Thursday, February 24, 2011

Virat Dinrat



Kali pertama saya bertemu dengannya sewaktu dia menyambut saya di lapanganterbang Pittsburgh bersama AJK persatuan pelajar Malaysia yang lain. Melihat dari raut wajahnya dan warna kulitnya, saya menyangka dia orang Melayu. Sawo matang. Orangnya agak kurus. Badannya tinggi. Agak lampai. Kulit hitam manis. Rambutnya menggerbang ditiup angin. Suaranya rendah. Agak berbudi bahasa. Memang fasih berbahasa Melayu. Dia keturunan Siam. Dari Kedah. Mengikuti program Master in Public Administration. Dia seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik. PTD ringkasnya. Kumpulan pegawai inilah yang bila naik pangkat, rank and file, boleh sampai menjadi pengarah dan ketua pengarah di Kementerian. Atau menjadi duta. Atau jawatan-jawatan penting negara. Bukan ahli politik tetapi sebagai pentadbir.

Kebetulan University of Pittsburgh adalah antara universiti popular yang mengendalikan kursus-kursus pentadbiran awam – public administration. Pada satu-satu ketika ramai pegawai dari Malaysia yang berada di Pittsburgh kerana mengikuti kursus-kursus yang berkaitan dengan kerjaya mereka. Ada yang mengikuti pengajian peringkat Master dan ramai juga pada peringkat PhD. Oleh sebab itu berada di Pittsburgh tidak rasa terasing. Ada keseimbangan antara pelajar berkeluarga dengan pelajar bujang. Pertemuan dan kemesraan agak meluas. Ukhwahnya terjalin kukuh. Banyak aktiviti bersama dijalankan. Makan dan minum, serta pertemuan di park selalu berlaku terutama semasa summer atau  jika ada peristiwa-peristiwa khusus seperti jamuan hari raya dan sebagainya. Kadang-kadang dirancang pertemuan santai. Suka-suka berkumpul bersama.

Virat sudah lebih dulu dari saya. Kira senior. Dia rapat dengan keluarga saya kerana saya sudah berkeluarga. Dia gemar benar mengusik dan menyakat anak keempat saya. Nurin Naurah. Ada sahaja yang dibuat Virat untuk menjinakkan Nurin. Maklumlah Nurin jenis budak yang sangat pendiam. Senyap sesenyapnya jika ada orang lain. Hingga sudah bekerja dan berumahtanggapun tidak banyak bercakap. Didengar sekali sekala. Boleh juga bersembang jika ada yang menjadi regunya. Bila berjumpa, Virat akan cuba mendukungnya. Memegangnya. Mengusik pipinya. Mula-mula diusik menangislah dia. Mungkin takut. Mungkin ngeri. Virat tidak serik-serik. Tetap juga dengan usikannya bila berjumpa. Bila datang ke rumah berlarilah Nurin ke dalam bilik atau duduk jauh-jauh. Takut benar dia. Cuma lama-lama jinak juga dibuatnya. Cuma tidak bercakap. Jika didukung Virat dia diam. Tidak menangis lagi.

Virat jenis perihatin dengan keadaan pelajar Malaysia di sana. Sebagai AJK dia banyak mengambil inisiatif. Dia menolog saya mencari rumah. Bertanya sana dan bertanya sini. Bila ada berita cepat dia bertindak. Ada dua cerita yang berkaitan dengan Virat. Kedua-duanya bukan lucu. Semuanya fakta. Senangnya hidup di US. Banyak masalah selesai dengan begitu sahaja. Kadang-kadang tidak perlu membina isu. Yang mudah dimudahkan. Yang sukar dipermudahkan. Membantu orang yang memerlukan. Kejadian pertama mengenai pakaian. Kejadian kedua mengenai insuran kereta.

