Monday, January 30, 2012

Material Yang Mengosongkan Nilai


Siapa tidak mahu kaya. Siapa tidak mahu  senang. Siapa tidak mahu mewah. Siapa tidak mahu berada dalam segala kecukupan. Apa yang dimahu tersedia kesemuanya. Siapa yang sedar bahawa untuk mengejar dan memiliki kesemuanya itu kita telah terlalu banyak melakukan pengorbanan.  Siapa kata kita tidak melakukan pengorbanan nyawa. Entah berapa ramai yang mati. Yang hilang. Yang ghaib tidak dapat dikesan. Tidak fizikalnya. Tidak bekasnya. Tidak jejaknya. Tidak ceritanya. Sejak merdeka kita mengejar material. Sejak itu kita jalan sebelah kaki. Kaki kita banyak di dunia. Kaki yang sebelah lagi takut tidak jejak di akhirat. Mencari kekayaan bukan suatu maksiat. Bukan juga jenayah. Namun banyak juga pantang larangnya untuk mempastikan material yang dihimpun adalah sah dan halal.

Bayangkan situasai ini. Seorang graduan pulang ke kampung. Bertemulah dengan sahabat sepermainan. Rakan sebaya. Teman mengharung hidup kampung. Tiba-tiba seorang sahabat memberi komen. Senanglah kamu nanti. Pangkat besar. Gaji besar. Tentu akan dapat yang besar-besar. Hidup akan mewah. Apa reaksi kita dalam hal seperti ini. Defensif? Reaktif? Atau non-commital. Kebanyakan kita hanya melihat suatu titik masa. Suatu waktu yang beku kaku. Suatu frame masa yang terpilih. Maka andaiannya terlalu naif. Terlalu simple. Terlalu mudah. Sangat terlalu tidak tepat. Hidup ini adalah suatu proses. Dan tiada siapa yang boleh menidakkan pentingnya ilmu. Kemahiran. Kejayaan akademik. Jika kita tidak dapat melihat pentingnya ilmu banyak salah tafsir yang menakutkan. Orang dewasa akan selalu cemburu terhadap orang yang berpangkat besar. Yang berpendapatan besar. Mereka manusia biasa tetapi kenapa diberi layanan berbeza. Dalam ekstrim yang lain anak-anak malas belajar. Malas mengaji. Yang mereka nampak ialah hidup glamour tanpa ada isi. Tanpa pengisisn. Tanpa ada nilai tambah. Mereka inilah yang nanti dewasanya akan iri. Cemburu. Meminta dilayan setara.

Suatu situasi ironis. Mereka yang usahanya lebih kerap dicemburui. Mereka yang usahanya kurang menginginkan semuanya yang lebih baik.  Seorang teman saya di universiti dahulu membuat komen ini. Orang semua hanya melihat senang kita. Mereka tidak nampak seksanya untuk lulus periksa. Untuk belajar. Untuk membuat tugasan di bengkel. Untuk menyudahkan projek. Untuk membuat penyelidikan. Untuk menyiapkan tugasan mingguan. Tugasan semester. Lawatan keluar. Kerja lapangan. Merujuk buku yang bertimbun-timbun di perpustakaan. Berhabis wang untuk membeli buku. Mengikat perut kerana hendak belajar. Hidup ala kadar demi masa depan yang cuba digagahi. Hidup mengharungi persekitaran belajar bukan kesantaian. Bukan berhibur. Bukan bersenang-senang. Mengisi masa yang tidak pernah cukup. Usaha yang tidak pernah hentinya. Siang dan malam kepala diisi. Diputar fikiran untuk mengingat dan menghafal.

Gambaran itu tidak pernah dirakam dengan video masa. Kegelisahan yang selalu berselubung dalam hati. Kebimbangan yang selalu bersarang. Ujian dan peperiksaan. Itu belum viva sekali dua. Membaca belum tentu ingat. Ingat belum tentu boleh menjawab. Yang dikejar ialah kecemerlangan. Kehangatan intelek yang selalu menjana idea. Memungkinkan kehidupan yang lebih indah. Lebih mewah. Sebab itu sesama mereka yang bergelar graduan tidak selalu iri. Apatah lagi hasad dan dengki. Masing-masing tahu ukuran diri masing-masing. Setakat mana kemampuan mereka mengungguli kehebatan di kampus. Di bilik kuliah. Di dewan kuliah. Di bilik seminar. Hatta di pentas debat dan bicara. Hujjah tertanam. Bahasan tertancap. Bacaan dan rujukan yang diulang-ulang melekat di hati dan minda. Terisi dengan barisan informasi yang layak untuk diketengahkan.

