Sunday, August 26, 2012

Perokok Yang Menjadi Rokok

Suatu waktu penulis solat berjemaah di sebuah musolla. Kebetulan penulis bersebelahan dengan seorang perokok.  Seorang yang dikenali sebagai perokok tegar.  Ramai orang lelaki yang berpengalaman serupa dengn penulis. Orang perempuan tidak mungkin ada pengalaman itu. Kecualilah suami atau anak atau orang-orang yang dekat dengan keluarga memang merokok. Ramai perokok tetapi perokok tegar yang paling tidak menyenangkan. Penulis pernah bicarakan dahulu tentang jenis-jenis atau kategori perokok. Perokok pertama hanya dengan dirinya sendiri sahaja. Tidak melibatkan orang lain. Perokok kedua melibatkan silent smoker. Malangnya silent smoker ini melibatkan orang-orang yang sangat hampir dengan mereka. Orang-orang tersayang yang berada di sekeliling diri perokok. Yang paling dahsyat adalah perokok ketiga. Orang ini menjadi rokok. Dirinya sudah menjadi sebatang rokok. Menyala. Berasap. Berbahang. Seluruh tubuhnya berbau rokok. Nafasnya rokok. Pakaiannya rokok. Bersamanya kita berbau rokok walaupun ketika itu dia tidak merokok. Perokok tegar ini berbau hapak. Pekat. Menyesakkan nafas. Sesama perokok mereka tidak merasakan apa-apa. Mereka berbunuhan sesama sendiri. Fair and square. I kill you, you kill I. No problem. No sweat. Apabila mereka cuba membunuh orang lain yang tidak merokok tentulah tidak adil jadinya. Memudaratkan orang lain menjadi sesuatu yang terlalu tidak kena.

Penulis merasakan perokok tegar sangat menyesakkan. Hangit tubuh badannya seperti terbakar sepanjang masa. Berdirinya berbau rokok yang pekat. Rukuknya seperti rokok patah. I‘tidalnya rokok terbakar lagi. Sujudnya seperti rokok berbengkok-bengkok. Duduk antara dua sujudnya juga seperti rokok bengkok. Rukun qaulinya memang menghembus nafas rokok yang langsung tidak enak. Rokok dilihat hanya dihisap asapnya. Ianya menjadi ketagihan yang kronik. Gilakan asap. Walhal asap itu mengandungi banyak jenis racun. Sedikit toxicnya tetapi terhimpun dengan banyaknya dalam jangka panjang. Sehari 20 batang rokok menimbunkan 7,300 batang rokok dalam setahun. 10 tahun sebanyak 73,000 batang rokok. Hendak tahu perbandingannya? Cuba sesekali tonton filem Hindi. Rokok yang begitu banyak rasanya sama banyak dengan kayu yang menutupi mayat. Yang apabila dibakar menghancurlumatkan mayat itu. Debu sahaja yang tinggal untuk dibubuh dalam bekas kecil.

Itu jika 10 tahun. Lazimnya perokok merokok hingga tamat usianya. Mungkin 50 tahun merokok. Sebuah bukit kecil yang boleh menjadi asas sebuah bangunan lima tingkat agaknya. Senang-senang sebuah rumah agam jika dibina di kampung. Tiada siapa yang boleh memberitahu bahawa merokok menambah kesihatan. Bila terhimpun perokok pertama dan kedua dan ketiga, seluruh keturunan seolah-olah musnah. Paling menyedihkan ialah kesucian janin keturunan yang teruk tempias dengan mudarat rokok dan racun-racun yang terkandung di dalamnya. Penyakit diri sudah tidak terkira buktinya. Amaran tertera pada setiap kotak rokok. Walaupun iklan media massa ditiadakan namun remaja tetap mencuba untuk menjadi ketagih dan akhirnya menjadi perokok tegar. Sebenarnya iklan tentang rokok banyak di rumah, di jalanraya, di pekan, kenderaan juga di tempat-tempat awam yang lain.

Hospital adalah tempat larangan meromok. Perokok merokok dalam kenderaan mereka sendiri. Membunuh diri secara perlahan-lahan. Di institusi pendidikan seperti sekolah dan universitu juga zon larangan merokok. Namun profesor yang bijaksana masih tetap merokok. Semua orang tahu sebab biliknya berbau rokok.  Nafasnya berbau rokok. Malah kadang-kadang dilihat merokok di kampus. Ketagihan yang sukar dihapus. Langkah-langkah untuk meninggalkan rokok banyak diperkatakan. Ramai bertegas bahawa merokok adalah haknya. Benar setiap orang ada hak. Bagaimana dengan hak orang lain untuk menghirup udara bersih. Persekitaran nyaman. Hak menjalani kehidupan normal. Alangkah baiknya jika perokok boleh mencipta kapsul dunia mereka sendiri. Ruang yang tidak menjejaskan ruang orang lain. Andainya pemikiran kita tidak sampai ke arah itu maka selagi itu ramai orang yang makan hati. Yang boleh disediakan ialah siada dengan al-Quran atau surah Yasiin. Bila-bila perlu dicapai apabila ada perokok yang menghembus asap. Bahawa ketika itu mungkin nafasny aadlah yang terakhir. Kepulan asap itu yang terakhir. Sedutan yang terakhir. Puntung rokok yang terakhir. Bacalah surah Yasiin sesegera mungkin. Saranan kepada orang-orang yang terdekat dengan perokok tegar ialah jangan jauh dari al-Quran atau surah Yasiin. Bila-bila sahaja diperlukan.

Malang tentang rokok bertambah lagi. Mereka yang tahu hukum-hakam malah tidak terlepas dari bahaya rokok. Paling kurang merokok adalah makruh. Rata-rata berfatwa bahawa merokok adalah haram. Seperti mencampakkan diri ke dalam mudarat. Semua mereka tahu merokok memudaratkan kesihatan. Terus merokok bererti derhaka kepada hukum. Orang Islam rama yang double standard tentang hukum haram.  Babi adalah haram. Sangat insignificant orang Islam yang memakan daging babi. Ramai yang tidak sengaja. Tetapi haram judi diredah juga. Haram arah diteguk juga. Haram rokok tiada siapa yang peduli. Seolah-olah merokok haram yang dibolehkan. Allahuakbar! Bagaimana kita berfikir sehingga tidak menusukkan konsep haram itu ke dalam jiwa  nurani yang jauh di dalam. Yang halus menolak. Kekuatan psikologi yang selalu roboh kerana nafsu yang selalu menang. Kekuatan dalaman yang selalu goyah. Diri yang memajamkan perasaan kerana ingtin terus biasa dengan rokok. Keputusan yang 180º terus-terusan salah.

