikan persekitaran persaudaraan dan persahabatan dalam suasana yang santai, damai yang membahagiakan. In sya Allah banyak manfaatnya.