Friday, February 27, 2015

Bingkisan Dari Kaherah: Benarkah Begitu Melayunya?



Orang Melayu sebelum datangnya penjajah adalah bangsa yang sibuk merantau. Berniaga. Berkelana kerana mencari ilmu. Menjelajah negara orang lain. Jalan perhubungan yang kita baca dari cerita-cerita penglipurlara ialah denai dan jalan, bukit dan bukau, gunung dan ganang, lurah dan gaung, sungai dan laut. Barangkali kehebatan orang Melayu adalah luasnya pengalaman mereka menggunakan kapal. Sementelahan pula nusantara ini dikelilingi dengan laut dan selat. Begitulah orang dahulu berpindah randah dari satu daerah ke daerah yang lain. Dari satu pulau ke pulau yang lain. Mereka yang dari Kalimantan ke Pulau Jawa atau Tanah Melayu atau Sumatera dan begitulah perpindahan antara tempat-tempat tersebut tanpa had dan halangan. Sesungguhnya nusantara ini adalah tanah orang Melayu yang berbagai-bagai keturunan. Sesuatu keturunan mungkin eksklusif di sesuatu kawasan. Itu sahaja.

Penjajah bertapak dengan membahagi-bahagikan nusantara kepada milikan mereka. Mulalah perpindahan menjadi terbatas. Sejarah ditulis semula bahawa sesuatu kaum dianggap asli di sesuatu kawasan dan tidak di kawasan yang lain. Pada hakikatnya tidak begitu. Walaupun orang Jawa berasal dari Pulau Jawa, mereka berada di Kalimantan, Tanah Melayu dan Sumatera. Orang Banjar dari Kalimantan Timur berada di Tanah Melayu, Sumatera dan Pulau Jawa. Orang Bugis berada juga di mana-mana. Begitu juga orang Minangkabau, Aceh dan Mandailing. Begitu juga yang lain-lain. Tidak benar mengatakan bahawa Tanah Melayu pada waktu dahulu adalah tanah semenanjung yang kosong tanpa penghuni. Lalu mereka datang mendudukinya dengan berpindah dari kawasan lain di nusantara. Pola perpindahan orang nusantara bukan terpencil. Tanah Melayu memang sudah didiami berbagai etnik Melayu berabad-abad lamanya. Penemuan dan kajian baru menunjukkan bahawa Tanah Melayu adalah antara kawasan yang melampaui zaman prasejarah.

Dari nusantara inilah manusia berpecah dan berpindah randah mendiami kawasan lain yang beretnik Melayu. Lihat orang Melayu di Surinam (Amerika Selatan) yang dibawa oleh penjajah Belanda. Orang Melayu di Afrika Selatan yang juga dibawa oleh penjajah Belanda. Orang Melayu di Sri Lanka dan Madagaskar kerana pelayaran dan perpindahan. Di pulau-pulau di Lautan Hindi ramai antara mereka berketurunan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa lingua-franca di kawasan ini. Sekarang ini Bahasa Melayu dipelajari di negara-negara besar seperti Russia, Cina, Belanda, Britain, Amerika Syarikat, Australia, Turki, negara-negara Arab dan banyak negara lain. Tontonlah program pidato antarabangsa. Ramai pesertanya dari banyak negara. Kita sendiri menjadi keliru apabila warganegara kita sendiri tidak mahir berbahasa Melayu. Tidak fasih seolah-olah mengabaikan bahasa negara sendiri.

Selepas datangnya penjajah, penjajahan menjadi terlalu total. Dari ekonomi hingga ke sanubari. Pandainya Inggeris dengan mengasingkan adat dan agama. Mereka tidak mengganggu adat dan agama kerana orang Melayu hingga sekarang sangat sensitif mengenainya. Jangan usik adat dan agama. Mereka sanggup berperang kerananya. Tetapi tanpa sedar penjajahan dalam aspek-aspek yang lain turut akhirnya menjajah adat dan agama. Kita kehilangan kekuatan ekonomi, pendidikan, profesionalism, sains dan teknologi, sistem kewangan dan penguasan akal pemikiran. British dengan psikologi mereka melemahkan orang Melayu dari segenap penjuru. Kita hanya melihat dasar pecah dan perintah dari segi politik. Kita lupa kita terpencar dari aspek yang lain. Kita hilang banyak segala-galanya. Apabila kita semakin miskin kita semakin mundur dari segi berfikir. Mundur dari segi keupayaan menyaingi kemajuan dan perkembangan dunia lainnya.