Umum melihat bahawa merokok bukan amalan baik. Perokok bukan seseorang yang dianggap unggul. Andaian bahawa merokok melambangkan keintelektuilan sudah lama mati. Merokok sebagai lambang dewasa juga tiada dalilnya. Merokok sebagai simbol matang malah tiada siapa yang menerima. Ramai orang mengetahui bahawa mereka yang ketagihan dadah ramai antaranya yang bermula dengan rokok. Dari kecil-kecilan menjadi heavy. Tanpa dirancang mereka menjadi berat dengan dadah. Mereka mematikan kebergunaan diri. Menjadi sampah di mata orang. Menghinakan diri.  Apabila seseorang itu menjadikan dirinya rokok dan bukan lagi perokok seluruh personalitinya sudah tidak sempurna. Ada pertimbangan yang merubah kewarasan. Kesilapan sepatutnya ditebus dengan keinsafan. Merasa bersalah. Mengundur ke belakang mencari arah baru. Memulakan hidup baru. Buka buku baru. Jenguk-jenguk hati di dalam. Yang kotor dibersihkan. Cuci dengan entuhan ronahi yang mengesankan. Semuanay boleh jika diniatkan. Diazamkan. Dihasratkan. Diperkasakan dengan menghindar. Dengan mencari ketagihan positif seperti bersukan.

Ramai orang tidak memikirkan darjat dirinya. Integriti yang seharusnya dibina dan dipertahankan. Merokok bukan membantu membina integriti. Tidak mungkin menjana martabat diri. Perokok dengan sendirinya selalu menyingkirkan diri. Jauh-jauh dari orang yang normal. Merdeka tahu mereka tidak normal. Ada virus yang jelas terang-terangan merosakkan diri mereka sendiri. Mungkin jika ditepuk sedikit dada ada getaran sedar. Ada hembusan keinsafan. Membungakan hasrat menolak tembakau. Jika tepuk dirasa terlalu kuat cukuplah diusap dada untuk menginsafkan diri. Semua syarat sudah terlalu cukup untyuk membuat penilaian semula. Mumayyiz, tahu membezakan yang baik dan tidak baik. Akil baligh, tahu dosa dan pahala. Mukallaf, tahu tanggungjawab terhadap dirinya, masyarakatnya, agamanya. Matang, akal yang melebihi usianya. Masih mudah tetapi matang. Dewasa, sudh melebihi 21 tahun dari segi undang-undang. Bijaksana, akademik yang tinggi dan penuh dengan pengalaman. Akhirnya perokok mengetahui bahaya merokok. Membaca mudaratnya setiap hari. Dihindari selalu oleh pencinta alam sekitar. Cukup-cukuplah. Jadilah orang biasa yang wangi, harum yang senang didekati. InsyaAllah.

Saturday, August 25, 2012

Agama Yang Dicacat Cela Oleh Budaya


Zaman sudah banyak berubah. Sikap dan pandangan hidup menyah pergi amalan lama yang dilihat sekarang lebih baik, lebih indah. Masa berubah dan perubahan berlaku mengikut arus masa. Maka semua amalan hidup mengalami perubahan. Elok jika perubahan itu positif. Menganjak paradigma ke arah yang lebih baik. Memadam paradox yang selalu melingkari diri. Kita banyak terikat dengan budaya. Namun budaya yang menghakis kesucian seharusnya ditolak. Ia bukan budaya positif. Begitulah setiap kali melihat amalan budaya ada sahaja yang menyentuh perasaan. Penulis selalu melihat hal-hal yang kecil tetapi menyerlah impaknya pada amalan sekarang. A little observtion that disturbs the concience. Kecil tetapi terasa keterasingan yang mencengkam. Ada sesuatu yang tidak kena. Banyak mudaratnya dalam jangka panjang. Penerapan budaya yang tidak berkira-kira.

Sewaktu kecil dahulu penulis biasa berkeliling kampung. Berhari raya dari rumah ke rumah. Semua rumah sememangnya penulis kenali penghuninya. Mereka kenal keluarga saya. Arwah datuk saya adalah ikon di kampung saya. Anak-anak seperti saya berhari raya hanya sekadar berhari raya. Makan kuih atau ketupat. Berhari raya tanpa niat lain. Duduk makan dan minum sekadarnya. Berpindah ke rumah yang lain. Semuanya dilakukan dengan berjalan kaki. Memakai baju Melayu lengkap. Bila banyak rumah disinggahi, maka terlondehlah kain samping. Almaklumlah waktu itu badan kurus melidi. Kain sampin yang melilit pinggang melonggar sendiri. Tidak menyangkut pada perut seperti sekarang. Ketika itu ramping serampingnya. Makan banyak tetapi perut tiada gendutnya.

Berhari raya ketika itu dengan seikhlasnya. Ibu bapa saya tidak pernah bersama. Saya menjadi anak kampung yang berinteraksi dengan orang kampung yang kebetulannya semuanya saya kenal. Kebanyakan mereka ada talian keluarga. Ada yang memang saudara dekat. Darah daging sendiri. Waris belaka. Berhari raya meraikan Syawal. Hari lebaran. Hari yang diambut meriah. Suatu kesyukuran. Menghormati yang tua. Mengunjungi yang dewasa. Pada 1 Syawal memang saya berada di kampung sendiri. Pada hari kedua biasanya bersama ibu saya ke rumah nenek, bapa saudara dan ibu saudara yang lain. Sepupu-sepupu ramai yang masih kecil. Sebaya dengan saya hanay ada beberapa orang sahaja. Meriah bertemu mereka. Ada sahaja permainan yang disertai ketika itu. Tahun-tahun 50an dan awal 60an yang sudah melebihi setengah abad. Merindui yang sudah lama. Ramai yang sudah tiada. Saya pula yang mengganti sebagai orang tua.

Waktu itu saya berhari raya bersama rakan-rakan saya hanya untuk meraikan hari raya itu sendiri. Memohon maaf di sana sini. Kepada orang itu dan orang ini. Di kampung saya hanya dua orang sahaja yang selalu dijangka memberi sedekah wang. Bukan banyak 5 sen atau 10 sen sahaja. Yang pertama Wak Suri dan yang kedua Wak Deman. Kami tidak pernah minta. Tidak pernah mengharap. Tidak mengerti apa itu duit raya. Diberi kami terima. Tanpa sampul. Tanpa bungkus. Terus ke tapak tangan. Berkilau dilihat dengan jelas. Hanya ucapan terima kasih. Tiada komen. Tiada bantahan. Bila saya sudah  memiliki basikal perjalanan saya dan rakan-rakan semakin jauh. Menyeberang ke kampung sebelah menyebelah. Ke rumah guru atau saudara yang jauh. Begitu juga rakan-rakan yang agak jauh. Hanya basikal pengangkutan standard ketika itu. Meriah sepanjang jalan. Hari raya yang dirayakan.

Bila usia menginjak lama hari raya dilihat sangat berubah. Seharusnya anak-anak dibawa bersama ibu bapa untuk menziarahi sanak saudara. Menelusuri susur galur darah daging keluarga.  Latih anak-anak untuk mengenal saudara mara sendiri. Moga-moga ikatan keluarga tidak terputus. Bertaut kembali. Malangnya ada antara ibu bapa yang alpa tentang perkara ini. Anak-anak dibiarkan berhari raya sendiri. Maka kerosakan budaya berlaku. Anak-anak tanpa iu bapa ini berhari raya tanpa tujuan yang hak. Bukan berhari raya seperti zaman saya dahulu. Mereka sebaliknya mencari rumah-rumah di persekitaran yang agak mewah. Picit loceng sekuat hari. Memberi salam tidak behenti-henti. Goyang get seperti hendak roboh. Merosakkan pokok bunga di hadapan get. Membuang sampah merata-rata. Bila diberi makan hendak tak hendak. Makan bersepah-sepah. Yang ditunggu ialah duit raya. Akan ada yang meminta. Dengan duit raya itu mereka membeli yang bukan-bukan. Mungkin bunga api. Mungkin mercun. Mungkin jajan yang tidak mengenyangkan.

