Satu waktu seorang rakan saya yang menjadi guru di kampung memberitahu murid-muridnya supaya tidak bercita-cita untuk belajar di luar negara. Di dalam negara banyak universiti yang memenuhi keperluan pendidikan. Benarkah pendapatnya? Mari kira lihat ke dalam mengenai perkara ini. Pada dasarnya belajar di mana-mana pun serupa. Akhirnya mendapat ijazah dan masuklah dalam golongan orang pandai. Inteleknya teruji. Namun begitu jika diteliti secara mendalam terdapat perbezaan antara yang belajar dalam negara dengan yang belajar di luar negara.
Belajar dalam negara nampak lebih mudah. Ada sedikit unsur berdikari. Kreativiti menghadapi kehidupan mungkin tidak banyak. Banyak hal-hal yang diperlukan tersedia di sekeliling mereka. Makan dan minum memang bukan masalah. Pakaian bukan ada masalah. Tidur dan bangun bukan masalah. Berjalan dan pulang ke rumah bukan masalah. Bukan ada masalah budaya. Hidup di mana-mana bumi Malaysia dianggap normal. Ikut norm yang sedia ada.
Banyak pengalaman saya dengan pelajar dari sekolah menengah berasrama, di politeknik dan di universiti. Banyak yang saya kesan dan yang dilihat sebagai kelemahan berpanjangan. Ramai pelajar dalam negara menganggap semasa belajar mereka tidak perlu membina kebiasaan. Tidak perlu membangun norma positif. Tidak perlu membina akhlak. Segalanya dibiarkan berlalu mengikut arus kebiasaan. Akibatnya banyak peluang membentuk diri terlepas begitu sahaja. Maka apa yang saya lihat ialah ramai yang tidak tahu mengemas rumah. Mengemas kasut. Mengemas pakaian. Mengemas dapur. Mengemas bilik. Mengemas pakaian. Mengemas bilik tidur. Mengemas bilik mandi. Tidak pandai menyidai pakaian. Malah tidak pandai mengenakan pakaian. pakai asal melekat di badan. Tidak difikirkan gabungan warnanya. Corak dan reka fesyennya. Falsafah berpakaian tidak pernah timbul dalam minda. Pakaian sebenarnya lebih dari sekadar menutup aurat.
Kelemahan-kelemahan ini menular kepada pemikiran naif. Menjadi tidak peka. Menjalar kepada lemah psikologi. Bernanah menjadi sikap negatif. Sesuatu itu dianggap lumrah. Dianggap tidak penting. Ramai pula yang sukar dibentuk. Payah diasuh. Keburukan lain menjalar lagi. Tidak pandai berkomunikasi. Tidak raif bekerjasama. Kurang menghormati orang lain. Tidak biasa menjaga batas pergaulan. Tidak memahami batas-batas kebersamaan. Tidak pandai berkongsi perasaan. Semuanya ini akan dikesan apabila menghadiri temuduga pekerjaan. Majikan arif ciri dan sifat pekerja mereka yang sudah teruji. Yang sudah membuktikan keupayaan. Yang sudah mempamerkan kecemerlangan. Sesiapa yang tidak memenuhi kriteria itu tentulah sukar diterima bekerja.
Nanti akan terlihat kekurangan dalam penampilan. Tidak arif tentang berpakaian. Sukar berkomunikasi peringkat tinggi. Tidak pandai menggunakan istilah-istilah yang betul. Yang bertaraf eksekutif. Yang nanti bakal menjadi pengurus-pengurus peringkat tinggi. Akan ada yang berkata bahawa kesemuanya itu akan diperolehi setelah bekerja. Setelah dilatih. Setelah ada pengalaman. Yang perlu kita ingat ialah majikan tiada masa untuk melatih. Tiada masa untuk memberi pengalaman. Mereka hendakkan bakal pekerja yang ready made. Yang sudah terus boleh manjalankan tugas yang diperlukan. Dengan sempurna tentunya. Itulah sebabnya graduan luar negara memiliki kelebihan. Maaf, saya melihat buktinya sewaktu saya berada bersama mereka sewaktu di US dahulu.
Pelajar-pelajar Malaysia yang berada di luar negara sewaktu ketika dahulu, keluar negara selepas SPM. Masih budak lagi. Di hujung remaja. Mereka tidak tahu berkemas. Tidak tahu memasak. Tidak tahu bergaul. Tidak tahu berkomunikasi. Tidak tahu mempamerkan penampilan yang seperlunya. Lagak dan laku mereka terkongkong dengan kepompong Melayu mereka. Segannya memanjang. Malunya melarat-larat. Takutnya memanjat-manjat. Tetapi kerana berada di negara asing. Kerana jauh dari keluarga. Kerana survival, mereka belajar. Menapak dari tidak tahu hingga berjaya menjadikan diri mereka di atas landasan antarabangsa. International blend inilah yang menjadikan mereka open minded. Portraying a universal mind. Displaying international look. Wide array of soft skills.
