Ilmu terlalu banyak. Kebijaksanaan pula bukan datang
begitu sahaja. Yang kita dapat hanya sedikit yang tidak sampaipun setetes air
dari lautan dan lautan yang luas. Hatta ditambah air lautan yang melaut itu
banyak kali sekalipun ilmu Allah tiada sudahnya. Bahagian kita hanya yang
sedikit itu. Untuk mendapatkan yang sedikit itu bukan pula menanti sambil
bermenung. Menunggu saban waktu. Tunggu dan menunggu. Ilmu wajib dicari. Wajib dikejar.
Wajib diselongkar dari khazanah yang ada. Yang ditinggalkan oleh para anbia. Para
ulama’. Para sarjana. Para bijaksana. Maka kembara ilmu itu sangat lama. Sangat
panjang. Sangat banyak stamina yang diperlukan. Namun begitu ilmu bukan
eksklusif untuk mereka yang tertentu. Sesiapa sahaja boleh mendapatkannya dengan
izin Allah. Walau bagaimanapun untuk mendapatkannya perlukan banyak kesabaran. Perlukan
istiqamah. Perlukan keikhlasan kepada Yang Khaliq. Tidak pula boleh terlalu
tamak. Hendaklah dimulakan dari yang mudah. Dari yang dekat. Dari yang di bawah
dahulu. Mulakan dari anak tangga yang pertama.
Anak tangga yang pertama adalah penjana kepada
kekuatan untuk berada pada anak tangga yang kedua. Yang ketiga. Yang keempat
dan seterusnya. Di puncak tangga bukan pula segala-galanya. Tangga-tangga lain
menanti dari satu aras ke aras yang lebih tinggi. Lebih jauh. Lebih dalam. Lebih
luas. Banyak simpang. Banyak cabangnya. Maka banyak pula cabaran dan kekangannya.
Kerana ilmu itu adalah untuk mereka yang arif maka perlu kebijaksanaan untyuk
memulakan langkah pertama. Yang berkeinginan tinggi. Yang menyedari bahawa yang
sedikit perlu ditambah. Ilmu yang dimiliki kekal sedikit, kekal kecil, kekal tidak
bermanfaat apabila orang lain memiliki yang lebih baik. Yang lebih banyak. yang
lebih berkualiti. Tanpa tambahan ilmu diri kita menjadi jumud. Ketinggalan zaman.
Terperangkap dalam kotak zaman yang menjadi tidak relevan lagi.
Hari Selasa 11 November 2014 tamat kursus Bahasa Arab
di Markas Nil, Kaherah yang penulis sertai lebih setahun yang lalu. Dari satu
mustawa ke mustawa berikutnya segala kepayahan ditempuhi. Diterokai dengan
kekuatan yang ada. Alhamdulillah segalanya berlalu. Bermula dari mustawa kedua
hingga ke mustawa kedua belas selama 13 bulan kerana diselang dengan mustawa
muhaddathah (lisan) antara mustawa tiga dan empat. Juga antara mustawa tujuh
dan lapan. Mustawa kedua belas juga adalah muhaddathah. Untuk menguasai bahasa
kedua perlukan masa juga. Membiasakan minda dengan makna mengikut yang
dimasksudkan oleh orang Arab. Dengan budaya Arab. Dengan jalan fikir orang
Arab. Kebiasaan mereka. Pengalaman mereka. Falsafah hidup mereka. Gaya hidup
mereka. Hanya apabila kita mengerti budaya mereka barulah kita dapat menyelam
bahasa itu sendiri. Terjemahan hanya membantu tetapi tidak pernah menepati
maksudnya kerana bahasa itu unik untuk bangsa yang mencipta dan mengamalkannya.
Ia datang dari diri dan perasaan mereka.
Mempelajari Bahasa Arab tidak boleh lari dari merujuk kepada
al-Quran, al-Sunnah dan hasil karya bangsa Arab pada keseluruhannya. Sastera mereka
adalah dalam bahasa Arab kelasik dan Bahasa Arab tinggi. Berhadapan dengan
balaghah dan cabang-cabangnya seperti mengembara ke zaman lampau. Penuh dengan
kias. Penuh makna yang berbagai. Perlu mengerti situasi dan zamannya. Balaghah melebihi
dari sekadar perumpamaan atau bidalan. Maknanya sangat mendalam. Al-Quran penuh
dengan unsur-unsur balaghah. Sebab itu terjemahan tidak memberikan maksud yang
setepat-tepatnya. Kita menterjemah ke bahasa kita. Mengikut apa yang hendak
kita fahami. Walhal dalam Bahasa Arab itu sesuatu huruf atau kalimah memberikan
pengertian yang tersendiri. Makna yang unik. Menterjemahkannya menghilangkan
seni dan kehalusan bahasa itu.