Mungkin yang memberi duit raya ikhlas. Memberi sedekah. Zakat mungkin juga. Oleh kerana kanak-kanak tidak ditemani ibu dan bapanya maka duit raya yang mereka terima digunakan sewenang-wenangnya. Ibu bapa tidak dapat memberi nasihat yang wajar cara menggunakan wang yang ada. Menerima satu hal. Meminta satu hal lain. Serba salah melayani anak orang. Ada yang lebih malang lagi. Mereka diangkut oleh ibu bapa mereka sendiri. Di letakkan di kawasan-kawasan bandar yang kadang-kadang jauhnya melebihi 20km. Berjalanlah anak-anak dari rumah ke rumah sepanjang hari. Hujan dan panas tidak terkira. Letih, lapar dan dahaga tidak terkira lagi. Cukup masa mereka dikutip untuk dibawa pulang. Mereka menjadi pengutip duit raya secara profesional sepanjang Syawal. Sebenarnya ibu bapa merosakkan pemikiran anak-anak. Bila hari raya yang mereka ingat kutip duit. Bukan bersyukur setelah melalui sebulan Ramadhan. Konsep dan falsafah berhari raya sudah terlalu meyimpang.

Kecil saya di kampung tanpa TV. Radio hanya di rumah-rumah terpilih sahaja. Suratkhabar hanya di bandar. Tidak masuk ke kampung. Sesiapa yang ke bandar kembalinya membeli suratkhabar. Pada bulan Syawal orang kampung hanya berhari raya. Sangat jarang mereka berada di rumah. Tidak berhari raya namanya. Sekarang ini ramai yang berada di rumah. Semua rangkaian TV berlomba-lomba menayangkan program hiburan. Dari drama hingga ke filem. Dari lawak ke nyanyian. Ramai yang berhari raya dengan teknologi dan bukan dengan manusia. Malang sungguh acara agama yang dihakis kesuciannya. Hari raya bukan untuk berhibur secara hedonism. Hilang takbir dan tahmid. Takbir hilang. Tahmid lenyap. Mensyukuri nikmat Allah dengan cara yang tidak Islamik. Terkeluar dari landasan. Sepatutnya kita mencari redha Allah dan bukan redha manusia. Selayaknya hiburan tiada di TV atau radio. Bukan masanya. Bukan waktunya. Bukan suasananya. Malang jika agama dikomersilkan.

Mercun dan bunga apa masih lagi menjadi musuh. Orang tidak serik-serik hilang penglihatan dan anggota tangan. Bahaya yang tidak difikirkan secara proaktif. Pengalaman lalu tidak dijadikan pertimbangan. Akal hilang tersisih. Bagaimana ibu bapa memberi nilai murni kepada anak-anak. Hilang yang namanya keselamatan. Yang namanya pembaziran. Ganjil menyambut hari raya dengan mercun. Dengan bunga api dan dengan meriam. Rasanya kesemua itu tidak dalam redha Allah. Yang Allah suka ditinggalkan. Yang mendekatkan diri kepada Yang Khaliq tidak diberi keutamaan. Yang berniaga pula tidak lagi kenal siang dan malam. Berhari raya dengan wang ringgit. Rasanya banyak yang perlu diubahsuai adat kita. Budaya bukan penentu acara agama yang sihat

Friday, August 17, 2012

Mengejar Ramadhan Yang Berlalu Pergi


Setahun kita menanti Ramadhan. Bila tiba Ramadhan itu kita sibuk melepas pandangnya. Kita beribadat sama seperti orang lain juga. Antara tahu dengan tidak. Antara peka dengan tidak. Antara faham dengan tidak. Antara mencari maghfirah Allah dengan tidak. Antara jalan ke syurga yang banyak likunya. Kita selalu kecundang untuk melayani kehadiran Ramadhan. Bayangkan semua lapan pintu syurga dibuka dengan seluas-luasnya. Semua pintu neraka ditutp serapat-rapatnya. Bukan itu sahaja syurga dihias dengan secantik-cantiknya. Syurga dalam keadaan biasa tidak dapat manusia lintaskan kesempurnaannya dalam minda. Apabila dihias dalam bulan Ramadhan lagilah tiada dalam pemikian manusia. Itulah kemuncak nikmat bagi yang mematuhi perintah Allah. Begitu jugalah kerugian bagi mereka yang gagal bersyariat. Malah ditambah lagi dengan azab yang tidak terperi pedihnya.  

Jika kita fasakan, Ramadhan terbahagi kepada tiga. 10 hari yang pertama. 10 hari yang kedua. 10 hari yang ketiga. Ustaz dan ustazah selalu bersyarah tentang fasa yang ketiga sahaja. Fokusnya Laitulqadar sahaja. Syarat dan prasyaratnya selalu tidak diperincikan. Apa yang perlu dilaksanakan menjelang Ramadhan selalu terleps pandang. Terlepas dengan. Pada awal Ramadhan persediaan meraikan Lailattulqadar tidak dihamparkan. Bahawa 10 hari dan malam yangt pertama adalah permulaan yang lambat. Memanaskan badan. Hari-hari yang awal lenguh kaki dan paha. Pinggang pun terasa. Lama tidak bersenam panjang. Otot semuanya kejang. Selepas  10 malam pertama solat Tarawih menajdi ringan. Anggota tubuh badan mejadi lebih santai. 10 malam yang kedua menjadi pemacu untuk lebih giat ibadahnya. Jika boleh sudah masuk giar 4. 10 malam yang terakhir ibadah bak meluncur laju. Pantas dan ligat. Hasratnya memintas masa. Menanti Lailatulqadar. Mudah-mudahan ada barakah menanti. Maghfirah melimpah.

Semuanya menjadi paradox. Orang semakin bercerita datangnya Lailatilqadar. Malangnya orang semakin susut kehadirannya dari masjid dan surau. Solat Tarawih semakin tinggal yang di saf hadapan sahaja. Saf-saf yang di belakang syahid setiap malam.  Selalu dinasihatkan supaya kita memecut laju pada 10 malam terakhir.  Jika boleh berjaga sepanjang malam. Setiap malam di atas sejadah. Mengingat Allah sama ada dalam solat atau dengan berzikir. Minda dan hati sentiasa pada Allah. Ibarat orang berlari pecut, apabila hampir ke garisan penamat lariannya semakin pantas. Sentiasa mahu di hadapan. Mengungguli orang lain.  Malangnya  10 hari atau malam terakhir  orang lebih ramai membawa anak isteri mereka untuk mencari persiapan Hari Raya. Solat dan Tarawaih menjadi tidak relevan kepada mereka. Waktu mereka kembali ke rumah lebih lambat dari waktu tamat solat Tarawih. Sayangnya waktu yang terlepas untuk lebih beribadah. Lailaulqadar yang hanya cerita sahaja.

