Friday, July 2, 2010

Masa Dulu-Dulu: Bahagian Kedua Puluh Sembilan - Bab Tiga

Menjadi mahasitua bukan satu kerja yang senang. Terlalu banyak payahnya. masa dulu-dulu itu ramai guru yang melanjutkan pelajaran. Tumpuan utamanya tentulah UM. Sementelahan pula ramai antara mereka mengikuti Pengajian Melayu dan Sejarah. Tetapi cerita mereka penuh derita dan siksa. Apa yang saya alami masih boleh diterima akal sedangkan yang mereka alami jauh lebih perit lagi.

Jika hendak dikira, bukan guru-guru yang menjadi mahasitua sahaja yang perit hidupnya. Anak-anak muda yang memang mahasiswa juga tidak kurang azabnya. Beberapa kisah yang akan saya paparkan mungkin mustahil boleh dilalui lagi oleh mahasiswa masa kini. Tidak mungkin, tidak mungkin. Suatu pengalaman yang hanya boleh dilalui oleh orang dulu-dulu sahaja.

Sekumpulan pelajar selalu sangat meminta garam dari beberapa orang gadis yang menyewa di tingkat atas rumah sewa mereka. Pada mulanya gadis-gadis itu tidak mengesyaki apa-apa. Mereka bersangka baik. Tetapi setelah beberapa lama, mereka tertanya-tanya. Apa sebenarnya yang menyebabkan mereka selalu meminta garam. Pada fikiran mereka garam terlalu murah. Takkan tak mampu beli. Hanya beberapa sen sekilo. Rasa ingin tahu mereka sudah tidak boleh ditahan lagi. Bagai hendak meletup dada mereka untuk bertanyakan hal itu.

Suatu hari, pada saat yang sarat dengan rasa ragu mereka bertanya juga. "Apa sebenarnya guna garam tu." Tanya seorang dari gadis itu. "Kakak bukan tak hendak beri garam tu. Mintaklah bila hendak. Cuma kakak nak tau. Buat apa garam tu. Itu sahaja." Lama palajar itu terdiam. Antara malu dengan jujur. Antara telus dan kabur. Antara terang dan gelap. Antara berterusterang atau diam.

Suspen kakak-kakak tu menanti jawapan. Entah ada jawapannya atau tidak. Lama antara mereka bungkam. Yang bertanya menanti jawapan. Yang ditanya terkulat-kulat hendak menjawab. Terperasan bahawa pelajar itu basah pipinya. "Macam ni kak. Kami selalu minta garam untuk merebus daun ubi." "Daun ubi buat apa?" tanya gadis. "Untuk lauk kami makan." Terurai semua yang terbuku. Terurai kepada yang ingin tahu. Terurai oleh pelajar yang menyimpan rahsia hati.

"Kami tinggal bertiga. Wang kami hanya cukup untuk membayar yuran, sewa rumah, beli beras, beli minyak motor. Kami hanya makan nasi berlaukkan daun ubi rebus." Sebak dada gadis-gadis itu mendengar jawapan. "Kami perlu belajar. Kami perlu tempat tinggal. Kami perlu kenderaan. Motorsikal tupun kami gunakan bergilir-gilir. Untuk kuliah dan ke perpustakaan. Mulanya kami makan sahaja daun ubi hambar tanpa garam tu. Lama kelamaan tak larat nak makan lagi. Tu yang kami mingta garam tu. Maaflah kak. Garampun kami tak mampu nak beli. Benar kak, kami tak mampu." " Mana dapat daun ubi tu? Beli kat mana?" Tanya lagi gadis itu. "Daun ubi kami dapat percuma dari Kampung Abdullah Hukum. Kat tepi rel keretapi tu. Kami kutip bila ada kelapangan. Itulah lauk kesayangan kami." Jawab mereka.

Lama gadis dan pelajar itu terkaku diam. Masing-masing terkedu dan tersendu menahan gelora. Yang gadis gelora kasihan. Yang pelajar gelora nasib diri yang terlalu daif. Terlalu miskin. Terlalu papa sebagai mahasiswa. Yang gah di luar tetapi derita di dalam. Air mata masing-masing deras mengalir. Membasahi derita muda yang harus dilalui sebagai bekal mengembara zaman. Untuk cerita lisan kepada anak cucu.

(Bagi mereka yang muda Kampung Abdullah Hukum mungkin sudah tiada dalam kamus lagi. Sudah hilang ditelan pembangunan kuala Lumpur. Kalau nak tahu, lokasinya antara Jalan Bangsar dan dan Kompleks Mid Valley.)

Itulah satu daripada banyak episod payahnya hendak menjadi graduan sebuah menara gading. Ibu bapa hanya menanti anaknya menjawat jawatan tinggi. Ada yang menanti bakal menantu berjawatan tinggi. Ada rakan iri hati kerana pangkatnya besar dan gajinya lebih tinggi. Ada masyarakat yang menyanjung tinggi. Hakikatnya ialah semua itu bersalut dengan kepayahan, siksa penderitaan, air mata dan keringat. Sakit dan jerih. Perit dan kadang-kadang penuh dengan penghinaan.

Atas nama ilmu. Atas nama cintakan ilmu. Atas nama untuk menjadi pandai. Menjadi intelek. Untuk mengeluarkan diri dan keluarga dari vicious circle kemiskinan tradisi turun temurun. Semua kepayahan itu diharungi. Akan nanti menjadi bekal supaya tidak lupakan diri. Supaya tidak lupakan asal usul. Supaya sentiasa berpijak di bumi nyata. Itulah hakikat. Hakikat sebuah perjuangan. Riwayat hidup mati yang panjang kisahnya. Demi survival dan kelangsungan hidup.

(Antara gadis-gadis dalam episod ini adalah adik ipar saya sendiri).