Wednesday, March 19, 2014

Bingkisan Dari Kaherah: Melapangkan Masa Tua



Bila sebenarnya kita merasa tua? Lazimnya apabila kita melepasi usia bersara. Sebelum bersara orang mengatakan kita masih muda. Maksudnya belum bersara. Itu sahaja. Sesudah bersara ada pula pantang larangnya. Jangan dipanggil tua. Ada yang melenting dan melatah. Dalam hati masih terasa muda. Semangat masih membara. Kudrat masih banyak. Begitulah tua dan muda sebenarnya hanya spektrum masa. Antara dua ekstrim yang berbeza. Bergantung di mana kita berada. Di mana pula kita ingin berada. Kita boleh jadi tua dan pada masa yang sama menjadi muda. Tiada siapa yang boleh menafikan bahawa usia kita memang sudah dalam lingkungan dikatakan tua. Erti tua itu sendiri yang selalu menjadi mainan minda.

Pada usia 60 tahun masih ramai antara pesara yang kelihatan lebih muda dari usianya. Tentu ada sesuatu yang menjadi petunjuk antara tua dan muda. Kita ambil suatu analogi. Rumah lama yang diperbaiki dan kemudiannya dicat selayaknya tentu kelihatan baru, segar, ceria dan menarik pandangan. Begitulah manusia. Banyak yang perlu disesuaikan dengan usia. Elok juga penulis kongsikan beberapa pandauan umum. Bukan semestinya sesuai. Lihat pada hati dan perasaan. Ukur pula kepada kemahuan diri.

Pakaian adalah lapis luar tubuh badan. Warna, saiz dan masa pemakaiannya menentukan apa akan jadi kepada orang yang memakainya. Warna yang agak cerah sedikit menampakkan perawakan yang agak lebih muda. Pakaian yang kemas dan rapi menunjukkan orangnya ranggi. Kebersihan dan padanan warna memperlihatkan gaya yang santai dan masih mendebarkan. Diharmonikan pula dengan kekemasan diri, pembawaan diri  dan laku yang terkawal semasa berhadapan dengan orang ramai. Pandai mengawal penampilan diri. Usia memang tua tetapi apabila dirinya dibawa dengan baik kelihatan tokoh yang masih boleh dibawa ke tengah dan ke tepi. Masih ramai yang tidak canggung untuk bersama. Boleh lagi didampingi oleh yang muda.

Hati, psikologi dan perasaan adalah antara unsur diri yang perlu dipelihara kesejahteraanya. Dibangunkan kesegarannya. Berfikir secara positif. Memperlihatkan tenaga yang gagah. Stamina yang berpanjangan. Dijaga kesihatan supaya nampak memang bertenaga. Apabila hati kita cenderung menjadi tua maka secara automatik kita menjadi tua. Hilang seri. Hilang keceriaan. Sifat keanak-anakannya terus lenyap kesemua sekali. Yang tinggal hanya kerangka yang layu. Lesu menanggung perasaan. Tidak ada maya. Tidak ada kesegaran. Kesemuanya kerana hati yang meruntun tidak mahu. Ramai orang yang usianya tua masih sibuk dengan sukan. Sibuk berpersatuan. Sibuk dengan aktiviti fizikal dan lasak. Ketawanya masih banyak didengar. Senyumnya terus menawan. Raut wajahnya terus bercahaya dan ceria. Sesiapa yang melihatnya terkena kimia mesranya.

Tua atau muda datang dari hati. Tenaga juga datang dari hati. Apabila kita jana tenaga dari dalam maka akan keluar keindahan pada raut wajah. Ringankan tubuh badan untuk bergerak. Berjalan dengan meringankan diri. Jangan diberatkan langkah hingga kelihatan terlalu susah membawa diri. Tubuh yang sebenarnya berat sekalipun jika diringankan cara bergerak akan kelihatan ringan. Dunia ini bukan tempat orang yang susah hatinya. Siapa yang tidak susah tetapi kesusahan itu bukan untuk dipamerkan kepada orang lain. Bukan untuk dikongsi. Jauh sekali untuk dipindahkan kepada orang di sekeliling kita. Kita tanggung susah kita sendiri. Santaikah diri supaya susah di hati terhapus sendiri.

Adalah wajar agar kita banyak aktiviti. Masa selama 24 jam jangan benarkan untuk hanya bermenung. Bukan untuk berehat panjang. Bukan untuk banyak tidur. Jika dimanfaatkan tentu tidak banyak masa lapang yang tidak berguna. Bagi yang aktif dengan persatuan tentu banyak yang boleh dibuat. Selain dari bermesyuarat kita ada aktiviti berfikir. Apa aktiviti yang perlu dijalankan oleh persatuan. Membuat lawatan. Membuat kertaskerja. Meninjau pendapat orang lain. Bertemu orang yang berlainan. Berada di tempat yang berlainan. Melakukan aktiviti yang rutin dan yang berkala. Kesemuanya ini menghindar dari sesak nafas kerana tua. Terelak dari tersisih kerana tua. Terbiar kerana tua.

Tiada siapa yang inginkan yang tua. Kita yang tua hendaklah keluar dari kotak pemikiran tua. Biarlah tua kita dilihat dari idea yang bernas. Siri idea yang  tidak pernah putus. Berkongsi pengalaman lalu. Turunkan ilmu yang ada kepada orang lain yang memerlukan. Kita tawarkan diri untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Memanglah kadang-kadang seronok menjadi tua sendiri-sendirian. Tiada siapa yang mengganggu. Tetapi itu hanya untuk beberapa ketika sahaja. Hidup kita sebagai insan sosial perlukan ramai teman sosial untuk berbicara, berkongsi fikiran, membina manfaat sosial. Mungkin ada orang yang terus lari ke masjid dan surau. Elok juga. Tiada salahnya. Masa yang berbaki untuk menebus masa lalu yang banyak hilangnya. Namun begitu seorang profesiaonal tidak boleh terus mati ketika tuanya. Mati berfikir. Terus berhenti berfikir.

Banyak yang perlu disumbangkan kepada kejiranan kita. Masyarakat di sekeliling kita. Membuka laman baru untuk dikongsi bersama. Tidak ramai mereka yang bersara terlibat dengan menulis. Bayangkan banyaknya pengalaman peribadi yang terbuang. Biografi yang tersia-sia. Autobiografi yang jarang terungkap. Perkongsian yang tidak menjadi. Perpindahan pengalaman yang selalu tertangguh. Selalu kita dengar ungkapan negatif, ‘Aku dah tua!’ Jika itu yang dizikirkan memang kita terus tua dan hilang manfaatnya. Duduk pula di ceruk dan sudut. Bersama dengan orang yang tua-tua sahaja. Sayang! Ke mana hendak ditumpahkan kuah jika tidak ke nasi. Kepada mereka yang lebih muda. Yang memerlukan bimbingan. Memerlukan pandangan dan nasihat. Memerlukan ada yang mengawasi perjalanan mereka yang sepatutnya benar.


Untuk menjadi tua terlalu mudah. Usia kita adalah kriteria yang paling utama. Memberi erti kepada tua itu yang selalu dilepas  pandang. Bahawa kita hanya tua dari segi usia. Manfaat diri tiada batas usia. Semakin tua semakin banyak manfaatnya. Cuma yang perlu disedari kita perlu membuang miang keladi yang mungkin ada pada diri. Terkawal. Terlindung. Menjadi teladan dan sempadan. InsyaAllah tua bukan sebarang tua. Tua yang banyak tersusun manfaatnya. Tua yang banyak silau kemilau manfaatnya.