Pada tahun 2009 Haji Abas menjejak kaki di Universiti Malaya, Kuala Lumpur bersama Hajjah Aminah. Mereka meraikan anak perempuannya Hajjah Maznah menerima Diploma Eksekutif Pengajian Syariah dan suaminya Haji Md Yusof menerima Diploma Eksekutif Pengajian Usuluddin. Di sebelah Haji Abas ialah sahabat penulis, Prof . Datuk Dr. Mansor bin Mat Isa, ketika itu Pengarah UMCCED (University Malaya Centre for Continuing Education).
Gambar pada 18 Oktober 2014. Haji Abas bersama anak sulong, anak bongsu dan seorang menantunya.
Bertarikh 18 Oktober 2014. Haji Abas bersama anak saudaranya Harun bin Adul.
Pada akhir tahun 2013 Hajh Abas dan Hajjah Aminah serta cucu dan cicit mereka menghantar pergi Hajjah Maznah dan suaminya Haji Md Yusof ke Mesir dalam misi mereka untuk rehlah ilmu. Kembara mereka ke bumi anbia untuk mempelajari Bahasa Arab dengan restu kedua-duanya.
Perjuangan kecil itulah yang menghimpun perjuangan
besar. Jihad insan-insan kerdil yang tidak punya nama. Tidak punya wajah. Dari
mereka hadir getaran dan gegaran zaman. Jika kita mencari nama, kita menemui
sosok tanpa wajah. Tidak diketahui. Tidak dikenal. Tidak ada aura kemilau
seperti mereka yang menggarap segar nama besar di persada negara. Kadang-kadang
bukan kelayakan ilmiah yang menggarap jaya. Mereka yang tiada apa-apa masih
lagi kebarangkaliannya menemui keindahan perjuangan. Sesungguhnya sesuatu perjuangan
itu bukan sesuatu yang banyak balasananya. Kadang-kadang tiada balasan pun yang
dapat dipegang dan diramas. Atau digenggam dengan tangan. Segala-galanya ditunaikan
dengan hati redha. Terbuka memberi dan bukan menerima. Tidak mengharap sebarang
titipan kerana yang penting adalah Bahtera Merdeka telah belayar pulang dari
Britain ke tanahair yang bernama Tanah Melayu. Yang sekarang bernama Malaysia.
Perjuangaan Haji Abas adalah himpunan denyut nadi insan
kerdil. Denyut itu jauh di luar bandar. Nun jauh dari jalan perhubungan kecuali
sungai. Jauh di pedalaman yang ketika itu berita hanya melalui radio. Hidup anak
watan seperti Haji Abas hanya cukup makan kebanyakannya. Tidak ada lain kecuali
bertani atau menjadi nelayan. Sebelum merdeka itulah senario daif umat Melayu
yang kebanyakannya berada di luar bandar. Hidup bahagia dalam kekurangan. Tidak
ramai yang menangis kerana dijajah. Tidak ramai yang menangis kerana kekayaan
harta negaranya diangkut oleh penjajah. Sangat ironis apabila tokoh sejarah
negara mengatakan negara ini tidak pernah dijajah. Kepada mereka British hanya mencari
kekayaan di negara ini dengan izin seluruh warganya. Tentulah tidak masuk akal
langsung. Namun itulah realiti pemikiran yang bercabang-cabang. Haji Abas tidak
mengerti bahawa perjuangan diperlekehkan orang sekarang. Oleh tokoh sejarah negaranya
sendiri.
Pada usia 100 Haji Abas sudah tidak seghairah dahulu. Tetapi
cerita Allahyarhan Tunku dan sampannya masih segar. Masih selalu mengujakannya.
