Sesiapa yang pernah
merantau dapat merasa nikmat di perantauan. Pada masa yang sama ada rasa hiba
dan sayu apabila menjelang sesuatu masa yang tertentu. Antaranya yang paling
menyentuh perasaan ialah hari raya idilfitri. Keduanya barangkali ketika
saudara mara megadakan kenduri kendara khususnya kenduri kahwin. Terasa sayu
jika tidak dapat hadir bersama. Ketika itulah dapat bertemu dengan ibu dan bapa
saudara, sepupu dan sahabat handai yang kekal di kampung. Bila berjumpa ada
sahaja kelainannya. Yang gempal sudah nampak tulangnya. Yang berambut hitam
sudah banyak ubannya. Yang senyumnya dahulu cukup menawan, sekarang banyak
giginya yang terlopong. Yang gagah menjadi lemah. Yang bertenaga semakin
lambat. Suatu manifestasi masa yang semakin berlalu jauh meninggalkan kita
semua. Masa tetap berlalu tanpa kita sedari. Hanya yang arif sahaja mengerti
pentingnya masa. Masa merubah tempat. Merubah keadaan. Merubah fizikal. Merubah
bentuk rupa. Merubah sesuatu dari lain kepada yang lain.
Apaila kita
berpisah kita membawa rakaman minda akan sesuatu yang kita tinggalkan. Apabila
kita kembali bertemu kita perasaan ada kelainan pada orang-orang yang dahulunya
pernah bertentang mata dengan kita. Mungkin reaksinya berlainan. Mungkin
interaksinya berlainan. Mungkin sekarang ini teknologi mendekatkan kita dengan
orang-orang yang selalu bersama kita. Seolah-olah teknologi membantu kita
mengenalpasti apa sahaja perubahan yang berlaku kepada orang-orang di sekeliling
kita. Pada hakikatnya bukan teknologi yang memberitahu kita tentang sesuatu
perubahan. Teknologi hanya membantu kita mengenal tanda-tanda perubahan. Yang
lebih penting sebenarnya ialah apa yang kita lakukan sepanjang masa. Apa pengisian yang kita lakukan terhadap diri
kita dari masa ke semasa. Atau sepanjang masa. Andainya kita menambahbaik diri
kita sepanjang masa maka perpisahan yang singkat sekalipun dapat mengesan
perubahan yang berlaku pada diri kita.
Dari jauh orang
melihat penampilan kita. Dahulu mungkin tidak begitu perihatin. Sekarang lebih
perihatin tentang rekabentuk pakaian. Warna dan padanan warnanya. Kekemasan
pemakaiannya. Jenis kain yang sesuai dengan suhu, cuaca dan iklim. Lebih sedap
mata memandang. Menarik bila diperhati. Pakaian bukan sekadar membaluti tubuh
badan. Ada makna dan ada mesej yang dibawa oleh pakaian yang kita pakai.
Lihatlah pakaian seseorang, anda akan cuba membaca apa yang tersirat. Sebab itu
isteri-isteri lebih perasan dengan perubahan suaminya. Lebih kemas nampaknya?
Minyak wanginya bertambah harum. Rambut tidak pernah berserabut lagi. Baju yang
terbaik. Kasut berkilat selalu. Jaga baik-baik. Sama ada dia sedang berusaha
untuk naik pangkat atau dia sedang berusaha untuk menambah usaha lain. Tetapi
jika selamanya suami memang berpakaian yang terbaik maka isteri tidak akan
mengesyaki apa-apa kerana tiada apa-apa perubahan. Sebab itu sebarang perubahan
hendaklah dalam makluman pasangan masing-masing. Memelihara keharmonian
rumahrangga.
Suatu ketika kita
ke rumah seorang sahabat. Aduhai rumahnya seperti kapal pecah. Berserak tidak
tentu hala. Kita yang bertamu serba salah. Di mana hendak dukuk. Kusyen tidak
di tempatnya. Barang mainan di serata tempat. Kain basuhan yang hendak disidai
dan yang baru diangkat dari sidaian bercampur baur. TV terpekik terlolong.
Radio pula membingit. Tidak cukup dengan itu mesin basuh sedang mengaum.
Apabila sahabat anda menyambut anda di ambang pintu boleh anda bayangkan
reaksinya. Orang jenis pertama karakternya tidak kisah. Duduklah mana-mana
ruang kosong, katanya. Rumah saya memang
begini setiap masa. Selamba dia memaklumkan keadaan rumahnya. Orang kedua
mungkin kelamkabut cuba berkemas kerana menghormati tetamu yang datang. Ada
rasa bersalah. Nampak kekalutan pada dirinya. Mungkin juga merah padam mukanya.
Mari kita buat penilaian. Orang pertama sudah terbiasa dengan keadaan yang
tidak teratur. Begitu juga dia mendidik anak. Tidak pernah dididik supaya
teratur. Supaya berkemas. Supaya kelihatan tersusun. Dia tidak berasa bersalah
langsung. Semua dianggap biasa-biasa sahaja. Tiada hal baginya.
