Saturday, January 26, 2013

Salam Dari Amman Jordan: Satu Dalam Sibuk Bersatu




Beginilah plet kenderaan di Jordan. Sekali pandang kita tahu ini kereta Jordan.   ﺍﻷﺭﺩﻥ  dan Jordan. Mereka yag berbahasa Arab maklum kehadirannya. Mereka yang berbahasa Inggeris juga mengetahuinya. Tidak perlu bertanya dari mana datangnya kereta itu. Bayangkan seorang pelancong tercegat di tengah-tengah Kuala Lumpur. Ia pasti tidak tahu dari mana kenderaan yang lalu di hadapannya.


Ada sesuatu yang menarik perhatian saya di Amman. Kenderaan negara Jordan pletnya standard. Nombornya banyak tetapi yang dirujuk ialah negara Jordan. Tidak ada yang berkaitan dengan kawasan atau daerah. Jordan maknanya hanya Jordan. Plet kenderaannya dimulakan  dengan dua perkataan    ﺍﻷﺭﺩﻥ  dan Jordan. Diikuti dengan tujuh nombor. Umpamanya 11.32118. Kereta di seluruh Jordan menggunakan sistem ini. Maksudnya kereta ini milik orang Jordan atau didaftarkan di Jordan. Dua nombor yang awal tentulah menunjukkan kawasan atau zon tempat tinggal pemiliknya yang asal. Apabila menjadi kereta terpakai konsep pemilik asal sudah tidak wujud lagi. Kereta itu berpindah ke kawasan lain mengikut pemiliknya yang baru.
Di mana sekalipun kereta itu berada orang dapat mengenal bahawa itu kereta Jordan. Nombor menjadi isu kedua. Yang pasti kereta itu didaftarkan di Jordan. Jika kereta itu berada di Jordan barulah orang mengenalpasti dari kawasan mana kereta itu. Jika kereta itu berada di Arab Saudi atau Syria, atau Turki atau Lebnon atau sebarang negara lain di sekitar Timur Tengah orang mengenalnya dengan serta merta bahawa kereta itu dari Jordan. Pengenalan negara lebih utama. Negara lebih penting. Lambang kesatuan sebuah negara. Tanpa sibuk. Tanpa kecoh. Tanpa banyak cerita. Tanpa banyak slogan. Tanpa banyak kempen. Tiada mesej tertentu. Plet kereta itu sudah cukup menjadi lambang kesatuan. Lambang bersatunya seluruh pemikiran. Tanpa kos. Tanpa banyak bercerita yang panjang-panjang.
Cuba kita tinjau kembali di negara kita. Semua negeri diperuntukkan dengan pletnya yang tersendiri. Malah tentera memiliki pletnya sendiri. Plet A untuk negeri Perak. B untuk Selangor. C untuk Pahang. Tiga plet ini cukup sinonim dengan suatu perlambangan yang memedihkan. Lambang duka lara sebuah negara. Lambang suram sebuah kehilangan harga diri. Pasti orang lama teringat Raja Abdullah dan Datuk Maharaja Lela di Perak. Datuk Bahaman di Pahang. Ramai lagi pejuang di selangor. British membariskan plet kereta kita dengan sejarah mereka. Kita terperangkap dalam sejarah itu. Plet-plet yang lain hanya mengikut huruf awal ejaan negeri itu. Kecuali D untuk Kelantan dan R untuk Perlis. Sarawak dan Sabah kekal dengan Snya. Kadang-kadang kita terkial-kial mengingat sesuatu plet kereta. Walaupun nombornya hanya empat digit tetapi untuk mengingat huruf di hadapannya cukup susah.
Berada di luar negara barangkali memberi lontaran idea yang boleh dipraktikalkan. Mungkin plet kereta di negara kita boleh mengikut  nombor telefon. Pangkalnya semua Malaysia. Diikuti dengan nombor seperti zon telefon. Secara automatik kita tahu kenderaan itu dari mana datangnya. Dua nombor yang awal merujuk negeri. Tiga nombor yang kedua merujuk daerah atau kawasan. Empat nombor yang akhir nombor pendaftaran kenderaan itu. Rasanya jika kita membuat perubahan yang wajar insyaAllah banyak manfaatnya. Kita berada dalam sebuah persekutuan tetapi terlalu banyak kepelbagaian. Kadang-kadang kita menjadi kedaerahan dan kenegerian. Terlalu banyak yang tidak menyatukan kita. Hati kita tidak pada negara yang satu. Balik-balik kita kembali kepada negeri. Sekali lagi kita terperangkap dengan falsafah pecah dan perintah. Legasi British tidak pernah habis terhakis.
Banyak lagi yang perlu diambilkira untuk keselamatan di jalaraya kita. Umpamanya lampu hadapan dan belakang. Di USA setiap kenderaan yang berada di jalanraya pada waktu malam diwajibkan memasang lampu-lampu tersebut. Apabila sesebuah kenderaan tidak hidup mana-mana lampunya polis trafik akan memberhentikan kereta itu. Pemandunya diminta pulang menaiki teksi. Esoknya kereta itu boleh diambil untuk diperbaiki lampunya. Di TV atau filem Hollywood selalu kita lihat apabila seseorang watak itu tidak mahu dikejar atau diekori pada waktu malam maka tindakannya senang sahaja. Pecahkan mana-mana lampu kereta yang dimaksudkan. Di Canada pula semua kenderaan wajib dinyalakan lampunya walaupun dalam keadaan terang benderang musim summer. Kajian menunjukkan cahaya lampu banyak menyelamatkan nyawa apabila pemandu terleka. Cahaya lampu menjadikan mereka lebih siap siaga ketika memandu.
Di luar negara keselamatan jalanraya seperti juga keselamatan yang lain. Ianya diberi perhatian berat. Penguatkuasananya tiada kompromi. Mereka yang kena tidak dikira siapa. Orang biasa atau orang kaya sama sahaja layanannya. Orang kecil atau orang besar dilayan sama rata. Konsep keadilan tiada perbezaan. Islamik. Lebih islamik. Kita perlu banyak belajar dalam penguasaan undang-undang jalanraya. Lampu motorsikal yang wajib dihidupkan terlalu banyak yang ingkar. Bukan siang sahaja tidak hidup malah pada waktu malampun banyak yang tidak hidup.  Jalanraya menjadi kuburan yang banyak tidak bertanda. Banyak kawasan yang dikira zon maut. Malangnya orang Melayu mengatakannya keras. Naudzubillah. Kita kena lihat kembali diri kita. Apa yang kita buat. Apa yang diatur untuk kita. Kembali susun keutamaan kita. Pembangunan tidak semestinya membunuh diri. Tidak wajar sama sekali.
Keinsafan untuk membina yang lebih baik mestilah dalam bentuk kesejagatan. Tidak ada pandangan peribadi atau keuntungan peribadi. Semuanya perlu dilakukan demi kesejahteraan semua orang tanpa apa-apa perbezaan. Jika kita boleh sampai ke aras itu barangkali kita boleh menjadi lebih unggul. Bangsa yang lebih hebat. Negara yang lebih menonjol.  Tidak perlu tepuk apa-apa. Lapangkan fikiran. Buat kerana Allah. InsyaAllah.