Friday, November 25, 2011

Biarlah Anak Kita Boleh Berdikari

Anak-anak kita mula membesar. Sudah tahu yang mana baik dan yang mana tidak. Akalanya sudah berkembang. Mengerti apa yang boleh dan apa yang tidak. Mudah-mudahan mereka terdidik untuk menjadi anak yang baik. Ahli keluarga yang baik. Ahli masyarakat yang baik. Menjadi warga yang baik. Umat yang baik. Hamba Allah yang baik. Namun begitu hidup ini banyak bergantung dengan diri. Orang lain sekadar membantu. Mungkin ramai orang-orang profesional yang dapat membantu. Syaratnya kita kena bayar mengikut kadar yang dituntut sesuai dengan perofesionnya. Tidak ramai antara kita yang mampu. Kebanyakan kita adalah orang-orang yang perlu berdikari. Walau apapun anak-anak, tanpa mengira kekuatan ekonomi keluarga mereka perlu diajar untuk berdikari. Kehidupan tidak selalunya cerah. Ada masanya mungkin menemui kehidupan yang membuntukan. Yang daif dari segala segi.

Maaflah bagi tuan dan puan yang mampu memiliki pembantu rumah. Bila ada pembantu bukan bermakna semua urusan rumahtangga diserahkan kepada pembantu. Makan minum pembantu yang sediakan. Kemas rumah pembantu yang buat. Kemas katil, cadar, bantal dan selimutpun pembantu yang buat. Anak-anak semuanya diurus oleh pembantu rumah. Kebersihan rumah begitu juga. Sekeliling rumah juga pembantu yang buat. Pendek kata pembantu rumah menjadi nadi dalam keluarga itu. Dalam rumahtangga itu. Isteri banyak memerintah. Banyak mengarah. Banyak bentaknya. Banyak karenahnya. Songelnya menjadi-jadi. Yang lebih menyugulkan tingkah laku ibu bapa diikuti oleh anak-anak. Yang sekecil-kecil anak sudah pandai memerintah. Mengancam. Mendera pembantu rumah. Bayangkan besar mereka nanti jadi apa agaknya? Mereka jadi orang yang memerintah. Tidak pandai menerima arah.

Ada kesilapan percaturan dalam hal ini. Memang pembantu rumah digaji untuk membantu. Saya tegaskan lagi, untuk membantu. Ya membantu. Tidak sekali-kali mengambil alih tugas ibu. Tugas bapa. Tugas kakak. Tugas abang. Bayangkan senerio ini. Setiap hari bapa makan dan minum yang ada air tangan pembantu rumah. Kain baju diramas pembantu rumah. Dia yang basuh. Dia yang bilas. Dia yang sidai. Dia yang angkat. Dia yang lipat. Dia yang seterika. Dia yang simpan. Dia yang menyusun. Katil pembantu yang siapkan. Segala tilam, bantal, cadar, comforter dan selimut ada sentuhan pembantu rumah. Suami makan dihidang oleh pembantu rumah. Nasinya disendukkan. Lauknya ditambah-tambah. Layanannya berkeliling meja. Bapak makan diberi layanan istimewa. Setelah bertahun-tahun bapa atau suami terasa banyak perbezaan antara isteri dan pembantu rumah. Dalam hal-hal yang sekecil-kecilnya suami bergantung harap kepada pembantu. Maaf sekali lagi. Berapa banyak bapak yang akhirnya menikah dengan pembantu rumahnya.

Wahai isteri mengapakah ruang yang tertutup itu dibuka? Mengapa lapangan yang eksklusif itu dibenarkan diteroka oleh orang lain? Mengapa gelanggang yang satu itu dilapangkan kepada orang lain? Mengapa sentuhan isteri diberikan kepada orang lain? Sehari dua tidak ada masalahnya. Seminggu dua mungkin tidak memberikan banyak masalah. Namun setelah bertahun-tahun suami dihantar ke kereta. Bertahun-tahun suami disambut di pintu kereta. Akhirnya yang hadir dalam hati ialah pembantu rumah itu. Kelibat isteri hilang ditelan masa dan karenah hidup mewah. Atau karenah hidup yang banyak di luar rumah. Suami dibelai oleh pembantu rumah. Makan minumnya dijaga. Tidur jaganya dipelihara. Sandang pakainya dirapikan. Seisi rumah disusun indah. Lihat kembali entri saya Apakah Wanita Berhak Melindungi Suaminya? Trend yang ada cukup membimbangkan. Anak-anak menjadi warga yang jasadnya terpisah dari jiwanya. Terdidik oleh orang yang asing dari keluarga terdekat.

