Semua pelajar antarabangsa yang baru dihimpunkan di Foreign Students Department. Kebetulan yang hadir belum ramai. Mungkin ramai yang belum sampai. Belum mendaftar barangkali. Atau terhalang kerana kesejukan winter. Salji pula sudah mula turun. Yang ramai pelajar Malaysia sahaja. Bertemulah kami di sebuah bilik yang cosy. Agak hangat kerana alat pemanasnya berfungsi baik. Tentulah dijaga baik. University of Pittsburgh adalah State University dan ada prestijnya yang tersendiri. Universiti kerajaan yang menjadi lambang kemegahan dan kejayaan pendidikan. Agak tersohor juga. Tetapi tidak termasuk dalam Ivy League. Ivy league ialah 10 universiti terbaik di seluruh US. Dinilai dalam berbagai bidang. Untuk diterima masuk perlukan kelayakan yang cemerlang. Tidak mudah. Pelajar US sendiripun menghadapi kesukaran untuk berjaya memasukinya. Antara universiti Ivy League termasuklah MIT (Massachusetts Institute of Technology), Rensselaer Polytechnic dan UCLA (University of California, Los Angeles).
Di bilik itu kami berkumpul. Biasalah, orang US menghidangkan kopi. Jarang sangat mereka menghidangkan teh. Teh pula adalah kegemaran orang British. Itulah yang diusahakan oleh orang British di Assam, Sri Lanka, Darjeeling, Bhutan dan sebagainya. Termasuk juga yang di Cameron Highlands. Bermacam-macam jenis teh yang dikeluarkan. Mungkin atas permintaan barulah ada teh dihidangkan di US. Di kedai adalah. Di pejabat memang tidak ada. Kopinya pekat melekat. Tiada gula. Tiada krim. Tiada susu. Pekat pahit. Jika tidak biasa, pening kepala kerana pekat dan kerana pahitnya. Kepada mereka itulah kegemaran biasa. Bukan ketagihan. Lidah mereka sudah lali. Lidah orang seperti saya tergeliat merasakan pahitnya.
Kopi di US sangat meluas pasarannya. Diminum di mana-mana. Sukar hendak menceritakan cintanya orang US terhadap kopi. Di Pittsburgh banyak kedai kopi. Bukan kedai minum kopi. Yang saya maksudkan ialah kedai yang menjual biji kopi dan sebuk kopi. Kedai-kedai sebegitu hanya menjual kopi semata-mata. Tidak ada langsung barang lain. Eksklusif, hanya kopi sahaja. Dari lantai ke para-para yang santak ke siling. Dari dinding ke dinding. Kopi dan kopi sahaja. Kita mungkin tidak faham. Saya katakan begini. Kopi dari Brazil ada banyak jenisnya. Bayangkan Brazil itu dari khatulistiwa hingga di selatannya yang berhawa sederhana. Di utara lain di tengah lain, di selatan lain. Di tanah rendah lain. Di tanah tinggi lain. Di kaki gunung lain. Iklim yang berlainan kopinya berlainan. Itu belum kopi Bolivia, Venezuala. Belum lagi dari British Surinam. Dutch Surinam. French Surinam. Melihat kopi sahaja sudah pening. Mengingat bilangannya juga pening. Meminum kopi bancuhan orang US semakin pening. Tidak lagi jenama yang dipamerkan. Syarikat yang mengusahakan. Yang mengeksport. Yang mengimport.
Selain kopi hidangan lain biasanya bun. Kek bulat yang mungkin manis. Bentuknya ada besar ada kecil. Tidak seperti kita, ada nasi lemak. Ada mee kari. Ada bihun. Ada lontong. Di sana mana ada. Jika tidak pandai memasak, kempunanlah selama berada di sana. Mimpi memanjang sahaja. Alhamdulillah, isteri saya boleh memasak semuanya. Anugerah untuk saya. Anak-anak selalu tiada rindunya pada tanahair. Ibunya boleh menyediakan apa sahaja juadah yang mereka inginkan. Semuanya mereka suka bila ibunya yang memasak. Tidak habis mengulang-ngulang. “Mentong” kata orang Jawa. Termasuk cucu sekali. Gila dengan masakan neneknya.
