Thursday, April 1, 2010

Secara Kebelulan - Terima Kasih Banyak-Banyak

Dalam kehidupan kita ini, kita selalu bersua dengan hal-hal yang kebetulan. Perancangan Allah. Kita dipertemukan dan dipisahkan. Mudah-mudahan dalam lindungan Allah jua. Sudah tentu dalam banyak keadaan kita selalu bertemu dengan orang yang baik-baik. Yang menyenangkan. Yang mendamaikan perasaan. Melaluinya kita membina ukhwah, persahabatan, kemesraan dan hubungan kemanusiaan yang merentas usia, pangkat, agama, bangsa dan negara. Antara orang yang baik-baik itu ada pula yang lebih baik lagi.

Begitulah penilaian kita bila berhadapan dengan situasi-situasi tertentu. Secara psikologi kita tidak lepas dari membuat penilaian. Minda kita, perasaan kita, mata hati kita memberikan pertimbangan. Impaknya terkesan dalam ingatan. Walaupun ianya mungkin a simple genture. Ianya tetap kenangan yang abadi dalam ingatan.

Bagaimana tidak diingat kerana kedatangan saya ke Alor Setar memang ditunggu. Selamat datangnya disampaikan melalui facebook. Macam manalah orang-orangnya. Saya belum kenal mereka secara peribadi. Rasanya bukan pelajar-pelajar yang pernah berada di kelas-kelas saya. Mereka sudah membina satu hubungan yang agak peribadi dengan saya. Hanya pada hari Ahad 28 Mac 2010 saya bertemu pelatih-pelatih yang bernama Mohamad Haswandi, Mohamad Akmal, Sazwani, Siti Sufur, Nur Fahriz, Siti Azyyati, Nur Adila, Sharliati dan Siti Najhan.

Cepat sungguh mereka mesra. Macamlah saya pernah menjadi pensyarah peribadi mereka. Mereka tidak kekok dan tidak membina tembok. Tembok itu mereka runtuhkan apabila bertemu saya. Saya berikan taklimat ringkas dan mempastikan jadual mereka memang akan dapat dilaksanakan. Biasalah begitu supaya saya diberi kemudahan merancangkan masa dan tempat yang bersesuaian. Saya takut kadang-kadang bila hendak diselia mereka mengadakan aktiviti yang sukar diselia seperti mengadakan kuiz, ujian atau aktiviti lain.

Yang agak memeranjatkan saya ialah di akhir taklimat itu mereka bukan bertanya hal yang berkaitan dengan praktikum mereka. Tetapi sebaliknya bertanya bila saya lapang. Mereka hendak menjamu saya. Allahu Akbar. Bila mereka merancang semua ini. Mereka bukan sahaja menjadi pelatih-pelatih yang dipuji melambung oleh Pengetua, Penolong Kanan dan Pembimbing mereka, rupanya mereka juga mencipta kejutan-kejutan lain kepada orang-orang di sekeliling mereka. Pihak sekolah memberi kebebasan dan kelonggaran kepada mereka untuk melakukan apa sahaja atas nama akademik dan demi kebaikan pelajar-pelajarnya. Kesemua mereka tinggal di asrama walaupun ramai sebenarnya berasal dari sekeliling Alor Setar. Malah yang rumahnya di Jitrapun memilih untuk tinggal di asrama.



Saya tidak lupa sapa mereka, hormat mereka, ambil tahu mereka. Sudah tentu tidak akan lupa jamuan yang diberi. Ada pula bekal ikan pekasam. Terima kasih Sazwani dan Siti Najhan.



Dalam merancangkan jadual, walaupun yang secara kejutan itu lebih baik, tetapi jadual sekolah tidak 100% dipatuhi. Ada sahaja aktiviti sekolah yang mengganggu jadual akademik. Universiti mempunyai jadualnya sendiri. Bila sampai di sekolah, ada pula cuti negeri, aktiviti sukan, ujian, peperiksaan selain dari aktiviti-aktiviti yang tiada dalam jadual rasmi. Jika tidak ada usaha untuk mengharmonikan kekalutan jadual tersebut tentulah sukar hendak menyelia pelatih-pelatih. Duduk memantau agak meletihkan tetapi menyusun jadual kadang-kadang lebih meletihkan. Bayangkan, jadual sudah di tentukan. Tiba-tiba pelatih menghantar mesej, esok dia ditugaskan mewakili sekolah untuk mengiringi pelajar. Jika kita berkira sangat dengan pihak sekolah ada juga implikasinya pada masa hadapan. Hendak tak hendak kenalah berkompromi. Jadual terpaksa dirombak, diatur semula, disesuaikan dengan keadaan yang baru.



