Saya ke US membawa lima orang anak. Rasanya seperti ramai. Ada keseronokan dan ada juga permasalahannya. Walau bagaimanapun semuanya terurus secara pentadbiran. Bukan masalah besar. Memang secara logiknya agak sukar membawa lima orang anak. Sementelahan pula tiga yang kecil baru berusia lima, tiga dan setahun. Yang sulung ketika itu 12 tahun dan yang kedua 11 tahun. Yang besar boleh diharap membawa diri. Cuma bila sampai di US ada suara sumbang yang tidak enak didengar. Kononnya anak yang lebih 12 tahun akan dikenakan tambang sendiri. Saya pasrah. Jika kena tambang, bayarlah. Pengalaman seumur hidup untuk anak-anak. Sesekali keluar belanja berbaloi juga. Pengalaman yang hanya sekali itu tentu mahal harganya. Nilainya melebihi wang ringgit. Bukan mudah mendapat rezeki anugerah Allah sebegitu. Biasiswa yang meliputi tanggungan untuk isteri dan anak-anak. Cukup untuk sewa rumah dan makan minum. Belajar dibayar. Perjalanan dibayar. Ada elaun-elaun tambahan. Alhamdulillah.
Saya merisik-risik. Dengar perbualan rakan-rakan. Untuk kembali ke Malaysia ada dua alternatif. Pertama mengundur semula mengikut perjalanan sewaktu datang dahulu. Ke Honululu, Tokyo, Taipei, Hong Kong, mungkin Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur. Keduanya pulang melalui London, Frankfurt, Dubai dan Malaysia. Perjalanan itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia. Wow! Ikut manapun percuma. Sebahagian dari biasiswa kerana keluar negara. Maka beranganlah saya singgah di London. Kota yang gah saya dengar sejak dari zaman kanak-kanak dahulu. Sejak tahu membaca. Sejak diceritakan orang Melayu bahawa dulu bosnya Mat Saleh. Dari London. Orang putih yang cakapnya banyak s. Ada sahaja di hujungnya yang berbunyi s. Ramai orang Melayu yang mengajuk snya sahaja. Butir perkataannya tidak diketahui. Jadilah mengajuk sana mengajuk sini. Yes no alright thank you. Itupun sudah dikira tahu cakap orang putih. London, kota tuan-tuan penjajah dahulu. Tidak lagi tergambar apa yang ada di sana. Maklumlah anak kampung yang baru terbang mengepak sayap. Entah di mana hinggapnya.
Saya hubungi Malaysian Students Department (MSD) di Kedutaan Malaysia di Washington. Saya nyatakan hasrat saya. Tiada masalah bagi mereka. Semua butiran diri saya ada pada mereka. Tentukan tarikh perjalanan sahaja. Nyatakan berapa hari hendak berada di London. Itu sahaja. Tidak ada lain. Tidak ada. Senang sangat. Ini yang selalu memeningkan kepala. Sukar mendapat maklumat yang benar dari rakan-rakan pelajar. Hatta dari yang senior sekalipun. Selalu sangat mendapat maklumat sekerat-kerat. Banyak yang salah pula. Sebenarnya saya banyak belajar. Untuk mengetahui maklumat yang sebenar hendaklah mendapatkanya dari sumbernya yang sahih. Dari puncanya. Dari tempat asal maklumat itu boleh diperolehi. Jika ditanya dari sumber lain maka selalu maklumatnya tidak tepat. Banyak perbezaan yang menyulitkan jika tidak diperbetulkan.