Tentulah ironis. Kita berpuasa. Patuh kepada perintah Allah dan Rasulnya. Budaya yang didatangkan kepada kita berbeza dengan budaya orang Islam di Arab Saudi dan di  Mesir. Mereka sibuk dengan Ramadhan. Membanyak ibadah setiap masa. Mereka melupakan tentang Hari Raya. Seperti tidak ada pada mereka. Hari-hari yang lumrah. Hari selepas Ramadhan terakhir. Adalah sedikit perayaan. Eidul Adha sahaja yang mereka sambut sehingga empat hari. Hari Raya bukan  hari dan bulan keutamaan dalam kalendar mereka.ibadat yang penting. Syawal pertama bertakbir dan bertahmid. Ada sedikit jamuan. Mungkin bertemu sanak saudara. Syawal kedua semuanya berakhir. Puasa Syawal bermula. Enam hari yang berturut-turut. Ganjarannya seperti  berpuasa setahun lamanya. Kita pula lain caranya. Hari Raya disambut selama tiga bulan. Ya tiga bulan. Rumah terbuka tidak berhenti-henti setiap hujung minggu. Terlajak hingga tiga bulan.

Esok Sabtu 29 Ramadhan 1433H. Mengikut kalendar esok adalah Ramadhan terakhir bagi tahun ini. Berapa ramai antara kita yang sayu ditinggalkan Ramadhan. Sedih kerana berpisah dengannya. Tertusuk hiba kerana tahun hadapan belum tentu menemuinya. Ramadhan tetap datang. Tetapi kita yang tidak pasti dapat menyambutnya lagi. Yang dapat meraikannya lagi. Yang dapat menghidupkan malam-malamnya. Ada antara kita yang mungkin pergi. Ada pula yang uzur syarie. Ada yang berkeuzuran. Ada yang terlalu tua. Ramadhan menjadi sesuatu yang akan berlalu  begitu sahaja. Allahuakbar. Bagaimana jika Ramadhan ini yang terakhir. Semuanya telah berlalu pergi. Hari bersilih ganti. Masa berganti masa. Yang di hadapan pasati datang. Yang bersama menjauh ke belakang. Hari ini menjadi sejarah esoknya. Manfaat hari ini yang dibawa bersama.

Azam kita selalu goyah. Moga tahun hadapan Allah pertemukan kita dengan Ramadhan yang lebih terisi. Yang lebih mentarbiahkan diri. Tarawih 20 rakaat yang tidak perlu dipertikai. 8 juga menjadi pilihan. Bagi yang mengerti bukan 20 sebagai pilihan. Mereka menambah lagi selarat kaki dan kudrat berdiri. Mengisi Ramadhan yang penuh barakah. Bulan anugerah untuk umat yang beriman. Setiap kebaikan berganda ganjarannya. Malang sekali minggu-mingu terakhir ini yang diiklankan ialah hiburan yang bakal mendatang. Sudah dibariskan senarainya dari hari ke hari.  Program yang mendahului waktu. Semuanya dirakamkan pada bulan Ramadhan. Bukan ibadah yang ditambah. Hiburan yang make belief yang banyak berjela. Hari Raya bukan hari berhibur. Benar Hari Raya disarankan kita bergembira. Tetapi dengan bertakbir dan bertahmid. Mensyukuri nikmat Ramadhan yang Allah anugerahkan kepada kita.  Tiada agama lain yang diindahkan dengan Ramadhan. Tiada bangsa lain yang merasa bahagianya Ramadhan. Hanya orang Islam sahaja yang menikmati Ramadhan hingga menusuk hati. Hanya mereka yang beriman sahaja  yang hatinya terikat dengan Ramadhan. Lapar dan dahaga tidak pernah menjadi pertimbangan. Yang dirasa ialah nikmatnya. Nikmat berbuka puasa. Nikmat berhari raya. Nikmat solat berjemaah seramai0pramainya.

Silakan berhari raya. Pesan penulis rayakan Syawal ini dengan penuh tertib agama. Carilah redha Allah. Tambahkan kebaikan. Kunjung mengunjung. Bermaaf maafan. Berbaik-baik antara satu sama lain. Bina ukhwah Islamiah. Ketepikan media elektronik yang 24 jam menyogokkan halangan untuk berhari raya dengan selesa. Hiburan ada 24 jam sehari semalam. Ramadhan hanya sekali setahun. Hari Raya juga sekali setahun. Untuk berhari raya yang tidak syarie boleh lakukannya setiap hari. Ada orang berhari raya setiap hari. Itu berhari raya di hati. Beraja di mata. Bukan kerana agama. Bukan kerana Allah. Tiada syariatnya. Mudah-mudahan Hari raya ini kita lakukan anjakan paradigma. Jana perubahan untuk menjadikannya sesuatu yang sentiasa selari dengan agama.

Maaf zahir batin. Mohon maaf salah silap. Semoga Allah memberkati kita semua. InsyaAllah.

Wednesday, August 15, 2012

Munjung: Tradisi Jawa Yang Perlukan Sentuhan Inovasi


Sebagai anak Jawa penilis dibesarkan dengan budayanya yang rencam. Ianya mencakup dari Islam hingga kadang-kadang yang berbentuk animisma. Cumanya lama-kelamaan, ilmu dan pentarbiahan banyak mengubah persepsi orang Jawa terhadap budayanya. Di kampung-kampung yang jauh di pedalaman amalan tradisi masih mendominasi keadaaan. Di banadar-bandar pula keadaan sudah berubah, mungkin 360º. Banyak yang sudah ditinggalkan oleh orang bandar. Jika diamati orang Jawa lazimnya menghormati mereka yang lebih tua. Menghormati saudara tua. Menghormati orang-orang yang dianggap ketua. Atau lebih tinggi kedudukannya. Ini dilihat melalui tutur kata. Dengan orang-orang yang dihormati mereka menggunakan bahasa halus. Atau bahasa keraton. Bahasa istana. Lembut, sopan dan intonasi pengucapannya mengasyikkan.

Kita membahasakan orang kedua sebagai kamu, mu, awak, kue, lu atau anda. Dalam bahasa halus Jawa orang kedua disebut sampian. Orang banjar juga menggunakan istilah yang hampir sama. Tetapi s-nya dihilangkan menjadi ampian sahaja. Dalam istilah  yang lain disebut andika. Itu  dari segi bahasa pertuturan. Orang-orang yang lebih rendah tarafnya sama ada dari segi pangkat atau usia tidak sebarangan melintas di hadapan orang tua atau di hadapan majlis. Jika perlu dilakukan maka mereka lazimnya berjalan sambil menunduk, tangan kanan dibuka dan ditunjukkan ke bawah. Tanda memohon hormat untuk tumpang lalu. Apabila orang dewasa berbual anak-anak semuanya menjauh. Tidak boleh “menguping” atau mendengar-dengar perbualan orang dewasa.  Lama juga penulis memikirkan akan hal ini. Rupanya orang dewasa bila bertemu isi perbualan mereka menyentuh (maaf) tentang mengumpat orang lain. Membawang. Ada masanya tentang sesuatu rahsia. Atau mungkin juga ada cerita-cerita lain yang tidak layak didengar oleh anak-anak.

