Thursday, December 30, 2010

Cinta Yang Ke Jinjang Pelamin

Bila dua sejoli mendirikan rumahtangga (kebetulan ramai pula Disember 2010 ini) apa sebenarnya impian mereka. Harapan mereka. Azam mereka. Masa depan mereka. Jangkaan mereka. Ramalan mereka. Semasa menyempurnakannya entah berapa orang mempelai yang benar-benar merencanakannya. Atau mereka hanya membiarkan semuanya mengalir mengikut kebetulannya. Mengikut arus kehendak keluarga. Atau mengikut kata hati. Kesabaran yang lama sudah tidak bertahan lagi.

Perkahwinan adalah suatu pelaburan. Suatu modal yang ditanam. Namun tidak jelas prasarananya. Bentuknya bukan boleh dilihat seacra fizikal. Ia binaan abstrak. Semua orang mengetahuinya. Ramai yang memasukinya. Ramai juga yang keluar kembali. Ada yang di dalam dengan nikmat bahagianya. Ada pula yang tidak mahu keluar walaupun di dalam dunia itu penuh dengan cabaran yang tidak terbilang beratnya. Saban saat ramai pula yang mendesak untuk masuk ke dalamnya.

Setiap yang berkasih ingin bersama selalu untuk selamanya. Hidup dan mati bersama. Dalam ria dan dalam duka. Dalam senang dan dalam susah. Dalam bahagia dan dalam derita. Mereka ingin melestarikan kebersamaan yang abadi. Bercinta itu indah walaupun angin dan ributya selalu berlaku. Ada sahaja lidah yang tergigit. Ada sahaja kata yang tergeliat. Ada rasa yang disenda duka. Belajar juga untuk mengurus cinta. Saat-saat menjelang, “Aku terima nikahnya....” tentulah mengasyikkan. Menunggu saat-saat bahagia. Itulah ungkapan stereotype yang selalu dilontarkan. Kalimah bahagia yang seolah-olahnya suatu kepastian.

Itulah yang diidamkan semua pasangan. Ingin menebat bahagia. Ingin membina bahagia. Ingin mengikat bahagia. Senang mengungkapkan. Mudah menyebutnya. Tanyalah mereka yang sudah berumahtangga. Tanya mereka yang beranak pinak. Yang sudah bercucu cicit. Banyak jawapan yang rencam dan tidak pernah sekata. Bahagia itu hanya harapan yang realistik tetapi mungkin tidak positif. Ia ada tetapi perlu dikutip satu persatu untuk menentu bahagia abadi yang didambakan. Ia tidak terbentang mudah di depan mata. Ia bukan mengalir seperti air. Ia tidak jatuh dari langit dalam bentuk sempurna. Ia bukan buah yang bergugus di tangkai. Ia adalah cebisan-cebisan yang namanya bahagia. Yang peka, yang perhatin, yang ada ma’rifat halus dapat mengenalnya. Dapat mengumpul dan membelainya. Dapat menikmatinya hingga abadi.

Ingat dulu waktu kau mula jeling-jeling. Mula perasan memandang dan dipandang. Waktu nafas menjadi sesak kerana terpandang kelibatnya. Wak kau rasa dadamu bergoncang ditandang sayang. Waktu rasamu ada rasa bila berjauhan. Bila lama tidak berbicara. Bila lama tidak terpandang. Waktu kau nampak bahawa semuanya yang kau lihat adalah pancaran pancawarna. Pelangi-pelangi indah nan bergemerlapan. Bahawa kau perlukan seseorang sebagai teman. Lebih dari seorang sahabat. Yang mengerti dan memahami. Yang tahu dan mengetahui. Yang sedia ada di sampingmu bila perlu. Tetapi dua jiwa yang tidak pernah sekata. Tidak pernah kembar seiras. Tentu ada riak-riak berbeza. Ada tinggi dan ada rendahnya. Ada jauh dan ada dekatnya. Hati sahaja mengiyakan. Jiwa sahaja menerimanya. Kau memilih? Tentu sahaja memilih. Mencari yang sesuai. Yang sepadan. Yang sedondon. Yang sama boleh dibawa ria. Yang dilihat boleh sama ceria. Yang didambakan agaknya bahagia. Begitulah awal-awal bermula. Suatu episod dalam kisah sepasang kekasih. Ada kriterianya? Mana ada. Ada standardnya? Mana ada. Ada kualitinya? Kembali kepda standard tadi. Jadi kenapa dua sejoli itu boleh bersama. Dilihat cocok. Semacam ada ketenangan. Tunggulah nanti akan ada ceritanya.

Mana mungkin berlama-lama. Ibu dan bapa lama ingin menimang cucu. Apa tunggu lama-lama. Takut juga diambil orang. Disambar helang. Direnggut harimau garang. Takut putera berkuda putih datang menyerang. Tentulah tidak ingin mata berputih alang. Lalu kau bertunang segah maunya. Memetrai janji bila tiba masanya. Kau bilang hari yang terlalu merangkak silih gantinya. Malam-malammu membasah bantal dengan airmata. Tidak siapa yang mengerti kenapa air mata mesti dilepaskan. Rindu? Bimbang? Jauh barangkali? Entah, setaumu air mata itu mencucur sendiri. Tiada paksa dan bukan disengaja. Tabiat orang bercinta barangkali. Hati kosong perlu diisi. Bila? Soalan yang hanya waktu menentukan.

