Saat-saat menanti kelahiran anak, bertingkah antara gembira dan bimbang. Zaman saya dahulu tidak ada peluang mengenalpasti janin dalam kandungan. Serahkan kepada Allah untuk menentukan ianya lelaki atau perempuan. Penantian yang cukup lama itu memberi ruang untuk ibu dan bapa mencari nama yang sesuai. Ramai orang berfikir bahwa nama bukan sesuatu yang penting diambilkira. Beri sahaja nama asalkan bunyinya sedap didengar. Asalkan bunyinya seperti memenuhi kalimah-kalimah yang terpilih. Jika kita tidak teliti berbagai kemungkinan berlaku pada masa hadapan. Ada nama-nama yang akhirnya dihindarkan kerana maknanya tidak selari dengan Islam. Orang dahulu umpamanya menamakan anaknya seperti Buang, Sampah, Pungut dan Buruk. Malah ada ketikanya nama-nama anak itu seperti lucah. Itu belum lagi yang sensitif dengan makna dalam bahasa Arab atau kaum-kaum lain yang hidup besama kita. Kerana itu nama menjadi sangat penting kepada kedua ibu bapa. Kepada keluarga. Kepada agama. Yang sebaiknya nama anak adalah kalimah-kalimah doa yang selalu disebut berulang-ulang. Bersama sebutan itu terhulur kasih sayang ibu dan bapa. Dewasanya menjadi seperti yang hakiki namanya.
Memilih nama tidak boleh berdasarkan pengalaman sendiri. Harus ditanya kepada mereka yang arif dengan agama. Mereka yang dikira alim. Tahu bahasa Arab. Pernah bersama dengan mereka yang sukakan agama. Panduan kita ialah akhirnya kita ke akhirat. Dipertemukan dengan Allah. Nama-nama yang baik, baiklah natijahnya di sana. Tiada dakwa dakwi dari anak-anak kerana ibu bapa tidak menamakan mereka dengan nama-nama yang baik. Kerana itu carilah nama-nama yang cantik. Nama yang indah. Nama yang menyejukkan. Nama yang apabila disebut meluncur deras mencurahkan kebaikan kepada yang empunya diri. Kepada yang memberi nama. Kepada yang mendengarya. Kepada yang menulisnya. Kepada mereka yang berurusan dengannya. Banyak kali kita bersua dengan orang-orang yang namanya mengesankan kita. Mudah disebut. Mudah diingat. Mudah ditulis. Saya pasti ramai antara kita yang maklum tentang nama-nama orang Arab Islam. Nama-nama mereka selalunya ringkas. Yang panjang dan susah ialah nama keluarga mereka di akhir nama mereka. Nama-nama wanita Arab kebanyakannya empat huruf. Antaranya Hanin ( Ha nun ya nun - Rindu), Reem (Rusa Putih), Nada (Embun), Huda (Petunjuk) dan Ilham (dalam bahasa Arab Alif, lam, ha, mim). Tidak kurang juga yang tiga huruf seperti Nur (Cahaya) dan Ala. Nama lelaki Arab mengambil sempena para sahabat. Betapa nama-nama hebat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Salman, Ubaidah, Khalid, Harithah dan banyak lagi. Ada pula yang menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang berbunyi hebat. Kesannya hebat. Pencapainnya hebat. Asad (Singa), Fahd (Harimau Kumbang) dan banyak lagi yang seumpamanya.
