Lelaki adalah suami. Ada rezeki dia menjadi bapa. Peranannya menjadi bertambah. Dulu dia anak. Bila layak dia menjadi suami. Semakin bertambah usia peranannya bertambah menjadi bapa pula. Masihkah ingat Allah berdialog dengan malaikat,
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhny Aku hendak menajdikan seorang khalifah di bumi. (Al-Baqarah 2:30).
Allah mengesahkan bahawa manusia adalah khalifah. Ketua. Pemimpin. Orang yang di hadapan. Imam. Yang dituntut melindungi. Mengurus keadaan. Banyak perkara tertanggung di atas bahunya. Menjadi tanggungjawabnya. Lelaki bukan sekadar jantina. Gender. Suami bukan sekadar beristeri. Bapa bukan sekadar kerana berbinkan dia. Berbintikan dia. Sebagai pemimpin besar yang dilantik Allah yang namanya anak lelaki besar tanggungjwabnya untuk membahagiakan ibu bapanya. Sebagai suami lelaki dipertanggungjawabkan untuk membahagiakan isterinya. Mungkin isteri-isterinya. Sebagai bapa lelaki diamanahkan untuk membina insan berguna hingga anak-anaknya berupaya menjadi imam. Pemimpin-pemimpin besar untuk umatnya. Pemimpin akan datang. Zamannya.
Tidak ada yang mudah untuk menjadi anak. Lebih sukar menjadi suami kerana ada dua wanita yang perlu dibahagiakan. Lebih khusus seorang ibu yang perlu dibahagiakan selamanya. Seorang wanita lain yang bernama isteri yang perlukan perlindungan. Yang mendambakan kebahagiaan. Yang bergantung hidup kepadanya di dunia dan insyaAllah akan bersama memadu bahagia di akhirat. Hidup bersama dan matinya bersama. Bahagia di dunia dan bahagia di akhirat. Betapa indahnya hidup yang dibahagiakan oleh orang yang bernama suami. Lelaki harapan yang namanya khalifah. Pemimpin yang secara lumrahnya bernama imam. Di hadapan dan selalu didahulukan. Tempat bergantung harap untuk meneruskan segala keindahan hidup berumahtangga. Membina mawaddah.
Menjadi anak selalunya diajar dari buaian hinggalah boleh berdikari. Disuap dan dipimpin. Ditatih dan ditatang. Diagah dan ditimang. Rangkaknya dinanti. Jalannya diperhati. Larinya dilatih tubi. Besarnya diharap-harap menjadi. Manusia pilihan yang menjanjikan segala pengertian. Hidupnya bebas dari menyusahkan. Menebarkan kesejahteraan kepada mereka yang dikasihi. Yang berada di sekelilingnya. Dengan pendidikan dan pelajaran mindanya berkembang. Belajar untuk mengerti. Memahami apa yang perlu. Kerana hidup banyak liku dan persimpangannya, anak lelaki kecil itu membesar untuk pandai memilih yang mana baik dan yang mana tidak. Yang hak dan yang batil. Yang benar dan yang salah. Pilihan itu sepatutnya lumrah bagi yang telah belajar. Yang telah diiktiraf pandai. Yang telah diuji dan dinilai tinggi. Bila dia cukup besar ibu bapa melepaskannya perlahan-lahan meneroka alam luas. Menerobos ruang-ruang hidup untuk mengenal dunia yang penuh pancaroba. Perlahan-lahan menapak untuk mengerti erti hidup. Menjalani hidup tanpa lagi tali dan tangan ibu bapa. Telah dibebaskan untuk menjadi anak lelaki. Supaya jauh langkahnya. Supaya panjang akalnya. Supaya jauh terbangnya. Merantau minda. Merantau akalnya.
Menjadi suami meletakkan lelaki berada di tahap kedua. Tahap yang lebih tinggi tentulah menuntut sesuatu yang lebih besar. Yang lebih gah. Yang lebih mengangkat martabat lelaki itu. Bahawa pada bahunya ada sesuatu yang wajib digalas. Yang wajib disempurnakan tanpa kecuali. Tanpa syarat. Suami itu telah menerima tanggungjawab secara syara’. Mengikut syariat. Kerana Allah yang menciptakan. AnugerahNya yang sentiasa merahmati. Sebagai suami bukan tugas kosong tanpa penanggungjawapan. Isteri bukan untuk dikuasai. Di bahu suami ada tanggungjawab nafkah zahir dan batin. Makan minum yang selayaknya. Yang berkhasiat dan bermanfaat. Halalan toyyibah. Bukan sebarangan. Bukan asal kenyang. Kualitinya menasabah. Kauntitinya mencukupi. Tidak pernah terputus. Mengenyangkan dan menyihatkan. Memberi tenaga untuk meneruskan hidup. Dari tubuh isteri yang sihat nanti lahir anak-anak yang menjadi imam. Zuriat yang panjang salsilahnya. Semuanya memberi impak positif.