Tentang makanan orang Jawa sangat peka. Kehadiran tetamu tanpa mengira siapa mereka pasti dijamu dengan makan berat. Tanpa mengira waktu. Sampai sahaja di rumah anak dara atau suri rumah sempat menanak nasi, mengukur kelapa, memetik sayur di sekeliling rumah, menggoreng telur atau ikan masin. Dalam seronok berbual hidangan  pun siap. Makanlah tamu sebelum pulang. Adat orang Jawa jika tamu tidak makan atau tidak ada makanan terasa ralat yang memanjang. Malu. Dan kadang-kadang terasa aib. Perut tetamu mesti diisi sebelum mereka pulang. Itupun tidak boleh lama. Kadang-kadang 45 minit sudah terlalu lama. Jika anak dara yang menyiapkannya sesingkat waktu maka kelayakan untuk berumahtangga sudah boleh diperakui. Masin, masam dan  manis pada masakan dan makanan adalah penilaian yang paling mudah. Jika tamu berselera makan, rasanya bakal mertua apatah lagi. Bakal menantu yang boleh diharap menjaga kesihatan keluarga. Menjaga perut mertua.

Cerita menghormati orang tua atau orang berkedudukan tidak habis di situ sahaja. Apabila tiba musim perayaan seperti ‘Eid al-Fitri atau Eid al-Adha yang muda pasti menghantar makanan atau juadah istimewa kepada mereka. Dalam tradisi Jawa istilahnya ialah munjung. Menghantar makanan kepada mereka yang disayangi dan dihormati. Lazimnya kepada kedua ibu dan bapa. Datuk dan nenek. Bapa saudara. Ketua kampung. Pak Lurah. Ustaz dan ustazah. Atau guru. Menu istimewanya tidak lari dari ketupat, sayur lodeh, ayam (kari atau semur – masak kicap) dan serunding. Ada kemungkinan rendang dan sambal sate (sambal kacang). Ada juga yang menyertakan lepat. Beras pulut yang dibungkus daun kelapa muda yang diistilahkan sebagai janur. Ketupat Jawa berisi nasi yang diisi dalam anyaman janur. Ada ketupat sate. Ada ketupat bawang. Saiz ketupat bergantung kepada lebar janur. Jika lebar, besarlah ketupatnya. Jika kecil, kecillah ketupatnya.

Lodeh khusus untuk sayur orang Jawa. Bahan utamanya tidak lari dari kacang panjang, tempe, suun, tauhu kering. Mungkin ditambah sengkuang dan terung. Gulai lemak agak pekat. Gulai cair mengurangkan kualiti. Ayam masak kari dan semur paling popular. Ada juga ayam yang diungkep. Ayam yang diperap dengan halia, kunyit, ketumbar atau rempah. Memasaknya dengan memasukkan ke dalam kuali atau periuk yang diisi dengan minyak. Ianya seperti digoreng tetapi kuali  atau periuk itu ditutup rapat. Apabila daging ayam sudah lembut dan masak, tudungnya dibuka. Proses mengeringkannya berlaku. Ayam yang cukup masak terasa garing dan serapan bumbunya sempurna. Enaknya cukup memukau. Cubalah bagi yang berhajat.  Punjungan dikira sempurna. Berderet-deret mangkuk tingkat digunakan untuk menghantar ke rumah-rumah yang tersenarai. Sekarang orang menggunakan plastik atau bekas-bekas plastik. Mangkuk tingkat sudah seperti tidak praktikal lagi. Payah membawanya. Malas membasuhnya. Hendak menyimpannya lagilah satu hal.

Dalam hal punjung-memunjung ini penulis mengira perlu ada  sentuhan inovasi. Apa yang dilihat ialah suatu hal yang akur kepada adat. Ada sentuhan hormat pada yang tua. Tetapi ada pula unsur pembaziran yang tidak ketara. Bayangkan sepasang suami isteri yang mencecah usia 80 hingga 90 tahun menerima punjungan sebanyak 20. 20 orang menghantar punjungan. Pasangan warga intan itu hanya mampu melihat tanpa selera. Tanpa kecur air liur. Tanpa ada selera untuk  mencuba. Punjungan itu hanya disusun dan dipandang begitu sahaja. Yang dimakan masakan sendiri juga. Sesuai dengan lidah dan tekak sendiri. Bukan itu sahaja, pasangan yang terlalu tua itu berusaha memasak juga semua juadah yang perlu untuk membalas punjungan yang datang dari berbagai penjuru itu. Membalas budi. Tidak mungkin mangkuk tingkat dipulangkan kosong. Terasa bersalah juga. Malangkan. Punjungan kepada yang tua tidak makan. Yang tua pula membalas punjungan. Penat dan meletihkan. Hormat  yang akhirnya menjadi pembaziran. Bagi pasangan yang ramai anak cucu boleh juga dihidangkan pada Hari Raya. Bagi yang berkeluarga kecil maka makanan yang ada pastinya menjamu ayam dan itik.

Mungkin kita harus membuat penilaian semula. Memunjung diberi nafas baru. Dibangunkan sistem baru. Oleh kerana memunjung adalah kepada yang tua kenapa tidak punjungan itu diubah waktunya. Disesuaikan menunya. Susun jadual supaya punjungan dimulakan dari hari pertama Ramadhan. Dengannya yang tua dapat makan percuma setiap hari. Kenalpasti makanan kegemaran mereka. Masakan yang sesuai dengan minat dan selera. Anak-anak pastinya tahu apa kegemaran ibu dan ayah mereka. Jangan berikan yang lain dari itu. Membazir sahaja.  Rajinlah memunjung semasa orang tua masih sihat. Semasa masih ada selera. Semasa masih boleh kecur air liur. Semasa gigi mereka masih kuat menggigit makanan. Semasa tekak mereka masih menerima apa saja makanan. Semassa perut mereka boleh menerima makanan kegemaran mereka.

Jangan tunggu Hari Raya. Jangan tunggu sewaktu mereka tua. Jangan tunggu semasa mereka sakit. Ketika itu semuanya menjadi tepu. Apapun yang menyelerakan menumpulkan selera. Fokus kepada makanan sudah tidak relevan lagi. Sesuap dua makan sudah memadai. Seteguk dua air sudah menghilangkan dahaga. Ingatan kepada orang tua biarlah memanjang. Isriqamah. Bila-bila ada kelapangan. Dijadualkan supaya tidak terlupa. Bawa makanan sambail mebawa anak cucu. Orang tua ceria melihat anak cucunya makan dan minum. Mereka akan terangsang untuk turut berselera. Masakan air tangan anak cucu juga memberi rasa selera kepada datuk dan nenek. Makanan dan minuman yang dibuat khusus dapat dirasa. Dapat dijamah. Dapat dinikmati. Punjungan pada Hari Raya hanya menghormati punjungan. Tidak disentuh. Tidak  dijamah. Anak cucu seronok memunjung. Suatu tanggungjawab yang terlaksana. Malangnya orang tua hanya mampu terkebil-kebil melihat deretan makanan yang terhidang di semua sudut dapur rumah. Meja makan tepu ke birainya. Tungku penuh dengan semua periuk. Mangkuk dan besen juga penuh.