Begitulah saya mendidik pelajar saya. Kadang-kadang mereka mendapat maklumat dari rakan-rakan mereka. Sebagai pensyarah saya tahu maklumat itu tidak benar. Mungkin tarikhnya tidak menasabah. Mungkin bunyinya melanggar dasar. Melanggar AUKU. Akta Universiti dan Kolej Universiti. Mungkin memang tidak ada dalam perancangan. Malangnya berita dan maklumat seperti itulah yang pelajar selalu dengar dan dipercayai. Dalam pengurusan selalu disebut sebagai grapevine. Begitulah besarnya tanggungjawab pendidik untuk membangunkan kognitif, afektif dan psikomotor pelajar. Ramai orang yang pandai apabila dilihat sekilas padang. Yang selalu ditemui sebenarnya ialah orang-orang yang kurang rasional kerana tidak mendidik kognitifnya. Jalan fikir yang tidak tersusun. Tiada urutan. Hilang sekuen. Tidak selari. Akhirya celaru. Besar tanggungjawab pendidik untuk membangunkan modal insan yang berwibawa pada masa hadapan. Didik mereka supaya memiliki daya fikir yang melampaui masa. Melampaui kekuatan yang ada. Jangkauan yang jauh merentasi masa hadapan yang tiada kepastian. Merancang dengan izin Allah.
Rezeki anak-anak barangkali saya dan keluarga dapat nantinya melihat London. Angan-angan yang boleh menjadi kenyataan. Saya teringat kata orang tua-tua. Penuhkan ilmu di dada. Ke mana pergi akan selamat. Pasti, asalkan ilmu itu berguna dan memberi impak positif. Jika sebaliknya pasti juga tidak selamat. Saya kembali teringat sewaktu kecil di kampung dahulu. Rumah limas orang Jawa yang dibina almarhum datuk saya waktu itu. Rumah beratapkan rembia yang selalu diterbangkan angin. Yang selalu koyak. Yang cepat buruk. Yang menitiskan air hujan kerana tirisnya. Rumah tinggi untuk mengelak banjir. Berdindingkan kulit kayu yang banyak lubangnya. Tidur lena di lantai batang pinang yang banyak berbenjol-benjol. Berjalur-jalur belakang badan bila bangun dari tidur. Anak kampung yang tidak pernah mimpi untuk mengelilingi dunia. Merentas benua dan lautan luas yang megufuk jauh. Zaman itu bersekolah kebangsaan hanya untuk tahu tulis baca. Mana ada gambaran masa hadapan yang dirancang. Beruntunglah orang-orang yang duduk di bandar-bandar besar. Banyak yang mereka lihat. Yang mereka baca. Yang mereka dengar.
Maaflah. Guru-guru di sekolah luar bandar ketika itu tiada juga jauh ke hadapan world viewnya. Ramai hanya mahukan anak-anak didiknya menjadi guru sekolah Melayu. Tamat darjah enam jadi guru normal. Belajar di hujung minggu selama beberapa tahun. Kembali mengajar di pedalaman. Dalam kesukaran yang melampaui keadaan. Berbasikal jauh. Lecak dan lopak sudah lali diredah. Pengorbanan yang sukar dibilang nilainya. Jalanraya tidak ada. Jalan-jalan kampung dan denai yang tidak mempunyai rupa. Kotor, becak dan sukar dilalui. Tanyalah guru-guru sepertinya yang masih hidup. Tanyalah air mata yang banyak mengalir kerana pengorbanan itu. Yang mengajar di kampung benar-benar menginsafi kampung itu. Sebulan sekali ke bandar mengambil gaji yang tidak seberapa. Dapat tunai dari pejabat kerana bank bukan lagi budaya. Dengan tunai yang sedikit itulah ringgit dihulur kepada orang tua. Menghidupkan diri dan keluarga. Lingkungan keadaan yang memaksa begitu. Sesudah merdekapun saki bakinya masih banyak dirasa. Sukar membuang kebiasaan. Membuang amalan. Tinggallah anak-anak kampung dalam “kegelapan ilmu”. Kegelapan dunia.