Suatu hari saya bertemu dengan Virat. Dalam masa bersembang itu saya perasan Virat memakai jean baru. Saya puji, “ Lawa seluar.” Saya melanjutkan perbualan, ”Beli kat mana?” Biasalah kita bertanya. Ingin tahu juga. Mungkin teringin  nanti boleh terus tuju kedai yang menjualnya. Dia memberitahu, “Aku beli kat Goodwill.” Semua pelajar Malaysia arif tentang Goodwill. Sebuah kedai yang menjual  barang-barang terpakai termasuk pakaian dan perkakas rumah. Bergantung kepada rezeki. Kadang-kadang boleh membeli barang yang masih baru dengan harga yang jauh sangat murah. Jangan terkejut jika saya katakan bahawa semua pakaian bundle yang ada di Malaysia ini datangnya dari Goodwill atau satu lagi institusi yang diberi nama Salvation Army.

Kedua-dua institusi ini diwujudkan sebagai saluran untuk membantu orang-orang yang perlukan bantuan. Kedua-duanya badan kebajikan. Bukan mencari keuntungan. Sekadar mencari dana. Apabila bundle mercup di Malaysia kita sebenarnya menjadi sebahagian daripada yang menyumbang kepada aktiviti mereka. Tugas mereka ialah mengumpulkan dana. Wang ringgit jarang disumbangkan secara banyak. Orang Barat biasa membeli yang baru dan melepaskan yang lama. Pakaian yang dibeli pada waktu winter mungkin dilepaskan pada musim summer. Begitulah pada musim-musim yang lain. Ada sahaja yang dibeli dan ada sahaja yang dilepaskan.  Goodwill sangat meluas rangkaiannya di seluruh Amerika. Ada di setiap bandar besar. Di kota-kota raya mungkin ada beberapa rangkaian mereka. Kewujudannya hingga ke Canada. Sewaktu saya di Toronto saya biasa mengunjungi Goodwill di sana. Ada sahaja yang boleh dibeli.

Apa yang mereka buat sangat mudah. Di luar bangunan mereka disediakan beberapa tong besar. Sesiapa sahaja boleh meletakkan barang yang hendak disumbangkan ke dalam tong tersebut. Setiap hari bertan-tan barang yang disumbangkan oleh orang ramai di seluruh Amerika. Barang-barang itu dinilai kualitinya. Mungkin ada yang terpaksa dibuang jika kualitinya terlalu rendah. Atau mungkin terdapat kerosakan di bahagian-bahagian tertentu. Penilaian itu menentukan harga yang dilabelkan. Walau bagaimanapun harganya tetap murah sesuai dengan tarafnya sebagai barang terpakai. Jika ada rezeki dapat juga barang-barang yang baru. Mungkin pemiliknya yang asal merasa tidak serasi membeli barang tersebut.

Begitulah usaha mereka untuk membantu orang-orang yang memerlukan. Seluruh warga mereka chip in untuk membantu. Cukuplah dengan apa yang terdaya. Sudah menjadi budaya mereka banyak barang yang dibeli dan banyak pula yang terpaksa dilepaskan kerana almari tidak besar. Terhad isinya. Lagipun mereka mengejar fesyen yang terbaru. Suasana baru perlukan barang baru. Sebagai institusi kebajikan ianya agak lucrative.  Barang-barang yang dihimpun boleh dieksport. Begitulah barang-barang tersebut sampai di Malaysia. Dunia terlalu kecil. Kita menjadi sebahagian dari warga dunia.

Di Amerika Utara – Amerika Syarikat dan Canada – barang-barang terpakai dijual dengan berbagai cara. Antaranya ialah flea market. Sama dengan jualan barang-barang terpakai secara lambak di Malaysia. Satu lagi ialah boot sale dan garage sale. Flea market memang melambakkan apa sahaja yang boleh dijual. Ada sahaja orang yang mencari sesuatu yang dihajat di hati. Yang penting mereka mendapatnya. Barang lusuh atau baru bukan ukurannya. Kadang-kadang mereka mencari koleksi. Nostalgik dengan barang-barang lama. Maaf bukan antique dan bukan vintage. Sekadar barang lama atau terpakai sahaja. Yang antique dan vintage berada pada kelas yang berlainan. Harganya berganda-ganda lebih tinggi. Sentimental value.