Ibu bapa muda yang tidak berlatarbelakangkan agama atau Islam mencari nama anak mengikut sedap sebutan. Ikut yang berkenan di hati sahaja. Maka jadilah nama-nama seperti tersebut di atas tadi. Ada pula yang mencantumkan nama bapa dan ibu atau sebagainya. Dalam kes lain ibu bapa menukar nama Islam anak-anak kepada nama Barat seperti Burn dari (Abu Bakar – nama sahabat Rasulullah), Cathy (Khadijah – isteri kesayangan Rasulullah), Jo (Yusof – antara nama Nabi ulul ‘azmi). Nama-nama mulia di sisi Islam ditukar kepada nama-nama yang tidak Islamik. Maaf, yang tiada nilai agama di sisi Islam. Kita mungkin merasakan nama-nama itu glamour di dunia orang Melayu. Nama-nama itu sebenarnya bukan ganjil di kalangan orang bukan Islam. Menyedihkan bahawa nama-nama itu tiada nilai di akhirat jika nama-nama tersebut tidak disertai dengan taqwa. Tidak disertai dengan iman dan akidah yang tinggi. Nama akan tinggal nama tanpa kerangka Islam yang indah. Kosong, berongga, lapang dan hanya berangin. Sebaliknya isilah dengan nama yang penuh makna. Nama anak banyak memberi impak kepada agama, keluarga, bangsa dan masa hadapan anak itu sendiri.
Anak pertama dan kedua saya dalam kelompok ketika saya belum berapa tahu. Belajar agama sekadar secukupnya sahaja. Ketika itu kami berdua (saya dan isteri) berbincang untuk memberi nama yang terbaik mengikut persepsi kami seagai pasangan muda. Banyak yang tidak kami ketahui ketika itu. Anak sulong lazimnya menjadi ikutan adik-adik yang lain. Memimpin. Untuk menerangi keluarga. Maka kami pilih Diana dari kalimah Dian. Kebetulan ketika itu saya gemar membaca majalah Dian. Dian juga lilin yang menerangi. Kami ingin dia menjadi istimewa. Kami tambah namanya dengan Khairani. Inginkan dia memberikan yang terbaik. Alhamdulillah akademiknya membawa kejayaan. Berjaya ke sekolah pilihan. Ke universiti pilihan. Bertugas pada awalnya di sebuah syarikat elektronik. Kemudian berkerjaya sebagai pendidik mengikut jejak ayahnya. Selepas memiliki kelaykan IPT persekitaran kadang-kadang tidak membantu untuk seseorang itu berada dipuncak. Banyak cabaran sosial yang masih kurang membangun. Namun dia masih ingin menapak lebih tinggi. InsyaAllah pengajian sarjananya di UTM memberinya kepuasan. Jambatan ke peringkat yang lebih tinggi. Anak pertama dan kedua saya dilahirkan di Negeri Terengganu. Mereka anak Terengganu. Besarnya sahaja di negeri lain.
Anak kedua, kami namakan Dahlia Syahrani. Dahlia nama sejenis bunga. Kami ingin dia cantik dan harum jika boleh. Alhamdulillah lahirnya cantik. Biasalah adik yang mempunyai kakak manjanya melebihi keadaan. Peranan kakak pula mendamaikan. Dua anak pertama ini dekat usianya. Berbeza setahun dua bulan sahaja. Mereka rapat sejak dari kecil. Pada tahun 1973 Shah Iran dan Farah Diba, Syahraninya sedang memuncak di Iran. Sedang di puncaknya yang sedang gemilang. Maka Dahlia Syahrani terpaut pada nama anak saya. Kebetulan bila berumahtangga suaminya bernama Shahrizal. Besarnya ke sekolah pilihan juga. Di USA juga ke universiti pilihan. Pernah bertugas di IKIP Pahang, institusi di bawah MARA dan akhirnya sekarang di MMU sebagai pengajar Bahasa Inggeris. Asalnya memiliki kelulusan dalam bidang Perniagaan (Commerce) menukar bidang pengajian bahasa Inggeris sewaktu melanjutkan pengajiannya di UPM pada peringkat sarjana. Anak pertama dan kedua bermula dengan huruf D atau dal.