Anak-anak bandar berlumba-lumba menggapai awan. Anak kampung seperti saya hanya parit dan sungai yang diredah. Hanya semak dan belukar untuk memikat burung. Hanya pokok dan pohon untuk memetik buah. Makan hanya ikan masin kering dan sayur dari sekeliling rumah. Seluruh kampung adalah kebun sayur-sayuran. Tumbuh sendiri. Rezeki dari Allah. Bila hendak memasak pusing keliling. Pilih yang mana hendak. Jantung pisang. Pucuk ubi. Pucuk manis. Pucuk pakis merah. Pucuk pakis perak. Batang keladi. Sulur keladi selatah. Umbut. Cendawan busut selepas hujan. Cendawan krikit di batang pokok getah tumbang. Begitu juga pisang kapas muda. Daun labu dan buahnya. Kadang-kadang keledek. Meranti juga banyak di belukar di hujung kampung. (Pada tahun 60an kampung saya masih banyak hutan). Kacang panjang dan peria yang ditanam bersama petola. Semuanya segar. Segera dari pokoknya. Baru dipetik. Tiada racun serangga. Tada racun perosak. Tiada kebimbangan walau sedikitpun bahawa sayur-sayur itu memberi mudarat. Sebaliknya enak dan selamat.
Ikan masin menjadi makanan ruji bersama nasi. Bagi yang rajin banyak lauk dari alam anugerah Allah yang boleh dicari. Mengail bukan perlu pesta joran seperti sekarang. Orang memancaing ikan besar dan berat untuk mendapat habuan yang besar dan mahal. Zaman dahulu itu orang memancing untuk makan. Untuk mengisi perut. Untuk kelangsungan hidup. Untuk menghidupkan generasi. Dengan kail buatan sendiri. Kayu dan ranting buluh. Dengan tajur dan lukah. Temburu yang membujur. Sauk dan jala. Ikan dan udang di parit kampung saya cukup banyak. Keli dan baung ada. Tapah dan haruan banyak. Udang galah galak bermata merah waktu malam. Begitu juga ikan lais, seluang dan keli. Bila air pasang banyak ikan dari sungai mudik ke parit. Bila musim hujan maka baung dan tapah mudah didapat. Tajur selalu mengena. Lukah selalu berisi. Temburu sarat dengan ikan dan udang.
Makanlah ikan dan udang itu. Goreng, gulai, sambal, pecal atau masak apa sahaja ramuan mengikut selera. Udang pula selalu tidak banyak ditangkap. Tidak cukup untuk dimakan seorang seekor. Selalunya kami buat botok-botok. Tumbuk udang hingga lumat. Gaul dengan kelapa parut bercampur bawang, garam dan cekur. Kencur kata orang Jawa. Pada zaman itu semuanya enak belaka. Teringat juga saya akan udang hitang tanah gambut. Oleh kerana air gambut itu hitam maka udangnya hitam juga. Banyak sebesar ibu jari. Bila digoreng merah juga seperti udang yang berkulit putih. Seperti udang galah juga masaknya. Begitulah simplenya kehidupan masa itu. Masa yang telah lama berlalu. Yang meninggalkan hanya kenangan dari lipatan masa. Dari imbauan minda. Dari celah-celah kehidupan kampung.
Dari celah-celah kemiskinan itu saya berada di USA. Membawa isteri dan anak-anak. Dari kedaifan itu saya keluar meneroka dunia. Sesuatu yang sukar dihurai dengan kata. Dengan cerita. Menunggu untuk berada di tengah-tengah kota London seperti terlalu lama. Anak saya yang sulung sudah berusia melebihi 13 tahun. Tambangnya untuk pulang percuma sebagai sebahagian dari biasiswa saya. Bila seorang suami mendapat nikmat akan tertumpah nikmat itu kepada isterinya. Bila seorang bapa mendapat nikmat maka tertumpahlah nikmat itu ke atas anak-anaknya. Begitulah seharusnya apabila seorang anak mendapat nikmat, nikmat itu tertumpah di hati ibu dan bapanya. Lumrah alam. Kitaran masa dan peristiwa. Saya kira nikmat itu juga kerana saya berkursus dalam perkhidmatan. In-service course. Pergi belajar sebagai pegawai. Sebagai penjawat awam. Ada kebajikan yang dijaga majikan. Menerima nikmat kerana telah berkhidmat memenuhi piawaian. Melaksanakan tanggungjawab seperlunya. Itu dahulu sewaktu saya menikmatinya. Alhamdulillah.