Friday, March 21, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Jauhari Yang Mengenal Manikam




Siapa Jauhari? Apa pula manikam? Jauhari jarang kita gunakan dalam penulisan atau pertuturan. Bahasa lama yang tidak diberi nafas baru. Istilah manikam juga jarang digunakan. Kita kenal intan dan berlian. Mungkin delima dan zamrud. Tetapi kita tidak kenal manikam. Boleh kita andaikan sahaja bahawa semua batu yang berharga tergolong dalam istilah manikam. Nilainya tinggi. Yang memilikinya adalah orang kaya. Perlukan wang yang banyak untuk memilikinya. Dalam menilai batu permata yang berharga selalunya mereka yang pakar menggunakan alat-alat tertentu. Mereka telah mempelajari ciri dan sifat batu. Malah kadang-kadang dengan mata kasar mereka sudah mengetahui nilai sesuatu batu. Sudah tahu intan atau kaca. Mungkin sudah cukup tua. Mungkin masih muda. Mungkin juga palsu. Hanya jauhari yang mengetahui nilai sebenar sebutir batu.

Apabila heboh hilangnya MH370 terlalu ramai mereka yang mendakwa diri mereka sebagai jauhari. Keluarlah berbagai teori yang hanya bersifat spekulasi tanpa apa-apa sandaran dari seorang jauhari. Malah ada yang meneroka alam mistik. Setelah segalanya reda barulah kita menoleh dan mencari siapa sebenarnya jauhari. Perhatikan sifat jauhari yang sarwajagat.

1           Mereka tidak cepat bercakap atau menulis.
2           Semuanya dikaji dengan saksama. Dengan kepala dingin, kata orang Indonesia.
3           Teknologi digunakan dengan proses dan prosedur yang penuh hemah dan sabar. Bersandar kepada izin dan ketentuan Allah.
4           Mereka memerhatikan dahulu keadaan. Sewaktu orang heboh mereka menunduk diri. Sewaktu orang sudah keletihan, barulah mereka menampakkan diri. Memperkatakan sesuatu yang berdasarkan bukti teknologi. Itupun kerana ramai yang bertanya dan meminta pendapatnya. Mereka tidak sesuka hati menampakkan diri. Tidak lebih sudu dari kuah.
5           Mereka yang jauhari bercakap dari pengalaman dan ilmu yang wajar. Mereka tidak berkata-kata atau menulis di luar bidang mereka sendiri.

Banyak bezanya antara jauhari dengan yang bukan. Bukan jauhari suka memberi pendapat di luar bidang mereka. Yang mereka tahu hanya sedikit tetapi dengan yang sedikit itu mereka perkembangkan seolah-olah mereka menjadi pakar. Pada akhirnya tiada apa yang boleh dipegang secara konkrit. Jika benar mungkin secara kebetulan. Bukan kerana hukum yang berkaitan denganya. Jauhari pula mencari ke dalam diri mereka. Jauh ke dalam. Yang dilahirkan ialah yang hak berdasarkan ilmu yang mereka miliki. Bidang yang mereka kuasai. Tidak tergesa-gesa kerana mereka ingin mengesahkan dahulu apa yang mereka hipotesiskan terlebih dahulu. Mereka mencari premis yang selayaknya. Mereka fikirkan variabel yang relevan. Mencari maklumat yang relevan dan terkini. Membuat analisis menggunakan instrumen yang wajar.

Kehilangan MH370 menemukan kita kepada kedua-dua jauhari dan yang bukan. Setelah sekian lama akhirnya kita dapati juga jauhari yang dipercayai orang. Yang tulisannya rasional. Yang ideanya boleh dipercayai. Walaupun tidak kesemuanya benar berkaitan dengan kehilangan MH370 tetapi teorinya berdasarkan kepakaran masing-masing. Bersandarkan kepada pengalaman diri mereka sendiri. Mungkin juga spekulasi tetapi justifikasi teknikal yang mereka persembahkan bukan secara rambang. Bukan serkap jarang. Bukan andaian-andaian kosong tanpa asas. Memang bersesuaian dengan fitrah manusia yang mahu kesemuanya disegerakan. Mahukan jawapan spontan. Dalam sesuatu yang besar impaknya jawapan perlu disaring. Distratakan. Ditimbang sewajarnya. Jawapan dari mereka adalah yang mengandungi kebarangkalian yang paling tinggi. Kemungkinannya tidak menepati 100%. Namun asasnya ada. Ada sandaran yang dapat dilihat.

