InsyaAllah esok hari Jumaat 23 Ogos 2013 saya dan
isteri akan kembali ke Malaysia. Kembali sementara untuk meredakan keadaan. Keadaan
di sini.mkeadaan di hati saudara mara dan sahabat handai di Malaysia. Fakta-fakta
awal meggariskan hanya 100 orang akan dibawa pulang setiap hari. Jika begitu
prosesnya tentulah terlalu lambat. Semakin mencemaskan orang-orang yang
menunggu kepulangan kami. Pelan B dan yang berikutnya menambah bilangan. Setiap
hari kira-kira 365 orang dibawa pulang. Seperti jangkaan awal mana-mana
syarikat penerbangan yang kosong digunakan. Maknanya bukan kesemuanya dalam
satu pesawat. Kebanyakannya dalam satu pesawat. Tetapi ada yang terselit di
pesawat-pesawat lain. Tidak menjadi masalah asalkan kembali dengan selamat. Sampai
di Malaysia. Lagi ramai yang sudah biasa terbang jauh. Asalkan terbang sudah
mencukupi.
Tengahari tadi ada mesej dari anak yang mengatakan
bahawa nama saya dan isteri tidak ada dalam senarai yang akan pulang hari ini. Benar.
Saya semak di laman web Education Malaysia Egypt (EME). Tidak ada.
Ke laman web Persatuan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (PKPJM). Pun tidak ada. Semalam
saya mendapat makluman bahawa giliran saya dan isteri mungkin esok atau lusa. Hari
ini adalah esok bagi semalam. Jika tidak ada tentulah esok. Atau lusa bagi
semalam. Hingga pukul 12.00 tengahari tidak ada apa-apa berita. Bertanya di
laman web juga tidak ada jawapan. Datang juga gusar di hati. Sambil
baring-baring mengenang nasib, hantar sms ke PKPJM. Kira-kira setengah jam
kemudian say aterima panggilan telefon:
Assalamualaikum. Pakcik Yusof ke?
Ya, saya.
Pakcik, giliran pakcik esok. Kita ambik dalam pukul
10.00 pagi.
Ambik di rumah ke?
Tak. Boleh tunggu di Arabiata. (Sebuah kedai makan
seperti Kentucky). Saya belum mencuba lagi.
InsyaAllah.
Parah juga kata isteri saya. Mengheret beg ke jalan
besar yang jauhnya kira-kira setengah kilometer. Pelan-pelan saya kata.
InsyaAllah tidak ada apa-apa. Selalunya drebar orang Arab sukar diajak
berunding. Hendak segera dan hendak senang sahaja. Kena tahu anginnya. Jika tidak
ada sahaja halnya dengan mereka. Memahami adalah lebih baik. Untuk mengubah
sukar. Di negara kita mungkin kita boleh mentarbiah mereka. Di negara mereka
kita hanya perlu memahami. Perbezaan yang perlu dihormati. Dilawan tentu sekali
tidak boleh. Jika pukul 10.00 pagi esok
di tepi jalan besar maka kami perlu keluar dari rumah kira-kira pukul 9.30
pagi. Heret beg perlahan-lahan. Jalanraya bukan rata. Banyak lopak. Banyak bonggol.
Banyak air kerana pada waktu pagi ada orang mengambil upah membasuh kereta. Tempat
kami tinggal namanya Jalan Umar Mukhtar. Ya nama Umar Mukhtar adalah nama
seorang pejuang di Aljeria yang menentang kependudukan Italy. Jika pernah
menonton filem mengenainya watak pejuang ini dilakonkan oleh Anthony Quinn.
Kira-kira pada pukul 4.45 petang terima panggilan
dari seseorang yang bernama Syed Ahmad. Tidak diketahui siapa. Tetapi dia
menggunakan telefon pelajar PKPJM. Dia meminta kami menyerahkan passport kami untuk tujuan
pengurusan. Pukul 7.00 malam tadi saya ke rumahnya. Kebetulan di jalan sebelah
sahaja. Lima minit berjalan. Dapatlah berbual sedikit dengannya. InsyaAllah
apabila kembali semula ke Kaherah nanti dapat lebih banyak info dan program
yang boleh disertai di Kaherah. Sama ada bersama pelajar Johor atau komuniti
Malaysia di sekitar tempat tinggal saya atau di kalangan orang Malaysia amnya
di Mesir ini. Dalam kepayahan itu ada kesegaran antara bersahabat. Ada kenalan
baru. Ada maklumat baru. Ada peluang baru untuk dikongsi. Aktiviti silaturahim.
Aktiviti menambah minda, perasaan dan psikologi.