Orang kedua pula
sedikit berbeza. Dia sukakan yang terbaik. Suka yang teratur. Suka yang
tersusun. Susun yang teratur. Dia suka kemas. Kekemasan menjadi kesukaannya.
Malangnya orang kedua tidak tahu caranya. Tidak tahu kaedahnya. Tidak tahu
sistemnya. Dia tidak tahu dari mana hendak mula. Bagaimana kita hendak membantu
orang pertama. Dia perlu disekolahkan. Maksudnya dia perlukan manhaj supaya
terdidik tentang kekemasan. Perlahan-lahan. Orang kedua pula perlu diberi
panduan. Diberi bimbingan. Minatnya sudah ada. Dia tercari-cari kaedah untuk
melaksanakan yang terbaik untuk keluarganya. Mesej ini juga untuk sesiapa
sahaja yang berminat tentang kebersihan. Kekemasan. Susunatur. Kecantikan
rumahtangganya. Fikirkan situasi di hadapan tetamu di atas tadi:
1
Kebersihan,
kecantikan, susunan dan kekemasan adalah ibadat. Ada pahala dan dosa di situ.
2
Ianya
imej diri. Orang akan melihat diri kita
dari atas ke bawah. Betulkah ketidak selarian antara orangnya dengan kekalutan
rumahnya
3
Ianya
maruah diri. Nama kita seolah-olah cemar kepada orang lain. Apatah lagi jika
kita orang penting, orang besar, orang ternama atau orang-orang yang pada
adatnya dikira dihormati orang lain seperti imam, guru, ustaz dan ustazah.
Oleh itu isu
kebersihan dan kekemasan ini perlu diambilkira dengan sewajarnya. Ianya harus
menjadi budaya orang-orang yang berbudaya. Cultured.
Bertamadun.
1
Didik
pasangan supaya boleh berkemas, menyusunatur, mencantikkan ruang. Ada idea
tentang hiasan dalaman.
2
Didik
anak supaya boleh membuang sampah dengan betul. Berkemas selepas bermain. Atau
selepas mebuat sesuatu kerja. Selepas membuat kerja rumah umpamanya.
3
Didik
keluarga supaya boleh menyusun kasut di luar rumah dan kasut di dalam rumah.
4
Didik
ahli keluarga supaya dapat mengasingkan antara pakaian bersih dan pakaian
kotor. Asingkan pakaian yang kendak dibasuh dan pakaian yang hendak dilipat.
Asingkan bakul pakaian kotor dan bakul pakaian bersih.
5
Urus
sampah supaya tidak bersepah. Buang ikut jadual. Lupuskan ikut jadual.
6
Asingkan
secara khusus tempat anak bermain. Sepah di situ dan didik supaya berkemas
selepas bermain.
7
Ruang
tamu adalah ruang pertama yang dijengah tetamu. Pastikan ruang tamu sentiasa
kemas dan teratur. Saya ulang, sentiasa dan sentiasa kemas dan teratur.
8
Bilik
air adalah antara ruang yang selalu juga dijenguk oleh tetamu. Pastikan
keadaannya teratur. Lantainya tidak berlumut. Dindingnya tidak berlumut.
Mangkuk tandasnya tidak berklorin kuning dan cokelat. Baldi dan besen diatur kemas.
9
Pakaian
terpakai jangan ditinggalkan di dalam bilik air terutamanya coli, seluar dalam
dan yang nampak koyak dan buruk. Maruah diri dan keluarga.
10
Pastikan
selepas setiap kali membuang air jirus mangkuk tandas. Hingga bersih
sebersihnya. Jangan sekali-kali tertinggal sisa najis di mana-mana.
11
Didik
ahli keluarga supaya mempastikan bilik tidur teratur sentiasa. Jangan tidur di
atas katil pada waktu siang kecuali kembalikan kekemasannya selepas bangkit
dari tidur.
12
Jangan
benarkan anak-anak bermain di atas katil. Pantang sekali-kali. Kotor. Renyuk.
Mungkin kaki anak-anak cemar dengan najis dan sebagainya. Jangan pula duduk di
atas bantal. Pada malamnya ibu bapa
tidur di atas bantal itu.
13
Dapur
sentiasa teratur. Semua perkakas di tempatnya. Periuk dan belanga selalu dikilatkan.
Putih dan bersih. Perkakas seramik yang retak dan sumpik hendaklah dibuang.
Banyak bakteria berhimpun di celah rekahan. Yang sumpik berkait dengan maruah
juga.
Banyak lagi jika
kita hendakkan yang terbaik untuk diri kita dan keluarga kita. Kesemuanya bukan
untuk dipelajari dalam sehari. Amalkan sedikit semi sedikit. Ianya pembelajaran
sepanjang hayat. Buatlah yang terbaik. Saya yakin harga diri kita akan
meningkat melalui pembelajaran kendiri. Maruah akan terjaga. Imej akan naik. Orang
melihat diri kita. Bukan kita yang melihat diri kita sendiri. Selalu-selalulah
belajar untuk melihat dari kacamata orang lain. Objeknya ialah diri kita
sendiri.