Isteri perlukan perlindungan dari panas dan hujan. Dari angin dan asap. Dari debu dan kotoran. Isteri perlukan tempat tinggal yang menasabah. Yang mendamaikan. Yang membahagiakan. Cukup besar dan selesa untuk meluaskan minda dan pemikiran. Melenyapkan kejumudan minda. Pakaian yang selesa dan menyegarkan minda. Warna dan warni yang mengamit kasih. Yang memberikan ketenangan. Ketika itu suami bukan lagi anak kecil. Sakunya perlu diisi sendiri. Makannya perlu diusahakan sendiri. Tangan ibu bapanya tidak perlu menghulur lagi. Dayuslah jika sesudah menjadi suami masih bergantung kepada ibu bapa. Masih merengek meminta wang saku. Dewasa yang tidak mematangkan diri. Ibu bapa yang sepatutnya yang sudah boleh bergantung harap kepada anak. Yang membahagiakan ibu bapa. Memikul tanggungjawab yang bukan mudah. Yang sentiasa berat dan sarat. Dari Timur ke Barat semuanya perlukan kudrat. Tidak boleh ditolak kerana itu telah ditentukan Allah. Fitrahnya lelaki menjadi suami. Menjadi bapa.
Bila beristeri hendaklah memahami tanggungjawab wajibnya. Jangan sekali terlepas pandang. Wajib dilaksanakan yang hak. Dosa dan murka Allah jika gagal menyempurnakannya. Menjadi khalifah mestilah dengan peranan dan tanggungjawabnya. Bukan ganjarannya di dunia sahaja. Ingat implikasi akhiratnya. Jika baru hendak menjadi bapa bersedialah dengan rezeki yang sepatutnya bertambah. Keperluan keluarga yang sepatutnya bertambah. Tugas yang semakin bertambah. Sikap santai sudah sepatutnya lama dibuang. Maju ke hadapan untuk mengejar kecemerlangan. Keindahan menjadi bapa akan berkilau memancar. Belajar mengurus perubahan yang datang dari tahap ke tahap. Tidak boleh leka dengan khayalan-khayalan lama. Yang ada di hadapan ialah realiti yang pasti terjadi dengan izin Allah. Jika tidak bersedia maka semuanya akan tertanggung ke atas bahu pasangan. Tugas berdua yang dibebankan kepada seorang sahaja. Keadilan yang dipincangkan jadinya.
Suami bukan sekadar title. Bukan label. Bukan pangkat. Bukan nama. Bukan dan bukan. Suami adalah ketua keluarga. Imam waktu solat dan pemimpin sewaktu di luar solat. Dalam tugas rasmi. Dalam hal-hal harian. Dalam masyarakat. Tanggungjawab itu disertai dengan hal-hal lain yang berkaitan. Di sinilah lelaki yang menjadi suami kena belajar. Mencari ilmu. Memantapkan diri. Selain input agama yang memang hak, mantapkanlah ekonomi. Bekerja yang setaraf dengan kelayakan. Untuk memberi nafkah yang selayaknya kepada isteri atau pasangan yang lain. Memberi nafkah itu wajib. Tanggungjawab asas. Ukuran hidup bermasyarakat. Wajah-wajah kejayaan diukur dari segi ekonomi. Supaya dapat menyumbang dalam bentuk nafkah. Dalam bentuk zakat. Sedekah. Derma. Sumbangan. Kemampuan seperti itu menjana umat yang cemerlang. Setiap orang menyumbang. Sedikit atau banyak bukan isu. Rezeki masing-masing yang diusahakan. Bukan yang ditunggu-tunggu sahaja. Tidak mungkin ada rezeki tanpa usaha. Perkara asas yang perlu diketahui. Semakin dijangka bahawa keperluan akan meningkat semakin ligatlah berfikir dan berusaha. Mencari lebihan. Mengumpul dana. Bersedia untuk kemungkinan yang sudah pasti tiba.