Waktunya sampai. Masanya tiba. Semanis-manis gula bermadu. Dilafazkan, “Aku terima nikahnya.....” sah ka suaminya. Kau isterinya. Tika itu terputuslah segala yang dulu. Sewaktu kau bebas keran kau satu. Hidupmu. Senangmu. Susahmu. Makanmju. Minummu. Semuanya suatu kemerdekaan. Kebebasan mengendali diri. Tiada siapa yang peduli. Atau ambil tahu. Atau mengatur. Atau mengganggu. Suatu autonomi yang nikmat. Kau rasa semuanya pada diri sendiri.

Tika ini semua itu kau tinggalkan. Kau putuskan hubungan. Dunia yang kau masuki. Dunia baru ini muluk kau rasa. Gemilang cahayanya memukau. Kecapilah sementara ianya masih manis. Semantara madunya masih harum semerbak. Mimpilah yang indah-indah. Berpestalah. Berdansalah. Masa ini lama sungguh kau nantikan. Bak kurun yang tidak mahu menjelang. Bak jauh yang tiada jalan pulang. Kilauan, gemerlapan, silauan cahayanya sungguh memaku hati da minda. Seluruh hidupmu berubah menyatu dengan seorang lain yang dulunya entah siapa-siapa.

Siapa sebenarnya yang ada di sampingmu? Siapa lelaki ini? Suamiku kah dia? Bukankah dia lelaki? Inikah yang menjadi suamiku? Apa bezanhya dia dengan lelaki-lelaki lain yang dulu banyak memikatku? Adakah dia menunai janji? Adakah dia ini setia seumur usiakau nanti? Nah, kau ingatkah? Apa sebenarnya kriteria suami yang kau pilih dulu? Mana senarainya? Jika semua kriteria itu ada, sangat cocoklah pilihan hati. Idaman mimpimu dulu. Alhamdulillah syukur padaMu ya Rabbi. Aku di bawah naunganmu. Lindungilah aku dan suamiku. Bahagiakanlah kami berdua. Damaikanlah hati-hati kami. Beri kami ketenteraman. Kekalkan kehangatan kasih kami. Semarakan sayang kami. Cahayakan cinta kami.

Bila kau terima nikahnya dia bukan lagi kekasih yang kau tagih kasihnya. Bukan tunang yang sayangnya memanjang. Dia adalah suamimu. Dia akan ada di sampingmu setiap waktu. Akan melindungimu seperlunya. Sama membuai rindu. Kau dan dia membentuk kepompong yang bernama suami isteri. Nanti akan kau kenali dirinya. Sanubarinya. Falsafah hidupnya. Cita-citanya. Masa depannya. Nanti kau kenal amalan agamanya. Amalan yang menyejukkan dirimu. Dia yang mengimami solatmu. Yang menghiasi rumahmu dengan bacaan al-Quran. Yang zikirnya memecah sunyi malam. Setiap detikmu ada petunjuk kerana arifnya hal-hal agama. Padanya kau sandarkan harapan untuk mendidik anak-anakmu. Membawa mereka ke syurga yang diimpikan oleh keluarga.

Ia mungkin seperti yang kau jangka. Yang kau harap segala. Yang memberimu kepastian bahawa dialah yang terbaik untukmu. Yang memungkinkan damainya hati. Dialah yang meyakinkan bahawa tiada lain selain darinya. Pakej lengkap lelaki dan suami. Mudah-mudhan dia adalah bapa yang semangatnya waja. Hanya kau yang tahu siapa suamimu. Hadirnya kau rayu. Hilangnya kau rindu. Perginya kau imbau selalu.

Yang mengerti hanya dirimu. Hanya nyawamu. Hanya mindamu. Kepastian bahawa dia suamimu. Yang kau cari selama ini benar-benar memberi keinsafan. Nanti akan kau jaga kehidupannya. Imbalannya nanti dia akan membahagiakanmu. Kau jaga hartanya sebab itu akan jadi hartamu. Kau jaga rahsianya sebab itu juga rahsiamu. Kau jaga dirimu sebab dirimau adalah dirinya. Kau penuhi kehendaknya, keperluannya sebab itu juga kehendakmu. Kau jadikan dirimu isteri mithali.

Suamimu adalah dirimu. Selimutilah dia dengan kasih sayangmu. Dengan keikhlasanmu. Dengan nada irama kasih sayangmu. Dengan tari dansa menghibur hati. Rona-rona kasih yang kau bina bersamanya. Belailah ia semaunya. Lurutkan hatinya keranamu. Dekat dan lekatkan ia di rumah. Bisikkan kepadanya bahawa dia adalah suamimu. Dia bukan lagi lelaki biasa yang tidak punya apa-apa. Di bahunya ada amanah. Ada tanggungjawab. Ada tugas. Ada wawasan. Ada segala beban yang perlu dipikulnya. Katakan bahawa bebas berat itu akan kau sokong di sisinya. Akan kau iring dia memanjat usia. Bersamanya membina bahagia. Berdoalah semoga hajatmu ke hujung usia.

Nanti berkurun lamanya ceritamu akan jadi ceritanya. Warisan berzaman yang bernama keluarga. Anak cucumu akan melestarikan cerita bahagia itu. Akan dijaja kepada keturunan mereka. Abadi selamanya.