Ia turut berjuang ketika itu. Perjuangan anak kampung yang akhirnya menyumbang
kepada kemerdekaan negara. Kepada Haji Abas perjuangan itu tanggungjawabnya. Tanggungjawab
anak watan yang digiring untuk menyatakan perasaannya. Untuk mengalirkan
keringatnya demi negara tercinta. Tidak pernah untuk dirinya. Tidak pernah
untuk perutnya yang dahulu selalu lapar. Tidak pernah untuk memewahkan diri. Ianya
semata-mata perjuangan demi perjuangan itu sendiri. Natijahnya perjuangan itu
adalah untuk anak-cucu-cicit warisannya. Mereka yang berhak untuk menerimanya. Haji
Abas memperjuangkan hak mereka. Dia hanya seorang pelakunya. Bukan pelakon. Watak-watak
kecil seorang anak desa.
Haji Abas tidak menanti apa-apa balasan.
Dia tidak menanti pujian dan sanjungan.
Dia tidak menanti lagu jaya berkemundang.
Dia tidak dahaga apa-apa penghormatan.
Dia tidak minta sesiapa pun mengingati perjuangannya
itu.
Bahawa perjuangan adalah suatu tanggungjawab. Haji Abas
tiada kelayakan akademik berbingkai emas. Tiada gulungan ijazah yang digenggam
sewaktu konvokasyen. Cuma ia belajar dari kehidupan. Dari pengalaman. Itulah sekolahnya
dari alam ini. Darinya ia berfalsafah. Darinya ia berprinsip. Darinya ia
memproses kehidupan keluarganya keluar dari kemiskinan sejak sebelum merdeka
dahulu. Pada dirinya tiada ukuran diploma atau ijazah. Jangan sekali ia dilihat
rendah kerana kekurangan itu. Ia telah melakukan yang terbaik untuk orang-orang
yang dikasihinya. Kekurangan pada dirinya sewajarnya dihargai bukan dihindari. Tentulah
tiada The Way Forward pada garapan fikirannya kerana itu bukan agenda
dirinya sebagai pejuang kecil. Asas-asas perjuangan itu yang terus
melangsungkan kehidupannya hingga sekarang. Selagi darahnya mengalir. Selagi usianya
masih berbaki lagi.
Haji Abas tidak pernah terfikir bahawa kemajuan negara yang ada sekarang adalah antara sumbangannya suatu ketika dahulu. Wang, masa dan tenaga yang dicurahkan adalah semata-mata untuk negara. Tidak pernah ada agenda peribadi. Apatah lagi agenda untuk meraih kemewahan. Atau untuk meraih nikmat ekonomi. Semangat Dato' Onn Jaafar sangat kuat bersarang di hati orang Johor seperti Haji Abas. Apabila Dato' Onn mengundur diri, orang Melayu seperti Haji Abas meneruskan perjuangan. Ketika itu perjuangan bukan kerana siapa yang memimpin tetapi apa yang ingin dicapai melalui perjuangan itu. Kita yang hidup senang sekarang mungkin tidak pernah terkenangkan perjuangan itu. Tulisan ini sekadar suatu catatan seorang pejuang kecil dari kampung yang tidak ternama.

Mungkin ramai lagi pejuang sepertinya di luar sana. Ia
bukan kes terpencil. Rakan seperjuangannya ada di sana sini. Tetapi untuk sementara
ini hanya Haji Abas yang kita ketahui perjuangannya. Salam dirgahayu. Semoga Allah melindung Haji Abas dan Hajjah Aminah. Mudah-mudahan jannah untuk mereka.
Nota:
Penulis adalah menantu kepada Haji Abas dan Hajjah Aminah. Kedua-dua mereka dikenali sejak penulis masih kecil lagi. Banyak maklumat tentang mereka adalah maklumat peribdai yang diketahui secara primer. Kebetulan kami hidup berjiran. Selain daripada itu banyak maklumat dikutip selama bertahun-tahun penulis menjadi menantu mereka sejak tahun 1971 lagi. 43 tahun lamanya maklumat-maklumat tersebut dikompilasi dan baru ini dapat didukumentasikan untuk tatapan khalayak.

Kaherah, Mesir.
22 Oktober 2014
8.39 pagi.