Wednesday, March 10, 2010

Masa Dulu-Dulu - Bahgian Kelima Belas

Tahun 1962 saya dalam tingkatan dua. Saya berbasikal ke sekolah bukan berseorangan. Ramai orang kampung seperti saya menunggang basikal ke sekolah. Pengangkutan awam waktu itu belum boleh diharap sangat. Bas, teksi dan kereta sapu banyak. Masalahnya kewangan dan jadual. Sebelum bersara ramai rakan-rakan yang berbasikal dengan saya menjadi orang besar.

Ada dua orang menjadi wakil rakyat. Pertama Datuk Ruhanie Ahmad, mantan wakil rakyat parlimen Parit Sulong. Keduanya Mohamad Kasbi, mantan ADUN Tanjung Puteri. Ada yang menjadi pegawai besar Bank Bumiputra (sekarang CIMB). Ada yang menjadi pengetua dan sebagainya. Kami hanya berbasikal ke sekolah. Seorang rakan saya berbasikal sejauh kira-kira 50 kilometer sehari. Saya sendiri 32 kilometer. Saya sendiri tidak arif untuk mentafsirkan hal ini. Kami sebenarnya seronok berbasikal. Ramai kawan. Boleh berlumba hari-hari. Sayang, tidak ada Persatuan Lumba Basikal Malaysia yang mengesan kami waktu itu. Jika tidak tentu ramai jadi juara kampung.

Hiba juga bila dikenang. Dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima, saya memakai seluar pendek dan baju berlengan pendek. Saya memang jenis tidak boleh kena panas. Bayangkan selama lima tahun saya bakar diri saya. Bakar sebakarnya. menunggang basikal terdedah seratus peratus kepada terik matahari. Tetapi saya tidak bakar jasad saya. Sebaliknya saya bakar semangat saya. Itulah yang masih saya bakar hingga sekarang. Saya bakar juga semangat anak- anak dan cucu-cucu. Ada juga yang terbakar semangatnya untuk mengikut jejak saya. Alhamdulillah ada impaknya. Silakan. Majukan diri kerana Allah dan untuk manusia di sekeliling kita. Jika anak kampung seperti saya boleh membakar diri. Masa dulu-dulu yang payah banyak sungguh cabarannya. Tetapi cabaran sebegitu tidak juga kunjung padam kepada anak-anak teknologi dan anak-anak pembandaran yang dilingkari Astro, internet, facebook, flicker, telefon bimbit, bluetooth dan entah apa lagi yang tetap terus dicipta. Sepatutnya teknologi membantu mengeluarkan diri kita dari kemelut kepayahan. Yang penting bagaimana diri dan minda kita diset supaya melonjak ke hadapan. Maju dan terus dipacu maju.

Sewaktu di sekolah menengah saya sudah tidak boleh lagi tidak membawa wang saku. Bukan untuk makan. Bukan. Bukan untuk makan. Untuk tambang menyeberang Sungai Batu Pahat. Pada kebanyakan masa saya membawa basikal saya menyeberang sungai menggunakan sampan. Oleh kerana sudah biasa dengan air dan sungai, langsung tidak ada rasa gerun menggunakan sampan. Pembaca hendak tahu? Setiap kali sampan sarat dengan penumpang (orang dan basikal) birai sampai hanya kira-kira tiga hingga lima sentimeter dari paras air. Kami tidak ngeri atau takut. Alhamdulillah tidak ada sampan yang tenggelam. Hanya sekali berlaku. Itupun pelajar perempuan yang tidak menunggang basikal. Sampan terbalik dan dia mati lemas.

Yang lain, terutama lelaki, biasa bermain air. Biasa bermain oleng. Ombak sungai terlalu kecil untuk dibimbangi. Paling sukar ialah pada musim tengkujuh. Air sungai tinggi parasnya. Deras pula airnya. Namun kepada si tukang sampan, air adalah permainannya. Ada sahaja teknik untuk mengatasi masalah air. Semuanya selamat belaka. Berapa agaknya tambang pergi dan berapa tambang balik? Tidak mahal. 10 sen sahaja. Pergi dan balik 20 sen. Allah. Itupun saya selalu berhutang. Ya, saya berhutang. 20 sen terasa besar. Kemampuan masih terbatas untuk menyediakan hanya 20 sen. Saya mohon berhutang. Dua atau tiga hari kemudian saya bayar. Alhamdulillah, abang Jaafar (saya tidak tahu hidup atau matinya) mengerti orangnya. Banyak belasnya. Terima kasih bang.