Di SMT Alor Setar nampaknya pelatih-pelatih ini diberikan sepenuh kepercayaan mendendalikan banyak aktiviti, khususnya di asrama. Terima kasih kepada Pengetua dan stafnya kerana bersedia memberikan pengalaman yang terbaik untuk pelatih-pelatih UTHM. Seperti saya nyatakan kepada Pengetua, laporan positif ini amat melegakan saya. InsyaAllah tahun hadapan tidak ada masalah untuk menghantar kumpulan-kumpulan pelajar yang akan datang. Jawapan Pengetua amat mengesankan kepada saya. Katanya, jika kedua-dua pihak rasa seronok barulah hubungan itu dapat dipanjangkan. Terima kasih banyak-banyak. Terima kasih daun keladi. InsyaAllah tahun hadapan kami hantar lagi.



Haswandi, Akmal, Sazwani, Sufur, Azyyati, Adila, Fahriz, Sharliati dan Najhan, terima kasih atas budi baikmu. Hazwin, Majorie dan Tan, terima kasih sudi menemani saya makan malam walaupun selalu saya kesunyian makan sendirian setiap hari. Kepada yang lain mungkin lain kali.


Haswandi, Akmal, Sazwani, Sufur, Azyyati, Adila, Fahriz, Sharliati dan Najhan, imej dan paparan berikut adalah rakaman terima kasih saya kepada anda semua. Semoga berjaya dan bertemu lagi. Jika tidakpun melalui blog saya. Kita akan dekat selalu.
















Fahriz, Azyyati dan Sufur. Sufur orang Kelantan yang selesa di Alor Setar. Orang Parit Raja kata 'kerasan'.














Siapa sangka Akmal ni pelatih UTHM.















Tekun Adila dengan udang dan sotong bersalut tepung. Enak dan rangup.















Saya terhibur seketika.
















Sazwani dan Sharliati.















Yang baju pink di hujung tu adik Najhan. Minat menjadi guru sebab itu suka bersama guru.















Haswandi selepas membaca doa makan.















Posing di luar Langkasuka. Fahriz, Sufur, Sazwani, Haswandi, Adila, Sharliati, Najhan, Azyyati dan Akmal.



























































Hanya seminggu lagi. Selepas itu tamatlah gelaran pelajar. Genggamlah ijazahmu untuk keluar berbakti. Bayarlah hutangmu kepada negara. Ibu Pertiwi menanti baktimu.

Bon Voyage - Selamat Tinggal Alor Setar

Saya jejakkan kaki ke Menara Alor Setar. Lengang. Jam kira-kira pukul 12.00 tengahari. Tercari-cari di mana kaunter. Tiada tanda yang jelas yang mana satu kaunter. Ternampak seorang gadis. Di belakangnya ada senarai harga tiket. Boleh naik, tanya saya. Boleh, jawabnya. Tiket berapa ringit. RM6.00. Sorang? Ya saya seorang. Tiba-tiba tanyanya, dah lebih 50 tahun? Terkejut sekejap. Muda sangatkah saya ni. Kalau jawab belum, kena, bayar RM6.00. Payah pula menelan air liur di kerongkong. Kalau jawab ya, bayar RM4.00. Jimat RM2.00. Lalu saya jawab umur saya 64 tahun. Dia senyum saja. Entah apa dalam hatinya. Tidak pula meminta melihat kad pengenalan.

Naiklah saya ke menara. Perjalanan beberapa saat sahaja. Tiba di atas saya seorang sahaja yang menjadi raja menguasai menara itu. Hanya ada seorang penjaga gerai di atas. Saya berputar beberapa kali sambil merakamkan imej-imej yang saya lihat dari menara ini. Dari semua arah, timur dan barat, utara dan selatan. Tiba-tiba saya terpempan. Tidak semua yang saya lihat, saya kenal. Banyak yang tidak saya ketahui. Ada yang samar. Ada yang berbalam. Ada yang kaku begitu.