Kasihan orang tua. Malangnya mereka sudah melepasi zaman enak untuk makan. Selera yang tidak  patah. Itu dahulu sewaktu senang. Sewaktu muda. Sewaktu tidak ada kemampuan untuk menikmati kesemua yang diidamkan. Bila tua semua disuakan kepada mereka. Selera sudah patah. Ayuhlah kita fikirkan bersama. Kekalkan menghormati yang tua. Jaga perhubungan dengan mereka. Hantarlah punjungan. Jadualnya diubahsuai. Semoga punjungan dapat dimakan. Dinikmati kelazatannya. Dapat  diingat anak mana. Cucu mana. Jiran  mana. Tahun hadapan kita mulakan? InsyaAllah.

Monday, August 13, 2012

Panggilan Tugas Yang Tidak Pernah Ditolak


Pada awal tahun  1984 saya mendapat tawaran ke London. Kursus pendek tiga bulan. Meningkatkan profesionalism. Pada petengahan tahun yang sama saya dapat pula anugerah biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana di USA. London 1984. USA 1985. Saya cuba dapatkan kedua-duanya. Tidak boleh. Saya kena terima satu sahaja. Kena agihkan kepada orang lain. Rezeki harimau. Tidak boleh dibolot semua. Menafikan hak orang lain. Maka terbanglah saya ke USA. London tertangguh untuk sementara. Dapat juga dijengah akhirnya. Perjalanan pulang yang melintasi Atlantik. London dihuni sebentar. Melihat segala kerlipan neonnya. Agam bangunannya. Di Barat kebanyakan bangunan tidak banyak bezanya. Yang pasti gah, besar, kukuh, commanding. Ada wariswan budaya yang ampuh. Bukan keuntungan sementara. Nilai senibinanya tidak ada seperti kebanyakan bangunan kita di sini. Tiada tarikan seni. Kosong. Hanya bangunan. Berfungsi sebagai tempat kerja. Elemen lain dari segi estetika diabaikan. Tarikan pelancongan tidak diambilkira. Tidak menjana ekonomi. Itulah yang dilihat di Barat. Bangunan ada nilai estetikanya. Lambang-lambang budaya yang menyerlah.

Saya kira perjalanan ke luar negara cukuplah sekali. USA sudah cukup jauh. Sudah cukup lama. Sudah cukup asam garamnya. Pengalaman yang terlalu mahal untuk diri dan keluarga. Tiada nilai setara yang dapat diungkapkan. Teringat saya sewaktu kerajaan Belgium menawarkan saya biasiswa ke University of Leuven dahulu. Jika pergi tentu pengalaman pertama keluar negara. Ke Eropah. Ke negara  orang putih. Bertahun-tahun saya terimbau tawaran itu. Apakan daya. Saya yang menurut perintah. Penjawat awam yang terikat. Sayapun belum tahu selok belok pentadbiran. Anak kampung yang serba daif. Lulus dari menara gading tetapi tidak banyak yang diketahui. Perintah-Perintah Am kerajaan kosong dari minda saya. Satupun tidak diketahui.  Perancangan Allah tiada siapa yang tahu. Saya ke USA dengan keluarga. Terubat impian lama menjengah dunia.

Tahun 1990 rezeki saya datang lagi. Allah memberikan rezeki nikmat yang berulang-ulang. Saya mendapat tawaran untuk mengikuti kursus pendek selama tiga bulan di Toronto Canada. Kursus Public Relations and Industrial Liaison. Alhamdulillah Canada yang pernah saya jengah pada tahun 1985 rupanya menggamit saya lagi. Kerajaan menghentikan program ke London. Sebagai gantinya Toronto menjadi pilihan. 30 Ogos 1990 saya bertolak ke sana melalui Tokyo, Cleveland dan Toronto. Terbanglah lagi menggapai awan. Di balik dunia sana saya pergi. Tugas negara. Pengalaman peribadi. Excited and elated. Teruja dan sangat gembira. Terbang jauh bukan mudah. Bukan juga murah. Negara melimpahkan rezeki untuk penjawat awamnya. Pengalaman yang nantinya dikongsi dengan rakan sejawat. Dikongsi dengan pelajar. Sekarang saya kongsikan dengan audien saya yang lebih luas.

Dunia ini luas. Allah menunjukkan tanda-tanda kekuasannya. Mata kita yang perlu melihat. Telinga kita yang perlu mendengar. Hidung kita yang perlu menghidu. Perasaan yang perlu menyapa. Menjengah dunia memberikan pengalaman yang mengujakan. Dapat dilihat sosio-budaya-politik sesebuah negara. Berada di negara sendiri kita merasakan kita berada di sebuah negara yang beruntung. Negara bertuah. Kita rasa semuanya ada di sini. Kita masuk bakul sendiri. Hanya apabila kita keluar negar barulah kita melihat dunia yang sebenarnya. Kemudian kita melihat negara kita dari kacamata dunia. Looking from out of the box. Barulah kita dapat menilai negara kita sendiri. Jika kita melihat dengan kacamata orang lain maka terlalu banyak cacat celanya. Jika kita melihat dengan kacamata kita sendiri maka terlalu banyak baiknya. Kita berada di dua dunia yang berbeza.

Kita selalu ingin melihat apa yang hendak kita lihat. Lalu kita buat perbandingan berdasarkan apa yang kita ada. Kita mungkin menolak kelebihan-kelebihan yang ada pada negara orang. Tetapi jika kita buka minda  banyak yang bole dibawa pulang. Cuba menerima input-input baru yang sesuai dengan budaya dan perancangan masa hadapan. Negara yang berbeza memperlihatkan banyak perbezaan antara satu sama lain. Orang Islam, orang Timur dan lebih-lebih lagi orang Melayu memiliki nilai dan akhlak yang tertutup. Namun ianya bukan lapuk. Bukan mengundur ke belakang. Cuma berada di negara orang kita banyak menyerap dan berfalsafah. Iklim banyak mempengaruhi gaya hidup, nirma, nilai dan kepercayaan. Apatah lagi perubahan musim yang banyak mengubah banyak persepsi dan amalan.

Setiap hari ramai pelancong yang berlegar di segenap penjuru dunia. Semakin banyak negara yang dilawati semakin banyak hal-hal yang perlu dinilai. Sikap boleh berubah. Cara berfikir berubah. Begitu juga persepsi dan konsep yang terpahat sejak kecil terungkai untuk menerima sesuatu yang menganjak paradigma. Gaya berfikir meneroka alam. Bukan lagi dalam lingkaran sebuah tempurung. Bagi yang bersedia menerima perubahan sangat mudah. Yang tidak ingin berubah kekal dengan amalan lama yang tidak produktif. Mereka terlalu sayangkan apa yang mereka ada. Mengabaikan peluang untuk memperbaiki diri dan aura diri. Sayang jika 10 jung masuk, anjing tetap bercawat ekor juga. Melihat tetepi tidak nampak. Dilihat tetapi tidak disapa.  Melihat manusia yang berbagai tentu menginsafkan kerana kita berasal dari pasangan yang sama. Adam dan Hawa. Anak cucunya berbagai-bagai. Hitam, putih, kuning, kelabu asap. Janga lupa pula yang sawo matang.