Jika kena jadualnya, saya akan menyeberang dengan feri. Ada di antara petugas yang baik hati. Dia lepaskan saya tanpa meminta tambang. Bila hal itu berlaku, saya gunakan untuk membeli mee goreng yang harganya semangkuk 10 sen. Saya minum air paip. Sungguh, air paip. Dulu di sekolah rendah saya minum air hujan. Di bandar saya minum air paip. Sampai kembung perut. Mee goreng di kantin terasa kuat tarikannya. Mee yang sudah dibubuh dalam mangkuk, dicelur dengan kuah kari panas. Kuah itu dituang semula ke dalam periuk. Mee tadi hanya basah sahaja. Mandilah agaknya. Sedikit sambal tumis akan ditambahkan. Aduhai, sedapnya. Licin berkilat mangkuknya saya kerjakan. Cuma tidak tergamak untuk menjilatnya.

Allah sayangkan saya. Selama lima tahun berbasikal, saya tidak pernah mengalami basikal rosak atau bocor tayarnya di tengah jalan. Kadang-kadang bocor juga, tetapi di sekolah. Alhamdulillah kerana berhampiran sekolah ada kedai basikal. Upah tampal hanya 5 sen sahaja. Panas dan hujan sahajalah yang tidak dapat dihindarkan. Paha saya hingga ke kaki habis hitam legam. Terbakar. Lengan begitu juga. Muka lebih dahsyat. Sudahlah kurus, hitam legam pula. Dalam hati, saya berkata sendirian, siapalah yang hendakkan aku ni. Allah Maha Kaya, ada juga yang sudi. Sekarang, hitam sudah tinggal manisnya. Kurus sudah berisi pula. Muka? Alhamdulillah boleh tahan bila sudah berumur. Itulah saya pesan, bila hendak berumahtangga jangan cari yang lawar atau cantik sahaja. Jika tidak ada, pilihlah yang ada potensi. Sedap juga rasa mata memandang. Maaf, macam puji diri pula. Sahaja hendak hiburkan hati. Dalam lara kena jenaka sedikit. Biar berulam bersulam. Bawa hati tidak menentu tidak ada ertinya juga. Bakar lagi semangat diri. Diri kita milik orang-orang yang ada di sekeliling kita. No man is an island.


Sewaktu di tingkatan dua dan tiga saya bersekolah di sebelah petang. Pukul 10 pagi saya bertolak dari rumah. Sampai di sekolah kira-kira pukul 11.30 pagi. Apabila bangun pagi, saya buat kerja rumah. Selepas itu saya memasak. Ibu sudah lama menoreh. Pukul 9.00 ibu akan siap menoreh. Dia perlu sarapan. Tidak ada lain, nasilah hidangannya. Makanan kesukaan saya ialah nasi putih, ikan tamban masin, sambal tumis dan apa-apa sayur yang ada. Saya sudah pandai memasak sejak saya di tingkatan dua. Sekarangpun saya masih memasak kerana isteri saya juga sibuk. Waktu di Kuala Terengganu dulu saya bergilir memasak bersama rakan bujang saya di rumah sewa. Malah semasa berkursus di Toronto, Canada dulu, saya yang paling kerap memasak. Orang Canadapun suka masakan saya. Nantilah saya ceritakan pada pos yang lain.

Saya memasak dengan cara yang ringkas. Cuma kadang-kadang rumit. Apabila nasi masak ditanak, apabila kering airnya, saya akan masukkan dua ekor ikan tamban masin. Ini resepi baik. Apabila nasi masak, masin ikan akan turun ke nasi. Pembaca nak tau? Nasi masin ini jika dimakan tidak berlaukpun tidak mengapa. Penuh rasanya. Masin dan lemak. Menyengat di lidah. Nasi pula panas. Berpeluh-peluh jadinya. Saya minta maaf. Jika ada yang meniru resepi ini, kena bayar royalti. Resepi mahal. Hanya baru sekarang resepi ini saya dedahkan kepada umum. Rahsia besar sebenarnya. Nanti, isteri-isteri yang kesuntukan masa, bolehlah cuba. Abang-abang bujang memang digalakkan. Pertama jimat. Kedua boleh elak kolestrol. Tidak perlukan minyak.