Boot sale atau garage sale biasanya berlaku pada musim summer atau fall. Pada waktu itu ada orang yang berpindah rumah atau berpindah tempat kerja atau berpindah tempat. Menjadi kelaziman kepada mereka untuk membawa yang perlu sahaja. Semasa pindah mereka mungkin hanya membawa dokumen penting atau gambar-gambar peribadi. Yang lainnya ditinggalkan. Dibuang sayang. Lalu mereka membuka garage mereka untuk menjual barang-barang terpakai mereka. Itu jika rumah mereka di laluan utama. Jika rumah mereka tersorok, mereka membawa barang-barang tersebut ke kawasan yang agak ramai. Buka boot kereta. Jual barang sambil duduk dan membaca. Lebih ramai pembelinya. Mana-mana barang yang tiada pembelinya dilonggokkan di Goodwill atau Salvation Army atau institusi lain yang serupa dengannya.  Maknanya barang-barang mereka disedekahkan kepada badan-badan kebajikan yang akhirnya ditukar menjadi dalam bentuk wang.

Apa cerita Virat tadi? Jeannya dibeli di Goodwill. Soalan berat yang perlu dijawabnya ialah harga jean itu. Saya bertanya, “Berapa?”. Lama dia tidak menjawab. “Malu nak bagi tau.” “Kenapa pulak? Kau curi ke?” Sanggah saya. “Tak. Harganya terlalu murah.” Saya ulangi soalan yang sama, “Yalah berapa?” Mengalah juga dia, “Harga dia USD1.50. Diskaun 50%. Jadi aku bayar 75 sen.” “Murahnya!” Kata saya. “Tu yang aku malu nak cakap. Murah sangat. Macam tak percaya pulak.” Terpegun juga saya. Jika di Malaysia jean terpakai yang masih cantik  seperti itu tentu tidak kurang RM20. 75 sen Amerika samalah dengan RM2. Mana ada di Malaysia harga semurah itu. Beruntung Virat dengan jeannya.

Kisah kedua juga mengenai lambang kehidupan di sana. Sampai masanya Virat kembali ke Malaysia. Dia menawarkan kereta buruknya kepada sesiapa yang berminat. Malang. Tiada siapa yang mahu. Kebetulan seorang pelajar bernama Azmi menghantar Virat ke lapanganterbang. Bila hendak boarding, Virat menyerahkan kereta itu kepada Azmi. Kunci dan gerannya sekali. Maka berkeretalah Azmi dengan kereta baru yang statusnya kereta buruk. Selang seminggu sesuatu berlaku. Sewaktu Azmi hendak ke kelas pagi itu, dia mendapati bumper belakang keretanya telah remuk. Bila diamati ada sekeping nota disangkutkan pada kereta itu. Tertulis, “Please contact this number.” Penulisnya meminta maaf dan meminta Azmi menghubunginya.

Telefon itu membuka satu lembaran baru kepada Azmi. Dia diminta memberikan butiran dirinya untuk tujuan tuntutan insuran. Selang seminggu kemudiannya dia mendapat pampasan sebanyak USD500. Azmi membeli kereta lain yang berharga USD300. Lebih baru dari yang lama. Yang lama dijual di junkyard (tempat melupuskan kereta buruk) dengan harga USD100. Bermakna Azmi masih ada lebihan sebanyak USD300. Joli sakan dia. Harta terpijak. Tidak perlu usaha. Itulah rezeki Allah. Datangnya dari berbagai penjuru. Tiada siapa yang dapat meramalkannya. Begitulah intipati ayat seribu dinar dari surah Al-Tolaq.

