Ramai sungguh pasangan baru yang ke jinjang pelamin. Memasuki alam baru yang memang baru. Alam yang diteroka dalam harapan yang menggunung. Meneroka bermakna laluannya penuh liku. Penuh onak. Penuh dengan segala dugaan. Dalamnya ada ancaman dan halangan dan kekangan. Memasuki mahligai inginkan bahagia. Melalui lorong-lorong bergemerlapan. Menelusuri jalan-jalan indah dengan cahaya pelangi yang memancar-mancar. Dari jauh semuanya nampak cantik. Dilihat amat megujakan. Alam baru yang menjanjikan segala kebahagiaan. Sesungguhnya memasuki sesuatu tempat yang baru perlu langkah berhati-hati. Ruang baru yang belum diketahuai luasnya. Dalamnya. Isiannya. Kapasitinya. Yang ada hanya harapan. Mungkin ramalan. Yang pastinya jangan lupa doa dan zikir untuk Yang Maha Esa.
Isteri, ini dunia barumu. Lelaki di sampingmu itu bukan siapa-siapa. Dia orang baru dalam hatimu. Dalam nuranimu. Dia suami yang akan memberimu segala keindahan berumahtangga. Lelaki itu suamimu yang nanti hingga tuamu akan berada di sampingmu. Hingga akhir hayatmu dia bertahta di hatimu. Tenang dalam qalbumu. Dekat antara nafasmu. Dekat antara kulitmu. Setiamu setianya. Kasihmu adalah kasihnya. Sayangmu adalah sayangnya. Rindumu adalah rindunya. Cintamu adalah cintanya. Jodohmu padanya. Lapanglah masa hadapanmu di jalan lurus yang panjang. Jalan lurus yang luas terbentang. Di kanan dan kirinya penuh berbunga. Berbaris penuh bunga yang berjajaran. Mewangi sepanjang jalan itu. Jalan yang akan kau tempuhi bersama dengannya.
Sayangilah dirimu. Bila kau mengahwini seorang lelaki jangan kau lupa bahawa dia anak seorang ibu. Anak seorang bapa. Abang kepada adik-adiknnya. Adik kepada abang dan kakaknya. Bapa saudara kepada anak-anak buahnya. Dia adalah ahli kepada saudara maranya. Mengahwini seorang lelaki pastinya dengan restu ibu bapanya. Kau harus diterima mereka sebagai anak baru mereka. Orang baru yang memasuki dunia mereka. Alam mereka yang dulunya tanpamu. Pada langkah pertamamu lihatlah jika ada riak. Jika ada kocak. Jika ada rekah di mana-mana. Alunan ombak kecil pasti ada. Biasalah di tepian pantai keluarga. Yang baru akan dinilai. Akan diberi peringkat. Ada yang memberi tempat dan tingkat. Tidak semuanya akan manis sepanjang hayat. Langkahmu, langkahmu mesti kejap dan kukuh. Mesti tetap dan teratur. Tersusun dengan pasti untuk mencari tapak. Tapak itulah yang menjadi asas untuk kau teruskan impian indah membina kebahagiaan. Secara fizikal. Secara mental. Secara psikologikal.
Penilaian terhadapmu bukan sedikit. Akan berpanjangan dan memanjang. Dari satu episod ke satu episod yang berturutan. Percayalah seluruh kehidupanmu yang baru adalah suatu ujian yang tidak ada putusnya. Silih berganti kau akan diuji. Satu demi satu. Dari saat kau langkahi ruang baru itu. Rumah baru itu. Lapanan baru itu. Alam baru itu. Sudah sedia dengan masak dan lauk paukmu. Semua orang ingin merasa masin, manis dan masamnya. Aroma dan rangupnya. Garing dan masaknya. Bersedialah dengan komen dan kritik. Ada yang suka dan ada yang tidak. Lapangkanlah dada untuk menerima pujian atau sedikit kata-kata sinis yang tidak mengena. Orang-orang juga. Mana sama orang sendiri. Begitulah kau akan membiasakan diri dengan hal-hal yang baru. Semuanya perlu dipelajari untuk masa hadapan yang panjang.
Barangkali kau akan dinilai juga tentang kemas dan sepahmu. Sebagai pengurus rumahtangga kau telah dididik oleh ibumu. Oleh keluargamu. Kemas dan susun. Atur dan licinnya. Jangan ada sampah. Jangan ada sepah. Jangan ada yang berkecah. Kekemasan yang menjadi sesuatu kemestian. Nilai baik yang tentunya bersama pujian. Kemas itu bukan sahaja lantai dapur. Lihat juga seluruh dapur. Termasuk periuk dan belanganya. Pinggan dan mangguknya. Sudip dan sudunya. Basuh dan bilasmu. Susun dan tusnya air dan basahnya. Baju dibasuh. Disidai kemas. Dilipat dan disusun. Harum dengan sabun dan pelembut kain. Siapnya disusun dan digantung. Almari dan gerobok yang diwangikan dengan ubat gegat. Keharuman yang mengharumkan. Kain dan baju yang sedap dipakai.
