Thursday, October 30, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Pertemuan Dua Laut di Dumyat






Petang itu Sabtu 4 Oktober 2014 bersamaan 10 Zolhijjah 1345 kami jejaki Dumyat. Di katakan antara tempat-tempat yang tercatat sejarahnya dalam al-Quran. Tepatnya dalam surah al-Kahfi. Tempat berlakunya pertemuan dua laut. Tempat Nabi Musa dan Nibi Khidir bertemu sebelum mereka memulakan perjalanan menguji kebijaksanaan. Dumyat dipercayai tempat pertemuan itu. Di Dumyat ini tempat berlakunya pertemuan antara muara Sungai Nil yang mengalir masuk ke Laut Mediterranean. Mengalir dua warna air. Yang satu jernih warna air sungai sementara yang satu lagi warna biru air laut. Penulis sarankan pembaca baca surah al-Kahfi bersama terjemahan dan tafsirannya. Dari sinilah kembara kedua-dua orang nabi itu. Nabi Musa akhirnya mendapati bahawa Nabi Khidir memiliki kebijaksanaan luar biasa yang tidak dimilikinya. Demikianlah kita selalu diperlukan banyak tawaduknya. Banyak taqwanya. Sesungguhnya kebijaksanaan adalah milik Allah. Kebijaksanaan yang sedikit diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Terasa besar iktibar peristiwa pertemuan antara kedua Nabi Allah ini:

1                    Mendidik hendaklah dengan istiqamah dan penuh sabar.
2                    Belajar jug aperlu istiqamah dan penuh sabar. Jangan gopoh.
3                    Semasa belajar banyakkan mencatat. Banyakkan melihat.
4                    Banyakkan motivasi diri. Bertanya dahulu kepada diri sendiri.
5                    Dihujung waktu barulah bertanya, berhujjah, memberi cadangan, memberi input                     lain dan menerima sebaiknya apa yang diberikan oleh “guru”.

Dumyat terletak betul-betul di muara Sungai Nil. Pantainya seluas mata menandang. Ufuk bertaut dengan laut. Dari Matruh hingga ke Iskandariah. Lalu pembaca kembara ke Dumyat. Di sinilah baru sebenar-benarnya bertemu dengan tulisan mengenai nama Laut Mediterranean. Mediterranesan Sea. Disebut juga Laut Tengah, Laut Tenang atau Laut Putih kata orang Arab. Kami menjejakkan kaki di sini menjelang senja. Sudah agak remang-remang. Suhu bulan Oktober agak nyaman di tepi laut. Musim luruh. Pantainya landai. Sebuah dataran besar dan panjang dibina untuk pengunjung berlegar. Mungkin waktu tidak sesuai bagi kami yang terlewat sampai. Jika lebih awal pastinya dapat melihat warna air yang jelas bezanya antara dua kelompok air. Air sungai dan air laut.

Walaupun hari itu Eid al-Adha penulis dapati ramai juga pengunjungnya. Ramai menikmati keberadaan di pantai. Makan angin petang di pantai Laut Medierranean. Entahlah terasa Laut Mediterranean tersangat tenangnya. Mungkin kerana itu dinamakan Laut Tenang. Tiada ombak beralun. Tiada gelombang yang membadai pantai. Yang dilihat hanya kocakan kecil air berjajaran di atas air. Sedikit hempasan ke pantai. Tiada bunyi yang didengar. Hanya sedikit percikannya. Tenang setenangnya. Tranquility at its best. Pengunjung agak ramai tetapi suara mereka seperti tidak didengar kerana kawasan itu terlalu lapang. Semua suara dibawa ke laut. Ditelan air laut yang luas. Sudah beberapa kali penulis menikmati senja di tepi laut. Jika dahulu penulis menikmati terbitnya suria dari puncak Tursina, di Matruh dan di Dumyat penulis menikmati suria terbenam. Melabuhkan siang dan menjelmakan malam. Sangat indah bagi yang sedang berbulan madu. Berkasih dalam syahdu angin senja yang nyaman. Laut Mediterranean menjadi saksi yang abadi. Sepanjang zaman.