Nurul Najwa memulakan siri nama anak yang bermula dengan Nur. Diikuti dengan Nurin Naurah dan Nur Zatulitri. Ketika lahirnya tidak ramai orang perempuan bernama Najwa. Seingat saya ketika itu anak allahyarham Datuk Asri Muda – bekas menteri besar Kelantan – bernama Najwa. Jenuh mencari maknanya di dalam kamus yang kami ada. Kami percaya Najwa bermaksud penuh. Penuh harapan, penuh keyakinan dan penuh rungkaian hati bahawa besarnya nanti memberi yang terbaik. Sebenarnya Najwa lebih bermaksud keyakinan dan kasih sayang. Rambutnya menggerbang berkerinting. Berani semasa kecilnya. Ada sahaja yang dibuat. Kecilnya tidak begitu menyerlah dari segi akademik berbanding dengan dua kakaknya. Kuasa Allah menentukan bahawa dia yang pertama lulus pada peringkat sarjana. Sekarang bertugas di Politeknik Merlimau Melaka. Nurin Naurah (keempat) dan Nur Zatulitri (kelima) istimewa tarikh lahirnya. 3 Disember. Selang dua tahun. Naurah rupanya bunga yang sedang berkembang. Setiap tahun dia yang paling muda di kelas sebab lahir di hujung tahun. Paling muda rupanya memberi kelebihan kepadanya. Selalu di hadapan berbanding dengan rakan sekelasnya. Ke sekolah berasrama pilihan dan ke UTP di Perak. Sudah berbagai jawatan di berbagai syarikat. Masih mencari tapak yang lebih tinggi. Tentu untuk mendapatkan ganjaran yang lebih tinggi.
Minyak yang mewangi. Begitulah Zatulitri. Dieja dengan huruf Arab bermula dengan ain. Zatul’Itri. Cahaya yang memancarkan kewangian. Menjejaki kakaknya yang keempat. Bersekolah di sekolah berasrama plilihan. Ke UIAM untuk mendapatkan Ijazah Undang-Undang Sivil dan Syariah. Bertugas di beberapa firma guaman. Sekarang menguji diri memulakan perniagaannya sendiri. Mudah-mudahan kewangian dan keharumannya menyerlah dunia yang diceburinya. InsyaAllah. Anak keenam Rahimatul Lubna. Lahir sekembalinya saya dari USA. Kebetulan seorang teman isteri saya yang berasal dari Syria bernama Lubna. Lalu diambil nama itu. Rahimatul supaya dirinya penuh dengan rahmah. Memberi kebaikan kepada orang yang di sekelilingnya. Rambutnya kerinting seperti Nurul Najwa dan matanya bulat. Seperti anak Arab. Kecilnya pendiam. Banyak kali mendebarkan kerana sesak nafas. Beberapa kali ke hospital. Menyerlah di akhir remajanya. Ke Universiti Lancaster. Pernah bertugas di TV al-Hijrah. Sekarang Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Kesihatan. Semakin periang setelah berumahtangga. Agak becok bersama adik beradik yang lain. Begitu juga ketika bersama rakan-rakannya.
Setelah enam anak perempuan tidak ramai orang yang memberi harapan bahawa Allah akan menganugerahkan anak lelaki pula. Begitulah datangnya Mohammad Ilmi Najhan. Diharapkan berilmu dan berjaya dalam dunia dewasanya. Banyak mewarisi bapanya. Pendiamnya. Senyapnya. Namun pengasih dalam diam. Berkahwin dalam usia 24 tahun. Lulusan UITM dalam bidang komputer. Kecilnya agak kreatif tetapi mungkin persekitaran tidak membantunya untuk terus kreatif. Dalam kerjayanya ia diperlukan untuk lebih kreatif dalam bidang yang ia lebih mengetahui. Apabila Mohammad Izzat Naqib mengiringinya sebagai anak kelapan sekali lagi prosesnya berlaku. Jika anak pertama dan kedua bergandingan, anak ketujuh dan kelapan ini juga begandingan. Jika anak kedua ingin selalu melebihi kakaknya, anak kelapan ingin pula melebihi abangnya. Ada sahaja helah untuk mendapat lebih perhatian. Setiap anak ada keistimewaannya yang tersendiri. Ibu bapa yang seharusnya bijak melayan dan mentarbiahkan mereka.
