Wednesday, November 19, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Melapah Gajah Di Selaput Mata



Manusia selalu berperang antara akal dan nafsunya. Beruntunglah mereka yang akalnya panjang. Yang selalu memberi manfaat. Tajam berfikir. Pantas dan pro-aktif. Jarang berada di dalam kotaknya sendiri. Namun begitu terlalu ramai antara kita yang sebaliknya. Nafsunya melindungi akalnya. Akalnya menjadi pendek, beku, jumud dan tidak relevan dengan keadaan sekelilingnya. Apabila nafsu menguasai akal, kita akan selalu menggunakan teleskop besar untuk melihat yang jauh tetapi tidak pula menggunakan teleskop itu untuk melihat yang dekat. Kepada yang arif teleskop memang membesarkan yang jauh dan kecil tetapi dimaklumi bahawa yang dilihat itu sebenarnya memang sangat-sangat kecil. Halus dan seni. Tidak terlihat dengan mata kasar. Mereka juga menjadi pakar menggunakan teleskop. Mempelajarinya dari awal teori sehingga menjadi pakar mengenainya. Sepanjang menggunakan teleskop itu ia maklum tentang apa yang dikalukannya. Kerjanya ialah membesarkan yang kecil. Mengkaji yang kecil kerana yang kecil-kecil itulah namanya bakteria, kuman, virus dan sebagainya. Sains perubatan mengenalpastinya sebagai antara punca penyakit dan kematian.

Pakar-pakar yang sedemikian maklum bahawa kerjanya berakhir dengan mencipta antidote untuk merawat penyakit. Mereka yang pakar selalu menggunakan alat khusus yang dicipta khusus untuk melaksanakan tanggungjawab memberi manfaat kepada manusia dan makhluk lain yang memerlukan. Ia mengambil risiko yang besar dan merbahaya dalam misinya menjayakan penerokaannya. Kadang-kadang kejayaan itu bukan dinikmatinya. Pengganti dan mereka yang selepasnya yang memanfaatkan hasil kerjanya. Bukan sahaja merawat penyakit bahkan membuka ruang-ruang kebaikan yang lain. Penyelidikan lain. Manfaat lain. Benarlah apabila kita melalui sesuatu lorong maka akan ada lorong lain dan simpang lain. Destinasinya berbeza mengikut tahap yang dikehendaki.

Kita sebenarnya memiliki banyak kepakaran lain yang juga menggunakan teleskop dan teropong. Tetapi mereka tidak menggunakan peralatan yang canggih. Malah tidak menggunakan  apa-apa alatpun. Mereka hanya menggunakan mata kasar dan nafsu yang ditaja ghairahnya. Dengan mata kasar mereka juga melihat yang jauh dan yang kecil-kecil. Lalu mereka besar-besarkan. Malangnya mereka tidak maklum bahawa yang mereka lihat sebenarnya pada hakikatnya adalah terlalu kecil. Terlalu seni. Tidak berbahaya seperti kuman atau bakteria atau virus. Ia hanya sesuatu yang kecil milik orang lain yang selalunya tidak memberi mudarat. Tidak merebakkan penyakit. Tidak mencipta wabak. Yang kecil-kecil itu milik orang baik-baik. Mereka yang memberi manfaat. Yang selalu membantu orang lain.

Setiap kali kita melihat cermin, cuba pandang cermin itu lebih lama dari biasa. Apa yang kita lihat dalam cermin itu. Adakah ianya seperti diri kita yang sebenarnya. Perhatikan cermin itu. Adakah ianya kotor, comot, kusam, kelabu atau penuh dengan debu. Lekatan-lekatan itu pastinya mengganggu kebersihan cermin. Maka yang kita lihat ialah diri kita yang kotor, comot, kusam, kelabu dan samar-samar sahaja. Ada bahagian diri kita yang terlindung dari pandangan mata kasar kita. Nah! Kenapa tidak diambil teleskop atau teropong untuk melihat bahagian yang terlindung tersebut. Kita tidak mampu melakukannya selagi gajah besar berekor-ekor banyaknya berada di selaput mata kita. Kita menggunakan belalai gajah untuk melihat yang jauh dan kecil tetapi kita dengan sengaja tidak mahu melihat gajah di selaput mata kita.

Sebuah hadith menyarankan bahawa kita hanya diberi hak untuk iri dalam dua perkara sahaja. Hanya dua perkara sahaja. Iri yang sangat positit bukan negatif.

