Friday, March 20, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Wawasan Di Sebalik Hijab Masa



Dalam minda anak-anak muda, apa yang ada di hadapan mata mereka banyak yang salah. Apa sahaja yang tidak memudahkan mereka untuk melakukan sesuatu dianggap perlu disanggah. Undang-undang menyulitkan. Peraturan menyusahkan. Prosedur hanya halangan. Mereka mahukan semuanya dilakukan sekehendak hati. Tanpa kekangan. Tanpa apa-apa peraturan walaupun sedikit. Kepada mereka kesemuanya berada di sebalik hijab. Bila masanya mereka merasa dewasa? Mencapai usia tua. Mengerti bahawa tanggungjawab adalah sesuatu yang sangat perlu. Apapun yang kita lakukan, tanggungjawab adalah suatu sandaran.

1                   Berfikir sebelum melakukan sesuatu. Ditinjau implikasinya. Impaknya. Kesannya dari segi ekonomi, sosial, agama, budaya dan persekitaran.
2                   Merancang apa yang hendak dilakukan. Dalam perancangan itulah timbulnya isu-isu mengenai logistik. Begitu juga hal-hal yang berkaitan dengan objektif, bajet, petugas, agenda dan berbagai lagi. Termasuk juga tempat, masa, peralatan, siaraya dan audien.
3                   Bajet yang perlu. Apa kegunaannya dan dari mana sumbernya.
4                   Protokol, perasmian, jemputan, jamuan dan media.

Orang-orang dewasa sudah lama menguruskan suasana. Itupun kadang-kadang banyak yang terlepas pandang. Ada sahaja kekurangan yang tidak dibincang. Tidak difikir. Malah tidak terlintas dalam minda. Kerana itu checklist (senarai semak) sangat perlu. Sangat, sangat perlu. Jangan lupa, dalam merancang sesuatu aktiviti perlu juga rehearsal (raptai). Ianya perlu supaya semua petugas maklum akan apa tugasnya. Bila ia diperlukan. Di mana dia perlu berada pada saat-saat tertentu. Berapa lama sesuatu aktiviti. Isyarat yang perlu difahami dan dipatuhi. Apa yang perlu dilakukan pada ketika-ketika tertentu yang ditugaskan kepadanya. Juga peralatan yang perlu ada di tangan atau berhampiran dengannya. Perlu ada aliran proses dari awal hingga akhir. Dalam mana-mana majlis sama ada besar atau kecil, penting atau tidak, persediaan bertulis dan persediaan mental sangat penting. Jika perlu skrip acara harus disediakan.

Kerap terjadi majlis yang hendak dimulakan tempatnya belum disediakan sepenuhnya. Petugasnya belum bersedia. Peralatannya tidak memadai atau mencukupi. Yang paling penting ialah technical personnel yang selalunya tidak ada. Mereka perlu wujud untuk memenuhi keperluan dewan, siaraya, kerusi dan meja, layar tayang, kabel elektrik, kabel LCD dan komputer dan banyak lagi. Dalam dunia yang serba canggih seperti sekarang ini keperluan teknologi dalam majlis adalah suatu kewajaran. Bukan lagi suatu yang boleh ada dan boleh tidak ada. Perlu selalu dianggap ianya suatu keperluan mendesak atau kritikal. Tidak boleh diambil ringan. Sekiranya peralatan yang perlu tidak mencukupi maka buatlah kertaskerja. Hantar permohonan. Lengkapkan sesuatu dewan dengan teknologi yang secanggihnya. Masjid-masjid di Mesir umpamanya memiliki sistem siaraya yang high frequency. Suara imam jelas kedengaran. Kita di Malaysia masih ketinggalan dari segi ini. Sistem siaraya di masjid kita tidak sejelas seperti di negara-negara Arab. Selain dari itu siaraya yang wireless atau cordless sewajarnya menjadi the state of the art. Ceramah dan persembahan selalunya memerlukan pergerakan fizikal.