Sebagai guru barangkali saya beruntung. Ilmu psikologi membantu secara terbaik membesarkan anak-anak. Berapa ramai anak sekalipun ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sebarang perbezaan. Memang ramai orang banyak tertumpah kasihnya kepada anak sulong atau anak bongsu. Memperlihatkan perbezaan mencalar hati anak-anak. Kesemuanya dari aliran darah yang sama. Harus dikasihi seadilnya. Kesempatan kadang-kadang tidak membenarkan. Mungkin ada yang terlebih di sana dan ada yang terkurang di sini. Anak ketujuh umpamanya tidak banyak membuka hati dan mulut. Tidak memilih dan tidak meminta. Mudanya santai tidak banyak leka. Sebagai bapa saya adakan apa yang terdaya. Biar dia seperti anak muda lain. Adiknya pula ada gaya tersendiri. Ingin selalu ranggi. Di sini ada pembawaan saya yang selalu ingin lawar sejak dari kecil. Itulah anak-anak yang besarnya ditimang. Besarnya ditatang. Dewasanya tetap didalang. Yang namanya anak tetap di hati ibu bapa. Sesudah berumatangga, berkerjaya dan beranak pinak, anak-anak tetap anak kepada hati ibu dan bapa. Tetap dekat di mata dan di hati. Didoakan kesejahteraannya. Diingat seingatnya. Dijengah pada waktunya. Dinanti kehadirannya.
Anak kesembilan mejadi pelengkap keluarga. Yang sulong perempuan. Diakhiri dengan yang kesembilan. Anak perempuan juga. Anak bongsu beruntung kerana membesar dalam kedewasaan kakak-kakaknya. Dekat dengan abang-abangnya. Dikelilingi oleh anak-anak buahnya. InsyaAllah apabila tamat pengajian ijazahnya di UIAM nanti meneruskan bidang ekonomi lulusan bapanya. Setiap tahun dia yang paling muda dalam kelasnya. Nur Zahin Rifhan dilahirkan pada awal pagi 31 Disember 1992. Jam 12.15 pagi menyaksikan kelahirannya di hospital Batu Pahat. Anak kedua lahir di Johor selepas kakaknya yang ketiga. Setelah semua kakak dan abangnya berumahtangga, hanya tinggal dia seorang sahaja lagi. InsyaAllah jodohnya akan sampai pada waktunya. Melepaskan sembilan orang anak adalah suatu jangamasa yang panjang. Kehidupan yang dahulunya sibuk tetap sibuk dengan hal yang lain-lain. Melapangkan diri bukan opsyen yang terbaik. Pengisian waktu memperkayakan pengalaman. Menambah keberkatan usia yang Allah bakikan lagi. Manusia hanya kembara seusianya. Selagi kembara itu belum berakhir maka kembara itu bersambung dari satu perhentian ke satu perhentian yang lain.
Dunia ini tidak rata. Bulatnya juga tidak bundar seperti bola. Edaran dan putarannya memberikan cahaya siang dan gelap malam. Jaga dan tidur yang jadi mainan hidup. Beranak pinak adalah amanah. Menjadikan mereka dengan kemanusiaannya adalah tanggungjawab. Apa yang kembali kepada ibu bapa adalah ketentuan Allah jua. Dahulu kami sekolahkan mereka. Sekarang mereka sekolahkan kami. Syukur kepadaMu ya Allah. Rahmatilah kehidupan anak-anakku. JannahMu untuk mereka. Kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Begitulah nama. Untuk didoakan. Ada pengisian harapan di dalamnya. Disebut kasih. Diingat sayang. Alhamdulillah. Syukrulillah.