Tuesday, February 25, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Apakah Dunia Lakonan Ada Badinya?



Apa sebenarnya yang kita fahami dari dunia lakonan? Ianya hanya lakonan. Bukan realiti. Plot cerita yang dilakonkan mungkin diambil dari realiti atau fiksyen semata-mata. Betulkah begitu. Fiksyen sekalipun tentunya bersandarkan kepada pengalaman dalam persekitaran penulis skrip. Dihayati oleh pengarahnya. Dilakonkan untuk tatapan umum. Lakonan memerlukan watak-watak hebat untuk merealisasikan jalan cerita yang digarap pengarahnya. Garapan yang baik selalunya menampilkan lakonan yang real. Menjiwai  cerita dan wataknya. Penonton merasa puas kerana paparan di TV atau pawagam itu memberikan input minda yang baik.  Lakonan yang baik memenuhi selera dan kehendak penonton semua peringkat. Tidak meninggalkan impak kurang atau negatif. Umpamanya selepas menonton sesuatu drama kita merasa terkesan. Tidak pula merasa banyak ketidakselarian. Secara psikologinya ada keselelarian dengan teori dan kebiasaan hidup manusia. Tidak pula memperlekeh mana-mana gender. Tidak memperlekeh usia, tahap pendidikan atau diskriminasi dalam bentuk stereotyping.

Selama ini kita bayak dihidangkan dengan filem dan drama TV. Banyak nama-nama besar dalam bidang lakonan. Ramai yang kekal aktif. Ramai yang sudah kembali kepada Allah. Ramai yang Allah uji dengan berbagai dugaan di dunia. Apabila kita sorot kembali, kita dapati ada antara pelakon hebat filem dan drama yang realiti hidupnya seperti lakonan mereka yang direalisasikan dalam dunia realiti mereka. Kehidupan sebenar mereka seperti apa yang pernah mereka lakonkan.

1                 Pelakon yang airmatanya sangat murah akhirnya menjalani hidup dengan berendam dengan airmata.
2                 Palakon yang  menjiwai watak susah dan miskin, menjadi benar-benar miskin dan susah di hari tua mereka. Lakonan dan realiti bergabung akhirnya.
3                 Pelakon yang melakonkan watak terbuang, benar-benar terbuang di hari tuanya hingga ke akhir hayatnya. Ada pelakon yang dibuang oleh ahli keluarga sehingga akhir hayatnya.
4                 Pelakon yang membawa watak, maaf, janda atau balu Allah izinkan menjadi janda atau balu.
5                 Pelakon yang membawa watak sakit, mengidap realiti sakit yang sebenar.
6                 Pelakon yang membawa watak nakal, kekal nakalnya di luar lakonan.

Itu sekadar beberapa contoh sahaja. Banyak lagi watak-watak lain yang dilakonkan oleh berbagai pelakon. Apa sebenarnya yang boleh kita kongsikan di sini?

1                 Pelakon menjiwai watak lakonan mereka. Hidup seperti watak itu. Berusaha menghidupkan watak itu seperti sebenarnya berlaku. Dirinya adalah watak itu.
2                 Menghafal skrip. Menghafal skrip berulang-ulang hingga lekat di bibir. Apa yang diungkapkan sebelum dan semasa penggambaran adalah skrip itu.
3                 Seluruh hidupnya berada dalam watak itu hingga selesai proses penggambaran dan dubbing. Pada waktu yang lain watak lain pula yang dipegangnya. Prosesnya berulang.

Cuba amati kata-kata ulamak. Sesuatu yang diulang-ulang seolah-olah doa. Seperti zikir jadinya. Berapa kali agaknya seseorang pelakon utama menghafal skrip. Mengulang-ulangnya hingga lekat di bibir. Lekat di minda. Seluruh pemikirannya itulah skrip yang dihafalnya. Akhirnya Allah makbulkan seperti yang diulang-ulang. Bagaimana dengan dialog berikut:

Yalah, aku ni miskin.
Aku ni orang susah.
Aku ni orang bodoh.
Aku ni tak pandai.
Yalah, aku ni hina.
Aku memang busuk.
Aku memang tak baik.

Berapa ratus atau ribu kali agaknya dialog itu dihafal. Dilakonkan hingga selesai. Kita selalu didorong supaya berwirid mengingati Allah. Apabila skrip lakonan menjadi seperti wirid mungkin itu yang lekat dalam minda dan hati. Allah makbulkan wiridnya. Rasanya pelakon akan sedar akan impak lakonannya. Kepada mereka ianya semata-mata lakonan. Tiada kena mengena dengan realiti. Mungkin kena ambil iktibar yang lebih sedikit. Cari semula apa di sebalik lakonan. Apa yang berlaku kepada pelakon berlaku juga kepada ahli masyarakat yang lain. Namum cerita mereka tertutup. Tiada paparazi yang mengintai mereka. Kepada artis atau selebriti semua kisahnya menjadi tatapan umum. Semua orang megetahuinya. Sementelahan pula dunia seni ramai peminatnya. Tidak ramai artis yang bertahan dalam dunia yang penuh pancaroba. Ada sahaja cerita yang di luar jangkaan.

Beruntung pelakon yang selalu memegang watak baik. Watak orang kaya. Orang besar. Orang ternama. Memegang watak orang alim. Jadi imam. Ketua. Penghulu dan sebagainya. Ramai pula memegang watak yang negatif. Antigonis. Ditonton dengan meluat. Dibenci. Malah hingga di luar set pelakon seperti ini dibenci orang. Bukan kerana jahat atau nakal. Tetapi kerana lakonannya yang dianggap berkesan. Dari segi prestasi seni ianya dianggap satu kejayaan. Namun dari segi yang lain lakonan itu mengaibatkan penonton membencinya. Ada kemungkinannya mereka yang benci itu menyumpah seranah. Bukan seorang. Bahkan ramai yang berpandangan serupa. Nah! Bagaimana? Hanya lakonan tetapi memberi impak negatif. Dimaki hamun tanpa disedari oleh pelakonnya. Yang benci pula mungkin bukan orang sebarangan. Orang biasa-biasa yang bersih hatinya. Caci makinya dikatakan orang dari ‘mulut yang masin’. Apabila kebencian itu turut menjadi doa maka lakonan ahkirnya menjadi realiti.


Mungkin ada baiknya dunia lakonan dilihat semula. Mungkin industri hiburan diperlukan tetapi lihat penampilan pelakon-pelakonnya supaya tidak melakonkan watak-watak yang negatif. Watak yang naif. Adegan-adegan yang tidak kondusif dalam pembentukan nilai murni ditiadakan. Tidak diperlihatkan. Tidak disebut secara jelas. Jalan cerita penuh dengan nasihat. Banyak unsur motivasi. Sorotan psikologi yang mengesankan. Analisis akademik dalam penceritaan. Dan banyak lagi jika mahu digarap. Sampai masanya industri hiburan merujuk kepada panel agama dan panel akademik. Pertamanya supaya ada kepatuhan syarie dan keduanya selari dengan penyelidikan akademik. Kita perlu melonjakkan industri lakonan umpamanya ke tahap yang jauh lebih tinggi. Sopan dan berhemah.