Thursday, January 16, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pagar Sekolah Mahal dan Cantiknya Di Mana



Setiap kali kita melalui sesebuah sekolah menengah kita pasti terpegun dengan kecantikan pintu pagarnya. Besar dan dibuat dari besi waja. Steel. Pagar sekolah tentu puluhan ribu ringgit. Konsep keceriaan yang dinisbahkan kepada sekolah. Untuk menambah kecemerlangan sekolah. Rasanya belum ada kaji selidik mengenai sumbangan pagar dan pintu pagarnya kepada kecemerlangan sekolah. Mungkin penulis terlepas pandang mengenai hal ini. Pagar yang meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajarnya. Meningkatkan produktiviti guru-gurunya. Pada kebanyakan masa pagar dan pintunya dibiayai oleh Persatuan Ibu Bapa Guru. Atau sumbangan orang politik. Atau dari dermawan setempat. Jarang yang dibiayai melalui bajet yang dipohon dari Kementerian Kewangan. Kita semua maklum bahawa pagar sekolah dikira perlu. Pengawal keselamatan adalah perlu. Guru bertugas adalah perlu. Ada masanya rondaan polis juga perlu. Keselamatan fizikal, peralatan, prasarana, pelajar dan guru perlu dijamin. Maka pagar dianggap perlu.

Mungkin kita perlu duduk sebentar. Merenung kembali mengenai apa yang menjadi keutamaan di sekolah. Dari pagar dan pintunya hingga prestasi akademik. Setiap tahun tidak ada pengetua atau guru besar dan semua guru-guru yang dapat lari dari KPI (Key Performance Index) masing-masing. Kunci prestasi. Rasanya tidak ada siapa yang dapat menafikan bahawa prestasi pelajar adalah paling utama. Guru yang prestasi pelajarnya merosot tentu perlu bersedia dengan berbagai pertanyaan pengetua. Mungkin perlu menyediakan laporan bertulis yang terperinci. Atau mungkin mendapat renungan tajam dari pengetua. Ketika itu pagar sekolah yang cantik tidak dapat melindungi guru kerana rendah prestasinya. Ada ketikanya prestasi pelajar menjadi sebab seseorang guru diberi tugas tambahan. Perlu menghadir berbagai kursus. Mungkin pula dipindahkan ke sekolah lain.

Sekolah perlukan berbagai kawalan. Kawalan guru, kawalan pengawas dan pengawal professional. Semuanya masalah. Pengawal professional di Malaysia banyak kali kecundang kerana penjawatnya tidak seperti dilabelkan. Bergaji tetapi taraf profesionalnya sangat rendah. Kita kembali kepada struktur kehidupan rakyat Malaysia. Terdapat kecenderungan untuk mengambil hak orang. Apatah lagi peluang itu adalah harta kerajaan yang dikira seperti tiada pemiliknya. Harta kerajaan dia yang punya. Tidak ramai orang yang memahami bahawa harta kerajaan itu harta umum untuk semua orang. Tiada siapapun yang berhak ke atasnya kecuali untuk digunakan dengan hak oleh pengetua, guru, penjawat sekolah dan  pelajar. Pelajar layak duduk dan gunakan peralatan yang diperuntukkan. Guru mengajar dan mendidik dengan kemudahan yang ada. Pengetua mengurus orang-orang di bawahnya, peralatan, perkakasan, harta modal, harta hapusguna dan lain-lain bajet yang diterimanya. Itu sahaja.

Tiada siapa yang berada di luar sekolah berhak ke atas apa-apa bahagian sekolah untuk kepengtingan peribadinya. Sekolah adalah lambang aspirasi masyarakat. Maka ahli masyarakat perlu sama-sama menjaganya untuk maslahah ahli-ahli yang lain.  Malangnya aspek tanggungjawab ini tidak sampai kepada ahli masyarakat. Mereka Cuma tahu hantar anak ke sekolah. Untuk pandai atau tidak, tidak pula dianggap terlalu penting. Berjaya atau tidak bukan keutamaan. Mungkin kesilapan sistem hingga menjadikan ramai orang yang berminat dengan sekolah. Tetapi minat yang negatif. Yang mengganggu kelancaran perjalanan sekolah. Yang berbuat demikian ialah orang-orang yang berada berhampiran dengan sekolah itu. Lebih parah lagi, mereka pernah bersekolah di situ. Tempat mereka pernah belajar. Adik-adik mereka belajar di situ. Anak-anak mereka bakal belajar di situ.