Tentu ada moral ceritanya. Bundle seperti yang saya ceritakan tentu menjurus kepada aktiviti kebajikan yang merentas status ekonomi. Melepasi status sosial. Merangkumi semua agama. Tidak mengenal bangsa atau kaum. Apatah lagi taraf pendidikan atau kerjaya seseorang. Masing-masing disediakan flatform untuk menyumbang. Sesiapa sahaja boleh menyumbang.  Apa sahaja boleh disumbangkan. Yang diperlukan ialah inisiatif. Yang diperlukan ialah keikhlasan. Yang diperlukan ialah kesungguhan. Komitmen. Tentu sahaja perlu ada sikap inovatif dan kreatif. Perlu bergabung dengan orang-orang yang sehaluan untuk membina sinergi. Kekuatan. Ukhwah. Demi kesejagatan manusia. Kesarwajagatan ummah. Mungkin kita boleh belajar darinya. Untuk kebaikan dan kebajikan. Apa salahnya belajar dari mereka yang berpengalaman. Itulah yang disebut outreach program.

Entahlah, kita sebenarnya belum sampai ke tahap itu. Kita masih tercari-cari tapak untuk membina kekuatan ekonomi. Rasanya ramai yang berkecukupan. Tetapi kita mengejar kemewahan pula. Cuba renung dalam-dalam. Semua yang kita kejar tidak pernah ada penghujungnya. Tidak ada destinasi yang dijadualkan. Maka kita terus-terusan mengejar ufuk. Mengejar pelangi. Warna warninya terlalu merangsang. Kita lupa hakikatnya bahawa pelangi itu hanya dapat dilihat tetapi tiada substancenya secara mutlak. Tiada jisimnya untuk dipegang. Untuk diusap. Untuk disimpan. Sekadar boleh dilihat. Dapat dinikmati. Dapat diabadikan dalam bentuk imej. Maaf. Tidak mungkin dapat dimiliki. Itulah nikmat yang tidak dapat dimiliki. Yang lainnya semuanya menjadi buruan. Manusia dengan dunianya yang fana.

Dalam negara berstatus maju seperti Amerika, pengguna selalu diutamakan. Memang benar rakyat didahulukan. Ia bukan slogan. Ia bukan retorik. Ia bukan umpan-umpan yang diharap mengena. Ia memang reality. Tanyalah siapa sahaja yang pernah berada di bumi Uncle Sam itu. Mereka pasti mengesahkan bahawa di sana pengguna memang diutamakan. Dalam kes insuran tadi mangsa tidak perlu bersusah payah. Syarikat insuran menjalankan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam piagam pelanggannya atau seperti yang termaktub dalam objektif penubuhannya.

Bagi mereka, memenuhi tuntutan pelanggan itu tanpa banyak soal jawab. Tunaikan tanggungjawab. Pelanggan itu raja. Sovereign. It goes a long way. Pelanggan yakin bahawa syarikat insuran memenuhi tanggungjawabnya. Sebagai pelanggan mereka benar-benar dilindungi. Tidak perlu berdalih-dalih. Banyak benar birokrasinya. Bila sahih sahaja, mereka bayar tanpa bertangguh. Tanpa banyak soal.

Jangan lupa, orang di sana sudah tinggi tahap siviknya. Mereka bertamadun dari segi emosi dan minda. Hal-hal yang menjadi tanggungjawab, mereka laksanakan tanggungjawab itu. Contohnya, mereka terlanggar kereta orang. Terus menyerah diri. Hubungi dia. Dia uruskan tentang urusan insuran. Dia yang tanggung kerana dia yang bersalah. Ambil tanggungjawab itu.

Melihat semua itu mungkin kita perlu merombak minda. Jalan berfikir kita perlu dioverhaul. Benar-benar mengusahakan anjakan paradigm. Membuang semua tabiat lama yang menghalang perubahan dan kemajuan. Kecerdasan minda sahaja tidak mencukupi.  Kita perlukan kecerdasan emosi pada tahap yang lebih tinggi. Psikologi diri perlu diangkasakan. Memartabatkan diri ke persada sarwajagat.