Bilik ridurmu akan selalu menjadi imejmu. Katilnya yang kemas adalah lambang dirimu. Kekemasan cadarnya adalah dirimu. Bantalnya dirimu. Seluruh bilik ridur itu milikmu. Tapi ingat ianya hanya sementara. Ia hanya suatu jangkamasa yang sangat singkat. Selagi tidak tamat bulan madumu gunakanlah bilik itu semaumu. Bila tamat nanti bilik itu menjadi rebutan siapa yang dahulu. Apabila ada adik beradik lain yang bernikah maka hakmu ke atas bilik itu dan segala isinya bukan lagi hakmu. Namun sementara ia menjadi medanmu ada harapan supaya kau menjaganya. Kekemasan dan kebersihannya adalah tanggungjawabmu. Keteraturannya menjadi nadi dirimu. Kau dan bilik itu menjadi sinonim. Hari-harimu akan bersama bilik itu. Di situ ada dirimu. Kasihmu. Cintamu. Rindumu.
Tidur dan jagamu hendaklah berjadual. Ada agenda harian yang kau penuhi. Dari jagamu ada yang perlu kau selesaikan. Menuntut kesempurnaan. Sarapan pagi untuk bekal hari yang menjelang. Air dan makan. Sayur dan kalori. Makanan sihat untuk menjaga tubuh badan. Untuk tenaga membina produktiviti. Kerja dan tugas membina kerjaya. Membina keluarga. Membina negara. Sarapan bukan sekadar makan dan kenyang. Ia memberi tenaga untuk bekerja keras menghadapi hari-hari yang akan menjelang datang. Nanti anak-anak akan datang menjengah seorang demi seorang. Berekor-ekor ramainya. Mudah-mudahan datang mereka sebagai anak-anak yang soleh dan solehah. Mentarbiahkan alam dan umat ke jalan Allah. Anak-anak yang akan menjadi warisan keluargamu. Keturunanmu. Kesinambungan darah dagingmu. Keluatga barumu menagih sarapan enak darimu. Suamimu akan bergantung kenyang sarapan yang kau hidangkan saban pagi.
Hatimu hendaklah terbuka. Hendaklah dilapangkan menerima kehadiran segala yang baru. Orang-orang baru yang ada di sekelilingmu. Persekitaran baru yang dulunya asing kepadamu. Semua yang kau sentuh adalah baru. Proses belajarmu akan panjang dan berterusan. Banyak yang baru mesti dipelajari. Akan nanti menjadi bekal hidup untuk meneruskan kewajaran kehadiranmu. Salah dan silap fitrah manusia. Maaf dan memaafkan itu yang dituntut. Sabar perlu ada. Tabah menghadapi semuanya yang datang. Baik dan buruknya. Sakit dan senangnya. Berbagailah yang bersilih ganti. Hidup mesti diteruskan kerana proses belajar yang tidak pernah tamat. Bukan kerana usia. Kerana keperluan untuk hidup. Kerana hidup itu sendiri. Tidak ada yang perlu dielak. Anugerah atau masalah sama sahaja pada spektrum yang sama. Bahagia di hujung sana yang dicari dan ingin dibina.
Tolehlah ke kananmu. Ada lelaki suamimu. Tolehlah ke kirimu. Ada lelaki yang sama menjadi suamimu. Lihatlah disekelilingmu. Dia ada di mana-mana. Seluruh kehidupanmu bersamanya. Lindungannya. Pemagarannya. Kawasan takluknya. Selamanya kau akan bersamanya. Hidup dan matimu bersamanya. Tiada yang terpisah dan memisahkan. Tawa dan tangismu bersamanya. Hidup dan matimu bersamanya. Keluargamu akan membesar untuk kau dan suamimu. Anak-anak yang akan menyerikan hidup bersama. Kasih sayang yang tertumpah untuk melestarikan cinta dua insan. Kasih sayang yang datangnya dari dalam diri. Kerana Allah cintamu adalah untuknya. Jagalah dia bak mutiara yang perlu digilap. Bantulah dia menyerlahkan peranannya sebagai suami dan bapa. Kau akan bernaung di bawah lembayung cinta dan kasihnya. Semoga abadi kekal selamanya. Dunia membawa ke akhirat. Semoga Allah bersamamu. Barakallahumma. Wabaraka alaikuma.