Hanya dengan mempelajarinya baru kita dapat menyelami
maksudnya dengan mendalam. Walau bagaimanapun
mempelajari Bahasa Arab tidak cukup hanya dalam jangka masa setahun atau dua
tahun sahaja. Masa yang lebih panjang diperlukan untuk benar-benar menusuk
qalbu. Mengisi perasaan cintakannya. Bak kata pengurus pelajar di Markas Nil, “Tamatnya
pelajaran di Markas Nil membuka pintu ruang lain untuk dipelajari selepasnya.” Benarlah
bahawa belajar itu dari buaian hingga ke liang lahad. Min al-mahdi ila
al-lahdi. Tidak ada tamatnya selagi ada nafas yang perlu dihela. Selagi darah
masih mengalir. Selagi nyawa dikandung badan. Selagi noktah hidup belum
ditandakan. Setelah tamat suatu peringkat ilmu diri terasa kosong kerana banyak
lagi yang perlu disusun untuk digarap pada masa yang ianya diperlukan. Direncanakan
untuk tahap yang seterusnya. Tiada henti. Tiada hentian. Tiada halangan abadi.
Rugilah ilmu yang sedikit. Yang tidak berbagai. Ibarat
selimut yang pendek. Tutup kepala terdedah kaki. Ditutup kaki terbuka pula
kepala. Masih berguna tetapi tidak dapat menduga lautan. Masih tetap terlalu
banyak yang tidak diketahui. Jangan ditanya yang bukan-bukan. Banyak yang tidak
dapat dijawab. Yang sedikit itupun belum tentu kita dapat menguasainya dengan
sepenuh-penuhnya. Yang sedikit itu tetap sedikit. Amat sedikit berbanding dengan
ilmu yang dimiliki oleh orang lain yang lebih arif. Cuma pengalaman mengajar
kita bahawa ilmu yang kita miliki kadang-kadang tidak nampak gunanya dalam masa
terdekat. Allah merancangkan bahawa ilmu itu datang gunanya apabila sampai
masanya. Apabila keperluannya muncul di hadapan kita. Menukar tayar kereta
bukan setiap hari. Tetapi ilmu menukar kereta itu perlu supaya apabila keadaan
memerlukan kita boleh melakukannya. Peralatannya tersedia. Prosesnya kita ketahui.
Masalah dan natijahnya juga kita ketahui.
Begitu juga dengan Bahasa Arab. Mengetahuinya memudahkan
kita memahami maksud wahyu Allah. Memudahkan untuk mengamalkannya. Memahami tafsir
dari yang arif. Al-Quran dalam Bahasa Arab Quraisy. Sentuhan rasa mereka halus.
Bahasa mereka penuh dengan qias yang penuh seni. Teratur dan tersusun. Berbagai
pula maksudnya. Difahami dalam konteks yang khusus. Kerana itu budaya Arab
seiring dengan bahasanya. Jika diterjemahkan menjadi ganjil kerana sangat
berbeza dengan gaya bahasa kita. Dalam budaya kita ianya tidak berlaku. Sekadar
contoh seorang bapa memanggil anak lelakinya, “Wahai anak lelaki kesayanganku.”
“Wahai anak perempuanku.” Jika anak lelakinya yang sulung bernama Hassan maka
jadilah, “Wahai bapa Hassan.” “Wahai ibu Hassan.” Adik Hassan yang
lelaki pula dinamakan Hussain (bermakna adik Hassan atau Hassan kecil). Jika
abangnya Umar maka adik lelakinya Umair. Buku bersaiz besar dinamakan
kitab. Yang kecil pula dipanggil kutaib. Tentulah kita perlu
mempelajari Bahasa Arab untuk memahami bentuk bahasa itu sendiri. Begitu terjadi
kepada orang kita apabila abangnya bernama Husin sedangkan adiknya bernama
Hassan. Hanya kerana kita tahu nama itu
tetapi tidak mengetahui maksud dan budaya mengenai bahasa itu.
Antara perkara besar dalam mempelajari Bahasa Arab
ialah meletakkan harakat. Meletakkan sama ada berbaris atas (fathah atau mansub)
atau berbaris hadapan (dhommah atau marfu’) atau berbaris bawah (kasrah atau
majrur). ﻛﺘﺐ adalah kalimah tiga huruf. Jika dibaca
kataba bermakna seorang lelaki telah menulis. Atau maknanya telah difardhukan.
Telah diwajibkan. Telah ditentukan. Apabila dibaca kutiba bermakna seseorang
telah menulisnya (tidak diketahui siapa penulisnya). Sekiranya dibaca kattaba
iaitu dengan syaddah maka maknanya menulaisnya atau arahan utuk menulisnya. Begitu
juga ﻋﻤﺮ yang boleh dibaca ‘amara, ‘ammara, ‘umurun, ‘Umar atau ‘Amr. ‘Amara
boleh bermakna menduduki dan hidup lama. ‘Ammara bermakna aktiviti menduduki. ‘Umurun
pula umur atau usia. ‘Umar dan ‘Amr pula adalah nama. Harakat menentukan bunyi.
Menentukan makna. Bukan sahaja makna kalimah malah makna ayat. Kadang-kadang
makna konteks perenggan atau teks.
Bahasa Arab memiliki pesonanya yang tersendiri. Lenggok
bahasanya menepati segala maksud. Beruntung sesiapa yang mempelajari dan
kemudian dapat mengajarkannya kepada orang lain. Tentulah rugi tidak
mengetahuinya kerana Bahasa Arab adalah bahasa Rasulallah. Bahasa al-Quran. Bahasa
di syurga nanti. Tangungjawab kita untuk dekat padanya. Semoga Allah merahmati
kita. Insyaallah.