Rupanya saya gayat. Ya gayat. Bukan gayat kerana ketinggiannya. Saya gayat kerana pengalaman yang cetek. Bila kita tiba-tiba berada di tempat yang tinggi, berpangkat tinggi, tiba-tiba kaya, baru berjaya, baru gembira, baru naik pangkat, baru perasaan, kita sebenarnya gayat. Dari atas kita hilang arah, hilang pandangan, hilang pertimbangan, hilang kewarasan. Kita hanya mabuk dengan ketinggian kita sahaja. Begitulah apabila kita tidak memiliki pengalaman. Kita akan mabuk dan gila dengan apa yang kita ada, sedangkan kita belum pandai mengendalikan keadaan, belum pandai menari di lantai yang tinggi rendah. Masih tercari-cari tapak untuk berpijak.

Bila kita belum cukup pengalaman dan kita belum mabuk, kita mengalami banyak kekeliruan dan sesat pula. Waktu kita di bawah, kita perlu banyak belajar. Jika tidak pandangan kita dihalang bangunan, dihalang tembok, dihalang semak dan pokok, dihalang kabus, dihalang silau. Kita tidak akan dapat melihat apa di sebalik semua halangan-halangan itu kecuali kita meneroka semua yang perlu diketahui. Barulah kita dapat melihat dan menjangka apa yang di sebalik bangunan, di sebalik tembok, di sebalik semak dan pokok, di sebalik kabus, di sebalik silau. Bila sudah ada pengalaman itu, naiklah seberapa tinggi. Dari atas kita kenal dan dapat mengecam apa sahaja yang kita lihat. Barulah kita tidak gayat, tidak mabuk, tidak keliru dan tidak gila.

Bagi yang muda ambillah pengajaran itu. Himpunkan dulu segala pengalaman yang perlu sebelum berani naik ke atas dan memandang ke bawah. Susah kalau gayat tak menentu. Anak-anak angkatku, tanamkan ini dalam dadamu. Kelulusan akademik hanya baru satu fasa awal, lesen untuk memburu jawatan. Yang lainnya harus dihimpunkan lagi melalui pandangan, pendengaran, pemikiran, deria rasa, dan deria sentuhmu. Apatah lagi deria sentuhan rasa hatimu yang semestinya seni, halus dan murni.

Imej-imej Alor Setar ini saya dedikasikan kepada semua peminat blog saya. Esok, Jumaat 2 April 2010 insyaAllah saya akan tinggalkan Alor Setar. Saya datang dengan rasa teruja. Saya pulang juga dengan rasa teruja. Saya datang teruja kerana harapan menemui hal-hal yang baru. Saya kembali teruja kerana menemui semula diri saya yang jauh dari keluarga tercinta. Sayangku, tunggulah kepulanganku. Aku rindu padamu.

Bon Voyage - selamat tinggal Alor Setar. Saya datang dalam cuaca panas. Hari ini saya pulang dalam Alor Setar masih basah dengan air hujan semalam.



















Nama yang menggamit rasa.





















Tinggimu menjulang angkasa.
















Dari dataran ini saya menerjah mercunya.
















Pintu air yang saya lihat itu.





















Gamitan Masjid Zahir yang tidak pernah surut.
















Panorama yang berpusat di masjid Zahir juga.
















Vantage point yang dulu-dulu.
















Binaan-binaan tinggi lambang kemajuannya.
















Aliran sungai lesu di kejauhan.
















Lambang-lambang kemajuan yang terpencil.
















Yang jauh berbalam-balam sahaja.
















Jalanraya bak liku hidup yang tidak pernah lurus.
















Gunung Keriang dari jauh. Di situ Muzium Padi.






















Jalan itu menuju ke Jitra, Kayu Hitam, Kangar.


















Bahagian Alor Setar yang lebih pesat membangun.

















Arah yang sama.

















Arah lain.

















Masjid Al-Bohari dan Souq Al-Bohari.
















Berbalam bila jauh. Kabus yang dilihat.
















Bangunan tersergam.
















Bangunan-bangunan lain.
















Sebuah hotel.















Pusat bandar.
















Mengarah ke Sekolah Menengah Vokaisonal.
















Gunung Keriang dizoom.
















Arah yang sama.


Imej-imej inilah yang saya bawa pulang. Saya kembalikan selainnya kepada warga Alor Setar. Terima kasih kerana mengizinkan saya singgah dan santai di sini. Pasti ada kenangannya. Jika ada rahsia di balik cerita, itu hal peribadi. Saya simpan sendiri. Hingga bertemu kembali.