Pengalaman di Canada menambahkan lagi koleksi budaya yang dilihat, dirasa dan dihuni keliling. Ada yang indah dan ada yang biasa-biasa sahaja. Yang pastinya ada kelainan yang sukar digambarkan. Hanya secara peribadi sahaja yang dapat merasakannya. Mata kita mata kita. Telinga kita telinga kita. Mulut kita mulut kita. Persaan kita perasaan kita. Setiap individu memiliki garapan yang berbeza. Maka berbagai-bagai pengalaman yang sangat berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Objek yang sama diceritakan secara berbeza kerana dilihat mengikut persepsi masing-masing. Penilaian masing-masing. Tahap pendidikan yang berbeza juga mempengaruhi kualiti pemukiran yang terjana hasil dari pengalaman itu. Ada orang mengalami yang sedikit tetapi menjana pemikiran yang banyak, berat, besar dan berimpak tinggi. Tidak kurang orang yang banyak pengalaman tetapi untuk dipendam dalam dirinya sahaja. Orang-orang di sekeliling tidak mendapat manfaat darinya.

Jika ada luang waktu kembaralah ke mana-mana sahaja. Lihat tanda-tanda kebesaran Allah. Lain tempat lain padangnya. Lain belalangnya. Kembara memberikan inpur baru untuk kita menghadapi dunia yang sudah terlalu banyak berubah. Pegalaman membina kekuatan AQ –Adversary Quotient. Kesediaan menghadapai apa-apa cabaran, halangan dan kekangan. Yang pentingnya menjadi positif. Selalu berharap yang lebih baik. Minda lebih luas. Hati lebih lapang. Tindakan lebih rasional. Tidak dogmatik mungkin. Dapat mengharmonikan hal-hal yang paradoxical. Pengalaman mengajar. Kita belajar dari pengalaman.   

Saturday, August 11, 2012

Rumah Melayu: Antara Tradisi Dan Praktikalitinya


Di Nusantara Melayu rumah-rumah lazimnya dibina di atas tiang-tiang yang tinggi. Orang dahulu tiada alat pengukur yang pasti. Tinggi selalunya diukur paras orang dewasa lelaki. Maka ketinggian rumah biasanya lebih tinggi dari orang dewasa lelaki. Yang pastinya rumah tinggi bebas dari banjir. Di musim panas dan kering rumah-rumah sebegitu kelihatan tinggi. Tangga yang dipanjat dan dituruni seperti gayat. Namun apabila musim tengkujuh tiba, rumah yang tinggi itu ditenggelami air. Kadang-kadang separas anak tangga yang teratas. Tangga sudah tidak berguna lagi. Sampan menjadi pengangkutan utama. Sampan itu untuk menjala. Mengangkut bekalan. Bergerak dari satu detinasi ke satu destinasi yang lain. Pada tempat-tempat tertentu aliran air tersangat deras. Pada tempat-tempat yang lain air mengalir perlahan. Mungkin juga hanya bergenang lesu. Banjir berlarutan berminggu-minggu jika tidak berbulan lamanya. Kesan banjir yang selalunya mengesankan. Menjijikkan. Memualkan. Bau dan pemandangan yang bercampur baur. Pengalaman yang jarang berlaku kecuali di tempat-tempat yang masih terdedah kepada banjir.

Tiang-tiang rumah semakin lama semakin pendek. Rumah pula semakin rendah. Rumah-rumah kayu menjadi separuh konkrit. Akhirnya rumah diturunkan sama paras dengan tanah. Jika kita perhatikan terdapat perubahan dalam nilai hidup. Falsafah tentang rumah turut berubah. Rumah bukan lagi melindungi dari banjir. Bukan juga untuk melindingi dari ancaman haiwan liar bagi rumah-rumah yang berhampiran kawasan hutan. Bahan-bahan binaan semakin rencam. Pembangunan negara telah dapat mengurus sistem saliran dan pengairan. Banjir semakin dapat diurus dengan berkesan. Masih berlaku banjir di sana sini tetapi kekerapannya semakin sangat  berkurangan. Impaknya juga tidak lagi mendebarkan. Tidak lagi banyak mengancam. Berbagai langkah diambil untuk mengurangkan kesan negatif banjir. Pandangan orang Melayu tentang hal ini ialah kelegaan. Malangnya ianya menjadikan datangnya rasa leka dengan ancaman yang maasih boleh datang pada bila-bila masa. Negara Tropika seperti Malaysia tetap berlaku banjir. Allah yang menentukannya.

Rumah Melayu dahulu yang bertiang tinggi selalunya dialas dengan ompak. Letaknya di bawah tiang. Menjadi asas rumah. Kadang-kadang timbul kelihatan pada asas tiang. Kadang-kadang tenggelam jika tiang itu separuh konkrit. Yang lazim kelihatan ialah ompak yang bersegi empat. Berbentuk dua lapis. Asasnya lebih besar dari saiz alas yang sebenar. Orang Melayu suka membuat rumah di kawasan lembah. Budaya agaknya. Tanahnya lembut. Maka ompaknya perlu besar supaya dapat menyerap berat rumah. Banyak juga rumah dahulu yang ompaknya adalah tempayan kecil yang diterbalikkan. Tempayan kecil diistilahkan sebagai guri. Selain untuk menadah dan menyimpan air, guri digunakan sebagai ompak. Ditanam di dalam tanah. Separas permukaan tanah. Jika banyak tiang maka banyaklah guri yang diperlukan. Guri-guri ini sekarang harganya beratus ringgit. Banyak untuk hiasan, lanskap, di muzium dan sebagainya. Kira antik. Mungkin juga vintage.  Apabila bekalan guri semakin berkurangan dan apabila konkrit semakin meluas orang mula menggunakan ompak konkrit. Lagipun saiz dan bentuknya praktikal. Jika tidakpun lebih saintifik.

Lantai yang tinggi adalah suatu kebiasaan. Tetapi maaflah kadang-kadang menjadi sesuatu yang negatif kepada orang sekarang. Maaf sekali lagi kerana orang dahulu tidak begitu memikirkan tentang lanskap, kebersihan atau keceriaan. Rumah lebih kepada untuk perlindungan dari panas dan hujan. Juga untuk keselamatan dari haiwan liar dan buas. Ada hal yang kurang manis tentang rumah tinggi dahulu kala ini. Lantainya dipasang jarang-jarang. Jika lantai batang pinang lagilah jarang. Semakin kering semakin bertambah jarangnya. Perenggan ini agak sedikit tidak enak isinya untuk diceritakan. Apabila anak-anak buang air (besar atau kecil) senang sahaja urusannya. Najis hanya dibasuh dan pasti jatuh ke tanah di bawah. Bawah rumah jadi kotor? Tidak juga. Biasanya orang kampung memelihara ayam. Ayam pula makan apa sahaja yang boleh dimakan. Semua urusan bawah rumah beres. Kadang-kadang berebut-berebut ayam makan. Sekelip mata bawah rumah menjadi bersih kembali. Itu belum cerita muntah, sisa makanan dan apa sahaja yang boleh jatuh dari atas rumah. Tidak ada yang mengotorkan bawah rumah. Hal itu tidak berlaku lagi sekarang. Rumah sudah di paras tanah. Ayam sudah tidak banyak dipelihara.