1                    Iri terhadap  orang lain yang kaya tetapi membelanjakan hartanya ke jalan Allah. Sangat banyak infaqnya. Membayar zakat, memberi derma, menyampaikan sedekah, membantu yang memerlukan. Bukan untuk dirinya tetapi untuk mereka yang berada di sekelilingnya. Untuk Allah yang menciptanya.
2                    Iri terhadap orang lain yang berilmu lalu ilmu itu digunakan untuk memberi manfaatkan kepada orang lain. Menyampaikan ilmunya kepada orang lain. Mengajar, berkongsi ilmu dan berkongsi pengalaman.

Malangnya ramai antara kita yang cermin dirinya kotor, comot, pudar, kusam dan penuh dengan debu. Tidak dapat melihat dirinya sendiri tetapi meninjau-ninjau kotoran orang lain. Comot orang lain. Kusam orang lain. Kumal orang lain. Miskin orang lain. Segala keburukan orang lain dilihat dan dinilai walaupun tiada langsung keperluannya. Selalu kedapatan yang jauh dan kecil itu lebih baik. Lebih bermanfaat. Pada hakikatnya yang dekat di mata hanya bangkai gajah yang sedia berbau. Orang lain menghidu baunya. Ke mana pergi bau itu yang dibawa. Anehnya mereka yang selaput matanya dipenuhi gajah mempunyai sifat-sifat yang dilakonkan sebagai baik.

1                    Apa yang dikatanya tidak, itulah yang dilakukannya.
2                    Apa yang disebut positif tentang dirinya sebenarnya negatif. Kata peribahasa menanam tebu hanya di bibir mulut sahaja.
3                    Keburukan orang lain sebenarnya kebaikan yang dicemburuinya. Keburukan itu adalah dirinya sendiri.
4                    Ia suka mencela orang lain sebagai tidak baik. Celaan itu kembali kepada dirinya sendiri.
5                    Ia menagih penghormatan dari orang lain sedangkan penghormatan bukan diminta tetapi datang sendiri kepada yang berhak mendapatnya. Yang layak sahaja mendapat penghormatan. Tidak boleh dibeli. Tidak boleh diperniagakan.
6                    Pangkat adalah tanggungjawab berat yang wajib disempurnakan bukan untuk dijadikan alat untuk tidak telus, tidak adil dan bukan pula untuk memilih bulu.
7                    Kedudukan hanya sementara. Kesemuanya bukan milik kita tetapi milik Allah secara mutlak. Apabila kedudukan itu ditarik balik yang tinggal ialah diri kita seperti cermin yang tidak bersih. Dilihat sekali tetapi bukan dua kali. Itu pun hanya jika sangat perlu. Orang akan mencari cermin lain yang lebih bersih dan mudah dicari.

Sewaktu kita sihat, beringatlah. Penyakit boleh datang secara tiba-tiba.
Sewaktu kita senang, beringatlah. Kesusahan Allah datangkan sekelip mata.
Sewaktu banyak rezeki, beringatkah. Cukup waktunya Allah tarik.
Sewaktu diri kita baik, beringatlah. Orang lain perlukan kebaikan kita;

Usia kita tidak panjang. Senang kita tidak selama-lamanya. Pandai kita tidak seberapa. Kaya kita tidak juga apa-apa. Pangkat, kedudukan dan status hanya terlalu sementara. Sampai masanya kesemuanya akan hilang sekelip mata. Allah tamatkan pada ketikanya. Ramai orang yang kehilangan banyak perkara tetapi dirinya semakin bernilai. Mereka yang selalu menjaga akhlaknya dihormati hingga bila-bila. Mereka yang berbuat baik, mendapat balasan baik di dunia dan di akhirat. Mereka yang menjalin silaturrahim, diingat orang lain pada masa ia tidak memiliki apa-apa. Hatta setelah usianya tiada. Betapa ada orang yang:

1                    Diingat sewaktu tuanya.
2                    Disebut kebaikannya setelah tiadanya.
3                    Diingat budi baiknya sepanjang zaman.


Alangkah baiknya jika kita buang gajah yang banyak di selaput mata kita. Buang jauh-jauh supaya kita sendiri nampak besarnya gajah yang ada pada diri kita. Yang selama ini kita tidak melihatnya kerana kita sibuk melihat yang jauh dan yang kecil pada diri orang lain. Sebelum melihat jauh, lihat gajah kita dahulu. Lihat besarnya bahawa ianya sangat hampir dengan diri kita. Buang gajah itu supaya pandangan kita jelas. Melihat yang hak. Menikmati yang hak. Selagi gajah di selaput mata selagi itulah kita hanya mencari keburukan orang lain walaupun sebenarnya keburukan itu terlalu kecil berbanding dengan keburukan diri kita yang besar seperti gajah.