Kita melalui vicious circle (kitaran ganas) yang semakin mengganas. Keciciran dan ketertinggalan kita dalam banyak bidang semakin merumitkan. Advantage (kelebihan) kita dari segi politik tidak membawa orang Melayu ke puncak jaya. Kita dilekakan dengan hedonism. Dengan adat yang dibiarkan oleh British. Mereka telah lama melihat bahawa adat kita akhirnya membawa kita ke arah kemelesetan dalam serba hal. Kita leka berpesta. Kita leka bermajlis-majlisan. Makan-makan yang terlalu banyak. Terlalu besar ongkos dan lama masanya. Pernah dengar komen berikut dari seorang bukan Islam:
Bagaimana orang Melayu hendak maju jika banyak masa mereka dihabiskan kerana majlis-majlisan setiap hari. Kenduri hampir setiap hari. Hujung minggu bukan hari untuk keluarga tetapi hari untuk orang lain. Majlis kenduri yang sangat banyak hingga tidak terdaya untuk hadir semua.

Mungkin kita perlu menilai semula kegilaan kita terhadap mengekalkan adat. Kita terlupa bahawa hidup kita kebanyakannya makan gaji. Bekerja dengan orang lain yang menguasai ekonomi. Bukan orang Melayu tidak pandai. Bukan tiada bestarinya. Minda kita telah menjadi terlalu lemah untuk berfikir. Sekarang ini seolah-olahnya kita baru belajar untuk beriaga. Kerana itu perlu pula berhempas pulas kerana ranjaunya sudah semakin banyak. Makan gaji sewajarnya menjadi pilihan terakhir. Mereka yang kaya jangan hanya atas nama saham dan mematikan diri begitu sahaja. Buatlah entiti perniagaan. Beri peluang kepada anak bangsa untuk membantu menjayakannya. Menimba pengalaman untuk disebarluaskan kemahiran berniaga dan menjadi usahawan. Selagi namanya Melayu dan beragama Islam diskriminasi senyap berlaku. Anak-anak kita juga tidak membina aptitude (kecenderungan) ke arah kemajuan diri dan kemajuan bangsanya.

Apabila kita memerhati sekeliling kita masih melihat lemahnya paradigma kita orang Melayu. Ramai yang berfikir untuk suka kekal dulu, kini dan selamanya. Tidak mengapa jika yang dikekalkan itu iman dan amal soleh. Bukan adat yang bukan-bukan. Yang tidak produktif. Hanya merugikan diri dan bangsa sendiri. Malas berfikir dan malas aktif antara yang merosakkan daya maju diri kita. Anak-anak kita berada di pelosok dunia. Tidak kira di Barat atau di Timur. Di USA ramai anak Malaysia hingga berbelas ribu. Di Mesir juga berbelas ribu. Di Britain, Australia, Canada dan New Zealand lagilah beribu-ribu ramainya. Itu belum di Russia, Ukraine, Italy, Perancis, Germany, Holand, Netherland, Poland, Turki, Jepun, Korea Selatan, Pakistan, India, Indonesia, Sepanyol, Ireland dan negara-negara Arab.

Adakah kita tidak sampai di Timur dan terkandas di Barat. Banyak kelebihan di Timur dan Barat. Kerajinan orang Timur dan orang Barat. Kebersihan dan ketelitian orang Barat tidak teramal di negara kita. Turki yang beberapa tahun ini dipegang oleh Erdogan membangun sangat pesatnya. Dari negara yang dianggap kotor menjadi negara bersih seperti negara Eropah yang lain. Dari negara yang dianggap terbeban dengan hutang sekarang menjadi negara yang boleh membantu negara lain. Kebetulan ia adalah anggota negara NATO. Begitu juga kehebatan orang Korea Selatan memulihkan diri dari kemelesetan ekonomi sangat mengkagumkan. Teknologi mereka seolah-olah sudah berada di mana-mana. Bersama dengan  Jepun teknologi Korea Selatan menguasai pasaran barang-barang elektronik di seluruh dunia. Kerajinan orang Jepun hanya kita jadikan teori. Tidak diserap dan dijadikan budaya. Budaya Islam pula sudah lama kita tinggalkan. Bangsa lain yang mengamalkannya. Bukan kita penganutnya. Malang sungguh lebai yang malang. Ke Timur tidak. Ke Baratpun tidak. Kita kekal dengan menjulang adat beradat sahaja. Sukar untuk berubah.


Amal yang menipis menjadikan kita benipis-nipis dengan akal yang ada. Amal kebaikan sangat terhad kepada kita. Walaupun jauhari mengenal manikam tetapi kita tidak suka menjadi jauhari. Tidak mahu menjadi arif. Takut menjadi bestari. Ke mana anak-anak kita hendak pergi. Kerosakan menular di mana-mana. Pendidikan sudah tidak lagi menjamin keutuhan akhlak mereka. Gangguan dan gejala sosial merebak meruntuhkan segala tembok yang kita usahabina. Kembalilah kepada agama kerana agama membawa kita kepada jalan kejayaan. Solat jangan tidak solat. Jaga tiang agama ini. Akan terjagalah bahaian-bahagian yang lain. Jagi hati dari menjadi hitam. Jaga minat untuk cintakan Allah dan cintakan RasulNya. Insyaallah selamat dunia dan akhirat.