Protokol adalah sangat penting. Anak-anak muda yang bakal berjawatan tinggi sama ada dalam sektor kerajaan atau sektor swasta perlu belajar dengan sesungguhnya supaya benar-benar memahami keperluan sesuatu majlis. Perlu difikirkan jangkamasa yang sesuai. Mesyuarat yang perlu diadakan. Persiapan awal yang asas. Hiasan dan peralatan. Jemputan untuk perasmian dan penutup. Cenderahati yang diperlukan. Tajaan yang perlu dicari. Pembelian keperluan majlis. Hari majlis. Penyambut tetamu. Bilik menunggu untuk VIP. Jangan lupa tempat parkir dan keselamatan keseluruhannya. Sama ada tetamu, petugas, peralatan dan tempatnya. Apabila anak-anak muda  yang beraspirasi untuk menjadi pemimpin memahami keperluan sesuatu majlis masa hadapannya akan lebih jelas. Apabila diberi tugas untuk mengendalikan sesuatu majlis kesemuanya boleh dilaksanakan dengan lebih mudah. Perlukan fine tuning sahaja. Mempelajari semua selok belok pengendalian dan pengurusan majlis menjadi suatu keperluan tinggi. Melihat sahaja tidak mencukupi. Beranggapan bahawa ianya mudah juga tidak memadai. Berlatih melakukannya adalah cara belajar yang paling baik. Dariny belajar dari kesilapan. Belajar dari kesalahan kerana menganggap ianya mudah. Belajar supaya tidak mengambil mudah. Never take things for granted.

Lihatlah bagaimana orang dewasa dan penjawat-penjawat awam melakukan tugas mereka dengan protokol. Kesemuanya untuk memudahkan semua orang bukan untuk menyusahkan individu. Tempat parkir yang paling strategik tentulah yang paling dekat dengan tempat majlis diadakan tetapi lebih elok parkir itu dikhaskan untuk VIP. Itu protokol. Menghormati kedudukan dan stastusnya. Walaupun menu jamuan sama untuk semua orang tetapi dif-dif kehormat perlukan suasana yang tenang sewaktu menikmati hidangan. Mereka lebih banyak berinteraksi, berbual dengan santai. Mereka bukan hendak makan tetapi mereka menghadapi hidangan dengan adab dan adat. Sabar makannya. Lambat kunyahnya. Anak-anak muda perlu belajar untuk mengerti keperluan sebegitu supaya majlis dilihat teratur. Kemas dan santai tetapi menjaga protokol.

Mengapa orang dewasa berpakaian dengan kemas dan penampilan mereka istimewa. Mereka sudah terlatih. Sudah biasa begitu. Sudah menjadi darah daging. Berpakaian yang sewajarnya membantu memperkemas pandangan. Dilihat menghormati tetamu kehormat. Menghormati majlis. Dilihat bersesuaian. Penampilan diri perlukan latihan yang lama. Belajar dari mereka yang arif. Sangat perlu untuk jangkamasa panjang. Belajarlah untuk berjalan yang dilihat sopan. Berdiri dengan sopan dan santai. Duduk yang beradab. Mengambil dan mengunjuk dengan tangan kanan. Bercakap dengan nada yang sederhana kuat tetapi jelas butirannya. Senyum dan ketawa tanpa bunyi yang kuat. Suasana yang amat melucukan sekalipun, tidak beradab jika kita ketawa dengan kuat. Bercakap dengan orang besar lain caranya. Dengan orang dewasa lain caranya. Dengan rakan-rakan lain caranya. Bercakap dengan orang lelaki berbeza apabila dengan orang perempuan. Belajarlah untuk menguasai suasana sosial. Jika anda dapat menguasainya anda menjadi sangat selesa walau majlis apa sekalipun yang anda hadiri. Walau dengan siapa sekalipun anda berinteraksi.


Untuk anak muda, undang-undang, peraturan, prosedur dan protokol sebenarnya untuk memudahkan. Pelajari dan fahami keperluannya yang tersurat dan tersirat. Anda akan maklum bahawa ianya diperlukan untuk menjadikan sesuatu suasana berjalan mengikut alirannya seperti dirancang. Suasana menjadi santai. Apatah lagi apabila anda bercita-cita untuk  berkerjaya aras tinggi dan menjadi profesional yang hebat dan berwibawa. Dalam konteks orang Melayu, mereka yang bijak membawa diri selalunya mendapat peluang untuk lebih berjaya, lebih maju dan lebih beruntung dalam banyak hal. Semua orang senang dan menyukai mereka yang menjaga dirinya dari berbagai aspek. Usahakanlah supaya anda mampu berada dalam kategori mereka yang senang dilihat, senang didekati, senang untuk berurusan. Biar ramai yang menyukai dari ramai yang membenci.