Keceriaan adalah aspek yang dikira penting tetapi bukan yang utama. Ianya penting sebagai pelengkap kepada suatu iklim yang sihat, menyegarkan dan memberi ruang berfikir bersama kehijauan di sekeliling. Apabila ditambah dengan kebersihan yang terkawal suasana menjadi sangat damai dan mententeramkan. Seri adunan kecantikan dan keindahan. Perlu juga ada seni untuk mendatangkan keceriaan yang wajar. Seni lanskaping perlu juga diambilkira. Senibina taman yang sesuai dengan jenis pokok dan rumput. Ketinggian yang terkawal. Bebunga yang pelbagai warna. Kelihatan suasana taman bunga memagari sekeliling sekolah. Sekolah berada dalam taman. Kecantikan yang dirancang dan didatangkan.

Di mana sebenarnya pusat kepentingan di sekolah. Selalu diabaikan di sekolah. Difikirkan juga tetapi tidak menjadikannya seperti suatu keperluan yang hakiki. Di mana letaknya perpustakaan dalam jadual sekolah. Di mana pusat sumber dalam kurikulum sekolah. Berapa buah buku yang pelajar baca dalam seminggu. Sebulan. Setahun. Buku apa yang dibaca. Apa judulnya. Apa kaitannya dengan pelajaran mereka. Nah, di sinilah letaknya keutamaan. Perpustakaan adalah pusat kecemerlangan yang perlu diurus dengan kapasiti dinamik. Bilangan rujukan ditambah. Buku, majalah, internet, mungkin mikrofilem dan video. Judulnya bertambah. Ada edisi baru. Terbitan baru. Sekolah tidak boleh melepaspandang aspek ini. Penulis teringat waktu bersekolah dahulu. Kami teruja untuk membaca khususnya buku cerita. Gurunya memberi ruang. Rakan-rakan begitu juga. Kami meminjam sebuah buku cerita untuk seminggu. Lazimnya pada malam itu juga buku itu dikhatamkan. Esoknya kami saling bertukar buku dengan rakan yang lain. Kami meminjam sebuah buku. Tetapi pada minggu itu kami membaca sekurang-kurangnya tiga buah buku.

Buku di perpustakaan tidak pernah habis untuk dibaca. Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat yang selalu dikenang. Selain dari meminjam buku kami disediakan satu waktu dalam seminggu untuk berada dalam perpustakaan. Kami baca apa sahaja yang menarik minat. Mungkin kerana itu skop pembacaan penulis terlalu meluas. Dari sukan ke muzik. Dari ekonomi ke kejuruteraan. Dari agama ke sastera. Dari geografi ke lukisan. Berbagai-bagai banyaknya. Penulis tidak bermain golf. Sesekali bersembang boleh juga menyebut tentang at par, below par, bunker atau tee-off. Bila bercerita tentang muzik bukan ronggeng, zapin dan langgam. Bukan sahaja rock, blues, twist, ago-go, samba dan tango. Menyimpang juga kepada muzik klasik seperti Beethoven umpamanya. Begitu juga nama-nama seperti Rambrandt dan Picasso. Konsep realism dalam lukisan. Dari sekolah ini lahir terlalu ramai yang berjaya. Ahli Parlimen, ADUN, tokoh korporat, pensyarah, pemuzik dan berbagai profesion lain.


Tiada yang lebih baik dari perpustakaan. Perpustakaan atau get canggih. Mana pilihan anda. Tidak banyak sekolah yang fokusnya adalah perpustakaan. Perpustakaan itulah yang menjadi nadi kecemerlangan akademik sekolah. Jika perpustakaan diberi keutamaan prestasi akademik pelajar-pelajarnya diberi peluang untuk meningkat. Tidak ramai ibu bapa yang mampu membeli buku dan rujukan. Mereka berharap kepada sekolah. Jika sekolah tidak boleh diharap maka apa yang diharap dari anak-anak mereka. Masih adakah harapan kepada sekolah.