Sebenarnya  anak-anak perlu kehadiran ibu. Walaupun bapa jarang bersama, ibu menjadi pengimbangnya. Pendamai. Semasa kecil lagi anak-anak dilatih untuk berdikari. Sejak dari usia setahun dua ajar mereka makan sendiri. Mungkin bersepah. Mungkin lambat. Mungkin banyak yang tidak betulnya. Sabarlah. Inikan proses pendidikan. Biar anak mengambil masa untuk melatih diri mereka sendiri. Biar mereka makan sendiri. Biar mereka minum sendiri. Biar mereka belajar menyukat kuantiti makanan yang perlu dimakan. Minum yang perlu diminum. Pada peringkat awalnya memang menyemakkan (messy) tetapi tanpa latihan mereka menjadi lebih parah nantinya. Ajar mereka berkongsi apa yang ada.  Baik makanan. Baik minuman. Baik mainan. Baik ruang. Makanan terutamanya hendaklah dikongsi banyak atau sedikitnya. Halang daripada datangnya rasa tamak. Haloba. Hendak lebih sahaja. Tidak mahu mengalah.

Bilik mandi adalah tempat latihan yang sangat wajar. Banyak aktiviti wajib yang perlu dilaksanakan. Bukan hukumnya wajib tetapi perbuatan itu hendaklah dilakukan. Tidak boleh tidak. Didik mereka membaca doa. Langkah kaki diri untuk masuk. Cuci tangan. Gosok gigi. Basahkan badan. Sabun ke seluruh anggota. Bilas. Lap dengan tuala dari rambut hingga ke kaki. Keluar dari bilik air dengan kaki kanan.  Baca doa keluar tandas. Baiklah. Dalam bilik air banyak alat dan perkakasan. Ubat gigi dan berusnya hendaklah diletakkan kembali seperti sediakala. Ikut susunannya. Elakkan menggosok gigi di sinki sambil mengadap cermin. Sinki comot, cermin pula berkerumut. Kotor di sana sini. Gosoklah gigi di ruang mandi. Sabun mandi pula diletakkan kembali di tempatnya. Dinding bilik air yang berselaput sabun, daki dan rambut hendaklah disiram dan dibersihkan. Rambut yang terkumpul di lubang air dikutip dan dimasukkan ke tong sampah. Paling lama seminggu sekali berus lantai dan dinding bilik air.

Pernah lihat anak tuan mandi. Anak puan mandi. Ibu bapa hendaklah mengajar anak mereka mandi. Cara menggunakan berus gigi. Banyak mana ubat giginya. Anggota mana yang perlu dibasuh. Disabun. Disental. Bagaimana menggunakan syampu. Setakat mana mereka menjirus badan. Lama mana menggunakan paip mandi (shower). Bagaimana mereka mengelap badan dengan tuala. Jika tidak dilatih mereka banyak bermain di bilik air. Membazirkan apa sahaja yang ada di dalamnya. Menggunakan air melampau-lampau. Yang nanti menyulitkan ialah mandi mereka tidak bersih. Daki mereka masih menebal. Sabun di badan tidak pernah bersih. Mereka  berkubang hingga bilik air menjadi tunggang langgang. Bukan lagi bilik air tetapi menjadi bilik comot dan kotor. Mandi mereka tidak pernah sempurna. Mandi bukan sekadar membasahkan badan.

Perhatikan selalu sewaktu mereka makan. Berapa had yang selayaknya untuk mereka. Latih mereka mengambil lauk dengan ala kadar. Bila ada lagi mereka tambah. Jangan benarkan ada yang membolot apa sahaja yang ada. Banyakkan makan bukan banyakkan minum. Ajar mereka menghulur lauk pauk yang dekat di hadapan mereka kepada ahli yang lain. Suap mereka secukup mulut. Dikunyah lumat baru ditelan. Jangan makan dengan laju. Atau disuap sebesar-besarnya. Atau makan terlalu lambat. Terlalu banyak. Semuanya ini latihan untuk berdikari. Supaya anak-anak kita boleh bertugas di mana sahaja. Dia boleh hidup. Survive. Pendedahan penting. Pengalaman penting. Amali penting. Memahami keseluruhan sistem dan konsep sangat penting. Memahami adalah penting. Begitulah penghayatan dan sifat mengerti.

Begitulah bila di rumah orang. Hatta keluarga sendiri sekalipun. Privacy mereka jangan digugat. Didik anak-anak supaya banyak memandang. Jangan tangan mereka banyak memegang. Banyak menyentuh. Banyak memutar. Elakkan mengambilalih apa sahaja yang ada di rumah orang. Rumah orang tetap rumah orang. Apatah lagi mengusik sana dan mengusik di sini. Status quo orang yang menerima tandangan kita harus dihormati. Bagaimana kita datang begitulah seadanya bila kita kembali. Bila kita meninggalkan rumah mereka. Tidak ada yang terusik kecuali makanan dan minuman yang terhidang. Itupun kena jaga adab di meja makan. Jangan bersepah. Jangan tumpah air di sana sini. Rumah orang tuan. Rumah orang puan. Walaupun dia menghormati kita sebagai tetamu, kita kena juga main peranan untuk menghormati mereka. InsyaAllah jika dari kecil kita latih anak kita, nanti besarnya mengikut kata. Senang dilentur. Mudah mematuhi kata orang tua. Mudah-mudahan begitu.