Yang saya dapati akhirnya mereka pandai mengurus diri. Mengurus rumah. Pandai menerapkan interior decoration yang mereka lihat sangat melaut luasnya di US. Mereka pandai memasak. Resepi yang diminta dengan telefon dari ibu dan kakak di kampung. Ada juga yang rapat dengan kakak-kakak isteri pelajar Malaysia yang ada di sana. Kutip resepi itu dan resepi ini. Tiga atau empat tahun di sana menjadikan mereka pandai memasak. Masakannya sedap di jamah. Sementelahan pula menjadi amalan, jika ada pelajar Malaysia yang tamat pengajian, mereka menjemput ke rumah. Dijamunya mereka yang akan pulang itu dengan masakan tradisi Melayu. Hilang sebentar rindu yang menggamit-gamit tanah air tercinta. Saya jadi rindu saat-saat itu. Nostalgik. Amalan sebegitu seperti tidak ada di sini.
Banyak latihan dan amalan positif pelajar di luar negara. Usrah diadakan setiap minggu. Setiap pelajar bergilir-gilir memimpin usrah itu. Bukan datang sebagai pendengar. Ikut kemampuan masing-masing. Ada aktiviti berkala yang dirancang dan dilaksanakan. Bila summer kami ke park untuk berinteraksi. Berekreasi. Bersantai dan bermesra sesama pelajar. Bila senang jamu menjamu ala kadar sesama sendiri. Dua hari raya memang disambut meriah. Bukan di rumah. Tetapi di park yang luas. Anak-anak puas bermain. Lapang fikiran. Lepas bebas. Menyatu dengan alam yang terbentang. Menghirup udara bersih. Menikmati suhu panas yang dirindui sepanjang winter. (Bukan budaya kita di sini untuk menyediakan park. Pihak berwajib tidak merasa perlu mengadakannya. Di Barat park adalah nadi kehidupan di bandar. Back to nature. Banyak pokok dan rerumput menghijau).
Kadang-kadang terkejut juga. Ada pelajar Malaysia yang sangat menonjol. Bukan sahaja rakan taulannya antarabangsa, ada pula yang melaksanakan tugas-tugas agama melebihi jangkaan. Seorang anak Yang Berhormat menjadi imam solat Jumaat di Masjid Dar al-Salam di Pittsburgh. Muda sangat. Bujang terang tang tang. Latarbelakang pendidikannya bukan agama Islam. Tetapi dia boleh melakukannya. Kami yang tua-tua inipun tidak mencapainya. Sekadar menjadi makmum sahaja. Makmumnya datang dari seluruh negara Islam. Asia, Afrika, Eropah dan dari mana sahaja yang ada orang Islam.
Apabila kembali ke Malaysia, anak-anak muda yang dulunya terlonta-lonta itu sudah berubah menjadi watak-watak yang yakin. Dulu sewaktu pergi mereka adalah anak-anak kecil yang dikeluarkan dari kepompong kekampungan mereka. Mereka kembali menjadi besar dengan watak-watak baru. Jatin dirinya berubah. Identitinya berubah. Yang berwibawa. Yang teguh peribadinya. Yang mempamerkan ketenangan. Yang biasa menyelesaikan masalah. Yang biasa membuat keputusan. Semuanya telah dialami tanpa bimbingan. Tanpa ibu bapa ada di sisi. Tanpa abang kakak yang jauh di tahahair. Maka tahap berdikarinya menjadi tinggi. Keyakinan diri yang jelas dibawa ke mana-mana. Bagi kebanyakan mereka malu dan segan sudah lama tiada. Takut sudah lama ditinggalkan di US. Mereka kembali seperti orang baru yang sudah disepuh. Yang sudah digilap. Yang sudah berbekal untuk meneroka. Untuk menerobos. Untuk menghadapi cabaran kerjaya dengan siaga.
Mungkin nilai-nilai itu boleh diterapkan di sini. Tanpa pergi keluar negara. Namun kebiasaan itu selalu inhibit change. The degree of resistance sangat besar dan kuat. Norma baik itu sukar diterap kerana sudah terlalu lama berada dalam zon selesa. Mungkin perlukan kekuatan dalaman. Ada agenda yang mesti direncana. Ada kekuatan untuk melansanakannya. Untuk merubah kebiasaan itu. Fikirkanlah.