Mega berwarna jingga menjadi sesuatu yang menawan. Masuknya waktu solat Maghrib. Siang yang sinarnya beransur kelam menjelang malam. Kemudianya gelap memperlihatkan pula bulan dan bintang. Hari yang melengkaplan suatu perjalanannya. Dari siang hingga ke malam. Sesekali berkelana begini dapat menikmati keindahan ciptaan Allah tanpa gangguan tugas. Tanpa gangguan pepohon, bangunan, bukit dan gunung. Di pantai yang lapang luas itu mata melihat sendiri indahnya alam di waktu senja.  ﺑﺎﻃﻼ ﻫﺬﺍ ﻣﺎ ﺧﻠﻘﺖ ﺭﺑﻨﺎ. Semua ciptaan Allah tiada satupun yang sia-sia. Kita yang selalu mensia-siakannya. Tidak menikmati sesuatu yang bermanfaat. Yang sebenarnya indah. Yang banyak maknanya. Yang menggunakan neraca dan ukuran Allah. Ukuran manusia selalu banyak yang negatif. Tidak banyak disyukuri.

Kembara menjelajah di muka bumi Allah ini memberi peluang yang sangat banyak untuk kita muasabah diri. Peluang berada di sesuatu tempat adalah perancangan Allah supaya kita insaf bahawa ciptaannya terlalu banyak. Peluang melihat dengan secara peribadi adalah juga perancangan Allah. Semoga dengannya iman kita bertambah. Syukur kita bertambah. Tawaduk kita bertambah. Taqwa kita bertambah. Kita menjadi insan yang lebih menginsafi segala kekurangan pada dirinya. Kesemuanya milik Allah. Sedikit sangat yang dipinjamkan kepada kita. Terlalu sedikit. Hidup dan usia kita sementara. Pangkat dan kedudukan lagilah sementara relatif dengan usia. Akal kita juga terlalu sedikit. 


Selagi kita dalam golongan insan biasa tidak ada kelebihan yang signifikan berbanding dengan insan lainnya. Jika kita kaya ada mereka yang lebih kaya. Jika kita bijak ramai lagi mereka yang bijaksana. Jika kita rasa pangkat  kita tinggi ramai di luar sana yang pangkatnya lebih tinggi. Begitulah ukuran antara sesama insan. Ramai yang lebih tetapi ramai yang kurang. Malah lazimnya ramai yang kekurangan berbanding dengan mereka yang berkecukupan. Perbezaan bukan ukuran yang pasti. Ianya menjadi pengukur kepada lengkapnya kita bersama orang lain. Yang lebih memberi kepada yang kurang. Yang kurang bersyukur dengan pemberian itu. Berdoa supaya yang memberi lebih murah rezekinya. Lebih banyak memberinya pada masa yang lain. Insan menjadi lengkap melengkapi antara satu sama lainnya.

Menjelajah bumi anbia ini banyak memberi keinsafan. Padang pasir yang luas di negara Arab menjadi jalur perjalanan mereka. Di sini mereka melalui kehidupan yang jauh lebih mencabar berbanding dengan jika berada di negara lain. Musim sejuknya menggigit walaupun tiada salji yang turun memutih. Musim panasnya sangat terik kerana kesan padang pasir. Sesekali berlaku pula ribut pasir yang menggelapkan suasana. Debu halus yang berpasir adalah lumrah. Kotor debu bukan sesuatu yang asing. Bukan dianggap menyusahkan. Bagi mereka yang pernah tinggal di bumi anbia ini pengalamannya adalah tersendiri. Lain dari pengalaman di Eropah atau di Amerika atau di Jepun. Terhimpun di sini segala-galanya yang menjadi bermulanya insan anak Adam.


Penulis banyak belajar dari alam. Dari perjalanan hidup yang banyak lainnya dari di Malaysia. Perbezaan-perbezaan itu menjadikan penulis selalu insaf bahawa ada antara kita yang memiliki kelebihan secara relatif. Yang penting pengalaman itu menjadikan kita lebih mengerti pentingnya kemanusiaan. Semuanya sementara. Semasa berada di sini dan di mana-mana.

Sekarang sudah musim luruh. Banyak awan di langit. Betapa damainya menatap laut luas saujana mata memandang. Remang-remang senja yang menjana rindu.


Suasana redup di Dumyat kerana sudah menjelang senja. 


Ramai pengunjung berad adi sini. 


Sebahagian dari bandar Dumyat berhampiran muara Sungai Nil.


Dataran luas dan panjang untuk memudahkan laluan. Tiada pula gangguan kenderaan.



Penulis selalu tertarik dengan menara Masjid sama di Mesir atau di Jordan. Banyak persamaannya. Dilihat dari celah dua bangunan, menara ini sangat menarik. Kebetulan bulan hampir mengambang.


Batu tanda dalam Bahasa Arab menyatakan bahawa di sini adalah muara Sungai Nil. 




Bergambar di laluan ke tepi pantai.