Pertemuan kami pagi itu dengan pegawai Foreign Students Department tidaklah lama. Setakat satu dua perkongsian budaya. Pertukaran budaya sebenarnya. Pesan utamanya ialah, “Welcome to the University of Pittsburgh.” Itulah kata-kata alu-aluannya. “I’d like to remind you something. I know each of you is somebody in your country. While you’re here, please forget who you’re in your country. You’re all students here. Please abide by the rules and regulations bestowed upon you.” Tajam dan menusuk sekali. Memang benar, bila kita menjadi pelajar, kita tertakluk dengan peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan pelajar. Kita kenalah menghormati peraturan itu. Peraturannya begitu.
“Well, ladies and gentlemen, we’re from different sides of the world. Different ways of lives. Yet here you’re. Let’s try to understand each other.” Ya, dari manapun kita datang, budaya kita berbeza. Dalam negara sendiripun kita berbeza kerana kita datang dari kebiasaan yang berlainan. Memahaminya membantu kita menjalani hidup yang lebih harmonis. Perbezaan bukan masalah. Carilah persamaannya yang boleh dikongsi. Perbezaannya biarlah dikesampingkan. Hormati tetapi jangan jadikan penghalang untuk hidup harmonis. Kualiti persahabatan dan perhubungan kemanusiaan yang seharusnya tinggi.
“I’d like to share with you our experience. Our experience with foreign students.” Sambung pegawai wanita itu. Khusyuk kami mendengarnya. Apa agaknya pengalaman mereka yang dikira penting itu. “There was this gentleman from one of those Arab countries. He went to see his lecturer. A lady lecturer.” Dia benhenti sebentar. Memandang kami seorang demi seorang. “The lecturer felt strange. The student was not looking at her. It is not normal for us here talk to each other without looking at each other’s face.The first encounter was annoying enough to the lecturer. The student was looking down. To her he was looking at her feet instead of her face.” Kepada pensyarah itu, pelajar Arab itu dianggap biadap. Sepatutnya dia memandang muka bukan kakinya. Kakinya tidak ada cacat cela, kenapa pula dipandang-pandang. Nah! Bezanya budaya. Kita di sini, ada orang perempuan yang menayangkan kaki. Maafkan saya berkata begitu. Tidak ada siapa yang berasa marah. Yang punya kakipun tidak marah.
Pada kali kedua perkara yang sama berlaku. Marah pensyarah wanita itu semakin meluap-luap. Namun dia masih ada kesabrannya lagi. Mukanya sahaja merah padam. Masih terpendam. Tetapi pada kali ketiga dia hilang kesabarannya. Meletup hatinya. Terbelah kepalanya. Hilang kewarasannya. Kepadanya, memandang kaki itu menghinanya. Maka terhambur bentaknya. Dia menjerit, “Why’re looking at my feet? What’s wrong with my feet?” Terkejut setengah mati pelajar Arab itu. Dengan terketar-ketar dia menjawab, “No, no. I’m not looking at your feet.” “But you did!” Bentaknya. “I’m sorry. I’m a Moeslim. I cannot look a woman at her face. I’m prohibited from doing that.”
Terurailah segala kemusykilan. Agama berbeza. Tuntutannya berbeza. Amalannya berbeza. Budaya berbeza. Gaya hidup berbeza. Perlakuan berbeza. Jika tidak difahami, masalah jadinya. Banyak kekeliruan menyusul. Banyak kekusutan menyimpul sukar. Begitulah bila kita berhadapan dengan pelajar asing. Mereka hendaklah diberi taste of Malaysian culture. Moga-moga persamaan dapat dicari. Perbezaan dapat dihindarkan.
Pertemuan singkat itu memberi satu panduan berguna. Di manapun kita berada, belajarlah menghormati orang lain. Hormat menghormati ini ramuan penting untuk hidup bersama. Hidup harmoni. Rencah yang berbeza hanya kelainan-kelainan yang perlu dijaga dan dihormati. InsyaAllah hidup senang. Aman selalu. Natijahnya kita mencari bahagia. Kesejahteraan bersama.