Bingkisan Dari Kaherah: Hormat Siapa Hormat



Siapakah yang perlu dihormati? Hormat atau rasa hormat? Datang sendiri hormat itu atau diperintahkan begitu? Terlalu ramai orang yang menuntut hormat. Hormat itu apa sebenarnya? Suka-suka? Ugutan? Atau apa sahaja yang dituntut untuk dilakukan walaupun tidak disukai. Hormat yang paling baik ialah hormat yang tiada timbal balas manfaatnya. No reciprocal gain. Diberikan kerana kita yakin itu hak orang yang menerimanya. Keistimewaan yang teristimewa. Hormat datang dari hati yang ikhlas. Dari dalam. Dari dalam sanubari. Dari lubuk hati yang bersih. Dia tidak dipaksa. Tidak diminta. Tidak ada arahan itu dan ini. Hormat itu diberikan kerana rasa hormat. Memberi penghormatan. Kenapa?

1                    Mereka lebih tinggi pangkatnya.
2                    Mereka lebih tinggi kedudukannya.
3                    Mereka lebih dewasa.
4                    Mereka lebih berwibawa (authority).
5                    Mereka diberi tanggungjawab.
6                    Mereka lebih berpengalaman.
7                    Mereka diberi kuasa.
8                    Mereka lebih mengetahui.
9                    Mereka diletakkan di situ sebagai yang berhak menjalankan tugas.

Lazimnya, biasanya, selalunya, sewajarnya mereka dalam senarai di atas dihormati kerana aras mereka lebih tinggi. Cuba teliti berbagai situasi berikut:

Situasai 1:
Anak: Jika ayah tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan ayah.
Ayah: Siapakah yang memberi makan keluarga ini?
Anak: Ayah.
Ayah: Then who the hell you think you are!

Situasi 2:
Pelajar: Jika cikgu tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan cikgu.
Cikgu: Di sekolah ini saya mengajar kamu atau kamu mengajar saya?
Pelajar: Cikgu mengajar kami.
Cikgu: Then who the hell you think you are!

Situasi 3:
Mahasiswa: Jika Prof. tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan Prof.
Prof: Kamu mahasiswa atau saya mahasiswa?
Mahasiswa: Saya mahasiswa Prof.
Prof: Then who the hell you think you are!

Situasi 4: Di luar negara:
Pelajar: Jika ustaz tidak hormat saya, saya tidak akan hormatkan ustaz.
Pegawai: Saya pegawai atau kamu yang jadi pegawai?
Pelajar: Ustazlah pegawai.
Pegawai: Then who the hell you think you are!

Ayah, guru, profesor dan pegawai sentiasa dan selamanya lebih tinggi kedudukannya berbanding anak, pelajar dan mahasiswa. Mereka lebih dewasa. Mereka lebih banyak dari segi pengalaman. Mungkijn lebih tinggi kelayakan akademik atau skillnya. Siapapun mereka, hormatilah mereka kerana kedudukan itu. Perhatikan senarai berikut:

1                    Allah
2                    Rasulallah
3                    Ibu-bapa
4                    Guru

Ibu-bapa sangat perlu dihormati. Tanpa penghormatan hilang hubungan hakiki antara mereka. Jika kita perluaskan kefahaman kita, bahawa ibu-bapa mencakup juga semua orang tua sebaya ibu-bapa kita. Mereka adalah guru, ustaz dan ustazah, jiran atau ahli kariah yang lain. Semua orang tua berada dalam taraf yang sama dengan ibu dan bapa seseorang. Penulis sengaja menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan impak ketidak wajaran seseorang anak, pelajar dan mahasiswa menuntut dirinya dihormati oleh orang-orang yang berwibawa dengan peranan masing-masing. Ibu-bapa dihormati kerana warisan. Diperintahkan oleh Allah. Guru dihormati kerana mereka adalah orang dewasa yang mengajar, mendidik, mengkaunsel, membimbing, menunjukkan yang benar dan membawa pelajar ke arah kebaikan. Profesor dihormati kerana kepakarannya. Dia juga pendidik yang sudah teruji dari segi ilmunya. Seorang pegawai dihormat kerana dia diberi kewibawaan oleh kerajaan melalui undang-undang yang berkaitan dengan perjawatan dalam sektor kerajaan.