Pagi tadi saya maklumkan kepada ustaz di Markaz Nil
bahawa saya akan kembali ke Malaysia mungkin esok. Termenung dia. Semua pelajar
dari Malaysia pulang seperti diarahkan kerajaan. Pelajar Thailand sudah lebih
awal. Begitu juga pelajar Singapura dan Brunei. Dalam keadaan seperti itu
kerajaan Malaysia tentu tidak mahu tertinggal. Keselamatan diutamakan. Bagi mereka
yang menerima hakikat evakuasi ini tentulah rasa bersyukur kerana kerajaan memberi
keperihatinan yang tinggi menjaga kebajikan semua rakyatnya yang terlibat di
Mesir ini. Keselamatan tanpa apa-apa sekatan atau halangan. Alhamdulillah. Semuanya
diberi keutamaan. Tiada yang dikecualikan. Kecualilah sendiri memilih untuk
tidak perlu dibantu. Untuk mengambil risiko sendiri. Tahu mengurus diri sendiri
dalam apa keadaan sekalipun. Di luar negara tidan seperti di dalam negara. Di luar
negara kita bergantung kepada wakil kerajaan iaitu Dut adan kedutaan. Di situlah
hub aktiviti yang kalut malut untuk membantu rakyat yang dikhuatiri terancam
keselamatannya.
Saya yang baru sangat di Kaherah banyak tidak
tahunya. ARMA selalu didengar. Tetapi tidak pernah sampai untuk menjenguk
fizikal dan persekitarannya. Begitu juga asrama pelajar Johor. Belum dijengah
lagi. Banyak halangannya. Sejak menjejak kaki di bumi anbia ini keadaan belum
reda. Hendak berjalan jauh terasa khuatir. Pertahanan diri belum ada. Selok belok
jalan masih banyak yang belum diketahui. Ditanya memang tidak tahu. Jika diarahkan
ke ARMA mungkin boleh jika ada alamatnya yang jelas. Pemandu teksi rasanya
boleh dipercayai. Boleh diharap. Yang menjadi masalah kadang-kadang apa yang
kita sebut tidak sama dengan apa yang mereka faham. Ada huruf yang bertukar
bunyi. Ada pula bahasa amiyah. Bahasa pasar. Digunakan secara meluas tetapi tidak
dipelajari sebagai bahasa rasmi. Sewaktu
saya kecil dahulu saya biasa mendengar lagu Ya gamil, ya gamil. Orang Melayu
sibuk mengikut rentak dan bunyinya. Rupanya itu bahasa amiyah. Orang Arab Mesir
menyebutnya sebagai gamil dari huruf ja (jim) yang dibunyikan ga. Sepatutnya berbunyi
ja. Jamil menjadi gamil. Buah mangga disebut mango. Ejaannya pula manjo. Ini masalah
bahasa. Seperti orang Sepanyol. Jose dibunyikan Hoze. Orang Belanda pula J
menjadi Y.
Perjalanan dari rumah ke ARMA belum diplot dengan
jelas. Esok pagi akan ada maklumat berkaitan. Yang pentingnya bersedia pada
bila-bila masa. Dalam apa-apa keadaan. Persediaan awal sangat penting supaya
minda kita segar untuk memikirkan dengan tenang apa sahaja yang perlu. Fikirkan
yang penting. Yang besar dan yang kecil. Jika berus gigi tertinggal alamat
masalah besar akan dialami. Kecualilah memang tidak pernah menggosok gigi. Orang
biasa terasa janggal tidak mengosok gigi. Bukan ketagih. Amalan biasa. Amalan kebersihan
diri. Perjalanan pulang tidak tahu lancarnya. Mudah-mudahan Allah memudahkannya.
Walau bagaimanapun perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk berasa tabah.
Banyak bersabar kerana perjalanan jauh yang banyak menguja dan mencabar. Mengurus
kemaslahatan umum bukan suatu kerja mudah.
1 Rakyat
yang ada di sini disusur.
2 Mendaftar
untuk memudahkan pentadbiran.
3 Disediakan
jadual evakuasi.
4 Senarai
keutamaan.
5 Kesediaan
passport dan visa.
6 Senarai
nama yang terperinci.
7 Komunikasi.
8 Tempahan
tiket.
9 Pengumpulan
passport.
10 Pengangkutan
ke tempat berkumpul awal. Pengurusan tempat berlegar dan makan minum.
11 Pengangkutan
ke lapanganterbang.
12 Urusan
bagasi dan tiket.
13 Jadual
yang dipastikan tepat.
14 Tindakan
susulan jika penerbangan tergendala.
Semua yang terlibat harus banyak sabarnya. Banyak yang
perlu dibuat dengan segera. Dengan pantas. On time. Menjaga timeliness. Menyemak semua perincian. Dari sebelum
bertolak hingga sampai di Malaysia. Yang menerima wajib banyak syukurnya. Yang menanti
wajib banyak syukurnya. Yang tidak terlibat dan tidak tahu apa-apa perlu
mengetahui proses dan prosedurnya supaya mengetahui itu lebih baik dari bercakap
tanpa fakta.