Sambal tumis saya agak rumit. Setiap pagi saya memarut sebiji kelapa. Tentulah dengan parut. Parut dulu aluminium sekeping. Parut dengan gerak naik dan turun. Lenguh hendak menghabiskan sebiji kelapa. Naik turun gerakan tangan. Saya hanya gunakan kelapa tua yang gugur di sekeliling rumah. Kelapa tua banyak santannya. Macam saya banyak pula ideanya. Kononnya. Saya kupas kulitnya. Saya belah. Saya cungkil isinya. Jenuhlah saya memarut. Perah santannya ke dalam kuali. Sementara itu saya memetik cili api di keliling rumah juga. Tumbuk hingga lumat bersama bawang merah dan ikan bilis. Bawang putih dan bawang besar jarang dibeli. Tidak diperlukan agaknya. Atau mungkin jadi membazir kerana bawang merah sudah mencukupi. Saya rebus cili dalam santan hingga keluar minyaknya. Bubuh sedikit garam. Gula tidak perlu kerana santan mengeluarkan tahi minyak yang agak manis rasanya. Sayur juga saya masak sama ada tumis atau gulai lemak. Dengan hidangan istimewa itu saya akan makan, tidak ingat, mungkin dua pinggan penuh. Aduh, sedapnya. Sedap, antara masin ikan tamban, pedas dan menyengat sambal tumis cili api, dan gulai lemak. Semuanya dimakan ketika masih panas berwap. Berkepul-kepul di dalam pinggan. Jika ada terung pipit atau buah meranti atau terung asam lebihlah sedapnya.

Sudah lama saya tidak memasaknya. Kolestrol. Bahaya. Dan.... dan..... dan....jika kehabisan beras dan lauk, saya memasak juga. Tetapi ubilah yang saya masak. Apa lagi yang boleh saya buat. Ubi rebus dimakan dengan ikan masin atau dengan sambal. Kadang-kadang sambil makan meleleh juga air mata saya mengenangkan nasib. Ubi pun ubilah asalkan perut kenyang. Banyak lagi masakan yang boleh saya buat. Anak-anak saya suka bila saya memasak. Ada kelainan kata mereka. Bukan apa, tukar selera sahaja. Bukan sedap sangatpun. Bila lain, datanglah sedapnya. Bukan begitu? Begitulah saya bermain dengan selera.

Apabila saya di tingkatan empat dan lima, kebiasaan itu terlerai. Saya ke sekolah pada awal pagi dan sampai di rumah kira-kira pukul 3.00 petang. Tentulah keletihan kerana panas dan berpeluh. Saya akan tidur sekejap barang 10 hingga 20 minit. Apabila jaga saya akan makan. Saya sambung dengan membuat kerja rumah. Selepas 'Asar saya akan bermain badminton atau sepak takraw. Hampir Maghrib baru pulang. Malam saya mentelaah pelajaran. Esoknya rutin itu berulang lagi. Dalam pada itu ada malam-malam tertentu saya belajar berzanji. Seronok anak muda berlagu mendayu-dayu membesarkan Rasulullah.

Sebenarnya, semakin saya besar, semakin letih jadinya. Letih dimamah pegalaman yang tidak surut-surut sukar dan payahnya. Letih dibakar matahari. Letih dibasahi hujan. Letih kerana undernourished. Letih kerana kekurangan-kekurangan yang berlaku di keliling saya. Masih terasa pedihnya kaki mengayuh basikal. Masih terasa tegangnya kepala lutut menghenjut pedal basikal. Masih terasa panasnya punggung di atas tempat duduk kecil yang keras kematu. Masih terasa kejangnya paha bergeser palang basikal. Walaupun masa berlalu sudah terlalu lama, kesannya masih terasa-rasa. Orang lain dengan pengalaman selesa tetapi saya dengan pengalaman suka duka serta kepayahan segala.

Sekarang ini izinkan saya menikmati hasil susah payah itu. Tidak juga untuk diri sendiri. Saya kongsikan dengan mereka yang berhak sama untuk menikmatinya. Anak-anakku, abah masih terasa payahnya. Jangan kau warisi kepayahan ini. Segala ilmu yang ada di dadamu adalah bekal untuk menangkis kepayahan-kepayahan yang mungkin ingin menjenguk-jenguk semula. Ini cerita lama. Kembara abah belum tamat lagi. Banyak cabaran masih menanti di hadapan sana. Abah berikan kau semua sinergi untuk berlapang dada menghadap hari muka. Yang pasti dan yang tidak pasti.