Tentu sahaja dalam kehidupan ada pasangan. Ada kaya dan ada yang kurang kaya. Di hujung sana ada yang sangat daif. Ada pasangan antara berpangkat tinggi dan yang berpangkat rendah. Begitu juga ada yang berpendapatan tinggi dan ada yang sebaliknya.   Cuba pandang keliling dengan hati terbuka. Dengan berlapang dada. Yang kaya tentu kerana rezeki usahanya. Kena masa dan tempatnya. Yang tidak berjaya ramai juga. Rezeki dari Allah. Allah menentukan siapa yang berjaya dan siapa yang tidak kaya. Siapa orang yang berpangkat tinggi. Jika ada ciri-ciri itu pada kita barulah kita boleh iri. Boleh cemburu. Boleh tersa tersalah bulu. Dianak tiri. Di lepas pandang. Mereka itu manusia istimewa kerana kita tidak mungkin mampu melakukan apa yang mereka lakukan. Tanggungjawab mereka menggunung. Ramai antara mereka tiada family life. Hidup dengan orang ramai. Dengan rakyat banyak. Itu menjadi pilihan mereka.

Setelah belajar setengah mati. Setelah maruah selalu tercalar mereka menjadi graduan. Mereka menapak dilatih untuk mengendalikan hal-hal yang besar. Yang impaknya meluas. Yang implikasinya juga hebat.  Otaknya selalu diperah. Kudratnya selalu dikerah. Rohaninya selalu didamaikan dengan kejayaan. Sejak awal mereka digarap untuk memimpin. Maka apabila mereka bergaji besar tidak layak dicemburui. Jika mereka berpendapatan besar mereka tidak layak diiri. Mereka layak menerima kesemua imbuhan itu kerana mereka berlayakan akademik, diberi kemahiran yang sesuai. Kemahiran itu pula diberi dan dilatih bertahun-tahun lamanya. Berkursus jangan dikira. Bengkel bukan kepalang banyaknya. Seminar dan forum silih berganti. Konvensyen entah berapa banyaknya. Itu belum masalah yang berjalur-jalur banyaknya. Belum keputusan untuk negara yang telah dibuat.  Tentu sahaja mereka layak menerima pendapatan yang lebih tinggi.  Jurang antara yang memiliki ijazah dengan yang kurang darinya amat jauh. Di sinilah critical thinking dan lateral thinking dihayati. Pemimpin dan ketua.

Sekadar analogi, seorang kerani hanya tahu kerja-kerja perkeraniannya. Seorang pemandu hanya tahu arah yang ditujunya sahaja. Seorang pengarah boleh menjadi kerani. Boleh menjadi pemandu. Kenapa hendak pergi ke sesuatu tempat.  Bila perlu bertolak. Berapa lama di sesuatu tempat. Apa yang perlu dilakukan di tempat itu. Apakah plan A dan plan Bnya.  Jalan mana yang perlu dipilih. Kelajuan yang diperlukan. Pemandu hanya menerima arahan pengarahnya.  Bukan merancang dan melaksanakannya. Bukan juga untuk troubleshooting. Bukan untuk menyelesaikan masalah. Bukan untuk membuat keputusan sama ada besar atau kecil. Sama ada penting atau tidak. Tidak mungkin seorang pemandu boleh mengendalikan tugas seorang pengarah. Tidak mungkin pendapatan pemandu harus sama dengan pendapatan pengarahnya. Pegawai rendah hanya untuk dirinya dan keluarganya. Seorang pegawai atasan bukan lagi menjaga dirinya tetap negaranya. Kemerdekaan negaranya.

Semua harus dilihat dengan mata hati. Dengan kewarasan melihat apa yang ada di hadapan kita. Yang nyata. Realiti. Bahawa mereka yang berpendapatan banyak atau yang berpangkat tinggi atau yang kedudukannya lebih baik dari kita adalah rezekinya yang dianugerahkan kepadanya. Tidak layak untuk kita. Mungkin jika dianugerahkan kepada kita tidak terdaya untuk kita menanggungnya. Bukan untuk kita. Rezeki memang lain-lain. Darjat kita lain-lain. Itulah hakikat.  Yang penting bersyukur. Nikmat dari Allah. Segala pergantungan hanya darinya. Buanglah apa-apa pransangka dalam diri kita. Mereka layak menerima yang lebih baik dari kita. Doakan kesejahteraan bersama. Sistem kenegaraan kita tidak mengabaikan yang lemah atau yang tidak berkemampuan. Ada cara untuk membantu. Yang beradda membayar cukai untuk mengsubsidi yang kurang mampu. Ada pula zakat yang wajib ditunaikan. Maka yang perlu dibela harus terbela. Sistemnya sahaja harus diperkemas lagi.