Who the hell you think you are? adalah bahasa orang putih yang diungkapkan ketika marah atau ketika ketidak wajaran berlaku dalam sesuatu situasi. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia menjadi, kamu ingat kamu siapa? Dalam bahasa Melayu maksudnya tidak seperti yang dalam bahasa Inggeris. Tidak kelihatan seriusnya situasi itu. Mungkin bahasa Melayu kaya dengan kias, tamthil dan ibarat. Bahasa yang lembut dan halus selalunya lebih tajam dari mata pedang. Menusuk dan membelah hati nurani. Terasa pedih dan parahnya. Menjadikan  kita terkesima. Menderita aib diri yang tidak terhingga. Ada orang dewasa bahasanya lembut tetapi memukul mati mereka yang terkena.

Seorang anak akan selamanya menjadi anak. Hingga tua sekalipun ia tetap anak kepada ibu dan bapanya yang masih hidup atau yang telah mati. Tiada hak langsung baginya berlagak meminta dirinya dihormati oleh ibu dan bapanya. Malah untuk meninggikan sedikit suaranya sudah dikira derhaka. Mereka dituntut untuk berkhidmat kepada keduanya dalam keadaan apa selakipun. Mungkin sakitnya. Mungkin ketidakupayaannya. Mungkin karenahnya. Mungkin kepayahan-kepayahan lain yang melingkari kehidupan mereka yang sudah tua. Sesungguhnya berbakti kepada orang tua diberi ganjaran pahala yang banyak sekiranya dilakukan dengan ikhlas. Dilakukan kerana tuntutan tanggungjawab.

Seorang pelajar atau mahasiswa adalah selamanya pelajar sehinggalah ia lulus dan diisytiharkan menjadi graduan. Selagi ia menjadi pelajar sama ada kursus sijil, diploma, ijazah serjana muda, sarjana dan malah peringkat kedoktoran sekalipun dirinya tetap seorang pelajar dari segi:

1        Kedudukan
2        Taraf
3        Undang-undang.

Maka dirinya terikat dengan undang-undang yang ada.  Ia tidak boleh melanggar mana-mana peruntukan undang-undang atau peraturan yang dikuatkuasakan ke atasnya. Dia wajib patuh dengan ketentuan itu.  Jika tidak, dia boleh tersingkir dari institusi pendidikan itu. Perkataannya, tingkahlakunya, tindak tanduknya perlu mematuhi peraturan yang ada. Pelajar atau mahasiswa tidak diberi hak untuk mencemarkan nama baik institusi atau nama baik mana-mana pegawai institusi (walaupun individu itu seorang pengawal keselamatan atau pencuci atau tukang sapu) atau nama baik mana-mana pelajar lain institusi itu atau melanggar undang-undang negara sama ada di dalam kampus atau di luar kampus. Sebagai pelajar ia hanya diberi hak untuk bersuara sama ada secara individu atau berkumpulan mengikut peruntukan undang-undang (Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU) di Malaysia. Itupun terhad kepada hal-hal yang berkaitan dengan akademiknya dan kebajikan kehidupannya semasa menjadi pelajar atau mahasiswa.

Adakah anda seorang pelajar? Jika jawapannya ia maka anda perlu berfikir panjang dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.

1                    Anda akan dewasa untuk memikul tanggungjawab yang selama ini anda cemuh. Menjadi ibu atau bapa. Menjadi pegawai. Menjadi pendidik. Menjadi profesional yang lain.
2                    Mencari peluang kerjaya, membinanya dan menjawat jawatan-jawatan tinggi. Andainya semasa menjadi pelajar anda tidak memiliki kualiti yang diperlukan maka selamanya anda akan hanya menjawat jawatan yang tidak sesuai dengan kelayakan akademik anda. Tetapi sebaliknya sesuai dengan sifat dan sikap yang anda bina semasa menjadi pelajar atau mahasiswa dahulu.


Dunia realiti yang sebenar tidak seperti idealisma yang anda tuntut semasa menjadi pelajar. Anda boleh menuntut sebuah gunung tetapi anda mungkin hanya mendapat sebuah longgokan pasir. Anda mungkin ingin terbang setinggi langit tetapi anda hanya mampu melonjak dan kemudian jatuh ke tanah semula. Anak-anak muda perlu belajar dengan sabar. Belajar dengan banyak memerhati dan mengalami sendiri susah dan payahnya mereka yang telah dewasa melaluinya dahulu. Tidak ada siapa yang terkecuali dari mengalami hal-hal yang tidak enak semasa menjadi anak muda. Pendidikan itu perlu. Praktikaliti juga perlu. Pengalaman melengkapkan seseorang untuk menjadi dewasa yang bermanfaat. Semoga anda dewasa tidak menjadi antara mereka yang bermasalah dalam banya hal. Mudah-mudahan menjadi ibu dan bapa yang baik. Menjadi warganegara yang memberi impak positif kepada negara walaupun dalam hal yang sangat kecil sekalipun. Insyaallah.