Orang dahulu membuat rumah tiada pertimbangan saintifik. Orang Cina barangkali ada feng shui mereka. Orang Melayu ikut kebiasaan. Amalan ramai. Walau bagaimanapun yang selalu dilihat ialah tiada pintu rumah yang mengadap jalan masuk. Pintu rumah dilihat di sisi rumah. Di kiri atau di kanan. Saya amati bahawa pintu-pintu rumah lazimnhya mengadap matahari terbit. Banyak impaknya. Pada waktu petang ianya terlindung dari panas. Ada ruang legar di luar pintu. Ahli keluarna bersantai di situ. Redup petang yang menyamankan. Sementara menunggu waktu Maghrib. Mungkin juga diramaikan dengan jiran tetangga. Silaturrahim yang menebal di kalangan  sesama mereka. Pintu rumah di bahagian sisi dapat menghindarkan debu dan sampah apabila diterbangkan angin yang menerjah masuk dari arah jalan masuk. Rumah dahulu mungkin di tepi jalan. Tetapi kira-kira 100 meter dari jalan masuk. Apabila angin kuat bertiup debu dan sampah dibawa sama menuju dinding rumah. Jika pintu mengadap jalan maka kesemuanya masuk ke dalam rumah.

Kita selalu leka tehtan peranan rumah. Kita hanya ingat tentang keselamatan dan perlindungan. Cuba renungkan lagi. Sebagai orang Islam rumah kita berbeza dengan rumah orang lain. Rumah adalah tempat kita beribadat. Seluruh ruang di rumah kita adalah tempat ibadat. Hatta di bilik air kit abukan hanya membuang najis. Perbuatan itu kita lakukan kerana Allah. Kita mandi sunat dan wajib kerana Allah. Kita berwuduk keranan Allah. Sebab itu kebersihan adalah sebahagian dari iman. Maka apatah lagi ruang-ruang lain dalam rumah. Setiap sudutnya adalah tempat ibadat. Bukan hanya rumah yang nenyediakan ruang khas sahaja bahkan di mana-mana boleh melaksanakan ibadat. Di ruang tamu. Di ruang makan. Di bilik-bilik. Di teres. Di beranda. Di ana sahaja ada ruang. Dalam hal ini orang Islam sewajarnya tidak mengkompromi tentang status kebersihan, kesucian dan halal rumahnya. Lantainya dilalui dengan bersih dan suci. Dindingnya bersih dan suci. Karpetnya bersih dan suci. Tikarnya bersih dan suci. Sajadahnya bersih dan suci. Anak cucu wajib diasuh untuk mengekalkan kebersihan dan kescucian rumah. Kit aada masalah di sini. Apabila rumah bertiang tinggi menjadi rendah separas tanah amalan kebersihan seolah-olahnya terhapus.

Pada zaman dahulu di kaki tangga terdapat sebuah tempayan. Besar atau kecil bukan isu. Ada tempayan yang berisi air. Rata-rata orang kampung berkaki ayam. Sebelum naik ke rumah mereka membasuh kaki dahulu. Manalah tahu ada najis. Setidak-tidaknya comot dan jika tidak dibasuh bersih boleh mengotorkan lantai rumah. Mungkin terpalit pula pada pakaian. Sekarang tempayan sebegitu tidak ada lagi. Paip air juga tidak berhampian dengan tangga. Andaiannya semua orang memakai alas kaki. Benar! Yang datang bertandang memakai kasut. Yang bertamu berselipar. Yang berkunjung bercapal. Malangnya orang yang dari dalam rumah memijak tanah tanpa alas kaki. Ramai orang mengambil mudah. Keluar rumah pijak tanah. Masuk semula memijak karpet. Memijak lantai. Memijak tikar. Sekali tidak nampak kotornya. Tidak kelihatan najisnya. Tidak menjejaskan kebersihan dan kesuciannya.  Saya biasa ke rumah orang yang apabila masuk sahaja kaki terasa kasarnya lantai. Kesatnya karpet. Tapak kaki merasakan kotor dan ketidakselesaan memijaknya.

Anak-anak sewajarnya dilatih untuk memakai selipar apabila memijak tanah. Keluar sahaja dari pintu rumah cari dulu selipar. Gunakan selipar itu apabila keluar dari kawasan rumah. Jangan pijak tanah atau rumput tanpa membasuhnya sebelum masuk ke dalam rumah. Ibu dan bapa hendaklah mempastikan kepatuhan ini dituruti. Jangan pandang ringan. Saya ingatkan sekali lagi, rumah adalah tempat ibadat. Kerana itu rumah-rumah kini harus mengambil semangat ompak. Rumah konkrit seperti sekarang tidak perlu ompak. Tidak ada keperluannya lagi. Yang boleh dilakukan ialah meninggikan asas rumah. Apabila siap dibina ada anak tangga yang menuju ke pintu besar. Begitu juga ke pintu sisi atau pintu belakang. Seluruh rumah berada di atas ompak yang besar. Lebih tinggi dari tanah. Sekurang-kurangnya setengah meter jika tidak semeter tingginya. Ia mengelakkan orang dari tidak memakai kasut. Ia dapat juga mengelakkan debu dan sampah berterbangan ke dalam rumah. Itulah sebabnya rumah bukan sekadar untuk berlindung. Lebihkan peranan ibadatnya supaya rumah bukan pusara yang mati dan sunyi.



Ompak rumah lama berbentuk begini. Bahagian yang besar benar-benar di atas tanah. Yang kecil sesuai dengan besar tiang. Jika tanah tidak rata ketinggiannya boleh diubahsuai. Orang kampung bergotong royong membina rumah. Membetulkan rumah begitu juga. Malah mereka kadang-kadang memindahkan rumah dari satu tapak ke tapak yang lain. Mereka pikul ramai-ramai atau gerakkan menggunakan landasan kayu yang bersambung-sambung. Rumah dahulu tidak besar. Sebab itu mudah memindahkannya.



Tempayan ini dinamakan guri secara spesifik. Tidak besar dan tidak kecil. Bahagian bawahnya cukup untuk mengalas tiang. Guri yang terbalik dapat mengampu berat rumah pada tiang itu. Lagipun guri itu kembung di bahagian tengahnya. Berat rumah sukar memperosokkannya ke dalam tanah. lagipun rongga dalam guri menjadi pengampu berangin. Seperti sistem haidrolik.


Antara pasu ini saya beli dari seseorang yang kebetulan bangunan rumahnya tidak digunakan lagi. Guri ini digali dari dalam tanah. Rasanya saya bayar dengan RM10 sahaja. Nilainya sekarang mungkin RM300. Sudah sukar diperolehi. Hanya orang tua yang sangat tua sahaja menyimpan guri-guri seperti ini. Khususnya mereka yang tinggal di pinggir sungai.


Ini ompak moden. Bukan mengampu berat rumah. Sekadar hiasan sahaja. Ambil sempena warisan lama. Dua tingkat pula. bersalut dengan jubin. Bukan dia tas tanah tetapi di atas bata.