Dalam dunia siber sesiapa sahaja boleh menulis. Sesiapa sahaja boleh bercakap. Akhirnya kita dapat mengenal antara yang jauhari dengan yang bukan. Orang mula meninggalkan mereka yang bukan jauhari apabila ramai sebenarnya jauhari di sekeliling kita. Mereka muncul seorang demi seorang. Ada dari kalangan kita sendiri. Orang tempatan. Mereka yang pakar dalam negara. Ada ramai lagi yang pakar di luar sana. Dari negara luar. Sesungguhnya kehilangan sebuah pesawat yang besar menjadi tarikan minat yang besar di kalangan pakarnya. Di rumah dan di pejabat komputer direnung. Perkiraaan dibuat. Formula dirumus. Satelit dikait. Dari situ mereka membuat rumusan. Kesemuanya teknikal. Bukan agak-agak. Bukan jangkaan-jangkaan kosong.

Apabila jawapan kepada kehilangan MH370 dipaparkan kepada kita nanti pastinya perkiraan jauhari-jauhari inilah yang lebih berpadanan. Lebih selari. Lebih dekat dengan jawapan yang sebenar. Sekiranya ada usaha untuk fabricate jawapannya, masih ramai lagi jauhari yang akan memberikan jawapan yang lebih boleh dipercayai. Tidak ada jawapan teknikal yang boleh dicover-up. Orang yang jauhari menanti dengan penuh sabar. Mereka mengetahui jawapannya. Jika yang dikatakan benar mereka akur menerimanya. Jika tidak mereka akan keluarkan jawapan lain yang lebih menepati. Maknanya jauhari ini menanti apa sahaja perkembangan dengan penuh kesabaran. Di samping itu mereka bukan duduk diam. Ada yang mereka lakukan tanpa kita ketahui.

Jadilah jauhari yang menunduk padi. Isi ilmunya memberat. Banyak isi dan tidak menghampakan. Selalu memberi yang positif. Bukan cakap-cakap kosong. Tidak bergendang kuat kerana tiada natijah yang dapat dipersembahkan. Alhamdulillah ramai jahuari yang masih boleh diharap. Kekal sebagai jauhari. Bersama mereka hati kita lebih tenang. Kehadiran mereka mendamaikan dan bukan mencemaskan. Ulasan-ulasan dari mereka yang jauhari menyejukkan hati. Mereka profesional. Hati mereka lebih kepada yang positif. Optimis dalam banyak hal. Selalu bersangka baik. Mereka memberikan ulasan profesional dan teknikal. Sifat itu yang belum kita miliki. Banyak kenyataan dan ulasan orang kita sangat menakutkan. Kadang-kadang memalukan. Kadang-kadang media kita terbawa-bawa ke arah yang tidak selar dengan etika penyiaran.


Hilangnya MH370 adalah krisis negara. Mungkin tragedi negara. Ia bukan milik siapa-siapa. Ia milik semua rakyat Malaysia tanpa mengira ideologi politik. Kita patut berhenti suka menuding jari. Cari jawapan yang hak bukan yang condong untuk mencari salah. Malang! Orang di negara lain lebih perihatin. Lebih mengambilberat seolah-olah pesawat itu adalah milik mereka. Sesungguhnya banyak negara yang menjadikan peristiwa ini sebagai dekat dengan hati mereka. Mungkin nilai kemanusiaan pada diri mereka lebih tinggi. Penulis berharap selepas peristiwa MH370 orang kita lebih terbuka. Lebih profesional dalam banyak hal. Krisis negara bukan krisis peribadi. Tidak boleh dihakmilikkan untuk mana-mana peribadi atau kumpulan. Cukuplah kita terluka dan berduka. Jangan ditambah duka itu lagi.